Pages

Showing posts with label Hasan al-Banna. Show all posts
Showing posts with label Hasan al-Banna. Show all posts

Thursday, 10 December 2009

Menara Minda #4 - Fenomena Tariq Ramadan

Pada tahun 2006, ketika saya membelek-belek majalah Time, pandangan saya tertarik melihat nama Profesor Tariq Ramadan yang tersenarai dalam Time 100 Most Influential Innovators Year 2006. Sejauh mana kredibiliti sang Profesor ini yang menempatkan dirinya di kalangan tokoh terkemuka dunia melalui majalah “heavyweight” Amerika Syarikat ini sesungguhnya menarik minat saya. Selalunya, media-media AS akan hanya meraikan sebarang “Muslim” yang sanggup mencerca Al Quran dan Rasulullah SAW seperti Salman Rushdie di UK dan Ayaan Hirsi Ali di Belanda. Walau bagaimana pun, lantaran kekangan akademik ketika itu, hasrat untuk menyelidik tuan punya nama ini terbantut begitu sahaja.



Itu peristiwa tiga tahun lepas. Perhatian saya terhadap Tariq Ramadan kembali bercambah apabila baru-baru ini dua buah institut penyelidikan antarabangsa mengangkat warga muslim Switzerland ini sebagai antara tokoh Islam paling berpengaruh di dunia. The Prince Alwaleed Bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding, School of Foreign Service, Georgetown University, AS telah meletakkan saudara kita ini ke dalam kategori “Honourable Mention” yang mana beliau:

“…is a leading European intellectual who is influential as a reformist Muslim academic and a prolific writer on Islam. He is an outspoken proponent for the development of a 'European Islam' and a distinct religious identity for Muslims
living in Europe.”

Majalah Foreign Policy pula menempatkan sang Profesor di tangga ke-49 dengan komentar mereka:

“for dedicating his life to proving that Europe and Islam are not incompatible.”

Profesor Tariq Ramadan ialah cucu kepada tokoh gerakan Islam Al-Ikhwan Al-Muslimun, As-Syahid Hassan Al-Banna. Bapa beliau, Said Ramadan berhijrah ke Switzerland selepas Al-Imam Al-Banna dibunuh pada tahun 1949 dan membuka Pusat Islam di bandar Geneva.

Tokoh muda ini bertubuh tinggi dan mempunyai rupa segak dengan iras-iras almarhum datuknya. Jambangnya dicukur rapi lagak seorang raja Arab. Begitupun, beliau lebih selesa mengenakan kemeja tanpa bertali leher bersalut “blazer” di luar. Tokoh-tokoh akademik dan pemikir di negara Barat memang biasa dilihat memakai busana seperti ini. Ketika ditanya mengenai identiti dirinya, Tariq berkata:

"In my memories, I'm Egyptian, in my citizenship, I'm Swiss, in my belief, I'm Muslim





Di bandar halamannya di Geneva, beliau seorang yang sangat dikenali seperti mana beliau dikenali Paris susulan perdebatannya dengan Presiden Perancis sekarang, Nicholas Sarkozy, yang ketika itu memegang jawatan Menteri Ehwal Dalaman Perancis. Peristiwa ini disiarkan menerusi televisyen dan disaksikan oleh berjuta-juta penonton.

Pengaruh cucu pengasas Al-Ikhwan Al-Muslimun ini jelas terasa ke seluruh dunia. Mungkin hari ini beliau berada di Switzerland, esoknya memberi ucapan kepada kelompok pemuda di Tunisia manakala lusanya terbang ke London memberi kuliah mengenai Islam di Universiti Oxford. Di Perancis, sekumpulan pemuda datang sejauh 200km semata-mata untuk mendengar ucapan sambil bergambar dan mengambil autograf Tariq!

Malang sekali, beliau ditegah daripada memasuki Amerika Syarikat semasa pentadbiran George “The Shoes” Bush apabila visanya telah dibatalkan kononnya sang professor terlibat dengan gerakan pengganas, suatu dakwaan yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan. Lebih memalukan AS, wartawan terkemuka Perancis, Ian Hamel sendiri menyatakan sejauh penyiasatannya mengenai kemungkinan keterlibatan Tariq dengan Al-Ikhwan Al-Muslimun, beliau tidak menemukan sebarang bukti yang menyokong dakwaan AS itu!

Sehingga kini, Profesor Tariq merupakan tokoh intelek pemikir Islam yang paling banyak dikaji di dunia Barat. Sang Profesor mempunyai lebih daripada 20 buah buku di samping beratus-ratus lagi tulisan dan penampilan TV. Selain Sarkozy, beliau pernah berdebat dengan Sir Bernard Crick, tokoh falsafah daripada Universiti Cambridge dan Rupert Myers di UK. Tariq petah berhujah kerana beliau menguasai 3 bahasa (trilingual): Perancis, Arab dan Inggeris.

Penulis-penulis Barat telah menghasilkan beberapa buku mengenai Tariq, samada mengenai pemikirannya mahupun peribadinya. Di antara yang terkenal, iaitu buku Nina Zu Fürstenberg, wartawan Austria yang bertajuk “Who is Afraid of Tariq Ramadan” memperincikan Tariq dalam hal “how we in Europe deal with the challenge of integrating Islam in Europe."

Di sebalik karisma intelek dan peribadinya, idea-idea Tariq disorot penuh waspada lantaran beliau ialah cucu kepada Al-Imam Hassan Al-Banna, tokoh reformis Islam terulung. Dalam kes Tariq, pepatah Inggeris mungkin terpaksa diubah kepada“like father, like grandson”, si datuk dan cucu diletakkan di bawah pengawasan mikroskop Barat. Di Perancis, Carouline Fourest, pakar mengenai fundamentalis Islam telah membukukan “Brother Tariq: the Doublespeak of Tariq Ramadan”, dengan menyatakan bahawa Tariq,

“like his grandfather (Hasan al-Banna), promotes rigid fundamentalism and can accurately be classified as "a war leader."

Idea beliau yang paling menangkap perhatian ialah mengenai menjadikan Islam sebagai Agama di Eropah atau seperti ungkapan beliau "Dar As-Syahadah". Para sekularis tentu sekali cuak dengan idea Islamisasi ini kerana ia suatu ancaman terhadap ideologi sekular mereka. Lebih membimbangkan, idea ini disokong oleh faktor pertumbuhan penduduk Islam di benua itu amat pesat. Konsep “European Muslim” ini termuat di dalam bukunya “To Be a European Muslim".



Buku terbaru Profesor, “What I Believe” sudah berada di pasaran sejak September tahun ini. Di dalam karya terbaru ini, beliau menjelaskan dalam bahasa lebih mudah kepada para pemerhatinya akan pendirian dan idea-ideanya selama ini yang disalah tanggap terutama oleh Barat. Tariq menulis daripada dhamir hatinya, menyedari bahawa idea-ideanya ditatap dan ditelaah oleh pembaca Muslim dan bukan Muslim. Ajakan beliau kepada saudara-saudara Muslimnya yang tinggal di Barat diperteguhkan lagi di dalam buku ini, yang mana mereka harus berusaha untuk menyerap masuk ke dalam masyarakat Barat secara proaktif. Dalam pada yang sama, penduduk Barat diseru agar menerima dan meraikan warga Muslim sama seperti penerimaan mereka terhadap bangsa mereka sendiri.

Hujung minggu ini, saudara Tariq akan berada di ibu negara kita dalam rangka jelajahnya ke seluruh dunia dan memenuhi jemputan oleh “Islamic Renaissance Front” dan “Islamic Book Trust”. Setelah hanya berkenalan dengannya melalui majalah dan di alam maya, kini masanya saya dan rakan-rakan untuk pergi bertemu dengan sang Profesor, mendengar ucapannya dan mungkin bergambar dan meminta autografnya. Ini peluang yang amat jarang timbul bagi kami di Pemuda Iman. Semoga Allah mempermudah bagi kami dan beliau dalam gerak kerjanya menyampaikan risalah Islam.



Ahmad Faiz Abdul Latip
Serdang.

Friday, 23 October 2009

Menara Minda #1 - Bukan Sekadar Pertemuan Klasik...


Oleh: Ahmad Faiz bin Abdul Latip@faizalm

Temuilah mana-mana orang muda yang sihat dan cergas; persamaan mereka ini suka berkawan, bergelak riuh rendah dan lepak-lepak di kedai mamak sambil menonton perlawanan bola sepak English Premier League sehingga dinihari. Itu biasa, style klasik. Pasti mereka puas dan girang tatkala pecah derai tawa dihantar jauh bersipongang ke merata ceruk pekan. Walaupun banyak mata memerhati mereka dengan rasa hati yang tidak puas, mereka tidak entang. Getus hati: Aku punya kawan-kawan yang hebat di sisi! Alan pakar sejarah, Anif software engineer, Zahiri lecturer di International University! Lantaklah, siapa berani tegur kami! Tauke restoran tidak ralat pun, I don’t give a damn!

Namun, timbul persoalan, berbaloikah feel good time yang orang muda hirup selama berjam-jam itu? Sama sekali tidak! Betapa untung jika setiap rupa pertemuan itu diisi dengan wajah-wajah iman, ilmu dan amal? Bukankah cantik jika orang muda mahu menyelit satu dua buah problem masyarakat untuk dibentang di meja kopi itu. Mahu ketawa berdekah-dekah? Silakan, jika itu style orang muda asalkan ianya terkawal tapi cubalah usahakan sedikit perubahan demi kebaikan diri orang muda sendiri.

Siapa mampu menjangka hasil pertemuan enam orang pemuda, yang cuma bekerja sebagai pekerja am, dengan Hassan Al-Banna, seorang guru muda, akan merakam sejarah gemilang ummat? Pemuda-pemuda ini, yang begitu tertarik dengan aura Al-Banna setelah mendengar ucapan-ucapan beliau di masjid dan kedai-kedai kopi, telah pergi menemui beliau; mengadakan perbincangan dan akhirnya mengikat sumpah setia sama-sama bekerja untuk Islam. Tujuan awal mereka sekadar ziarah bertanya khabar telah bertukar menjadi sesuatu yang hebat!

Macam mana agaknya pertemuan yang berlaku di antara enam pemuda ini: Hafiz Abdul-Hamid, Ahmad Al-Hussary, Fuad Ibrahim, Abdur-Rahman Hasab-Allah, Ismail Izz and Zaki Al-Maghriby dengan Hassan Al-Banna? Mereka mungkin tidak pernah kenal satu sama lain kerana mereka hanyalah pekerja buruh di syarikat pembinaan Terusan Suez manakala Al-Banna pula guru sekolah. Tiada gelak tawa dan mungkin tiada makan minum pun tetapi impak pertemuan ini telah melahirkan satu gerakan hebat yang digeruni oleh musuh-musuh Islam dan dicintai oleh saudara-saudara seagama mereka ini!

Inilah titik tolak penubuhan Ikhwan Al-Muslimun (IM) di Mesir (1928) yang jasanya harum mewangi sepanjang zaman. IM bukan sekadar menjadi fenomena di dunia Islam, tetapi turut menjadi igauan buruk Yahudi Zionis sehingga IM, khususnya Al-Banna tidak harus dibiarkan hidup lebih lama lalu dibunuh pada tahun 1949. Bilakah kali terakhir musuh Islam dihinggap rasa gerun terhadap ummat ini sebelum munculnya IM dan Al-Banna? Jawapannya sudah terlalu lama, lebih kurang lapan abad terdahulu ketika Salahuddin Al-Ayyubi gagah berdiri memimpin ketumbukan tenteranya menentang tentera-tentera Salib di Palestin!

Sudah pasti pertemuan ini istimewa tetapi apakah yang menyebabkan ia begitu? Faktor terpenting ialah insan atau orang muda itu sendiri. Pemuka-pemuka IM ini adalah golongan orang muda yang insaf akan tujuan mereka dihantar ke dunia ini. Bagi mereka, tiada kerja lain yang lebih utama melainkan mission untuk mengembalikan masyarakat Islam kepada ajarannya yang sebenar. Ketahuilah, kerja-kerja pejabat mereka diturun pangkat menjadi kerja sampingan bahkan sebaliknya kerja mengajak masyarakat ini menjadi full time job! Jiwa dan minda mereka begitu jelas manakala fizikal mereka dinamik sekali sehingga tidak rela membiarkan saat-saat pertemuan itu berlalu sia-sia tanpa sebarang hasil.

Bagi orang muda yang akan bertemu lagi menjelang tengah malam hujung minggu ini, jom mulakan sedikit perubahan agar pertemuan itu tidak hilang begitu sahaja dipuput bayu malam. Rancanglah atau rangkalah suatu kelainan pada agenda malam yang panjang itu; boleh sahaja bicara soal buku-buku bestseller, atau merangka plan perniagaan kecil-kecilan atau setidak-tidaknya ambil tahu kesusahan masyarakat luar bandar yang belum bertemu jalan keluar. Jangan ketinggalan untuk menyelitkan sama kisah menyayat hati di Gaza.

Formulanya mudah; cuma luangkan 20% sahaja daripada keseluruhan masa anda berborak dan bergelak ketawa itu. Semoga perubahan yang titik bengik ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik pada pertemuan-pertemuan yang menyusul. Mudah-mudahan orang muda akan mengecap manisnya pertemuan selepas ini, didorong oleh rasa kecintaan kepada rakan-rakan semata-mata kerana Allah; bertemu dan berpisah semata-mata keranaNya, maka orang muda akan termasuk ke dalam tujuh golongan yang dijanjikan naungan Allah pada hari yang tiada naungan (hari qiamat) kecuali naungan Allah semata-mata. Golongan itu, seperti hadis riwayat Al-Imam Bukhari dan Al-Imam Muslim: "dua orang pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah".


Kajang 22 Oktober 2009