Pages

Friday 26 November 2010

Ulasan Artikel Bicara Agama (Bah.5)

Ulasan kali ini merujuk kepada satu kesimpulan yang dibuat oleh penulis berbunyi:

"Melalui pernyataan Ibn Hajar, Tabari, Ibn Hisham, dan Ibn Hanbal menunjukkan riwayat mengatakan bahawa Aisyah berkahwin dengan Rasulullah ketika berusia enam tahun adalah tidak benar."

Ulasan:

Saya minta pembaca memberikan fokus kepada perkataan 'menunjukkan' dalam pernyataan di atas dan berfikir bersama saya seperti di bawah:

Ayat ini sekiranya dibaca oleh sesiapa yang tidak mempunyai maklumat lanjut, pasti akan difahami bahawa ulama hadith dan sejarah terkemuka iaitu 'Ibn Hajar, Tabari, Ibn Hisham dan Ibn Hanbal telah memberikan pernyataan 'menyokong' dan 'menunjukkan' kepada kesimpulan penulis bahawa riwayat Aisyah r.a. berkahwin ketika umur enam tahun adalah tidak benar.

Namun saya ingin mengajukan persoalan untuk difikirkan bersama:

1- Adakah ini kesimpulan yang difahami penulis atau ada sumber lain yang menyebut sedemikian?

2- Adakah benar empat tokoh itu membawa pernyataan menyokong kesimpulan penulis? Sepatutnya bukan dibawa pernyataan yang 'menunjukkan' tetapi dicari pernyataan yang jelas 'menolak' hadith 'enam tahun'. Itu adalah syarat untuk menggunakan nama-nama tokoh.

IBNU HAJAR MENERIMA DENGAN JELAS KESAHIHAN HADITH 'ENAM TAHUN'
3- Hakikatnya, Ibnu Hajar (wafat 852H) menyokong bahawa hadith perkahwinan Aisyah ketika usia enam tahun adalah sahih dan tidak pernah ditemui oleh ulama bahawa Ibnu Hajar 'menolak' hadith ini dengan jelas. Contohnya kalau kita lihat dalam buku-buku beliau seperti:

a- huraian beliau terhadap Sahih al-Bukhari (iaitu buku bertajuk Fathul Bari) beliau didapati tidak langsung mengkritik apa-apa sudut hadith tersebut. Contohnya, sila rujuk huraian Ibnu Hajar pada hadith Sahih al-Bukhari dalam Kitab al-Manaqib, hadith no.3072.

b- huraian beliau dalam buku yang digunakan oleh penulis sendiri iaitu (Al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah) kita dapati dengan jelas beliau menyatakan sokongan dan membawa sanad atau periwayatan tambahan untuk menyokong maklumat 'enam tahun'. Rujuk al-Isobah dengan melihat kepada biodata Aisyah, juzuk ke 14, bermula muka surat 27 hingga 34, cetakan Dar Hajar, cetakan pertama, Kaherah, tahun 2008.

- tujuan saya ialah membincangkan kembali adakah benar Ibnu Hajar membawa pernyataan yang menyokong kesimpulan penulis...atau sebenarnya Ibnu Hajar membawa beberapa pandangan tetapi penulis hanya mengambil pandangan yang 'seolah' menyokong? Apa pula ceritanya dengan pandangan Ibnu Hajar yang 'jelas' menilai sahih hadith 'enam tahun'? Kenapa tidak dinyatakan?

4- Menyebut pula tokoh kedua, saya ingin bertanya, adakah benar Tabari (wafat 310H) hanya membawa 'satu' pernyataan yang 'menyokong' kesimpulan penulis? Hakikatnya, sesiapa sahaja yang mengetahui dan membaca buku Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau Tarikh al-Tabari akan tahu dengan jelas dan terang bahawa al-Tabari membawa pelbagai pernyataan berkaitan isu ini dan juga isu-isu sejarah lain.

AL-TABARI DENGAN JELAS MENYEBUT AISYAH BERKAHWIN KETIKA 'ENAM TAHUN'
Bagaimana pula dengan pernyataan al-Tabari yang menyebut dengan jelas bahawa Aisyah dikahwini pada usia 'enam tahun'? Mengapa pernyataan itu tidak dinyatakan di sini?
Rujuk Tarikh al-Tabari, jilid 3, muka surat 163 dan 164, cetakan Dar al-Ma'arif, Mesir, cetakan kedua.

- Sekali lagi kita melihat (wallahu a'lam) bahawa penulis mengambil 'satu' pernyataan tokoh iaitu al-Tabari tetapi 'tidak menyebut' sokongan al-Tabari terhadap hadith 'enam tahun'. Mengapa begitu?

5- Berkenaan tokoh ketiga iaitu - Ibnu Hisyam (wafat 213H) - ia juga seperti yang di atas. Pembaca seharusnya diberitahu bahawa Ibnu Hisyam menyebut dengan jelas tentang perkahwinan Aisyah di usia enam tahun dalam bukunya 'Sirah Ibn Hisyam'. Mengapa pula pernyataan itu tidak disebut di sini tetapi menyebut pula bahawa Ibnu Hisyam membawa pernyataan yang 'menunjukkan' hadith 'enam tahun' tidak benar?

IBNU HISYAM JELAS MENYEBUT FAKTA 'ENAM TAHUN'
Ibnu Hisyam untuk makluman semua telah menyatakan dengan jelas di dalam bukunya 'Sirah' ketika menyebut nama isteri-isteri Nabi s.a.w. bahawa Aisyah dikahwini pada usia enam tahun. Rujuk 'Sirah Nabawiyyah' karya Ibn Hisyam (Jilid 4, muka surat 292, cetakan Dar al-Kitab al-Arabiy, cetakan 1990). Maka adakah benar Ibn Hisyam membawa maklumat yang 'menunjukkan' hadith 'enam tahun' tidak benar? Atau sebenarnya apa pandangan Ibn Hisyam? Pembaca perlu diberitahu maklumat yang jelas.

6- Tokoh keempat yang disebutkan ialah Ibn Hanbal dan saya merasakan ia merujuk kepada Imam Ahmad Bin Hanbal, tokoh hadith dan fiqh terkemuka (wafat 241H).

IBN HANBAL MERIWAYATKAN DENGAN JELAS HADITH 'ENAM TAHUN'
Sekiranya benar Ibn Hanbal di sini dimaksudkan Imam Ahmad, saya ingin bertanya kenapa pula tidak disebut bahawa Imam Ahmad meriwayatkan hadith 'enam tahun' dalam bukunya al-Musnad (rujuk Musnad Ahmad, bahagian Musnad Aisyah, hadith no.25609)? Mengapa pula tidak dibangkitkan maklumat bahawa Imam Ahmad (dan juga imam hadith lain) tidak pernah menolak hadith 'enam tahun'?

Kesimpulan yang ingin saya sampaikan ialah:

1- Keempat-empat tokoh ini tidak pernah dibuktikan dengan 'jelas' bahawa mereka menolak haidth Aisyah berkahwin pada usia enam tahun.

2- Malah keempat-empat tokoh ini ditemui dan dibuktikan memberikan pernyataan yang 'jelas' menerima hadith 'enam tahun'. Bertentangan bukan?

3- Pernyataan yang disebutkan penulis ternyata 'tidak menunjukkan' mereka menolak hadith itu malah ia bertentangan dengan apa yang mereka jelaskan dalam pernyataan lain yang 'tidak' disebutkan oleh penulis. Kesimpulan penggunaan perkataan 'menunjukkan' adalah sangkaan penulis semata-mata dan ia mudah diterima bagi mereka yang tidak membuat rujukan susulan.

Nasihat untuk diri dan sahabat:
Jangan kita SEBUTKAN satu pernyataan tetapi LENYAPKAN pernyataan lain yang dinyatakan oleh seseorang tokoh. Pasti sebahagian besar pembaca akan memahami dengan SATU sangkaan bahawa : 4 tokoh ini membawa pernyataan yang menyokong atau 'menunjukkan' penolakan hadith 'enam tahun' sedangkan HAKIKATNYA 4 tokoh ini membawa pernyataan lain yang jelas MENYOKONG KESAHIHAN hadith 'enam tahun'.

MAKA JIKA IBNU HAJAR, AL-TABARI, IBNU HISYAM DAN IBN HANBAL TIDAK 'MENOLAK' HADITH 'ENAM TAHUN' INI, - SIAPAKAH TOKOH ILMUAN ISLAM YANG PERNAH MENOLAK HADITH INI?

wallahu a'lam

Tuesday 23 November 2010

Monday 22 November 2010

Ulasan Artikel Bicara Agama (Bah.4)

Ulasan kali ini merujuk kepada satu 'fakta' yang diberikan oleh penulis iaitu katanya:

"Menurut Ibn Hajar: “Fatimah dilahirkan ketika Kaabah dibangunkan semula, ketika Nabi SAW berusia 35 tahun. Usia Fatimah lima tahun lebih tua daripada Aisyah”. (Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar al-Asqalani, jil.4,hlm. 377, Maktabat al-Riyadh al-Haditha: 1978)"

Ulasan:

Sekali lagi penulis cuba membuktikan bahawa perkahwinan Aisyah pada umur enam tahun adalah tidak benar. Beliau menggunakan kata-kata seorang tokoh hadith, sejarah dan fiqh terkemuka iaitu Ibnu Hajar al-Asqalani (wafat 852H) dalam bukunya yang terkemuka iaitu al-Isobah Fi Tamyiz al-Sahabah. Mari kita lihat bersama teks asal dalam Bahasa Arab dari buku yang disebut oleh penulis:

Rujukan saya ialah (jilid 14, muka surat 88, cetakan Dar Hajar, tahqiq : Dr. Abdullah al-Turki, cetakan pertama 2008, Kaherah)

Kata Ibnu Hajar:

واختلف في سنة مولدها فروى الواقدي من طريق إبي جعفر الباقر قال قال العباس ولدت فاطمة والكعبة تبنى والنبي صلى الله عليه وسلم ابن خمس وثلاثين سنة وبهذا جزم المدائني. ونقل أبو عمر عن عبيدالله بن محمد بن سليمان بن جعفر الهاشمي أنها ولدت سنة إحدى وأربعين من مولد النبي صلى الله عليه وسلم. كان مولدها قبل البعثة بقليل نحو سنة إو أكثر, وهي أسن من عائشة بنحو خمس سنين, وتزوجها علي أوائل المحرم سنة اثنين بعد عائشة بأربعة أشهر وقيل غير ذلك

Di sini sesiapa yang menguasai Bahasa Arab akan dapat melihat bagaimana Ibnu Hajar menyebut beberapa perkara iaitu:

1-Terdapat perbezaan pandangan tentang tahun kelahiran Fatimah.

2- Pendapat pertama yang disebutkan ialah berasal daripada al-Waqidi yang meriwayatkan dari jalan Abu Ja'far al-Baqir daripada al-Abbas iaitu - Fatimah dilahirkan pada tahun dibina Kaabah dan ketika itu umur Rasulullah s.a.w. ialah 35 tahun. (sebagaimana disebut oleh penulis)

3- Pendapat kedua pula melalui Abu Umar atau lebih dikenali dengan nama Ibnu Abd. Barr (dalam kitab al-Isti'aab) yang mengambil dari Ubaidillah al-Hasyimi iaitu - Fatimah dilahirkan pada ketika Rasulullah s.a.w. berumur 41 tahun. (tidak disebut penulis)

4- Fatimah lebih tua dari Aisyah sebanyak lebih kurang 5 tahun. (disebut oleh penulis)

Saya tidak menjawab panjang, tapi saya ingin pembaca melihat bagaimana terjemahan yang saya berikan dan terjemahan yang diberikan penulis.

Untuk membantu, saya timbulkan persoalan berikut:

- Mengapa tidak dinyatakan keseluruhan tulisan Ibnu Hajar al-Asqalani??

- Mengapa dinyatakan seolah Ibnu Hajar menyebut SATU pandangan sahaja, sedangkan beliau menyebut perbezaan pandangan dari DUA pihak?

- Mengapa DILENYAPKAN bahagian yang menyatakan bahawa Fatimah juga dikatakan lahir pada usia Nabi s.a.w. 41 tahun?

wallahu a'lam



Saturday 20 November 2010

Ulasan Artikel Bicara Agama (Bah.3)

Ulasan kali ini adalah berkenaan hujah kedua yang dikemukakan penulis iaitu

- penulis telah berusaha membuktikan dengan bukti dan hujah dari buku-buku ulama hadith bahawa Hisyam Bin Urwah ialah seorang periwayat yang bermasalah terutamanya ketika berhijrah ke Iraq dan mencapai umur 71 tahun -

hujah ini adalah rententan hujah pertama yang menyatakan bahawa 'semua' hadith tentang umur Aisyah ketika berkahwin berasal 'hanya' melalui jalan Hisyam. Maka penulis ingin membuktikan bahawa riwayat Hisyam bermasalah lalu ternyatalah kedhaifan dan tidak benarnya hadith umur Aisyah ketika berkahwin..itu hajat penulis. Apakah benar begitu? Dalam tulisan kali ini, kami akan mengulas satu bahagian kecil daripada hujah itu iaitu:

Penulis menyatakan:

"Asal periwayatan ini adalah daripada orang Iraq, di mana Hisham tinggal di sana dan pindah dari Madinah ke Iraq pada usia tua iaitu 71 tahun".


Apa sebenarnya kesimpulan penulis?
Penulis bertujuan menyatakan bahawa:

1- Hadith-hadith umur Aisyah ketika berkahwin diriwayatkan oleh Hisyam selepas dia berhijrah ke Iraq

2- Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Hisyam selepas berpindah di Iraq dikritik oleh ulama hadith.

3- Di antara sebab lain ialah ketika itu Hisyam sudah tua dan dia sudah bercelaru dan ingatannya tidak kuat lagi.

Maka hasil / tujuan penulis ialah :

- Hadith umur Aisyah enam tahun ketika berkahwin adalah tidak benar kerana ia diriwayatkan 'hanya' oleh Hisyam ketika berada di Iraq, ketika sudah tua dan kurang ingatannya.

Maka penulis menguatkan lagi hujahnya dengan kata-kata Imam Ya'qub Bin Syaibah iaitu:

"Menurut Ya’qub bin Syaibah: “Hisham seorang perawi yang dipercayai, riwayatnya dapat diterima, kecuali apa-apa yang dia ceritakan setelah dia berpindah ke Iraq."

Kedudukan Hisyam - dipercayai atau tidak?
Pada hakikatnya, Hisyam Bin Urwah telah dinilai sebagai thiqah atau dipercayai oleh ramai
ulama hadis. Mereka menilainya bukan semata-mata melihat satu atau dua sudut malah dengan melihat seluruh aspek kehidupannya dan seluruh hadith-hadith yang diriwayatkannya. Ulama hadith terkemuka seperti Abu Hatim al-Razi (wafat 277H) , Ya'qub Bin Syaibah (wafat262H) , Ibnu Hibban (wafat 354H) dan ramai lagi telah menilai beliau sebagai thiqah iaitu dipercayai.

Saya yakin penulis juga menerima kenyataan ini cuma beliau memberikan fokus pada 'Iraq' dan pada 'lemah ingatan atau bercelaru'. Lalu saya ingin bertanya:

Benarkah hadith Umur Aisyah hanya diriwayatkan oleh Hisyam di Iraq?
Untuk menjawab persoalan ini, sekali lagi saya perlu ingatkan pembaca bahawa hadith umur Aisyah ini bukan hanya berlegar pada Hisyam. Dengan membuktikan bahawa hadith umur Aisyah ini diriwayatkan oleh 'selain' Hisyam sudah cukup untuk menjawab keraguan yang ditimbulkan oleh penulis. Katakanlah...saya ulang sekali lagi..'katakanlah' kita menerima bahawa hadith-hadith Hisyam di Iraq adalah 'tidak sahih', maka adakah ini bermakna hadith umur Aisyah sudah tidak ada sandaran dari orang lain selain beliau? Ini telah saya nyatakan dalam tulisan bahagian pertama cuma kali ini saya ingin memberikan bukti yang lebih jelas:

Di dalam Sahih Muslim (no.3546) telah dinyatakan dengan jelas bahawa hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Zuhri daripada Urwah, dan Urwah meriwayatkannya dari Aisyah. - Bukan melalui Hisyam.

Begitu juga dalam Sahih Muslim (no.3547) dinyatakan hadith ini diriwayatkan oleh Ibrahim al-Nakhai daripada al-Aswad Bin Yazid yang mengambilnya dari Aisyah. Ini juga ada dalam Sunan al-Nasaai (no.3271). - Bukan melalui Hisyam.

Dalam Sunan Abu Daud (no.4939) di mana ia diriwayatkan melalui Yahya Bin Abd. Rahman mengambilnya dari Aisyah. - Bukan melalui Hisyam.

Dalam Sunan Nasaai (no.3392) diriwayatkan oleh Abu Salamah yang mengambilnya dari Aisyah. - Bukan melalui Hisyam.

Dalam Sunan Ibnu Majah (no.1951) melalui Abdullah Bin Mas'ud yang mengambilnya dari Aisyah. -Bukan melalui Hisyam.

Contoh-contoh di atas dirasakan cukup untuk menghilangkan keraguan yang ditimbulkan di sini iaitu - Hadith ini hanya dari Hisyam dan hadith ini hanya disebut Hisyam di Iraq. Semoga para pembaca melihat dan merenungkan.

Namun begitu mari kita lihat, adakah benar Hisyam bermasalah ketika berada di Iraq?

Penting: Apa maksud sebenar Ya'qub Bin Syaibah?
Kata-kata yang diterjemahkan oleh penulis di atas tadi dengan menggunakan nama Ya'qub Bin Syaibah telah pun direkodkan dalam buku-buku ulama hadith. Mari kita lihat bersama apakah terjemahan itu tepat dengan teks asalnya? Teks asal kata-kata Ya'qub Bin Syaibah seperti yang ada dalam Tahdzib al-Tahdzib karya Ibnu Hajar al-Asqalani ialah:

ثقة ثبت لم ينكر عليه شيء إلا بعدما صار إلى العراق فإنه انبسط في الرواية عن أبيه فأنكر ذلك عليه أهل بلده , و الذي نرى أن هشاما تسهل لأهل لعراق أنه كان لا يحدث عن أبيه إلا بما سمعه منه فكان تسهله أنه أرسل عن أبيه مما كان يسمعه من غير أبيه عن أبيه

Bagi mereka yang menguasai Bahasa Arab dan memahami istilah ahli hadith, tidak ada pun di dalam kata-kata Ya'qub Bin Syaibah ini yang menunjukkan bahawa SEMUA hadith yang diriwayatkan oleh Hisyam Bin Urwah di Iraq 'ditolak'. Apa yang ada dalam teks ini ialah Ya'qub Bin Syaibah menyatakan bahawa hadith-hadith Hisyam 'tidak pernah ditolak' oleh ulama hadith kecuali selepas beliau berhijrah ke Iraq, terdapat beberapa hadith yang ditolak oleh ulama hadith. Malah Ya'qub menghuraikan pula sebab perkara itu berlaku dan ia tidak ada kena mengena dengan nyanyuk atau bercelaru atau lemah ingatan. Ia berkaitan cara Hisyam menyampaikan hadith. Namun yang lebih penting untuk kita kaitkan di sini....

Adakah ditemui bukti ulama hadith menolak hadith Umur Aisyah?
Persoalannya sekarang - adakah ulama hadith (mana-mana ulama hadith terkemuka) pernah menyatakan bahawa hadith Umur Aisyah adalah termasuk dalam senarai beberapa hadith yang ditolak itu? Jawapannya mudah - tidak pernah ada dan tidak pernah disebutkan. Adakah pengkaji hadith sejak dahulu hingga kini pernah menemui rekod bahawa Ya'qub Bin Syaibah menolak hadith umur Aisyah? Juga jawapannya tidak. Ya'qub Bin Syaibah yang dikatakan 'menolak' hadith-hadith Hisyam di Iraq (sebagaimana kata penulis) pun tidak ditemui mengkritik hadith ini! Agak menghairankan!

Malah apa yang kita temui ialah - Ulama hadith begitu ramai yang 'menerima' dan 'menilai sahih' hadith-hadith Hisyam Bin Urwah TERMASUK hadith umur Aisyah ini yang dinilai sahih oleh Imam-imam hadith seperti al-Bukhari, Muslim, al-Nasaai dan lain-lain lagi. Malah pembaca yang berkemampuan boleh merujuk pandangan ulama-ulama hadith moden yang juga menerima hadith ini secara sepakat.

Maka, ulama hadith menyalahi/melanggar kaedah 'Iraq' ?

Merujuk kepada kenyataan yang baru sahaja saya ungkapkan di atas tadi, maka adakah boleh kita katakan - Imam-imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi telah 'menyalahi' kaedah yang dinyatakan oleh Ya'qub Bin Syaibah (sebagaimana diterjemahkan oleh penulis) lalu tetap 'mengambil' hadith Hisyam di Iraq?

Kaedah yang diambil oleh kita daripada ulama hadith...tidak diamalkan pula oleh mereka? Atau sebenarnya kita yang tidak memahami kaedah yang sebenar?

*permintaan tambahan saya - namakan walau hanya seorang ulama hadith terkemuka sejak dahulu hingga kini yang menolak hadith ini.

Setakat ini dahulu dan akan bersambung dalam bahagian seterusnya akan datang, insya Allah.



Friday 19 November 2010

Ulasan Artikel Bicara Agama Yang Terbaru (Bah. 2)

Setelah kami menyatakan dalam artikel (Bah.1) bahawa penulis artikel dalam Bicara Agama,Utusan Malaysia bertarikh 19 Nov 2010 di bawah tajuk 'Bilakah Nabi menikahi Aisyah?' menggunakan secara ringkasnya 4 hujah menyokong kesimpulannya iaitu - kisah Nabi s.a.w. menikahi Aisyah pada usia muda (6 tahun) adalah tidak benar - maka kali ini kami ingin menyentuh satu bahagian daripada hujah keempatnya pula iaitu:

- Penulis cuba membuktikan bahawa Aisyah dikatakan dilahirkan sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w. iaitu pada zaman Jahiliyyah. Penulis menggunakan bukti sejarah di antaranya dengan kata beliau:

"...Tetapi, di bahagian lain, Al-Tabari mengatakan: “Semua anak Abu Bakar (empat orang) dilahirkan pada zaman Jahiliah daripada dua isterinya”. (Tarikh al-Umam wa al-Mamluk, Al-Tabari jil. 4 hlm. 50, Dar al-fikr, Beirut, 1979)."

Ulasan:
Jelas dapat kita lihat bahawa terjemahan ini menyokong pandangan penulis dalam menolak hadith yang menyatakan Aisyah dikahwini pada usia 6 tahun. Ini kerana Aisyah dilahirkan sebelum kedatangan Islam iaitu pada zaman Jahiliyyah. Hujah ini boleh dibaca dalam tulisan asal. Apa yang penting ialah:

Kalau dilihat daripada penjelasan penulis yang memberikan nama buku 'Tarikh al-Umam wa al-Mamluk' dan juga memberi nama penulis buku iaitu 'al-Tabari', lalu dilengkapkan dengan nombor jilid '4' dan nombor halaman atau muka surat '50, dan disempurnakan dengan nama pencetak 'Dar al-fikr, Beirut' berserta tahun cetakan '1979' - sudah pasti ini adalah bukti nyata, jelas lagi ilmiah bagi sebahagian pembaca. Tetapi...

Persoalan yang ingin saya ingatkan kepada pembaca...

- Benarkah begitu yang ditulis oleh al-Tabari? Bukankah al-Tabari menulis dalam Bahasa Arab? Maka di sini bukankah amat baik untuk kita 'tangguhkan' kepercayaan kita melainkan setelah kita menyemak adakah terjemahan itu tepat atau tidak? Mungkin kita tidak mampu, tetapi tidak sedikit yang mampu membaca dan memahami Bahasa Arab yang boleh kita minta pertolongan.

- Terdapat beberapa nama yang dikatakan nama bagi buku ini di antaranya ialah 'Tarik al-Tobari', 'Tarikh al-Umam wa al-Muluk' dan 'Tarikh al-Rusul wa al-Muluk'.

- Di sini timbul persoalan, adakah benar penulis merujuk terus kepada buku asal ini dalam tulisan asalnya? Atau beliau sekadar merujuk kepada sumber kedua atau ketiga dan menggunakan terjemahannya sahaja?

- Ini ditambah pula apabila kita melihat kepada buku ini dan merujuk kepada teks asal berkenaan kisah Abu Bakr al-Siddiq, isteri dan anak-anaknya, didapati bahawa teks asalnya tidak sama seperti terjemahan yang dikemukakan oleh penulis.

Sebelum saya menterjemahkan maksud kata-kata al-Tabari di sini, saya menyeru kepada semua yang menguasai Bahasa Arab agar merenung teks asal ini dan membandingkannya dengan terjemahan yang diberikan penulis.

Al-Tabari dalam bahagian ini menyatakan bahawa ada di antara isteri-isteri Abu Bakr al-Siddiq yang dikahwininya sebelum kedatangan Islam iaitu pada zaman Jahiliyyah dan ada juga isterinya yang dikahwininya selepas kedatangan Islam. Maka al-Tabari menyebutkan bahawa terdapat dua isteri Abu Bakr al-Siddiq yang dikahwininya sebelum Islam. Lalu beliau menyebut nama-nama anak Abu Bakr al-Siddiq sejumlah 4 orang yang merupakan anak kepada dua orang isterinya yang dikahwini pada masa Jahiliyyah lalu dia menyebut:

"فكل هؤلاء الأربعة من أولاده ولدوا من زوجتيه اللتين سميناهما في الجاهلية"


Terjemahan kepada teks asal ini ialah:

"Maka kesemua empat anaknya itu dilahirkan daripada dua isterinya yang kami namakan mereka pada masa Jahiliyyah (mereka dikahwini Abu Bakr pada zaman Jahiliyyah)"

Bandingkan terjemahan ini dengan terjemahan penulis:

“Semua anak Abu Bakar (empat orang) dilahirkan pada zaman Jahiliah daripada dua isterinya”

Ayat asal al-Tabari dalam teks arabnya merupakan pengkisahannya tentang dua isteri yang dikahwini oleh Abu Bakr al-Siddiq 'pada zaman Jahiliyyah'. Maka lahirlah daripada kedua isterinya itu empat orang anak.

Tetapi terjemahan yang diberikan oleh penulis menyatakan bahawa keempat-empat anaknya itu dilahirkan pada zaman Jahiliyyah.

Ini bermakna ayat asal al-Tabari merujuk kepada waktu kedua isteri itu dikahwini sedangkan terjemahan penulis membawa maksud waktu kelahiran keempat-empat anaknya.

Tambahan pula, al-Tabari dengan jelas menyebut dalam jilid lain ketika membicarakan tentang isteri Rasulullah s.a.w. bahawa Aisyah dikahwini pada usia enam tahun.

Satu lagi persoalan yang tidak disebut oleh penulis ialah - adakah kisah ini benar-benar sahih dan adakah fakta yang dibawa oleh al-Tabari itu berdasarkan nukilan yang benar atau sekadar menyampaikan satu kisah?

Di sini sekali lagi saya ingin mempersoalkan - adakah penulis menterjemahkannya daripada teks asal atau menggunakan terjemahan pihak lain untuk teks asal al-Tabari? Adakah penulis terus merujuk kepada kata-kata itu tanpa melihat kontek ayat sebelum dan selepasnya?

Adakah sebegini mudah kita menggunakan hujah yang pada asalnya bukan hujah untuk menyokong sesuatu idea yang sudah sedia ada dalam minda kita?

Ulasan akan bersambung lagi insya Allah merujuk kepada satu lagi hujah sejarah yang dibawa penulis iaitu umur Asma dan Aisyah berbeza sebanyak 10 tahun.

wallahu a'lam

Ulasan Artikel Bicara Agama Yang Terbaru (Bah. 1)

Setelah kami memberikan ulasan terhadap artikel berkaitan 'Umur Aisyah r.a. ketika berkahwin' yang disiarkan dalam Bicara Agama, Utusan Malaysia bertarikh 17 Nov 2010, terdapat satu lagi artikel berbentuk soal jawab berkaitan tajuk yang sama disiarkan pada hari ini iaitu 19 Nov 2010. Jawapan kepada persoalan 'Bilakah Nabi Menikahi Aisyah' dilihat sama sahaja kesimpulannya dengan artikel bertarikh 17 Nov.

Untuk makluman pembaca, Ust. Adlan Abd. Aziz daripada Pemuda Iman akan mengadakan satu majlis ilmu untuk membicarakan isu ini secara terperinci dan ia akan diadakan seperti berikut:

Tajuk: UMUR AISYAH SEMASA BERKAHWIN - MEMPERTAHANKAN HADITH SAHIH

Oleh : Adlan Abd. Aziz

Tarikh: Rabu, 24 Nov 2010

Masa: 8.30 mlm

Tempat: IS Hall, No. 1-5-2, Wisma Prima Peninsula, Jln Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur(Atas Saba Islamic Media)

Namun begitu, sebagai menunjukkan sedikit respon terhadap tulisan terbaru bertarikh 19 Nov ini, Pemuda Iman ingin memberikan beberapa komen (keseluruhannya akan diterangkan dalam majlis ilmu seperti di atas) seperti berikut:

Penulis memberikan 4 hujah untuk menyokong pandangan beliau bahawa hadith yang menyatakan Aisyah berkahwin di usia muda adalah tidak sahih dan tidak tepat. Hujah-hujah beliau sebenarnya amat sedikit dibandingkan dengan hujah-hujah yang pernah dibawa oleh pihak lain - ada sebahagiannya di negara India dan Pakistan, manakala ada sebahagiannya dari negara Arab - yang mana hujah-hujah itu dilihat dapat menyokong pernyataan bahawa hadith ini tidak benar dan Aisyah berkahwin pada usia remaja dan bukan usia semuda enam atau tujuh tahun. 4 Hujah penulis boleh diringkaskan seperti berikut:

1- Periwayatan hadith-hadith berkaitan umu Aisyah ketika berkahwin adalah melalui jalan Hisyam Bin Urwah sahaja.

2- Kelemahan dan kesilapan yang dilakukan oleh Hisyam Bin Urwah ketika sudah tua dan ketika berada di Iraq.

3- Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Aisyah dan Hafsah (anak Umar Bin al-Khattab) adalah kerana mengukuhkan ikatan persaudaraan dan bukan kerana keinginan.

4- Hujah dalam bentuk riwayat sejarah berkenaan bila Aisyah dilahirkan dan pengiraan umurnya.

Pemuda Iman memilih untuk memberikan ulasan ringkas terhadap satu daripada 4 hujah yang dikemukakan sekadar memberikan gambaran bagaimana jawapan penulis tidak menggambarkan perbincangan ilmiah yang sebenar - iaitu meletakkan semua fakta secara jelas dan menghuraikannya satu persatu. Hujah ketiga pada hakikatnya bukanlah satu hujah yang patut dijadikan isu dalam perbincangan. Manakala hujah kedua pula ialah rentetan daripada hujah yang pertama. Mari kita pergi kepada satu hujah iaitu hujah pertama yang dikemukakan. Semoga pembaca dapat membuka minda untuk satu perbincangan ilmiah:

Penulis menyatakan dalam permulaan jawapannya:

"Sebahagian besar riwayat yang menceritakan hal ini terdapat dalam hadis di mana keseluruhannya hanya diriwayatkan oleh Hisham bin Urwah".

Ulasan:
Jawapan sebegini jika dibaca oleh mereka yang tidak mengetahui berkaitan periwayatan hadith sudah pasti membawa natijah bahawa 'semua' hadith berkaitan umur Aisyah ketika berkahwin 'hanyalah' dari riwayat periwayat bernama Hisham Bin Urwah yang meriwayatkannya dari ayahnya Urwah Bin al-Zubair. Urwah pula meriwayatkannya dari Aisyah. Sedangkan pada hakikatnya ia tidak begitu.
Hadith ini juga sebenarnya telah diriwayatkan melalui periwayat lain seperti yang jelas ada dalam buku hadith utama seperti Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasaai dan lain-lain lagi. Ada di antara periwayat ini meriwayatkannya daripada Urwah seperti Ibn Syihab al-Zuhri manakala ada pula yang terus meriwayatkannya daripada Aisyah sendiri seperti Amrah Binti Abd. Rahman, Abd. Rahman Bin al-Qasim, Abd. Rahman Bin Muhammad Bin Abi Bakr, al-Aswad Bin Yazid, Yahya Bin Abd. Rahman Bin Hatib, Abu Salamah Bin Abd. Rahman dan lain-lain lagi.
Mungkin ada pembaca yang tidak memahami semuanya ini sepintas lalu namun perkara pokok yang ingin dinyatakan di sini ialah hadith ini bukanlah seperti dakwaan penulis iaitu 'keseluruhannya hanya diriwayatkan oleh Hisham Bin Urwah'.

Itu sebagai permulaan jawapan. Insya Allah Pemuda Iman akan memberikan ulasan lanjut dalam bentuk majlis ilmu seperti yang diberitahu di atas. Penulisan tentangnya juga akan diberikan dalam masa ke semasa insya Allah.

wallahu a'lam

Thursday 18 November 2010

Ulasan Terhadap Artikel Bicara Agama, Utusan Malaysia

Pemuda Iman merasa terpanggil untuk memberikan ulasan ringkas buat masa ini terhadap satu artikel yang disiarkan dalam ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia bertarikh 17 Nov 2010 bertajuk 'Usia Siti Aisyah Semasa Kahwin' hasil susunan Siti Ainiza Kamsari.

Setelah meneliti isu yang dibangkitkan oleh penyusun, kami mendapati bahawa terdapat kekurangan dan kelemahan dalam mengetengahkan isu sebegini. Ulasan kami adalah seperti berikut:

Sungguh menyedihkan apabila satu isu besar berkaitan hadith dan berkaitan diri Rasulullah s.a.w. ditulis dengan begitu mudah dan akhirnya keluarlah kesimpulan semudah yang dinyatakan penyusun. Ini bukanlah kali pertama isu sebegini dibangkitkan malah ia pernah dibangkitkan di dunia Arab sendiri beberapa tahun yang lalu. Isunya mudah - Terdapat sebahagian yang tidak dapat menerima bahawa Rasulullah s.a.w. mengahwini Aisyah pada umur yang muda sedangkan kisah ini merupakan kisah yang disebutkan secara turun temurun dan direkodkan dalam buku-buku hadith yang begitu banyak dan diwariskan oleh pencatat hadith dan sejarah yang dipercayai. Kami mendapati isu ini tidak ditangani dengan baik oleh penyusun daripada aspek berikut:

1- Kenyataan penyusun bahawa hadith yang beliau nyatakan dalam artikel tersebut ialah satu-satunya hadith yang kuat tentang isu umur Aisyah ini amat tidak tepat. Seakan itulah satu-satunya hadith bertaraf sahih yang ada. Hadith tentang umur Aisyah ketika kahwin ini juga ada di dalam Sahih Muslim dan buku-buku lain. Kenyataan penyusun amat mengelirukan.

2- Penyusun menyatakan bahawa hadith ini dipertikaikan. Siapa yang mempertikaikan? Boleh kita dapatkan satu atau beberapa nama imam hadith terkemuka dulu hingga kini yang mempertikaikannya? Menyatakan secara umum sebegini boleh menimbulkan kekeliruan seolah terdapat ulama hadith yang mempertikaikannya malah seolah terdapat ramai yang mengkritik hadith ini.

3- Seolah penulis dengan mudah membuat kesimpulan bahawa SEMUA hadith yg bukan berkaitan hukum maka ia dimudah-mudahkan atau tidak dikaji dengan ketat? Siapa pula yang menyebut kaedah sebegini?

4- Gambaran sejarah yang diberikan penyusun bukanlah satu-satunya yang ada berkaitan umur Aisyah dan kaitannya dengan waktu beliau memeluk Islam. Usah 'abaikan' fakta lain dengan hanya satu teori yang menyokong.

Penulisan sebegini amat mengecewakan dari sudut ilmu dan juga dari sudut keadilan meletakkan fakta perbincangan.

wallahu a'lam..

insya Allah, akan ada sambungan pada topik ini.

Tuesday 16 November 2010

Wednesday 10 November 2010

Ubati Lukamu Dengan Al-Quran



Al-Quran secara keseluruhannya merupakan ubat dan penyembuh bagi sebarang kesakitan juga tekanan perasaan. Secara umumnya, dengan membaca Al-Quran, ia adalah sebagai terapi yang terbaik...bagi mereka yang mengetahui dan merenungi maksudnya dengan mendalam.

Namun begitu, sedar atau tidak terdapat ayat-ayat yang jelas menunjukkan bagaimana Allah SWT mententeramkan hati Nabi kita s.a.w. Ayat-ayat itu dengan jelas menampakkan kepada kita bahawa kesedihan, kerunsingan, kemurungan dan tekanan perlu kepada satu pihak yang mententeramkan. Sekurang-kurangnya inilah yang dapat kita lakukan sebagai bantuan dan tanda sokongan kepada sesiapa sahaja - rakan, teman, keluarga dll - ketika mereka ditimpa kesusahan atau sebarang musibah.

Mari kita lihat bersama salah satu ayat yang 'jelas' menunjukkan sokongan dan pujukan terhadap Rasulullah s.a.w. dan kita cuba hayati dan fahami betapa pentingnya sokongan dalam menghadapi ujian hidup. Ayat itu ialah ayat 33 dari surah al-An'am:


قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُكَذِّبُونَكَ وَلَكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللّهِ يَجْحَدُونَ

maksudnya:

Sesungguhnya kami mengetahui bahawasanya apa yang mereka katakan itu menyedihkan hatimu, (janganlah kamu bersedih hati), Karena mereka Sebenarnya bukan mendustakan kamu, akan tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah

dalam Bahasa Inggeris:

"Indeed We know that what they say surely grieves you. Yet verily it is not you (that) they belie, but the unjust deny the Signs of Allah."


Allah Mengetahui!
Lihatlah bagaimana ayat itu dimulakan dengan penegasan bahawa 'Allah Mengetahui'. Seolah kita merasai bagaimana tenangnya hati Nabi s.a.w. yang menerima ayat ini. Tidak perlu diceritakan dengan lanjut..tidak perlu dijelaskan dengan panjang lebar...kerana Allah sememangnya mengetahui.

Engkau bersedih
Tidak salah langsung untuk bersedih kerana sememangnya itulah sifat normal manusia. Itulah fitrah insan yang menanggung kesusahan dan kepayahan hidup. Betapa sedihnya hati kita apabila manusia mencerca dan menghina kita. Itulah yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w.

Jangan Bimbang, Mereka Melakukan Kejahatan
Mereka yang menghina Rasulullah s.a.w. sudah pasti melakukan kejahatan. Maka mereka tidak sepatutnya menjadi sebab Baginda terus dalam kesedihan. Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa mereka sedang menghina ayat-ayat Allah SWT. Pasti mereka akan menerima balasan!

Terdapat lagi ayat-ayat lain yang menteramkan jiwa Nabi s.a.w. yang bersedih kerana menerima tentangan kaumnya dan juga kerana Baginda terlalu inginkan kaumnya mendapat hidayah. Kita akan ikuti dalam tulisan berikutnya insya Allah..








Monday 8 November 2010

RAKAMAN AUDIO - SEMINAR YASIN - PART 2

Keunikan Gaya Bahasa Dalam Surah Yasin - Ust. Adlan Abd Aziz - klik di sini




Pengajaran Surah Yasin Dalam Kehidupan - Ust. Mohd. Syauqi - klik di sini



Soal Jawab - klik di sini


*TERIMA KASIH KEPADA SAUDARA SAIFUL ISKANDAR DI ATAS RAKAMAN.