Pages

Monday 24 January 2011

Ucaptama Seorang Pemimpin Bertaqwa

Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan seorang khalifah Islam yang amat mahsyur dengan keilmuan, kezuhudan dan keadilan pemerintahannya, walaupun singkat tempoh rakyat jelata menikmati keberkatan pemerintahannya itu. Beliau menjadi model pemimpin yang lengkap sebagai ulama dan umara. Seharusnya wataknya sebagai ulama dan umara sekaligus wajar diteladani oleh setiap individu yang bergelar pemimpin masyarakat. Sayangnya kebanyakan orang berlumba mengejar pangkat kepemimpinan dalam masyarakat demi mengaut kemewahan dan kemuliaan dunia.

Karekter cucunda Khalifah Umar al-Khattab ini boleh dikaji dari ucaptama beliau ketika mana beliau dibaiah oleh rakyat jelata:

"Aku mewasiat kepada kalian agar selalu bertaqwa kepada Allah SWT, kerana taqwa adalah jiwa dari segala sesuatu dan ketaqwaan kepada Allah bukanlah suatu kemunduran. Ketahuilah, dengan sebenar-benarnya kehidupan akhirat nanti, kerana sesungguhnya orang yang berusaha untuk kehidupan akhiratnya maka Allah SWT akan mencukupi keperluan keduniaannya."
"Perbaikilah diri kalian yang tersembunyi (sikap hati) nescaya Allah yang Maha Mulia akan memperbaiki kehidupan kalian yang nampak"

"Perbanyakkanlah mengingat kematian dan usahakanlah untuk mendapatkan bekal kematian dengan sebaik-baiknya sebelum kematian benar-benar mendatangi kalian. dengan mengingat kematian, kalian tidak terlena dalam kesenangan dan kemewahan. sesungguhnya orang yang tidak mahu mengingat akan adanya hubungan antara kematian dan kehidupan anak Adam, nescaya dia akan mendapat kesulitan ketika meninggal dunia kelak"
"
"Ssungguhnya umat ini tidak akan mempedulikan agama, tidak mempedulikan Nabi mereka dan juga kitabNya, mereka akan hanya mempedulikan harta benda dan kekayaan. Sesungguhnya demi Allah SWT, aku tidak akan memberikan kesempatan kepada seorang pun untuk melakukan kebatilan dan aku tidak akan pernah mencegah seseorang melakukan kebenaran"

"Wahai manusia, barangsiapa yang taat kepada Allah, maka dia wajib ditaati. Barangsiapa yang derhaka kepada Allah , maka tiada hak baginya untuk ditaati. Taatlah kalian kepada ku selama mana aku taat kepada Allah, dan jika berlaku maksiat kepada Allah, maka tiada kewajiban bagi kalian untuk mentaatiku"(Sirah wa Manaqib Umar bin Abdul Aziz,Ibnu Al-Jauzi)

Isu-isu yang dibangkitkan sang Khalifah dalam ucaptama tersebut menggambarkan segalanya tentang polisi, wawasan dan keperibadian beliau selaku pemerintah yang adil dan bertaqwa. Alangkah bertuahnya rakyat yang sempat merasai keberkatan pemerintahannya selama 2 tahun 5 bulan. Rindunya rasa dihati umat Islam kini yang masih menantikan seorang pemimpin yang berwatak seumpamanya. Beliau meninggal di saat usianya genap 39 tahun 6 bulan kerana terminum racun yang dikomplot oleh bani ummayyah sendiri kerana benci ketegasan sang khalifah terhadap kezaliman mereka!

Siri Watak Wanita Baik Dalam Al-Quran

WATAK 1: MARYAM BINTU IMRAN: PEMUDI MITHALI (HEBAT IBADAHNYA, MULIA KEHORMATANNYA, TINGGI SABARNYA)


Firman Allah SWT: Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.(al-Tahrim:12)

Kisah Maryam bintu Imran telah menjadi perbincangan utama antara orang Islam dan Kristian semenjak zaman Rasulullah SAW. Ini dibuktikan apabila Raja Najasyi pemerintah Habsyah yang beragama Kristian bertanyakan Jaafar bin Abu Talib ketua rombongan hijrah pertama orang Islam mengenai pandangan agama Islam tentang Maryam. Jaafar bin Abu Talib dengan yakinnya membacakan kepada si raja surah Maryam sehinggakan si raja memerintahkan agar rombongan muslimin yang berlindung di Habsyah diraikan sebagai tetamu negara.

Maryam merupakan simbol pemudi mithali yang perlu diteladani oleh setiap wanita muda yang beriman kepada Allah SWT. Seorang wanita yang Allah SWT pilih melahirkan salah seorang rasulnya Nabi Isa A.S tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki. Namanya direkodkan dalam surah ali Imran dan surah Maryam dan al-Tahrim. Firman Allah SWT: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). (Ali Imran:42). Nabi SAW turut mengiktiraf kehebatan beliau dalam sebuah hadith sahih riwayat Imam Bukhari: Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan tetapi masih belum daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempunaan kecuali Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun

Kehebatan Maryam sebagai pemudi mithali adalah kerana dua faktor utama:

1. Maryam dilahirkan dari keturunan orang-orang yang soleh iaitu keluarga Imran. Firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui. (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)". (Ali Imran: 33-36)

2. Maryam seterusnya dididik pula oleh nabi Zakariya yang juga soleh. Firman Allah SWT: Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.(Ali Imran: 37). Hamka menyebut bahawa pendidik menjadi asas yang penting yang membentuk watak kanak-kanak yang membesar dengan katanya: Sehingga walaupun si anak lepas dari tangan kedua orang tuanya, sebab guru yang menyambutnya pun orang baik, maka pertumbuhan jiwa anak itu pun dalam keadaan baik pula.

Antara watak-watak maryam yang disebut dalam Al-Quran sebagai pedoman pemudi islam masa kini adalah;

1. Maryam disebut sebagai seorang wanita yang rajin beribadat. Firman Allah SWT: Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk (ali Imran: 43). Sudah menjadi suatu hakikat bahawa mereka yang kuat ibadahnya kerana Allah SWT akan dipeliharaNya dari perbuatan yang keji dan mungkar. Justeru tidak hairan bagi pengkaji watak maryam mendapati beliau merupakan seorang wanita muda yang kuat imannya dalam memelihara kehormatan diri.

2. Maryam sangat memelihara maruah kehormatan diri dan keluarga. Ini dibuktikan dengan sebuah ayat yang seharusnya menjadi azimat setiap pemudi yang ingin memelihara kehormatan diri dari gangguan lelaki yang berniat jahat: Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa (Maryam: 18). Syed Qutb menyebut: Maryam terkejut dan gementar (dengan kehadiran pemuda yang tidak dikenali di mihrab masjid), yang merupakan reaksi yang normal bagi wanita yang mulia kehormatannya. Reaksi segeranya adalah memohon perlindungan Allah SWT.

3. Ketinggian kesabaran maryam dalam menghadapi ujian kehamilan dan kelahiran nabi Isa patut menjadi contoh bagi mereka yang terlanjur disesatkan nafsu dan syaitan. Maryam mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap ketentuan tuhan. Firman Allah SWT: Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. "Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini". (Maryam: 24-26). Syed Qutb: Dia kini bersendirian, seorang wanita suci yang kesakitan hendak bersalin, tidak mengetahui cara berhadapan dengan situasi tersebut dan tiada sesiapa pun yang memberikan sokongan moral. Sehinggakan dia menangis: alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang , tetapi apabila dia sedar hakikat apa yang sedang berlaku, dia menjadi amat yakin yang Allah SWT tidak akan mengabaikannya dengan segala bukti yang telah nyata.

Saturday 22 January 2011

Rakaman Audio - Seminar 'Wanita Dari Kaca Mata Al-Quran'

Bahagian 1 - 'Kejahatan Wanita di dalam Kisah Al-Quran'
oleh: Adlan Abd. Aziz

klik di sini untuk muat turun.

*Terima kasih akhi Sharafuddin atas rakaman.

Friday 21 January 2011

Sekitar Seminar Mini 'Wanita dari kaca mata Al-Quran'









Kami mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan jazakumullahu khairan kepada AAN, IIS dan sahabat-sahabat yang telah hadir pada Seminar Mini ini. Juga terima kasih kpd Hj. Kamin dan bro Rahmat atas gambar-gambar ini.

Tuesday 11 January 2011


Al-AHKAM.NET

&

ISLAMIC INFORMATION & SERVICES FOUNDATION

&

PEMUDA IMAN


menganjurkan

MINI SEMINAR: 'Wanita Dari Kacamata Al-Quran'

Suatu Analisis


Ahli Panel

Ustaz Adlan Abd Aziz (Al-Ahkam.net)

Ustaz Mohd Syauqi Mohd Zahir (UIAM)


Khamis, 20 Januari 2011,

9:30 A.M to 3:00 P.M

(Cuti Thaipusam: Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak & Penang)


Tempat: IIS Hall, No 1-5-2, Prima Peninsula, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur

Program ini percuma.

Tempat adalah TERHAD!

Daftar di SINI

Sunday 9 January 2011

Kesungguhan Ulama Hadith Silam - Merantau Demi Ilmu


Bagi yang pernah membaca biodata dan kisah hidup para ulama hadith silam (seperti Imam al-Bukhari, Imam Ahmad dan lain-lain) pasti akan dapat melihat dengan jelas bagaimana para ulama hadith pada zaman itu dan sebelumnya malah selepasnya - begitu hebat dalam pengembaraan mencari ilmu.

Melihat kepada jarak, tempoh masa bertahun-tahun, kesusahan, kepayahan, harta dan tenaga yang mereka habiskan - kita hanya mampu menggelengkan kepala seakan tidak percaya bagaimana mereka mampu mengharunginya?

Terdapat pelbagai ungkapan dan kata-kata indah para ulama hadith dalam menggambarkan kehebatan pengembaraan menuntut dan mempelajari hadith, namun ada dua ungkapan yang sentiasa terngiang di minda saya sejak saya pertama kali membacanya bertahun yang lalu, iaitu kata-kata dua orang muhaddith terkemuka -

Sa'id Bin al-Musayyab (wafat 94H) dan Makhul al-Dimasyqi (wafat 112H)

1- Sa'id pernah menuturkan:

"Aku pernah merantau beberapa hari dan beberapa malam untuk mencari SATU hadith".

2- Makhul pula pernah berkata:

"Aku telah tawaf mengelilingi DUNIA untuk menuntut ilmu."

[Rujukan: Al-Rihlah Fi Talabi al-Hadith - al-Khatib al-Baghdadi]

*Hayatilah kesungguhan Sa'id Bin al-Musayyab sehingga beliau mengambil masa beberapa hari hanya untuk mencari SATU hadith! Sa'id Bin al-Musayyab merupakan ulama yang menghafaz dan menulis beratus ribu hadith, bayangkan tempoh masa dan kepayahan serta kesabaran beliau mencari hadith sehingga terkadang SATU hadith boleh memakan masa berhari-hari lamanya!

*Perhatikan dan renungkan perkataan 'DUNIA' yang diungkapkan oleh Makhul. Seakan kita merasai bagaimana Makhul bukannya bergurau, tetapi beliau sebenarnya tidak menemui perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan begitu luasnya dan jauhnya pengembaraan beliau melainkan hanya satu kalimah, hanya satu perkataan - DUNIA....seluas dunia!

- Berdoa dan berharaplah serta berusahalah untuk mencapai walau secebis kesabaran, kesungguhan dan kekuatan ulama hadith silam seumpama Makhul dan Sa'id.....pasti ia akan mengubah hidup kita selama-lamanya!!

Sunday 2 January 2011

Seminar - Sumbangan Syeikh Idris al-Marbawi

Seminar Mini :

Sumbangan Syeikh Idris al-Marbawi dalam perkembangan ilmu-ilmu Islam


Pembentang:

Ust. Mohd. Syauqi Mohd Zahir (UIAM)
Ust. Mohd. Anwaruddin Abd. Wahab (Bernama)
Ust. Adlan Abd Aziz (al-ahkam.net)

Pada:

Ahad, 9 Januari 2011 - bermula 9.00 pagi.

Tempat:

IIS Hall, No 1-5-2, Prima Peninsula (Atas Saba Islamic Media)
Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa
Kuala Lumpur, Malaysia

Pendaftaran PERCUMA dan tempat terhad - untuk daftar, klik di sini

Saturday 1 January 2011

Memasuki 2011 Dengan Keazaman Yang Lebih Jelas

Kita bukan hanya sekadar memerlukan azam yang 'baru', tetapi perancangan yang 'jelas' untuk terus memberi sumbangan dalam kehidupan.

Pemuda Iman mengharapkan daripada para pengunjung blog ini agar memperbaharui tekad dan keazaman untuk melakukan yang positif dan terbaik dalam hidup tetapi dengan tambahan satu unsur baru yang lebih berfokus dan bermakna - Matlamat yang jelas.

Dalam keterbatasan ruang yang kita miliki, pergunakanlah ia semaksimum mungkin. Jangan mengeluh dengan kesibukan sehingga kita tidak menggunakan kelapangan dan ruang yang berbaki.

Pemuda Iman menjemput para pembaca untuk terus mengikuti perkembangan blog yang tidak seberapa ini dan program-program ilmu yang kita akan adakan dari masa ke semasa.

Pemuda Iman mengharapkan tahun baru ini penuh dengan dakwah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan semangat yang terus membara untuk menyumbang ke arah kebaikan.

*Program terdekat ialah 2 Seminar Mini berkaitan 'Sumbangan Syeikh Idris al-Marbawi dalam perkembangan ilmu-ilmu Islam' pada Januari, dan juga 'Peranan wanita dalam kisah-kisah Al-Quran' pada Mac, insya Allah, doakan semuanya berjalan lancar.