Pages

Thursday 29 September 2011

Memperlekehkan 'Mazhab' - Fahaman Yang Merugikan!

Terkadang kita merasa hairan dengan sebahagian ilmuan yang sentiasa menggambarkan kepada masyarakat bahawa Islam itu 'mudah' lagi 'memudahkan' tapi dalam masa yang sama mereka 'menyusahkan' dan 'menyempitkan'. Memang ia menghairankan!

Saya bercakap tentang mereka yang sentiasa mengagungkan fatwa-fatwa keras dan tegas daripada sebahagian ulama yang digelar 'salafi'dengan alasan ia adalah 'ilmu' dan ia adalah 'kebenaran'. Sehingga ada di antara mereka itu yang memberi gambaran seolah mengikuti mazhab-mazhab fiqh yang terkemuka (Hanafi, Maliki, Syafii dan Hambali) adalah 'longgar' dan tidak 'ilmiah'. Menurut mereka kita perlu mengambil yang paling 'tepat' dan mesti mengikut Al-Quran dan Hadith!.

Rupanya mereka memang memandang 'lekeh' dan 'rendah' kepada orang-orang yang mengikut mazhab. Di sinilah puncanya mereka sering memberikan kata-kata yang pelik seolah menggambarkan satu persoalan - nak ikut dalil (Al-Quran dan Hadith) atau nak ikut mazhab? Sedangkan semua yang mempelajari sejarah perkembangan mazhab mengetahui bahawa mazhab terhasil dari perbincangan dan pemahaman Al-Quran dan Hadith! Tiada pertembungan! Tapi mereka ini - sebahagian penyeru dan pendakwa 'salafi' atau 'ahli hadith' memberikan kita gambaran yang lain. Sehingga ada di antara mereka yang sanggup menyebut bahawa "apabila Nabi Isa a.s. turun di akhir zaman nanti, Baginda akan berhukum dengan Al-Quran dan Hadith dan bukannya mazhab"!

Mengapa perlu seorang berilmu tertipu dengan gambaran ini? Jelas sekali yang terpedaya ialah kerana beberapa sebab:

1-Tidak mengkaji sejarah perkembangan mazhab-mazhab itu sendiri.Terdapat banyak buku tentang ini dan antara buku yang saya cadangkan ialah hasil karya Dr.Mustafa az-Zarqa'.

2-Tidak mempelajari kisah hidup dan biodata para imam mazhab - Imam Abu Hanifah (wafat 150H), Imam Malik Bin Anas (wafat 179H), Imam as-Syafie (wafat 204H) dan Imam Ahmad Bin Hanbal (wafat 241H). Terdapat banyak juga buku tentang biodata mereka.

3-Tidak menyelidiki bagaimana setiap perbezaan dalam mazhab ini terhasil dan bagaimana dalil-dalil Al-Quran dan Hadith dibincangkan untuk menghasilkan ijtihad tentang sesuatu hukum. Mungkin buku cadangan yang saya boleh sebutkan ialah : Bidayatul Mujtahid karya Ibnu Rusyd.

4-Membanyakkan rujukan dalam bidang fiqh. Kebanyakan yang berfikiran seolah mazhab ini tidak sama dengan fiqh Al-Quran dan Hadith adalah yang terpengaruh dengan bacaan terhad daripada mereka yang menggelarkan diri mereka 'Salafi'.

5-Membaca sejarah perbezaan pandangan dan asal-usul sesuatu fatwa. Terkadang kita dapati fatwa itu sudah pun disebut oleh sebahagian sahabat atau tabiin sebelum daripada imam-imam mazhab. Maka bagaimana ia dengan mudah ditolak begitu sahaja?

Marilah kita menghormati kedudukan 'mazhab' dan pengikutnya yang berilmu. Kita kembali meletakkan kajian ilmu sebagai penentu kebenaran, bukannya golongan tertentu atas nama tertentu.

wallahu a'lam

Tuesday 27 September 2011

Sunday 25 September 2011

Rakaman dan Nota Program 'Mengenali Asas Ilmu Hadith'

Berikut adalah nota dan juga rakaman bagi program 'Mengenali Asas Ilmu Hadith' yang telah diadakan di Masjid al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras (setinggi penghargaan kepada pihak masjid dan hadirin hadirat) pada 22 dan 23 Sept 2011.


PROGRAM : 'MENGENALI ASAS ILMU HADITH'

Disampaikan oleh:
Muhammad Anwaruddin Bin Abd. Wahab (Arab Service, BERNAMA)
Adlan Bin Abd. Aziz (pemudaiman.blogspot.com)

Tujuan:
1- Mendapat gambaran menyeluruh bagaimana kajian berkaitan Hadith berlaku sepanjang zaman.
2- Dengan gambaran yang menyeluruh, salah faham berkaitan Hadith dan kajiannya dapat dikurangkan.
3- Seterusnya ini akan membangkitkan rasa hormat kepada ulama Hadith silam yang telah membangunkan kaedah terbaik dalam memastikan Hadith terpelihara hingga ke hari ini.
4- Membuka jalan permulaan yang baik untuk sesiapa yang ingin mendalami lebih lanjut tentang ilmu ini dengan memberi cadangan-cadangan yang praktikal.

Kepentingan Memahami Istilah

1- Kegagalan memahami istilah-istilah khas berkaitan Ilmu Hadith akan menjejaskan kefahaman terhadapnya.
2- Istilah-istilah ini muncul sepanjang zaman mengikut keperluan dan situasi. Ada di antara istilah ini sudah lama muncul dan ada pula yang muncul selepas sesuatu peringkat masa.
3- Setiap istilah telah dihuraikan dan terdapat perbincangan yang amat mencukupi dalam buku-buku Mustolah Hadith atau Usul Hadith.
4- Cara terbaik ialah membuat perbandingan antara buku-buku Ilmu Hadith bagi menemui persamaan dan perbezaan antara istilah.

Sejarah Periwayatan dan Pembukuan Hadith

1- Kita perlu mengetahui tentang sejarah 'bagaimana Hadith dipelihara, ditulis, dijaga dan disampaikan sejak dahulu hingga kini'.
2- Juga kita perlu mengetahui tentang sejarah 'bagaimana ilmu tentang kajian hadith disusun, ditulis dan dihuraikan'.
3- Kesemua ini untuk memahami bagaimana kedua-kedua bahagian ini bermula dan berkembang. Ia akan mengajar kita pelbagai ilmu dan juga mendidik kita menghormati mereka.

Kaedah Menilai Kesahihan dan Kedhaifan Hadith

1- Setiap penilaian ulama Hadith silam adalah berasaskan kaedah-kaedah kajian yang amat terperinci yamg boleh ditemui dalam pelbagai buku berkaitan kajian hadith.
2- Setiap kaedah perlu difahami dengan baik kerana ia mempunyai perincian dan juga pengecualian tertentu.
3- Apabila mengaplikasikan sesuatu kaedah, ia perlu dibuat serentak atau seiring dengan melihat hasil kajian ulama hadith silam. Ini untuk mengelakkan kegopohan dalam menggunakan kaedah tanpa memahami bagaimana ia sebenarnya telah dipraktikkan dahulu.
4- Kajian mendalam dan menyeluruh adalah cara terbaik untuk memahami kaedah-kaedah ini sebelum ia digunakan.

Ilmu Menilai Periwayat Hadith – al-Jarh wa at-Ta'dil

1- Kepentingan mengetahui bagaimana ulama Hadith menilai periwayat-periwayat antara 'diterima' atau 'ditolak' dan sebagainya.
2- Apakah kaitan antara kaedah penilaian sahih/dhaif dengan ilmu penilaian periwayat?
3- Keperluan mengetahui cara berinteraksi dengan sumber-sumber al-Jarh wa at-Ta'dil agar tidak tersalah dalam menilai periwayat.

Disiplin Dalam Memahami Kandungan Hadith (Fiqh Hadith)

1- Ulama Hadith terdahulu tidak pernah mengabaikan aspek memahami kandungan hadith dan hukum yang ada di dalamnya.
2- Memahami disiplin yang telah digunakan akan membantu kita memahami mengapa sesuatu hadith itu diterima dan bagaimana ia digunakan sebagai dalil dalam hukum agama.


UNTUK RAKAMAN AUDIO DAN VIDEO PROGRAM SILA KLIK PAUTAN DI BAWAH:

1- AUDIO - KLIK DI SINI

2- VIDEO - KLIK DI SINI

(Terima kasih kpd yang sudi membuat rakaman dan memuatkannya untuk faedah semua khasnya akhi Saiful Iskandar, akhi Amri dan akhi Zubair)

Wednesday 21 September 2011

Program 'Mengenali Asas Ilmu Hadith' - Jemput Hadir!

Program 'Mengenali Asas Ilmu Hadith' - 2 siri

Penyampai: Ust. Muhammad Anwaruddin Bin Abd. Wahab (BERNAMA Arab Service)
Ust. Adlan Abd. Aziz (Pemuda Iman)

Tarikh: 22 dan 23 Sept (Khamis dan Jumaat)

Masa : Selepas Solat Isyak

Tempat: Masjid al-Mukhlisin, Alama Damai, Cheras

Program adalah PERCUMA

'..Program yang akan memberikan gambaran tentang asas dalam kajian Ilmu Hadith dan bagaimana ia berlaku sejak dahulu hingga kini, sesuai untuk semua peringkat Insya Allah...'

Setinggi Penghargaan kepada pihak masjid dan semua yang menjayakan..

Monday 19 September 2011

Apa Inti Perbualan Harian Anda?

Itu antara cara mengukur sejauh mana berkualiti atau tidak masa yang kita habiskan dengan berbual. Setiap manusia perlu teman untuk berbual - ibu bapa, anak isteri, rakan-rakan - kerana perbualan merupakan satu bentuk perkongsian dan tanpa perkongsian hidup tidak bermakna.

Namun seorang manusia berakal seharusnya sedar bahawa apa yang dibualkan itu memakan masa dan tenaganya. Apakah berbaloi kita habiskan masa dan tenaga berbual semata-mata perkara yang kosong atau faedahnya sedikit? Kalau kita menyedari bahawa perbualan seharian kita merupakan penggunaan masa dan tenaga serta idea dan fikiran, mungkin kita akan lebih berfikir tentang inti perbualan itu - adakah ia berfaedah? Mungkin ia perbualan berbentuk gurauan tapi berfaedah. Contohnya gurauan antara keluarga dan rakan-rakan yang mana ia boleh mengeratkan lagi hubungan dan meredakan kegelisahan serta mengukirkan senyuman. Ia berfaedah jika dilihat secara mendalam.

Tapi jika gurauan itu tiada tujuan melainkan mengata atau bercakap perkara tak senonoh, adakah ia boleh kita anggap berfaedah?

Pertama - lihat apa yang kita bualkan.
Kedua - lihat masa yang kita gunakan untuk perbualan itu, adakah terlalu lama?
Ketiga - lihat pula apakah hasil positif dari perbualan itu.

Kesemuanya ini perlu dilihat dan direnung bersama terutama bagi mereka yang banyak berbual di kedai-kedai kopi malah juga di masjid atau surau.

Pada hakikatnya, kandungan perbualan kita itulah yang akan mempengaruhi perkara utama dalam hidup kita - semangat untuk melakukan kebaikan, ilmu pengetahuan yang bertambah dan berterusan, amalan baik yang konsisten dan sebagainya.

Maka renungkanlah perbualan harian anda, maka itulah sebenarnya diri anda walaupun anda membuat pelbagai dakwaan bahawa anda ialah orang itu dan orang ini....bla bla bla...

wallahu a'lam

Wednesday 14 September 2011

Ramai Lulusan Agama Tapi Di Mana Mereka?

Keluhan yang saya coretkan di sini bukan datangnya dari saya malah ia adalah luahan ramai kenalan yang cintakan ilmu, berjiwa dakwah dan prihatin terhadap penyebaran nas dan maksud dari Al-Quran, Hadith dan mutiara kata para ulama. Mereka sering bertanya di mana para lulusan agama yang saban tahun dihasilkan oleh pusat pengajian ilmu di dalam dan luar negara?

Pertanyaan mereka bukanlah bermaksud para lulusan agama ini bersembunyi sehingga tidak ditemui. Tapi pertanyaan ini timbul kerana sebahagian lulusan agama 'hilang' dalam erti kata mereka tidak menyumbang ke arah ilmu dan dakwah. Bertahun mereka dilatih dan diberikan ilmu semasa alam pengajian tetapi persoalannya adakah ilmu yang diperolehi itu untuk diri sendiri semata? Atau ilmu itu adalah milik bersama seluruh umat dan mereka hanyalah pemegang amanah?

Sebahagian lulusan agama tidak menyumbang dalam kadar yang mencukupi untuk menyebarkan ilmu atau dakwah dalam masyarakat, malah ada sebahagian lagi yang langsung tidak menyumbang! Lebih menyedihkan lagi ada lulusan agama yang mengelak dan menolak apabila masyarakat inginkan mereka menyumbang! Pelbagai alasan diberikan.

Ada yang memberi alasan - belum bersedia, sibuk, ada orang lain yang lebih pandai dan macam-macam lagi alasan biasa dan luar biasa! Apa pun alasannya hasilnya adalah satu - tidak membantu dan tidak menyumbang!

Adakah maksud sumbangan terhadap ilmu hanya dengan berkuliah atau ceramah? Sudah pasti tidak. Dalam alam yang makin berkembang dan maju, sudah pasti ada pelbagai cara untuk para lulusan agama memberikan sumbangan. Ada yang berkuliah dan ada yang menulis. Ada yang menulis dalam bentuk buku, artikel dan ada juga yang menulis dalam alam siber. Ada yang menyumbang di depan dan ada juga yang memberikan sumbangan di balik tabir. Ada yang memilih bidang tertentu dan ada pula yang menceburi pelbagai bidang dalam satu masa. Mengapa terlalu banyak alasan dan terlalu mudah mengelak dan mengundurkan diri?

Saya kerap bertemu dengan sebahagian lulusan agama yang sering menuturkan bahasa yang hampir sama : Semua orang boleh menyumbang kecuali dirinya! Saya amat hairan dengan sikap sebegini negatif daripada mereka yang mempelajari Al-Quran dan Hadith yang mengajar kita agar berfikiran proaktif dan positif!

Ada yang memberi alasan tidak cukup ilmu sedangkan ilmu itu luas. Tidak mungkin ada manusia yang mengetahui kesemuanya! Kalau benar ilmu belum cukup, apakah orang sebegini berusaha memperbaikinya? Kalau pun ilmunya sedikit, apakah ilmu yang sedikit itu perlu disimpan dan tidak dikongsi? Semuanya alasan dan alasan.

Antara alasan yang paling pelik (bagi saya) ialah - sibuk dan tak ada masa. Saya terfikir:

-adakah ini alasan yang benar atau alasan yang direka? Perlu ada kejujuran.

-mereka ada banyak masa untuk perkara lain - membeli belah, bersenam, memancing, bersukan, berbual, melepak di kedai kopi, tidur berjam-jam, menonton tv siang dan malam, tengok dvd, ber 'facebook' (tanpa berdakwah) dan pelbagai lagi aktiviti. . . sempat dan ada masa?

Saya ingin lontarkan pertanyaan kepada sebahagian lulusan agama yang tidak atau kurang menyumbang untuk ilmu dan dakwah sebagai mengakhiri tulisan ini:

'adakah ini hasilnya setelah bertahun anda mempelajari tentang ilmu dan ulama?'

Thursday 8 September 2011

ANAK SOLEH DALAM AL-QURAN

Menjadi naluri fitrah setiap pasangan suami isteri menginginkan kehadiran anak dalam hidup mereka sebagai pengikat kasih sayang dan penyambung zuriat keturunan masing-masing. Namun dalam Islam, anak bukan sekadar untuk dibangga-banggakan atau untuk menyambung keturunan. Pandangan Islam terhadap anak ialah:

1. Anak merupakan amanah Allah SWT kepada setiap ibubapa untuk dibentuk dan dididik menjadi hambaNya yang bertaqwa kepada Allah dan berbakti pada masyarakat. Sabda Nabi SAW:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibubapanya yang akan menjadikannya yahudi, nasrani dan majusi (Muttafaq ‘alaih)

2. Anak adalah penyambung amalan soleh ibubapa selepas kematian. Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Apabila mati seorang manusia, terputus darinya kemampuannya beramal melainkan 3 perkara: kecuali dari sedeqah Jariah, atau ilmunya yang orang lain mendapat manfaat dengannya, atau anak soleh yang mendoakannya. (Muslim)

Maka, kedua-dua asas yang tersebut menjelaskan kepada setiap muslim supaya menjadikan anak yang diangerah Allah SWT sebagai anak yang soleh.

TUNTUTAN
Al-Quran menuntut ibubapa agar berusaha mejadikan anak-anak mereka soleh. Tuntutan ini bukan berbentuk pilihan. Tetapi tugas ini merupakan kewajipan setiap ibubapa yang diberi anak untuk dijaga. Dan kewajipan ini akan disoal oleh Allah SWT diakhirat kelak. Ancaman Allah SWT amat keras buat ibubapa yang tidak melunaskan kewajipan tersebut. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan (66:6 )

SIFAT
Anak soleh menurut perspektif Islam bukanlah diukur dari segi kehebatan pencapaian akademik atau karier profesion apabila mereka bekerja. Islam meletakkan penilaian anak soleh pada 2 asas utama:

1. Hablun Minallah (Hubungan dengan Allah SWT)
2. Hablun Minannas (Hubungan sesama manusia)


Asas penilaian tersebut dapat dilihat kepada nasihat-nasihat Luqman kepada anaknya yang terkandung dalam surah 31:13-19. Melalui nasihat Luqman itu, Al-Quran memberi petunjuk mengenai watak-watak atau sifat-sifat anak soleh yang diiktiraf Islam. Sifat-sifat tersebut adalah:

1. Menjauhi segala bentuk syirik dalam hidup dan mentauhidkanNya dalam setiap amalan.

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

2. Berlaku baik dan Ihsan terhadap kedua ibubapa walaupun mereka mengajak mensyirikkanNya.

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ وَإِن جَاهَدَاكَ عَلى أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

3. Berhati-hati dalam setiap perbuatan luaran (mulut dan anggota badan) dan dalaman (hati) agar tidak melanggar Syariat kerana meyakini yang setiap perbuatan akan dinilai dan dibalas Allah SWT yang Maha Mengetahui.

يَا بُنَيَّ إِنَّهَا إِن تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ فَتَكُن فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ أَوْ فِي الْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

4. Istiqamah dalam menunaikan solat, bertanggungjawab melakukan kerja dakwah dan sabar dalam setiap dugaan dan cabaran yang menimpanya.
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

5. Tawadhu’ dalam perbuatan dan percakapan.

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai"

Dalam surah al-Isra’ pula, sifat anak soleh dikhususkan lagi dalam hal hubungan dengan ibubapa. Mereka disifatkan amat sopan bercakap dengan ibubapa mereka dan sentiasa mendoakan keampunan buat keduanya. Oleh yang demikian, dalam hubungannya sesama manusia, kedudukan ibubapa perlu diutamakan selepas hubungannya dengan Allah SWT. Justeru, dalam Islam, seseorang itu belum dianggap sebagai anak soleh sekiranya hubungan mereka dengan ibubapa bermasalah walaupun dalam hal hubungan sesama manusia lain, amat baik pula akhlaknya. Firman Allah SWT:
وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." 17:23-24

KESAN
Impak kehadiran anak soleh dalam sesebuah keluarga muslim bukan akan dirasai di akhirat kelak, tetapi akan terlebih dahulu dirasai di dunia ini. Ibubapa akan merasai kegembiraan, ketenteraman, kesenangan hati dan jauh dari kesedihan dan kesusahan hidup dunia. Perasaan kegembiraan wujud kerana melihatkan anak mereka menjadi hambaNya yang taat dan berpegang teguh dengan prinsip agama. HambaNya yang begitu sifatnya tidak akan menyusahkan orang sekelilingnya lebih-lebih lagi terhadap kedua ibubapanya. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa(25:74)

Wallahu’alam
JADILAH GOLONGAN MESRA AL-QURAN

Tuesday 6 September 2011

Buku Teman Sejati

Saya masih teringat ketika mengikuti kuliah Syeikh Syuaib al-Arnaouth, beliau tiba-tiba mengungkapkan kata-kata yang begitu bermakna tentang 'buku'. Antara katanya ialah - jadikanlah buku sebagai teman. Buku tidak akan jemu walau engkau menatapnya berkali-kali. Di usia muda, ramai manusia di sekelilingku, tapi kini apabila tua, bukulah teman di kala sunyi ketika ramai telah meninggalkanku.

Saya tidak akan pernah lupa luahan hati beliau kerana ia amat tepat menggambarkan bagaimanakah buku merupakan.teman yang sejati untuk kita. Manusia akan jemu, manusia akan sibuk, manusia sering meminta balasan, manusia sukar bersabar, manusia memberi pelbagai alasan. . . . Tapi 'buku'? Dialah teman sejati!

ULUL AL-BAB DALAM AL-QURAN

Ulul Al-Bab merupakan sekumpulan manusia yang mendapat kemuliaan dan pengiktirafan tinggi dari Allah SWT. Ulul al-Bab bermaksud orang-orang yang beraqal. Aqal merupakan antara anugerah terbesar Allah SWT kepada manusia. Makhluq ciptaan Allah selain manusia tidak menerima anugerah ini. Pemilihan manusia melalui Nabi Adam A.S sebagai Khalifatullah di muka bumi ini juga adalah kerana aqal yang diberiNya kepada manusia. Justeru, manusia perlu mensyukuri anugerah pemberianNya ini dengan memahami metod dan cara menggunakannya dengan betul. Selain itu, pengiktirafan yang diberikan Allah SWT kepada mereka turut mengajar kita agar:

1. Berusaha mencontohi sifat yang dimiliki mereka.
2. Kerap mendampingi mereka untuk mendapat faedah dunia dan akhirat


PENGIKTIRAFAN
Ulul al-Bab merupakan antara golongan hamba-hambaNya yang dianggap berjaya (Muflihun) dan mendapat Hidayah Allah SWT kerana kejayaan mereka menggunakan aqal menurut kehendakNya. Menurut kehendakNya bermaksud, aqal tersebut digunakan untuk mencapai Taqwa kepada Allah SWT. Oleh itu, manusia yang tidak menggunakan aqal menurut kehendakNya dianggap gagal dan sesat (Dhallun) walaupun mereka mempunyai ilmu yang tinggi berbanding orang lain. Ini berdasarkan 2 Firman Allah SWT: Al-Ma'idah 5:100 dan Az-Zumar 39:18

قُل لاَّ يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُواْ اللّهَ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna

SIFAT
Menelusuri ayat-ayat al-Quran yang membicarakan perihal golongan Ulul al-Bab dapat disimpulkan bahawa mereka mempunyai 3 sifat utama:

1. Tazakkur (banyak mengingati Allah SWT). Berbanding dua sifat yang lain bagi Ulul Al-Bab, sifat tazakkur merupakan sifat terbanyak disebut Allah SWT buat mereka. Dapat difahami iaitu, orang yang bijak adalah orang yang banyak mengingati dan bergantung harap pada Allah SWT. Zikrullah boleh ditafsirkan sebagai banyak beribadah dan berdoa kepadaNya untuk mencapai Taqwa.

2. Tadabbur (banyak merenung Ayat-ayat Al-Quraniyyah). Ulul Al-Bab bukan sekadar mereka yang rajin mengkhatam Al-Quran, tetapi turut berusaha memahami mesej yang disampaikan al-Quran kepada mereka. Kisah- kisah Quraniyah diambil pengajaran. Hukum-hukumnya pula ditaati.

3. Tafakkur (banyak memikirkan ciptaan Allah SWT). Makhluq ciptaan Allah SWT yang ada disekeliling menjadikan mereka rajin mengkaji dan mendalami ilmu yang berkaitan makhluq tersebut untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan bukan untuk menambah ilmu semata.

Antara dalil yang membincangkan sifat-sifat ini adalah: 38:29, 3:190-194

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلإِيمَانِ أَنْ آمِنُواْ بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الأبْرَارِ رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَى رُسُلِكَ وَلاَ تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لاَ تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji"

Wallahu’alam
JADILAH GOLONGAN MESRA AL-QURAN

Monday 5 September 2011

MUNAFIQ DALAM AL-QURAN

Bagi golongan yang Mesra al-Quran, mereka akan mendapati bahawa Allah SWT banyak membincangkan tentang golongan manusia yang digelar Munafiq. Fokus terhadap golongan ini terbukti apabila terdapat surah khusus iaitu surah Al-Munafiqun di dalam Al-Quran. Bahkan di awal surah al-Baqarah, Allah SWT memperuntukkan 8 ayat beserta 2 perumpamaan khusus tentang golongan terlaknat ini berbanding ayat-ayat tentang golongan al-Muttaqun (3 ayat sahaja) dan Kuffar (2 ayat sahaja). Apatah lagi hadith-hadith nabawi juga banyak menceritakan perihal golongan ini. Semua ini mengajar kita agar:

1. Sedar bahawa golongan ini wujud sepanjang zaman dalam berbagai nama namun berkongsi perangai yang sama.
2. Bersikap waspada apabila berhadapan dengan golongan terlaknat ini
3. Menjauhi perangai terkutuk mereka kerana ancaman dahsyat Allah SWT yang menanti manusia yang mencontohinya.


SIFAT
Sekadar mengambil 2 ayat dari al-Quran untuk panduan kita bersama mengenal perangai Al-Munafiqun:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُواْ إِلَى الصَّلاَةِ قَامُواْ كُسَالَى يُرَآؤُونَ النَّاسَ وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ قَلِيلاً
(AL-NISA:142)
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُواْ اللّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
(AL-TAWBAH:67)
Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.

Berdasarkan 2 ayat di atas, dapat difahami 6 sifat utama kepada Munafiqun adalah:

1. Penipu Besar
2. Malas Beribadah
3. Tidak Ikhlas Beramal
4. Kurang Zikrullah (mengingati Allah SWT)
5. Tidak Menunaikan Tugas Berdakwah
6. Kedekut Dalam Berinfaq


HUKUMAN
Manakala hukuman Allah SWT terhadap golongan ini adalah 2 iaitu:

1. Laknat Dari Allah SWT (Jauh dari RahmatNya)
2. Kekal Dalam Azab Neraka Yang Paling Bawah (Terhina)


Berdasarkan 2 ayat Allah SWT iaitu:

وَعَدَ الله الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا هِيَ حَسْبُهُمْ وَلَعَنَهُمُ اللّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّقِيمٌ
(AL-TAWBAH:68)
Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka; dan Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal.

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
(AL-NISA:145)
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

Wallahu’alam
JADILAH GOLONGAN MESRA AL-QURAN

Saturday 3 September 2011

Seminar Mini : Alam Rumahtangga

'Alam Rumahtangga Menurut Perspektif Surah At-Tahrim'

* Ahad - 11 September 2011 - Bermula 8.30 pagi

* IIS, Saba Islamic Media, Setiawangsa, KL

Bersama :

Ust. Tuan Mohd. Azreen Azhar

Ust. Syed Syahridzan

Ust. Adlan Abd. Aziz

Daftar Segera di - attahrim.eventbrite.com - PERCUMA!

Friday 2 September 2011

Wara' atau Wara'dun?

Kita kerap bertemu segolongan yg 'wara',- khusyuk dlm ibadahnya, tekun dgn zikirnya, istiqamah menghadiri kuliah, murah hati dgn sedekah, umrah haji silih berganti, kopiah dan jubah pakaian harian...tetapi

Orang yang sama - bengis dgn isteri sepanjang masa, kasar dgn anak-anak, bersangka buruk kpd semua manusia, tiada tolak ansur, memandang rendah kpd org lain, tidak menghargai...

wara' atau wara'dun?

Org begini sudah amat baik tetapi kebaikan mereka lebih kpd diri sendiri, tidak kpd org lain. Sedangkan Rasulullah s.a.w. dilantik sbg 'rahmat' untuk seluruh alam dan kesemua alam, bukan hanya kpd manusia! Maka sepatutnya umat Rasul pembawa rahmat - belas kasihan dan kasih syg - merenung kembali adakah mereka menjadi pewaris sebenar atau hanya membawa perkataan 'umat' tetapi tidak membawa perkataan 'Rasul'?

Wara', atau Wara'dun?

Kita kerap bertemu segolongan 'hamba'- khusyuk dlm ibadahnya, tekun dgn zikirnya, istiqamah menghadiri kuliah, murah hati dgn sedekah, umrah haji silih berganti, kopiah dan jubah pakaian harian...tetapi

Thursday 1 September 2011

Menghayati Doa: Sebelum, Semasa atau Selepas?

Jika ditanya kepada setiap muslim mengapa dirinya berdoa, pasti jawapannya ialah kerana inginkan sesuatu yang baik sama ada umtuk keduniaan atau keagamaan. Namun adakah dalam kalangan pembaca tulisan ini akan bersetuju jika saya katakan bahawa kita sebenarnya lupa kepada 'tujuan' kita berdoa semasa kita sedang melafazkan doa?

Adakah wujud penghayatan semasa berdoa?

Ya, kita - termasuk penulis - mudah mengungkapkan penghayatan doa tetapi bila? Biasanya penghayatan kita berlaku 'sebelum' dan 'selepas' berdoa. Sedangkan ia sepatutnya berlaku 'semasa' doa dilafazkan. Puncanya?

Ada antara yang berdoa tetapi tidak memahami apa yang sebenarnya diminta kerana sekadar membaca doa dalam Bahasa Arab.

Ada pula memahaminya tetapi had kelajuan doa yang tinggi menyebabkan diri tidak sempat merenung dengan mendalam apa yang dilafazkan.

Ada yang berdoa sekadar sebagai rutin tetap dan seolah anggota badannya berkata: 'sekurangnya aku doa jugak, lebih baik dari tak doa'.

Ada pula yang hatinya tidak sepenuhnya berdoa kerana ditakdirkan hidupnya dilimpahi nikmat dan tidak merasa terancam atau takut.

dan macam-macam lagi keadaan dan situasi yang menjadi penyebab hilangnya fokus 'semasa' berdoa.

Sedangkan pada hakikatnya:

- Setiap doa yang disebut dalam Al-Quran mengandungi penghayatan dan luahan hati sebenar diri yang berdoa - penuh dengan perasaan dan harapan.

- Setiap doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. penuh dengan kejujuran dan rintihan.

Mari kita renungkan kembali diri kita dan doa. Adakah penghayatan itu ada dan kena pada masanya?