Pages

Tuesday 23 March 2010

CSI #8 - Cinta Utusan Malaikat


Di dalam sebuah hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda:

أَنَّ رَجُلاً زَارَ أَخًا لَهُ فِى قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِى فِى هَذِهِ الْقَرْيَةِ. قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا قَالَ لاَ غَيْرَ أَنِّى أَحْبَبْتُهُ فِى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ. قَالَ فَإِنِّى رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Maksudnya:
Sesungguhnya seorang lelaki (pada satu masa dahulu) pernah menziarahi saudaranya di sebuah kampung yang lain, maka Allah SWT mengutuskan semasa perjalanannya itu satu malaikat (kelihatan seperti manusia). Ketika malaikat itu bertemu dengannya, ia berkata: Ke mana kamu ingin pergi? Dia menajwab: Aku ingin bertemu saudaraku di dalam kampung ini. Ia berkata: Adakah kamu bertemu dengannya kerana satu nikmat dunia milikmu yang kamu ingin menjaganya? Dia menjawab: Tidak..kecuali disebabkan aku sesungguhnya menyayanginya kerana Allah SWT. Kata malaikat itu: Sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu untuk memberitahu bahawa sesungguhnya Allah menyayangi kamu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya.

[Hadith Riwayat Imam Muslim - no.6714]

Mampukah kita di zaman ini bersahabat dengan kualiti yang maha hebat hingga mengundang utusan Allah SWT iaitu para malaikat untuk menyampaikan salam cinta dari Allah SWT?

Kita bertemu saban hari dengan manusia. Ada yang kita gelar kawan, sahabat dan rakan malah teman. Adakah benar-benar persahabatan kita itu mencapai tahap keredhaan Allah SWT atau ia sekadar sesuatu yang bersifat sementara dan tidak berfaedah?

Kita tidak akan putus asa untuk mencari persahabatan yang bernilai tinggi seperti ini. Kita sentiasa berharap dan berdoa agar ketika kita bersalam dan bertemu dengan para sahabat...ketika itu juga para malaikat berlumba untuk menyampaikan berita gembira - bahawa kita disayangi oleh Allah SWT dek kerana kita menyayangi sahahat kita kerana agamaNya...kerana cintaNya..


Semoga mesej ini sampai dan terus disebarkan...

alitantawi

Friday 19 March 2010

Kuat Agama Tak Boleh Dengar Lagu?

Sering kedengaran dari sebahagian masyarakat persoalan muzik dan kaitannya dengan orang-orang yang diistilahkan kuat agama (tak semestinya ustaz dan ustazah). Baru pagi tadi seorang guru bertanyakan tentang anaknya yang bermain alat muzik seperti gitar, katanya "ada orang kata alat muzik bertali dan bertiup itu haram". Saya jawab "ya, memang ada orang kata, tapi ia bukan sesuatu yang muktamad dalam Islam".

Sudah pasti lagu-lagu yang membawa kepada kerosakan, aqidah dan kepercayaan sesat, memuja syaitan dan sebagainya adalah sesuatu yang semua orang akan mengatakan 'haram'. Tapi bukankah itu bermakna adanya lagu-lagu yang bebas dari unsur-unsur begitu? Adakah hukumnya atau tarafnya juga sama?

Ada lagu-lagu yang menceritakan tentang kehidupan, ketuhanan, cinta yang suci, sejarah, keindahan alam, kepayahan dan cabaran, motivasi dalaman dan luaran, keluarga...adakah kesemuanya dilarang? Itu mesti difikirkan SEBELUM melabelkan muzik atau lagu itu 'dilarang' atau gelaran yang sewaktu dengannya.

Seperkara lagi, jangan kita hanya sibuk melaungkan pengharaman sedangkan kita sendiri secara peribadi juga mendengarnya. Saya pernah bertemu dengan orang yang sibuk memarahi orang menggunakan alat muzik, tetapi dia sendiri mendengar lagu yang pelbagai di radio. Apakah itu caranya kita memberikan pandangan?

Bagi yang tidak mahu mendengar lagu, saya menghormati mereka. Itu adalah hak peribadi. Namun untuk menyatakan sesuatu itu 'haram', perlukan kepada ilmu dan perbincangan dalil fiqh serta kemahiran dalam pelbagai ilmu. Maka kita lihat apa kata ulama sejak dahulu hingga kini...sejak Imam al-Ghazali sehingga Dr.Yusuf al-Qaradawi..mereka membicarakan bahawa tidak SEMUA lagu dan muzik itu 'haram'..dan juga mereka menekankan tidak SEMUA lagu dan muzik itu 'halal'.

Bermakna ada yang dibolehkan dan ada yang tidak.

Saya mencadangkan pembaca mencari buku Dr. Yusuf al-Qaradawi tentang Fiqh Muzik dan Nyanyian (rasanya sudah diterjemahkan ke bahasa Indonesia) untuk melihat betapa panjangnya perbincangan dalam isu lagu dan muzik - adakah ia 'halal' atau 'haram'.

Adilkan perbincangan panjang lebar itu diringkaskan tanpa peluang berbincang?

Thursday 18 March 2010

Akhlak Ulama - Qaradawi dan Tantawi

*tulisan ini dipetik dari laman web www.al-ahkam.net

Seluruh dunia Islam dirundung muram dengan pelbagai berita kesedihan yang menjadi ujian dari Allah SWT dari masa ke semasa. Di antaranya ialah yang terkini - pemergian Syaikhul Azhar dan bekas Mufti Negara Mesir - Syeikh Muhammad Sayyid al-Tantawi rahimahullah. Di antara ulama Islam terkemuka yang meluangkan masa untuk berbicara tentang pemergian Syeikh Tantawi ialah ulama tersohor, Dr. Yusuf al-Qaradawi.
Setelah membaca tulisan yang dimuatkan di laman web rasmi Dr. Al-Qaradawi iaitu qaradawi.net, saya amat terkesan dengan sikap beliau terhadap Syeikh Tantawi yang beliau sifatkan sebagai kawan dan saudaranya sendiri. Qaradawi menyorot kembali perkenalannya dengan Tantawi ketika mereka bertemu satu masa dahulu. Ketika itu Qaradawi merupakan presiden persatuan pelajar di al-Azhar, manakala Tantawi masih di peringkat maahad dan belum lagi memasuki al-Azhar. Pada waktu itu Qaradawi telah menyampaikan khutbah yang didengari antaranya oleh Tantawi sendiri.

Mereka saling ziarah menziarahi sejak berkenalan dan ketika Qaradawi dipenjarakan pada tahun 1962, Tantawi dan isterinya menawarkan bantuan untuk keluarga beliau sebagai petanda persahabatan yang akrab. Sewaktu Tantawi menyiapkan tesis phd beliau, Qaradawi merupakan sahabat yang sering memberikan tunjuk ajar dan panduan. Semasa Qaradawi menjadi dekan fakulti Syariah Universiti Qatar, beliau pernah menjemput Tantawi untuk menjadi pensyarah tamu selama beberapa tahun. Tidak lama selepas itu, Tantawi dilantik menjadi mufti Mesir.

Maka sejak itu, hubungan mereka agak terganggu dengan beberapa fatwa yang dikeluarkan di bawah seliaan Tantawi yang mana tidak dipersetujui oleh Qaradawi. Selepas Tantawi dilantik menjadi Syaikhul Azhar, hubungan mereka kembali baik. Setiap kali bertemu, Tantawi pasti akan mendahulukan dan menghormati Qaradawi yang dianggap beliau sebagai gurunya dan juga abangnya kerana perbezaan umur. Walaupun mereka berbeza dalam beberapa pandangan dan fatwa, namun itu tidak menghalang mereka untuk saling menghormati dan mengasihi.

Ingin saya memetik sebahagian kata-kata Qaradawi dalam tulisannya: "Hari ini maut memisahkan antara kami berdua. Maut yang memisahkan antara seorang saudara dengan saudaranya, antara anak dan ayahnya, antara sahabat dan sahabatnya. Sebagaimana maut juga memisahkan antara yang bertelagah, satu dengan yang lain. Dan Allah akan menghimpunkan antara kami pada hari yang tidak ada keraguan padanya, hari dihitung segala yang tersembunyi, dan Dia akan memutuskan antara kami dengan benar, dan Dialah sebaik-baik hakim...."

Semoga kita belajar daripada akhlak ulama...walaupun kita tidak mencapai tahap mereka, namun cubalah untuk mencontohi mereka..

alitantawi

Sunday 7 March 2010

Mengajak Kebaikan..Kenapa Perlu Putus Asa?


Mengajak manusia melakukan kebaikan dan menyebarkannya tidak patut dicemari dengan sikap 'Putus Asa'..kenapa?

- Bukan kita yang memulakannya. Kita hanya meneruskannya.

- Bukan kita yang mengakhirinya. Akan ada ramai lagi orang yang meneruskannya.

- Kejayaan tidak diukur dengan bilangan yang mengikut. Tapi ia diukur dengan usaha dan kesungguhan.

- Setiap pergerakan kita dalam menyebarkan kebaikan akan diberikan ganjaran...walaupun ia kelihatan sia-sia pada mata ramai manusia.

- Ketenangan yang diperolehi tidak dapat diganti bahkan terkadang tidak tergambar dengan kata-kata.

- Walaupun seorang sahaja yang mengikut..ia tetap hebat di sisi Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.

- Walaupun satu perkataan sahaja yang kita sampaikan, ia cukup dihargai dan bertepatan dengan suruhan Nabi s.a.w.

- Percayalah, walaupun ramai yang tidak mengikut, tapi pasti ada seseorang yang mengikut dan mungkin kita akan hanya tahu selepas kita memasuki syurga Allah SWT ketika kita menerima hasil ganjaran dariNya.

- Ia membuahkan pengalaman...dan itu akan mematangkan kita.

- Amalan kita sedikit, mungkin sikap mengajak orang melakukan kebaikanlah yang akan membawa kita ke syurga.

- Orang kafir sendiri tidak putus asa dalam mengajak orang melakukan kebaikan...kenapa pula kita manusia beriman ingin putus asa?

Mari kita fikirkan...