Pages

Monday 19 April 2010

MUTIARA WAHYU 12 KELDAI BERSUARA

Firman Allah SWT:

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".(Surah Luqman; 31: 19)

Tafsiran ringkas:
Ayat ini merupakan untaian wasiat seorang hamba Allah yang dianugerahkan kepadanya Hikmah oleh Allah SWT, bernama Luqman Al-Hakim kepada anak kesayangannya. Banyak ulama membincangkan tentang siapa Luqman ini. Namun yang lebih besar kepentingannya ialah memahami wasiat-wasiatnya yang bernilai. Wasiatnya dalam surah ini hanyalah 7 perkara. Namun tersimpan di dalamnya ilmu pendidikan dan psikologi dalam mendidik anak-anak yang tidak akan berubah selamanya. Dalam wasiatnya yang terakhir ini, Luqman menasihati anaknya agar perelokkanlah cara berjalan dengan tidak terlampau cepat atau terlampau perlahan dan memperelokkan suara dengan tidak terjerit-jerit atau meninggikan suara tanpa sebab kerana perbuatan itu seumpama suara keldai yang amat buruk suaranya.

Ulasan:
1) Perkataan “al-Sawt” (suara) hanya disebut sebanyak 6 kali di dalam Al-Quran iaitu dalam Surah Luqman dan Surah Al-Hujurat disebut sebanyak dua kali, manakala dalam Surah Al-Isra’ dan Surah Taha pula hanya sekali sahaja. Yang menariknya dalam Surah Al-Hujurat dan dan Luqman konteks perbincangan ayat adalah sama iaitu dalam Surah Luqman, kita disuruh merendahkan suara ketika berbicara sesama kita, supaya manusia dihormati dan bukan menjadi seperti suara keldai. Manakala dalam Surah Al-Hujurat, para sahabat (termasuk semua muslimin) diarah agar jangan meninggikan suara di hadapan Rasulullah SAW kerana dianggap tidak beradab bersama kekasih Allah. Maksudnya perbuatan meninggikan suara, menjerit tak tentu pasal ketika bercakap, mudah menengking ketika memberi arahan bukan ajaran Islam. Justeru Islam menganjurkan agar diperelokkan suara ketika bercakap. Sesuai dengan firman Allah SWT: Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. (al-Furqan: 63). Ditambah pula dengan definisi hakikat seorang yang digelar muslim oleh Rasulullah SAW : “Orang Islam ialah mereka yang menyelamatkan muslim yang lain dari (kejahatan) lidahnya dan tangannya”. Tetapi bukan pula Islam menyuruh kita bercakap terlampau perlahan sehingga menyusahkan pendengar. Bercakap biar jelas dan bukan jerit. Ada beza antara jelas dan jerit. Oleh itu, Al-Quran amat menitik beratkan cara penggunaan suara dan juga kata-kata ketika berinteraksi sesama kita.

2) Tujuan Islam menuntut kita memperelokkan suara ialah kerana intonasi suara yang baik boleh mempengaruhi bentuk perhubungan sesama manusia. Cuba bayangkan jika seseorang datang berjumpa dengan kita dan dengan suara yang tinggi dan keras bercakap dengan kita sehingga orang sekeliling memandang kita apa perasaan kita pada ketika itu. Sudah tentu kita berasa kurang senang dan malu. Begitu juga perasaan orang lain jika kita menegur dengan intonasi suara yang sebegitu. Suara yang lunak didengar akan mendamaikan orang lain. Sebab itu Rasulullah SAW menganjurkan kita agar berlagu ketika membaca Al-Quran. Intonasi suara yang lembut juga memudahkan kerja dakwah dalam Islam. hati akan mudah tersentuh. Seseorang akan lebih mudah patuh jika cara intonasi suara dalam berdakwah berjaya menyentuh hati seseorang itu. Teringat kepada wasiat ketujuh al-Syahid Imam Hassan al-Banna rahimahullah dari sepuluh wasiatnya yang menjadi pegangan para pendakwah Islam selepasnya. Beliau menegaskan: Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang. Renunglah diri kita wahai para sahabat. Bagaimana suara kita ketika bercakap dengan ibubapa, guru-guru, anak-anak, dan para sahabat kita. Bukankah kadang-kadang kita terjerit-jerit, tengking menengking ketika berhadapan dengan mereka seolah-olah hebatnya kita berbanding orang lain. Sesungguhnya salah satu tanda takabburnya seseorang itu ialah dia suka meninggikan suara ketika bercakap. Sebab itu Imam Al-Qurtubi memberi pemahaman umum kepada ayat ini iaitu bersifat tawadhu’ ketika berjalan dan bersuara.

3) Suara keldai dipilih bagi menggambarkan betapa hinanya suara seseorang yang meninggikan suaranya. Sudah menjadi amalan arab jahiliyah menurut Imam Al-Qurtubi rahimahullah dalam tafsirnya bahawa mereka sangat berbangga dengan suara yang kuat. Suara yang kuat melambangkan kehebatan (‘izzah) manakala suara perlahan melambangkan kehinaan (azal). Jadi Allah SWT menghina mereka dengan ditamsilkan suara yang keras itu dengan suara keldai. Ibn Jawzi dalam tafsirnya menukilkan kata-kata Abu Zaid yang menyatakan bahawa: Sekiranya meninggikan suara itu ada kebaikan nescaya tidak akan dijadikan suara keras itu bagi keldai-keldai. Memang kalau kita tengok keldai suaranya selalu keras dan tinggi. Kita sendiri kekadang geli hati mendengarnya. Terdapat hadith sahih yang dinukil oleh Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya yang bermaksud: Jika kamu terdengar suara keldai maka mohonlah perlindungan kepada Allah SWT daripada (kejahatan) syaitan kerana sesungguhnya keldai itu telah melihat syaitan.

Maka, terpulanglah kepada sahabat sekalian.

Hendakkah kita digelar oleh Allah SWT sebagai keldai bersuara?
'Auzibillahiminassyaitannirrajiim....

Thursday 8 April 2010

MUTIARA WAHYU 11: ANAK DAN ISTERI MENJADI MUSUH

Firman Allah Ta’ala: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (At-Taghabun: 14)

1. Hati rasa bahagia dengan kehadiran isteri dan anak-anak dalam kehidupan. Apabila seseorang lelaki melangsungkan perkahwinan, terasa berbunganya hati dengan kehadiran seorang wanita yang dipanggil isteri. Dicintainya dan disayanginya sepenuh hati. Apabila sudah beristeri semestinya diri menginginkan kehadiran anak-anak dalam kehidupan berumahtangga. Dijaganya isteri yang mengandung 9 bulan. Lahirnya seorang anak disambut dengan penuh kegembiraan dan kebanggaan. Anak ditatang bagaikan minyak yang penuh. Disayangi dan dikasihi sepenuh jiwa dan raga. Inilah fitrah seorang manusia. Firman Allah SWT: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Ali-‘Imran:14)

2. Namun, Al-Quran mengingatkan manusia, terdapat sebahagian (bukan keseluruhan) kaum isteri dan anak-anak yang boleh menjadi musuh dalam kehidupan. Musuh di sini bukan bermaksud musuh untuk diperangi tetapi musuh yang mengganggu ketaatan manusia kepada Allah SWT, menjadi penghalang manusia menuju Allah SWT. Contohnya, seorang ayah terlampau terikat dengan keluarga dek sayangnya kepada anak dan isteri sehingga enggan bermasyarakat, berjemaah dan berkuliah di masjid atau disurau. Berapa ramainya lelaki seperti ini masa kini. Sayang tidak bertempat. Zalim dalam berkasih sayang. Al-Quran merekodkan kisah isteri Nabi Lut A.S dan anak Nabi Nuh A.S yang enggan mentaati perintah Allah dan hampir mempengaruhi kedua Nabi Allah tersebut. Sehingga Allah berfirman kepada nabi Nuh: Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya". Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".(Hud:45-46)

3. Musuh ini perlu diawasi bukan diperangi. Diawasi agar tidak menghalang dalam beramal salih. Tetapi jangan pula diawasi dengan bersifat terlalu keras terhadap mereka. Bimbinglah mereka dengan 3 perkara: maafkanlah mereka (ta’fuw), berlapang dada dengan mereka (tasfahu) dan mohonlah keampunan bagi mereka (taghfiru). Justeru kita dianjurkan berdoa : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqan:74). Imam Ibn Kathir menafsirkan kalimah “qurrata a’yun” iaitu “yang mentaati perintah Allah”. Isteri dan anak-anak yang mentaati Allah SWT. Persoalannya sekarang berapa ramai ketua keluarga masa sekarang yang begitu prihatin dengan ‘level’ ketaatan ahli keluarganya kepada Allah Ta’ala?
Renung-renungkanlah…

Saturday 3 April 2010

CSI #9 - Pelukan Mengubah Kehidupan!


Pada suatu malam..Rasulullah SAW sedang tidur di rumah salah seorang isterinya, Maimunah. Ketika itu sepupunya yang juga seorang sahabat yang terkenal - Ibnu Abbas - juga tidur di rumah yang sama. Berada pada usia yang masih muda tidak menghalang Ibnu Abbas untuk melakukan jasa kepada Nabi yang tercinta. Lalu ketika Rasulullah SAW tidur, Ibnu Abbas bangun menyediakan air di dalam sebuah bekas khas untuk Rasulullah SAW berwudhu' apabila Baginda bangun nanti.

Rasulullah SAW terjaga di pertengahan malam. Baginda mengesat matanya buat menghilangkan rasa mengantuk. Tiba-tiba didapati bekas air untuk Baginda berwudhu' telah pun tersedia. Baginda mengajukan pertanyaan...'siapa yang sediakan air ini?'.Ketika itu isterinya Maimunah memberitahu bahawa Ibnu Abbas yang meletakkan air itu. Maka Baginda datang kepada Ibnu Abbas - yang juga terjaga pada waktu itu - lalu Baginda meletakkan tangannya di bahu Ibnu Abbas lalu memeluk erat anak kecil itu. Lalu terucaplah di bibir mulia Baginda Rasulullah SAW:

اللهم علمه الكتاب...اللهم فقهه في الدين

'ya Allah, ajarkanlah kepadanya maksud Al-Quran...ya Allah, jadikanlah dia faqih dalam urusan agama'...

[kisah dan hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad no.3087, al-Bukhari no.143 dan Muslim no.6523]

Mungkin sejak sekian lama kita telah pun mendengar dan membaca doa yang diucapkan oleh Nabi SAW seperti di atas. Begitu juga dengan saya yang sudah lama mengetahui maklumat tentang doa ini. Ia merupakan satu doa yang amat mendalam dan bermakna. Ia menghimpunkan kebaikan di dunia dan di akhirat. Tetapi...

Apa yang lebih memberi kesan kepada saya ialah pelukan Rasulullah SAW. Alangkah bahagianya Ibnu Abbas ketika dipeluk dengan erat oleh insan mulia, manusia terbaik, kekasih Allah! Ia nikmat yang hanya diketahui oleh yang merasainya!

Begitu juga kita melihat bagaimana Rasulullah SAW begitu memahami kehendak seorang anak kecil. Baginda tidak mengucapkan 'terima kasih' atau apa-apa penghargaan yang biasa kita temui dari kebanyakan manusia lain. Nabi SAW memilih untuk memberikan 'pelukan' sebagai satu bentuk 'penghargaan' kepada Ibnu Abbas.

Juga boleh kita fikirkan bersama...adakah sumbangan Ibnu Abbas dalam menyediakan air wudhu' itu sesuatu yang terlalu besar? Sudah pasti ia amat kecil di mata kita. Namun walaupun ia kecil, Nabi SAW tetap memberikan penghargaan terhadap keikhlasan dan kasih Ibnu Abbas...

Pasti itulah peristiwa yang tidak pernah dilupakan oleh Ibnu Abbas sepanjang hayat beliau...

Semua penuntut ilmu tahu betapa besarnya jasa Ibnu Abbas dalam memberi kefahaman tentang Al-Quran. Sekarang kita sudah tahu dari mana semuanya itu bermula...

Ya Allah..selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW...

Ya Allah..saksikanlah kami meredhai dan menyayangi sahabat Rasulullah SAW...

Pelukan yang mengubah kehidupan....