Pages

Thursday, 12 November 2009

CSI #3 - Lihatlah Ke Bawah


Oleh: Adlan Bin Abd. Aziz

Sabda Rasulullah SAW:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:
Lihatlah kepada orang yang di bawah kamu dan jangan lihat orang yang di atas kamu. Itu lebih baik agar kamu tidak memandang remeh nikmat Allah ke atas kamu
[Hadith riwayat Imam Muslim – no.7619]

Ketika memandu, saya sering memerhatikan kereta-kereta atau kenderaan lain. Terkadang saya terpandang kereta mewah, Toyota Estima, Mercedez, BMW dan lain-lain lagi, lalu terdetik di hati saya ‘kalaulah aku dapat beli kereta macam tu’. Pada waktu yang lain pula saya terlihat motosikal besar – Ninja, Cbr, R1 (kadang-kadang keliru jenisnya) lalu terdetik di hati ‘isy, seronoknya kalau dapat sebijik’.

Tapi pada waktu lain (saya pasti anda juga begini), saya terpandang kereta yang begitu kecil, ada tanda-tanda rosak di sana sini, tak ada pendingin hawa, terfikir pula saya ‘kesian sungguh, bertuahnya aku’. Juga ada masanya saya terpandang seorang ayah menunggang motosikal kecil dengan anak-anak dan isteri..kadang-kadang dalam waktu hujan! Bahkan ada yang berbasikal sedangkan raut wajah sudah menunjukkan dia dalam usia senja. Barulah saya sedar ‘betapa beruntungnya aku’.

Begitulah jiwa kita manusia. Rasulullah SAW telah pun memberikan panduan yang amat penting bagi mendidik jiwa agar bersyukur.

‘Lihatlah mereka yang serba kekurangan, jangan asyik memandang orang-orang yang serba lengkap dengan kemewahan’

Kalau kita seringkali melihat orang yang ‘lebih’ dari kita…lebih besar keretanya, lebih banyak hartanya, lebih tinggi pangkatnya…dan lain-lain lagi, pasti kita akan lupa terus kepada segala nikmat Allah SWT yang mengelilingi kita! Sedangkan begitu banyak nikmat yang telah kita ada…

Firman Allah SWT:

وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها

Maksudnya:
Jika sekiranya kamu semua menghitung nikmat Allah, pasti kamu tidak akan dapat mengiranya.
[Surah Ibrahim, ayat 34]

Cubalah tunduk ke bawah. Lihatlah orang yang ‘kurang’ dari kita. Ada yang masih tidak ada pendapatan tetap, tidak ada rumah sendiri, tidak ada kenderaan yang selesa, tidak ada pakaian secantik kita, tidak ada telefon bimbit, bersusah payah mencari rezeki sekadar mengalas perut anak dan isteri..inilah caranya untuk kita ‘sedar’ dan ‘terjaga’ lalu kita akan nampak dengan amat jelas betapa banyaknya nikmat yang telah kita miliki. Inilah cara terbaik yang diajarkan oleh manusia terbaik agar umat Islam tidak akan memandang sepi lantas tidak menghargai nikmat yang mengelilinginya malah menutupi seluruh tubuhnya.

Berdoalah kepada Allah SWT agar mata kita tunduk ke bawah memandang orang-orang yang serba kekurangan.

Segambut, 8.39 pagi

Monday, 9 November 2009

Menara Minda #2 - Pedang Nano Salahuddin Al-Ayyubi



Sejauh mana kita semua mengenali sudut hidup pahlawan Islam terunggul lewat peperangan salib, Salahuddin Al-Ayyubi? Beliau sangat terkenal sebagai sosok kukuh yang berjaya menghantar rasa gerun dan hormat kepada tentera-tentera musuh. Lebih manis lagi, peribadi inilah yang telah memimpin pembebasan Tanah Suci ketiga umat Islam daripada cengkaman Kristian hampir seratus tahun lamanya.

Keistimewaan Salahuddin Al-Ayubi telah dibongkar oleh Prof Dr. Peter Paufler and kumpulannya di Teknikal Universiti Dresden, Jerman apabila mereka menemui TIUB KARBON NANO (carbon nanotube) di dalam pedang yang digunakan oleh Salahuddin Al-Ayubi dan tentera-tentera Islam dalam peperangan salib. Carbon nanotube inilah yang telah menjadikan pedang-pedang pejuang Islam sangat istimewa; SANGAT TAJAM tetapi MUDAH LENTUR. Penemuan ini telah diterbitkan oleh jurnal Nature (antara jurnal saintifik paling berpengaruh di dunia) pada tahun 2006:

http://www.nature.com/nature/journal/v444/n7117/abs/444286a.html

(nota: perlu langganan pembaca) atau sila rujuk ulasan yang berkaitan oleh Royal Society of Chemistry, UK di:

http://www.rsc.org/chemistryworld/News/2006/November/15110602.asp.

Kunci kepada teknologi nano pedang mujahidin Islam ini terletak kepada teknik pembuatannya yang unik. Bijih besi dari India yang dikenali sebagai wootz mengandungi sejumlah peratusan unsur karbon (carbon) yang memberikannya sifat rapuh (brittle). Apabila dikenakan suhu yang amat tinggi, sekitar 800°C, campuran besi dan karbon tadi akan ditambah dengan unsur-unsur seperti Kromium, Mangan, Kobalt dan beberapa unsur lain yang telah memberikannya sifat-sifat sebilah pedang setiawan: TAJAM lagi LENTUR. Sayang sekali, teknologi ini telah lenyap menginjak kurun ke-18 seiring dengan kepupusan bijih besi dan unsur-unsur penguat pedang tadi.

Penempa-penempa pedang ini, biaroun secara tidak sedar, telah meletakkan dua asas penting kepada permulaan sains bahan moden: 1) Campuran bahan-bahan kimia pada peratusan yang sesuai dan 2) Teknik penggunaan haba yang tinggi untuk pembikinan produk.

Tentera-tentera salib terkedu saat-saat “perkenalan” mereka dengan pedang nano pejuang Islam! Pedang nano Salahuddin Al-Ayyubi yang berwarna kebiru-biruan dengan larik-larik mengufuk di sepanjang bilahnya telah “mengajar” pedang lebar Inggeris kepunyaan Raja Richard I (kepala tentera salib) akan erti kehebatan teknologi Islam pada zaman itu seperti yang dihikayatkan oleh Sir Walter Scott di dalam bukunya “The Talisman”. Perumpamaan yang dilontarkan ialah pedang Salahuddin ini mampu membelah dua kain sutera di udara begitu sahaja manakala jika ia ditetakkan kepada batu pejal, magnitud ketajamannya sama sekali tidak terjejas!

Masih tercari-cari model untuk berjaya dalam hidup? Teladanilah kualiti Salahuddin Al-Ayyubi. Pahlawan agama ini malah seorang ilmuwan dan ahli ibadat; sangat menjaga solat berjemaah, gemar mendengar hadis Rasulullah SAW, hidup zuhud, pemurah dan ceria tetapi gagah berani di medan perang. Riwayat-riwayat mengenai Salahuddin Al-Ayyubi boleh dikutip, di antaranya menerusi buku Al-Bidayah wa Al-Nihayah karangan Imam Ibnu Kathir dan Siyar A’lam Al-Nubala’ karya Imam Al-Zahabi. Sungguh! Pedang nano hanyalah sebilah besi biasa dan tidak bermakna melainkan ia berada di tangan hamba Allah yang berkualiti seperti Salahuddin Al-Ayyubi!

Ahmad Faiz bin Abdul Latip
Kajang

Sila lihat peribadi Salahuddin dengan lebih dekat di:

http://ms.wikipedia.org/wiki/Salahuddin_al-Ayyubi

Sunday, 8 November 2009

Bayt Muslim #3 - Kasih Sayang


Kasih sayang membentuk seni kekeluargaan yang utuh

Oleh: Mohd. Fikri Bin Abd. Rahman

Pena ini ligat meneruskan pengembaraan meneruskan titipan kasih episod lalu lantas kugerakkannya mengembara ke dalam ruang nadi seni rumahtangga seterusnya iaitu kasih sayang rukun berumahtangga.

Kala teringat suatu ketika mengendalikan satu kes pertikaian rumahtangga di antara dua anak muda yang pernah seketika dulu menzahirkan kata cinta sehidup semati, lautan api sanggup direnangi, gaung yang dalam sanggung diterjuni, berkorban kasih apa sahaja tatkala perasaan kasih cinta memutik segar mewangi sedari zaman persekolahan hinggalah ke alam menara gading.

Ku dikabarkan mereka diibarat merpati sejoli, bak pinang dibelah dua, bak belangkas terpaut rapat tanpa renggang, bak laila dan majnu, bak shah jehan dan isterinya hatta kasih rapatnya mereka berdua Tuhan sahaja yang mengetahuinya. Tapi itu semua dulu ketika cinta, kasih dan sayang sedang mewangi subur di jiwa keduanya.

Tersedar dari lamunan mereka, kenapa dan mengapakah perasaan cinta, kasih dan sayang yang terpatri antara mereka sudah lebur bak lava gunung berapi yang bakal memuntahkan segala isinya di pergunungan Krakatoa pantas memusnahkan segala isi penduduknya.

Ku selami perasaan keduanya, ku belah hati mereka, ku teropong perasaan kasih keduanya dan kutersedar ada sesuatu yang tak kena antara mereka lantas nyawa dan usia perkahwinan yang mahal itu seolah-olah berada dihujung senja.

Ku sederap mentakwil latarsejarah keduanya lulusan menara gading, menyebabkan gajah-gajah dihutan keberangan dek kerna habis gading-gading di bawa ke menara, ketemui kudis yang sedang merobak, lendir nanah yang sedang mengalir di dalamnya semua itu dek kerna mainan dan godaan syaitan menjiwa di hati anak cucu tok Adam.

Aku termenung dan termanggu seketika, kulihat sang isteri dengan bongkaknya menuntut suatu pemutusan terhadap ikatan suci ini dari sang suami sedangkan jika ditenung kemanakah hilangnya seri dan cacatnya rentak tari rumahtangga tersebut, panggilan sayang, kekanda, adinda, hubby, yang…, dan lain-lain perkataan yang kadang-kadang memualkan halua telinga insan lain mendengarnya sudah tak bisa kedengaran lagi apa yang ada panggilan kata nista dan makian serta cercaan mengiringi hubungan dingin bak salju keduanya hinggakan tega sang isteri melarikan diri dari gapaian sang suami dek kerna perasaan nafsu amarah yang memuncak dan menunggu masanya untuk dimuntahkan laharnya.

Aku teringat kisah Muhammad yang teragung berkasih dan bercinta dengan isteri-isteri Baginda. Terngiang ditelingaku kasih Muhammad yang tulus dan mulus buat Khadijah tercinta dibawa sehingga akhir hayat Baginda. Istimewakah Khadijah? Tiada cacat celakah Aisyah? Tiada kelemahankah Ummul Mukminin yang lain?

Sudah tentu jawapan ini terungkai buat mereka yang senantiasa mendalami dan menghadami kisah hidup para isteri Baginda semuanya hidup penuh berkasih sayang dengan seorang insan yang sangat tinggi makamnya di sisi Tuhan semesta alam ini.

Ku redah belukar yang menghutan didepan kamar mataku, kutebang dan kucantas segala pepohon ammarah yang mencengkam didepannya, kuterjumpa desa nun jauh dalamnya tinggal di sana sepasang kekasih tua yang setia menemani, bersusah dalam senang, bersenang dalam kepayahan, sedang menyangkul di sawah yag luas terbentang.

Kuputarkan teropong saktiku, terlihat situa itu sedang menyangkul tekun dengan tulang empat kerat yang masih gagah kukira mengalahkan simuda berusia dua puluhan. Kuternampak si isteri tersenyum tawa melihat sang suami bekerja disawah sambil mengendong bekalan untuk dijamah suami tercinta menghilangkan haus di dada dan lapar bekerja.

Ku panjangkan teropongku menyaksikan adegan-adegan asmara yang sangat kucemburui pabila melihat keduanya walaupun sudah meniti usia di kala senja, Mak Teh denga tega menyuap mulut suami tercinta pulut tanak bersama ikan tamban kering dicecah dengan nyior makanan kesukaan Pak Mat. Mak Teh enggan membenarkan suaminya menjamah makanan yang bukan hasil air tangannya. Mak Teh tak merasa segan silu menyulurkan tangannya yang dah berkerepot untuk menyuap suaminya dengan makanan yang dibawa. Diisikannya teh panas di dalam termos dengan penuh hati-hati ke dalam gelas plastik yang dibawa bersamanya untuk diteguk oleh Pak Mat moga-moga hilang hausnya dek kerna terik mentari yang memancar.

Pak Mat kulihat tanpa segok memegang, mengusap dan membelai penuh kasih sayang jari jemari Mak Temah yang berkerepot pantas diucapkan kata-kata sayang buat isteri tercinta meskipun dalam keterikan mentari yang memancar keduanya, mujur ada pondok buruk ditepi sawah bagi berteduh melelapkan penat bekerja seketika.

Kuekori lagi adegan-adegan mereka setelah Pak Mat sudahkan kerjanya, Pak Mat pulang membonceng dibelakangnya Mat Teh dengan Honda C70 yang dah berusia satu-satunya kenderaan “mewah” yang Pak Mat punya, kulihat tangan Mak Teh melingkar rapat pinggang Pak Mat bukan takut dia terjatuh, tapi takut suaminya terlepas dari pelukan kasihnya.

Tatkala ditiba di pondok Pak Mat, Mak Teh kulihat tergocoh-gocoh berlari naik tangga-tangga pondok terus ke dapur menanak nasi untuk dijamah oleh suaminya nanti, tangkas langkahnya meskipun kulihat usianya sudah tua lagaknya. Melepaskan lelah seketika, kulihat ke mana langkahnya ooo… rupanya ke bilik air dibelakang rumah untuk membersihkan lumpur tanah yang meliputi tubuhnya tatkala bersama membanting tulang bersama suami tercinta di sawah.

Mak Teh dilihat terus meluncur ke biliknya menyiapkan diri buat suami dengan wangian semerbak harumnya, ditempek budak sejuk dengan sempurna seolah-olah dipakainya one drop perfume ditubuhnya, turun ke dapur mengeluarkan ikan kering dari atas para yang disusun rapi, lalu dicapainya beberapa butir cabai Melaka dan cabai merah untuk dijadikan cabai tumbuk santapan buat pengiring buat suaminya.

Tak lupa Mak Teh menguis-nguis nasi di atas dapur kayunya takut-takut hangit dan berkerak menyebabkan suami hilang selera. Sudah siap segalanya, bergegas turun ke pelenggar di bawah pokok mengejutkan suami tercinta bangkit dari lamunan keletihan kerja untuk sama-sama menikmati hidangan air tangannya yang tersedia. Ohh…indah sungguh hidup ini kalau kupunyai isteri persis Mak Teh yang amat menyayangi suaminya.

Digapai tangan suaminya dengan penuh perasaan kasih, pembuka bicara, disuapkan Pak Mat butir-butir nasi ke mulut isterinya dan dibalasnya Mak Teh tindakan serupa. Terpancarlah senyuman mesra kedua-duanya puas rasa lega kasih terbina sejak 60 tahun yang lalu segar bugar mewarnai hari-hari tua mereka.

Aku tersedar dari lamunan, itulah cebisan kisah cinta Pak Mat dan Mak Teh yang terungkap dan sempat kuceritakan buat semua bagi mentafsilkan kasih cinta dan sayang sebagai seni rumahtangga…

Kalaulah anak muda yang kuceritakan di awal tinta ini melihat keajaiban kasih cinta Pak Mat dan Mak Teh, sudah tentu mereka faham apakah seninya rumahtangga yang terbina atas kasih dan cinta bisa mengikat utuh ikatan perkahwinan mereka selama-lamanya.

Kan kuteruskan pengembaraan ini dalam episod yang akan datang merungkaikan seni berumahtangga yang selanjutnya. Moga-moga Allah Taala memanjangkan usia kita…

Friday, 6 November 2009

Kemusykilan...Cadangan...Pendapat...

SILA HANTARKAN KEPADA:

pemudaiman@yahoo.com

Thursday, 5 November 2009

Menjana Dunia #1 - Di Mana Hendak Bermula?


oleh: Ahmad Afzainizam Bin Mokhtar

Assalamualaikum wbt.

Semoga tuan/puan berada dalam keadaan baik dan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Ustaz Adlan telepon saya dan minta untuk saya sumbang artikel untuk pemudaiman.blogspot.com. Pada mulanya, terfikir juga, nak tulis apa. Bincang punya bincang, akhirnya sampai kepada satu ‘conclusion’, mungkin dapat sumbang artikel pasal kewangan Islam. “Tajuk ini besar sangat. Aku bukan graduate dalam financial management, Pak Lan. Aku ni ‘engineer by profession’,” komen saya. Dia kata, “jangan tulis benda yang terlalu teknikal. Sekadar perkongsian tentang bagaimana kewangan peribadi dapat diurus dengan cara yang paling praktikal. Ikut pengalaman hang la…”.

Jadi saya cadangkan tulisan saya akan berkisar tentang:

1. Apa yang patut kita buat apabila kita nak urus duit kita. Semua kita dah bekerja dan pasti dapat gaji tiap-tiap bulan atau bisnes yang menghasilkan pendapatan berkala. Tapi selalu kita jadi ‘stress’ sebab banyak hutang nak dibayar setiap bulan. Tup-tup duit tak berapa cukup bila sampai hujung bulan.

2. Macam mana kita nak buat pahala dengan duit dan harta kita. Allah SWT bagi rezeki untuk kita supaya kita uruskan rezeki untuk manafaat di dunia dan akhirat. Kalau kita tak pandai urus rezeki kita, kita akan tergolong dalam golongan yang rugi bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat yang kekal abadi.

3. Harta & pelaburan yang macam mana yang harus kita beli. Banyak jenis harta & pelaburan. Semuanya untuk kesenangan hidup. Tapi kita selalu dengar serita yang manusia boleh jadi gila sebab harta & pelaburan yang memeningkan kepala. Jadi saya cuba nak kongsi beberapa panduan umum untuk kita semua.

4. Sedikit pandangan umum bagaimana harta negara dapat diuruskan dengan lebih bijaksana agar kita rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih baik hasil pemerintahan yang lebih adil serta saksama.

Tulisan saya bukan untuk ‘promote’ mana-mana pelaburan. Saya juga BUKAN agen mana-mana skim pelaburan. Sekadar melihat baik dan buruk untuk panduan. Kebanyakan kita adalah golongan makan gaji dan pendapatan kita terhad. Tulisan saya cuba berkongsi bagaimana kita boleh mengoptimakan pendapatan kita yang terhad untuk memberi impak yang maksima, insyaallah.

Tuan/puan sahabat sekalian dialu-alukan untuk memberi pandangan dan komen atas tulisan saya. Kalau ada salah/silap, dapat ditegur untuk kebaikan bersama. Saya berharap agar saya dapat menyumbang satu artikel santai setiap minggu. Doakan agar Allah SWT memberi kekuatan agar saya terus istiqamah dalam perjuangan ini.

Salam ukhuwah kepada semua.

Afzainizam, 35009 Tapah, Perak

Wednesday, 4 November 2009

Mutiara Wahyu #2 - Antara Gunung & Manusia


Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi

Firman Allah SWT maksudnya:

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir. (Surah Al-Hasyr, 59:21)

Hebat! Inilah mukjizat Al-Quran. Setiap ayat yang dibaca akan memberi pengaruh yang besar bagi si pembacanya. Walaupun sudah berulang kali kita membacanya, perasaan cemuih (jemu) hilang. Tak macam bahan bacaan lain. Bila dah habih baca, nak ulang baca balik dah rasa cemuih. Ayat di atas confirm bukan pertama kali kita dengaq, tapi dah berpuluh kali kita dengaq dan baca. Bahkan, kalau sapa-sapa yang belajaq asas perubatan Islam, ayat ni memang salah satu ayat wajib digunakan untuk berubat selain Ayatul Kursi.

Ayat di atas merupakan satu dari berpuluh perumpamaan (amsal) yang Allah SWT datangkan kepada manusia dalam Al-Quran. Ayat di atas kalau dikaji, mempunyai maksud tersirat dan tersurat yang amat mendalam yang kadang-kadang tak terjangkau oleh pemikiran cetek manusia. Benarlah firman Allah SWT dalam surah Luqman, 31:27 maksudnya:

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, niscaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat (ilmu) Allah Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Mari kita berfikir sejenak..
Dalam ayat tersebut, Allah SWT menerangkan kepada kita akan hakikat bahawa Al-Quran dan isi kandungannya bukanlah perkara yang boleh diambil ringan. Al-Quran Kalamullah, merupakan satu amanah kepada manusia yang berakal untuk membacanya, melagukannya, tadabbur isi kandungannya dan mengamalkan ajarannya. Imam Ibn Kathir bila menafsirkan ayat itu berkata:

Hendaklah hati khusyuk (tawadhu dan penuh penghormatan) menerima Al-Quran dan seolah-olah hancur diri kita (gementar) ketika mendengarnya. Sebab di sanalah terdapat janji-janji Allah SWT yang benar dan ancaman-ancaman bagi sesiapa yang menderhaka. Kalau gunung yang begitu besar dan kasar mempunyai akal fikiran seperti manusia, nescaya ia akan khusyu tunduk merendahkan diri kerana takutkan Allah SWT. Maka adakah patut bagi kamu wahai insan, untuk tidak lunak hatimu kerana takut kepada Allah SWT. Padahal kamu telah dapat memahami isi kandungannya dan mengerti apa yang diperintahkan. Sebab itu kamu patut khusyu’dan gementar kerana kamu diberi Allah akal untuk berfikir.

Maksudnya: Wahai manusia, kalau gunung tu ada akal dan di turunkan padanya Al-Quran dan disebabkan bebanan ajaran, janji-janji Allah yang mustahil dimungkiri dan ancaman yang amat dahsyat di dalam Al-Quran itu akan menyebabkan gunung tu hancuq lebuq sebab takut kat Allah AWJ, yang kita ni manusia ada akai (akal) sempurna kena la jugak jadi macam gunung atau lebih. Tapi jangan la bila baca atau dengaq Al-Quran teruih pi bom diri bagi hancuq sebab kononnya takut kat Allah SWT. Tu bukan takut. Tu tak dak akai. Yang disuruh ialah kita kena khusyuk jugak bila baca dan dengaq Al-Quran. Bahkan ada hadith Rasulullah SAW suruh kita menangis bila baca Al-Quran. Kalau tak boleh menangis naturally, buat-buat la menangis tanda kita takut dengan Allah SWT. Tunduk patuh secara mutlak pada ajarannya. Beriman sepenuhnya dengan janjinya. Beriman dengan mukjizatnya. Menunaikan hak-hak Al-Quran ke atas kita. Tu yang kita kena paham dari ayat tu.

Subhanallah, berfikirlah para pembaca sekalian dengan akal fikiran yang waras. Kita bukan lembu, kambing atau binatang ternakan di kandang atau binatang tontonan di zoo yang tak dibekalkan Allah SWT dengan akal untuk berfikir. Allah mendatangkan perumpamaan tersebut dengan tujuan untuk kita berfikir. Berfikirlah tentang Al-Quran. Berfikirlah tentang apa tujuan Al-Quran diturunkan. Berfikirlah tentang bagaimana nak belajaq Al-Quran. Berfikirlah tentang bagaiman nak memahami Al-Quran. Berfikirlah tentang bagaimana nak mengamalkan ajaran terkandung dalam Al-Quran.

Berapa ramai di antara kita yang meluangkan sedikit masa untuk berfikir tentang segala yang berkaitan dengan Al-Quran. Lebih ramai di antara kita lebih suka berfikir tentang bagaimana nak menambah harta,wanita dan kuasa. Buktinya: Tengok saja macam mana ibubapa berlumba-lumba menghantar anak ke pusat tuisyen, menghabiskan beratus-ratus ringgit hanya untuk memastikan anak mendapat keputusan akademik yang cemerlang. Namun pada waktu yang sama tak kisah samada anak tu boleh baca Al-Quran ka dak, berapa surah yang anak dia dah hapai(hafaz),. Ana sendiri melihat situasi ni sepanjang bertugas di University “Islam” Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ana mengajaq subjek wajib, ‘Basic Themes of Al-Quran’, yang membincangkan konsep-konsep asas yang dalam Al-Quran. Kebanyakan pelajaq (maaf cakap) takut nak amik subjek ni bukan sebab lecturer yang killer (bukan ana kot) . Tapi antara sebab utama ialah depa diwajibkan menghafaz sejumlah ayat Al-Quran. Bahkan dalam exam pun kalau soalan suruh depa ‘complete the uncompleted’ ayat, depa biaq kosong macam tu ja. Dalam kelas, kalau suruh baca Al-Quran, pakat jadi baluq liat belaka. Hang tengok aku, aku tengok hang. Bila gertak depa nak potong markah baru nak baca. Bila dah baca, ada yang merangkak dan yang lebih teruk tak boleh baca langsung. MasyaAllah! Ni bukan budak umuq 7-8 tahun. Ni remaja 18-19 tahun yang dah boleh jadi ayah dan ibu. Insaf rasanya. Balik rumah tengok anak-anak teruih , berazam untuk pastikan anak-anak dah boleh hapai Al-Quran sebelum masuk ‘U.’

Pada masa yang sama, ramai jugak yang dah lancaq baca Al-Quran. Tiap-tiap bulan khatam Al-Quran. Kalah ustaz-ustaz timur tengah. Tapi berapa ramai yang bila dia baca rasa khusyuk hatinya, gementar risau dengan janji dan ancamanNya. Sebab antara tanda seseorang itu menjadi mukmin ialah gementar hati mereka bila mendengar Al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan Hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Surah Al-Anfal, 8:2)

Diriwayatkan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab yang terkenal dengan cengenya(garangnya) dan tegasnya dalm segala hal, bilamana mendengar ayat Al-Quran surah Al-Tur yang menyentuh tentang azab Allah SWT yang tiada siapa mampu menahannya, dibaca pula oleh Rasulullah SAW, gementarlah tubuhnya yang sasa, jadi loy (longlai) letih seluruh sendi pada badannya dan nyaris dia jatuh ke tanah kalau tak kerana dia bersandar ke dinding. Segera dia pulang ke rumah, terus jatuh sakit sehingga diriwayatkan hampir sebulan dia tak keluaq rumah, sampai ramai sahabat datang melawat.

Tu dia! Sapa la kita kalau nak dibandingkan dengan Sayyidina Umar al-Khattab. Dia baca dan dengaq Al-Quran jadi longlai. Kita pulak macam mana. Bukan saja bila dengaq Al-Quran tak jadi longlai dan gementar hati macam nak pecah, tapi lebih teruk lagi bila hilang rasa hormat kita dengan Al-Quran. Takabbur dengan ajaran Al-Quran. Rasa diri dah pandai, Al-Quran tak sesuai. Dah la tu, boleh pulak dok permain-main dengan ayat Al-Quran, salah guna , salah tafsir ayat-ayat Al-Quran. Ni lagi teruk. Menghukum pulak para mufassirin dulu sebagai“gender bias.”

Berapa ramai yang bila baca Al-Quran terfikir untuk teruih mengamalkan ajaran Al-Quran. Para muslimat di zaman Rasulullah SAW diriwayatkan bila mana turun ayat surah Al-nur yang menyuruh mereka menutup aurat, dengan rasa penuh keimanan mencari kain-kain di rumah masing-masing untuk menutup aurat. Tak dak la kata nak tunggu kawin dulu la, nak pi haji dulu la baru nak tutup aurat. Ada hat panas telinga ka? Yang suka minum arak, bila mana turun ayat berkaitan pengharaman arak secara mutlak, immediately para sahabat tuang arak dari gelas, yang dok tengah minum boleh pi jolok rengkong (kerongkong) untuk memuntahkan balik arak yang dah minum. Amacam perokok-perokok professional? Ada berani ka? Kalau ada hat panaih (panas) telinga ka atau terasa dengan kata-kata ni, maknanya kita masih ada sekelumit iman walaupun senipis kulit bawang dan masih ada akal yang sempurna untuk berfikir kebaikan kita dunia dan akhirat.

Berfikirlah! Allah SWT bukan suruh kita pikiaq tentang betoi ka kalau kita letak Al-Quran atas gunung, gunung jadi hancuq lebuq. Ulama terulung nusantara, Professor Dr. Hamka rahimahullah ada menyebut dalam karya agungnya, Tafsir Al-Azhar: “Di hujung ayat kelak akan dijelaskan bahawa ini adalah perumpamaan. Oleh sebab itu janganlah dicuba membawa mushaf Al-Quran ke atas sebuah gunung dan diletakkan disana. Pada adatnya, tidaklah gunung itu akan pecah berderai, hancur berantakan kerana berat menerima Al-Quran itu. Perumpamaan-perumpamaan yang dahsyat dan tepat dapat merangsang hati manusia yang mempunyai perasaan yang halus”.

Persoalannya: Adakah kita mempunyai perasaan yang halus untuk memahami segala perumpamaan yang Allah telah bentangkan kepada kita di dalam Al-Quran..
Lu pikir la sendiri..

Latan biru, kota Damansara
1 November 2009
4.30 ptg

Monday, 2 November 2009

Kembara Sufi #1 - Mengatur Langkah


..

‘Hiduplah di dunia seolah-olah kamu seorang pedagang atau pengembara’

Sedar tak sedar sudah hampir 32 tahun = 11,520 hari = 276,480 jam saya telah mengembara di dunia fana ini .
Dari seberat +- 3 kg hinggalah mencapai 70kg .
Dari bayi yang hanya tahu menangis ke seorang guru .

Mulanya kembara bersama ibu+ayah , kemudian diringi rakan taulan , kini membawa anak dan isteri menyertai permusafiran yang belum ada noktah hentinya .
Bagaimanakah anda ?

Ya ! kita pedagang yang sedang bermusafir .. mencari erti diri seorang hamba ..mencari hakikat kehidupan .. mencari cinta Yang Maha Mencipta .. kita terus mencari dan mencari . Dalam pencarian ini kita ;
perlukan bekalan buat penghilang lapar dan dahaga panasnya mahsyar ,
perlukan teman buat pembimbing diri yang pelupa akan adanya pembalasan ,

Saya bersyukur kehadrat Ilahi mempunyai teman yang sentiasa mengingatkan betapa diri yang pelupa ini perlu mencari harta ukhrawi yang bertebaran di dunia ini . Biarpun berjauhan namun nama ini tidak dilupakan untuk menaiki bahtera mengharungi kembara yang belum sampai ke perhentiannya . Panggilan sahabat makan malam untuk sama-sama mencatat tinta ilmu dan pengalaman dalam alam maya memulakan satu kembara yang baru dalam hidup walaupun kadang-kadang terfikir apa yang hendak dikhabarkan ? apa yang hendak dikongsikan ? apa pengalaman bernilai ? Namun seperti kata Pak Lan lebih baik kita jadi orang yang telah buat dari terus menerus berfikir nak buat . Biarpun berlari-lari anak namun akhirnya sampai jua dari asyik duduk menunggu untuk memecut .

Kalau lihat pada binatang .. paling letih sekali bila melihat sloth bergerak , teramat lambat biarpun besar .Ia memerlukan selama 1 bulan untuk bergerak sejauh 1 batu . Namun ia terus bergerak , berjalan , mengembara tidak menunggu sahaja dek kelemahan yang ada pada dirinya . Begitulah juga dengan kita , jangan hanya menunggu untuk sesuatu berlaku ke atas kita barulah kalut , gelabah ..... bila maut nak menjengah barulah teringat bekalan itu ini ... Ingatlah kembara kita ada penamatnya .. kelak ia akan tiba . Bila ? Dimana ? Bagaimana ? hanya Dia yang mengetahui .


Sufi !! Mengapa sufi ? Sekadar istilah yang diberi, nama yang diletakkan . Menempuh perjalanan dalam dunia moden kini memerlukan banyak pedinding dan ketahanan . Para sahabat menitiskan air mata hanya dengan mendengar alunan ayat al-quran akan tetapi hati-hati yang moden ini sukar . Ibarat tanah yang gersang perlukan hujan yang berterusan . Begitulah kita dalam dunia yang terlalu mudah memperoleh dosa , teramat luas ruang untuk berpahala . Menghadapi rencam kehidupan kini kita perlu menyucikan hati , membersihkan jiwa , menguatkan amalan agar kita berada di landasan yang lurus .

Sufi !! untuk membetulkan fahaman agar tidak disalaherti . Tidak semestinya sufi itu perlukan syeikh tertentu , tidak benar sufi itu perlukan wirid-wirid yang istimewa , tidak betul jika sufi itu hanya ilham dan makrifat . Kita semua adalah sufi hakikatnya; selagimana kita berkelana berbekalkan al-Quran dan as-Sunnah , selagimana berjuang untuk meninggikan kalimah Allah , selagimana hati-hati kita masih berpaut dengan tali Allah ..


Kembara sufi ; pengembaraan kita seharian menuju keredhaan Allah . Biarpun kita hanya bergerak ke tempat yang sama saja ,biarpun kita hanya pi mai pi mai tang tu namun setiap detik perjalanan hidup kita adalah kembara yang dicatat dalam diari raqib dan aatid . Kita tidak sedar yang kita sebenarnya datang dari tempat yang jauh dan kini semakin hampir untuk kembali ke sana . Bertambahnya umur tanda singkatnya perjalanan yang bakal ditempuhi , bekalan perlu dicari , pusaka harus diwarisi moga tinggalan kita ada gunanya nanti . Gunakanlah tanda itu sebaik-baiknya .

Sedarkah kita ! hanya pedagang di dunia yang dipinjamkan menuju akhirat , rumah yang kekal abadi .



nasser 3.20 ptg