Pages

Thursday, 15 July 2010

Menyusuri Jejak Prof. Tariq Ramadan








Terima kasih akhi Fakhrul Anwar atas gambar...

Wednesday, 14 July 2010

Rakaman Mini Seminar 'Kepentingan 4 Buku Sunan Dalam Hadith'

Rakaman mp3 Mini Seminar 'Kepentingan 4 Buku Sunan Dalam Hadith' yang telah diadakah pada Ahad lepas, 11 Julai 2010, dengan pembentangan oleh:

Ust. Mohd. Syauqi - IIUM
Ust. Anwaruddin - Bernama
Ust. Adlan - al-ahkam.net

Tajuk pembentangan adalah seperti berikut:

Klik di sini

1-Kepentingan Sunan Abu Daud

2-Keunikan Sunan Ibnu Majah

3-Mengenali Jami'/Sunan al-Tirmidzi

4-Sunan Nasaai atau Sahih Nasaai?

5-Soal Jawab



Monday, 12 July 2010

KEUNIKAN SUNAN IBNU MAJAH


Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir (IIUM)

Pendahuluan:
Setiap kitab hadith yang dikumpul oleh para muhaddithin terdahulu (al-mutaqaddimun) mempunyai keunikan masing-masing. Ini disebabkan manhaj pemikiran dan ilmu setiap muhaddithin ini amat unik dan berbeza dari pemikiran orang kebanyakan yang kurang mahir dalam ilmu hadith. Ia merupakan nikmat anugerah Allah SWT kepada mereka, selain usaha serta keinginan mereka yang tinggi untuk memelihara Sunnah Rasulullah SAW. Inilah juga tradisi keilmuan yang hanya ada dalam Islam dan tidak dalam agama-agama yang lain. Sebab itu, amatlah mengecewakan sekiranya masih wujud golongan yang mempertikaikan manhaj atau kandungan setiap kitab hadith tersebut yang diusahakan para muhadithin ini, sedangkan mereka tidak faham apa yang tersirat disebalik setiap usaha para muhadithin ini. Justeru, usaha untuk memahami matlamat (hadaf) setiap usaha mereka perlu lebih diketengahkan agar keunikan hasil kerja mereka akan lebih difahami dan dihargai. Sunan Ibnu Majah adalah antara kitab hadith yang diiktiraf kedudukannya oleh majoriti ulama hadith sebagai salah satu rujukan utama himpunan hadith-hadith Rasulullah SAW bersama lima kitab yang lain (Al-Usul Al-Sittah atau Al-Kutub Al-Sittah). Namun ramai yang kurang faham keunikan sunan karangan Ibnu Majah. Buktinya boleh dilihat disurau-surau mahupun masjid-masjid. Tiada satu pun kuliah hadith yang membincangkan hadith dalam Sunan Ibnu Majah. Adakah hanya kerana terdapat beberapa hadih dhaif, munkar dan makzub di dalamnya, maka segera di’pulau’kan kitab ini dari dibincangkan secara ilmiah? Namun persoalan lain juga perlu diberi perhatian ialah mengapa masih ramai ulama hadith mutaqaddimun yang memuji kitab sunan ini disebalik kesedaran mereka akan kewujudan hadith-hadith dhaif, munkar dan makzub ini?

Ibnu Majah:
Nama sebenar pengarang Sunan Ibnu Majah ialah Muhammad Bin Yazid. Beliau turut dikenali sebagai Abu Abdullah. Manakalah ayah beliau iaitu Yazid terkenal dengan laqab (gelaran) Majah. Maka dari sinilah beliau lebih dikenali sebagi Ibnu Majah. Beliau dilahirkan pada tahun 209 H, di sebuah bandar berdekatan Tehran pada hari ini iaitu di Qazwin. Beliau juga wafat di Qazwin pada tahun 273H di usia 64 tahun. Imam Ibnu Majah lahir dalam lingkungan zaman yang sama dengan imam-imam hadith yang lain seperti Abu Daud(202-275H), Al-Tirmizi (209-279H), Al-Nasai (215-303H). Ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa, imam ibnu majah dilahirkan dizaman orang berlumba-lumba mencari dan memlihara hadith. Inilah tradisi masyarakat di zaman tersebut. Sedikit sebanyak, suasana ini memotivasi imam Ibnu Majah untuk mempelajari ilmu hadtih sebanyak yang mungkin dari para ilmuan hadith yang bertebaran di kawasannya dan juga jauh sehingga Kufah, Basrah, Baghdad, Damsyiq, Syam, Hijaz dan Mesir. Namun diusia muda, beliau memulakan pembelajaran di Qazwin yang mana terdapat ulama-ulama hadith. Antara guru terawal beliau ialah Syeikh Ali bin Muhammad al-Tanafasi (233H) dan Syeikh Amru bin Raf’i al-Qazwini (237H). Kemudian beliau memulakan pengembaraannya mencari ilmu ketika berumur awal 20-an. Imam Ibnu Majah adalah antara imam yang paling banyak mengembara mencari ilmu dan hadith. Beliau telah ke Kufah bertemu dan belajar dengan ulama hadith yang amat terkenal ketika itu iaitu Al-Hafiz Al-Kabir Abi Bakr Bin Abi Syaibah. Beliau adalah antara guru Ibnu Majah yang banyak mempengaruhi usaha keilmuannya. Selain itu imam Ibnu Majah turut belajar dari ulama-ulama hadith yang terkenal dizaman itu seperti Jubarah Bin Al-Mughallis, Usman Bin Abi Syaibah dan Hisyam Bin Ammar. Beliau telah mengembara ke Basrah, Baghdad, Makkah, Syam, Mesir dan juga Rayy. Disebabkan banyak mencari ilmu dari para ulama di merata tempat, maka beliau telah berjaya mengumpul banyak hadith dan ilmu sehingga memberinya kekuatan dan motivasi untuk menulis kitabnya iaitu Al-Sunan. Beliau turut menulis kitab mengenai Tafsir Al-Quran dan Tarikh (sejarah) namun sehingga kini kitab-kitab tersebut tidak pernah dijumpai.
Antara murid beliau yang terkenal ialah Abu Al-Hasan Ali Bin Abdullah Al-Qattan yang turut menambah riwayatnya bersama riwayat Ibnu Majah dalam sunan ibnu majah, Sulaiman Bin Yazid Al-Qazwini, Abu Ja’far Muhammad Bin Isa Al-Abhari.

Pengiktirafan ulama :
Oleh kerana hebatnya keilmuan imam Ibnu Majah, ramai ulama al-mutaqaddimun memberikan pujian dan pengiktirafan terhadap beliau. Pujian dan pengiktirafan ini adalah suatu lambang keyakinan ulama-ulama hadith terhadap ilmu yang ada pada beliau. Justeru, sekiranya ulama hebat yang terdahulu mengiktiraf ketokohan beliau maka kita sebagai golongan terkemudian (al-mutaakhirin) perlu lebih mengiktiraf beliau. Antara ulama yang memuji beliau ialah Abu Ya’la Al-Khalili (imam huffaz ilmu naqd al-hadith di Qazwin) yang berkata: Beliau seorang yang thiqqah, kata-katanya boleh dijadikan hujjah,para ulama bersepakat menerima riwayatnya, mendalami bidang hadih, seorang hafiz. Ibn Khalikan berkata: Beliau seorang hafiz yang masyhur, imam dalam pengajian hadith. Al-Zahabi pula berkata: Beliau seorang hafiz, benar dan luas ilmu. Imam Abu Zur’ah Al-Razi (264H) (ulama setaraf dan sezaman imam al-Bukhari) memuji kitab Sunan Ibnu Majah walaupun beliau turut mengakui kewujudan hadith yang diragui statusnya.

Sunan Ibnu Majah:
Nama asalnya ialah Al-Sunan seperti yang diguna sendiri oleh Ibnu Majah. Namun, oleh kerana banyak kitab yang bernama Al-Sunan, maka dinisbahkan kepada pengarangnya, Sunan Ibnu Majah. Kitab hadith ini telah diterima majoriti ulama sebagai salah satu dari Al-Kutub Al-Sittah atau Al-Usul Al-Sittah (bersama Al-Kutub Al-Khamsah: Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Al-Tirmizi, Dan Sunan Al-Nasai). Ulama pertama yang memasukkan Sunan Ibnu Majah ke dalam kelompok kitab hadith yang muktabar dan asas kepada hukum-hukum islam ini ialah Al-Imam Muhammad Bin Tahir Al-Madisi (507H), diikuti Ibnu ‘Asakir (571H). Abdul Ghani Bin Abdul Wahid Al-Maqdisi (600H) kemudiannya turut mengumpulkan rijal (periwayat) Sunan Ibnu Majah bersama rijal Al-Kutub Al-Khamsah dalam kitabnya Al-Kamal Fi Makrifati Al-Rijal. Begitu juga Al-Mizzi, Ibnu Kathir, Khazraji.
Terdapat juga ulama yang menyebut kitab hadith lain bagi menggantikan Sunan Ibnu Majah sebagai antara Al-Kutub Al-Sittah. Antaranya ialah Razin Bin Muawiyyah Al-‘Abdari (525H) yang menyebut Al-Muwatta sebagai kitab yang keenam disebabkan semua hadithnya yang sahih. Ada ulama lain yang mencadangkan Sunan Al-Darimi disebabkan kurang hadith dhaif dan amat jarang hadith munkar dan syaz berbanding Sunan Ibnu Majah. Imam Ibnu Taymiyyah dalam kitabnya Al-Muntaqa menyebut musnad Imam Ahmad. Lebih menarik apabila ada ulama mutaakhirin yang menggabungkan kesemuanya dan memberi nama Al-Kutub Al-Tis’ah (kitab hadith yang Sembilan).

Keunikan
1) Bilangan hadith: menurut Syeikh Muhamad Fuad Abdul Baqi, Sunan Ibnu Majah mengandungi 4341 hadith. Dab apa yang menarik ialah statistik yang dilakukan oleh Syeikh Muhamad Fuad Abdul Baqi ke atas kesemua hadith tersebut. Beliau mendapati daripada 4341 hadith itu:
a) 3002 hadtih adalah hadith yang telah ada di dalam Al-Kutub Al-Khamsah.
b) 1339 hadith adalah yang diriwayatkan sendiri oleh Ibnu Majah sebagai tambahan kepada 3002 hadith yang sudah ada. Hadith-hadith ini dipanggil zawaid (tambahan kepada yang telah diriwayat dalam Al-Kutub Al-Khamsah). Dan daripada hadith zawaid ini:
i) 428 hadith sahih
ii) 199 hadith hasan
iii) 613 hadith dhaif
iv) 99 hadith terlampau dhaif, munkar, syaz atau makzubah.
Syeikh Muhamad Fuad Abdul Baqi menyebut bahawa sekiranya Sunan Ibnu Majah mempunyai 1339 hadith zawaid yang terdapat padanya beratus-ratus hadith sahih dan hasan disamping 3002 hadith yang telah sedia ada, yang mana hadith tersebut adalah dari turuq (jalur) yang berbeza dari turuq di dalam Al-Kutub Al-Khamsah sebelumnya , maka atas asas inilah dipilih Sunan Ibnu Majah sebagai kitab yang keenam berbanding kitab-kitab yang lain walaupun lebih sahih hadithnya. Kerana hadith dalam kitab yang lain sudah disebut di dalam Al-Kutub Al-Khamsah.Bahkan terdapat juga diantara hadith zawaid yang sahih mengikut penarafan sahih Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim. Maka nisbah hadith sahih atau hasan yang mempunyai kualiti dan meritnya tersendiri, masih tinggi berbanding yang hadith yang dhaif, munkar atau makzubah. Maka kegunaan kitab ini adalah lebih memberi manafaat kerana terdapat sesuatu yang baru yang ditambah (value added) kepada Al-Kutub Al-Khamsah.

2) Susunan Tajuk (Kitab Dan Tabwib): Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya, Ikhtisar Ulum Al-Hadith berkata bahawa Sunan Ibnu Majah ini: kitab yang amat berfaedah terutama dari segi kekuatan susunan tajuk (tabwib) dalam ilmu fiqh. Sunan Ibnu Majah mempunyai manhaj susunan tajuk yang terbaik berbanding kitab yang lain. Di dalamnya terdapat 37 kitab dan 1515 bab. Yang menariknya ialah imam Ibnu Majah memulakan kitab sunannya dengan kitab yang dinamakan sebagai al-Muqaddimah. Di dalamnya dimulakan dengan bab: Mengikut Sunnah Rasulullah SAW. Dan disebut juga semua bab yang berkaitan dengan hadith-hadith yang berkaitan Usul Sunnah Rasulullah SAW. Para ulama memuji usaha ini kerana ia merupaka suatu yang penting dan asas kepada mereka yang ingin mempelajari hadith Rasulullah SAW. Di bab akhir kitab Sunan Ibnu Majah di sebut bab akhir Sifatul Jannah dan disertakan hadith zawaid yang sahih statusnya, seolah-olah imam Ibnu Majah memberikan suatu simbolik kepada pengakhiran hidup kita dalam mengikut Sunnah ialah untuk ke syurga:


حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة وأحمد بن سنان قالا حدثنا أبو معاوية عن الأعمش عن أبي صالح عن أبي هريرة قال: قال رسول الله ((ما منكم من أحد إلا له منزلان منزل في الجنة ومنزل في النار فإن مات فدخل النار ورث أهل الجنة منزله، فذلك قوله تعالى: أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ


Oleh itu Sunan Ibnu Majah ini bukan sekadar menyebut hadith berkaitan fiqh semata malah merangkumi segala yang berkaitan usul aqidah dan ilmu-ilmu yang lain.

3) Syarat Hadith Sunan Ibnu Majah: Apa yang menarik, imam Ibnu Majah tidak menyebut secara khusus dalam kitabnya tentang manhaj pengumpulan serta status hadith sunan beliau, seperti yang selalu dilakukan oleh para muhaddithin dalam sunan mereka. Sebab itu banyak hadith yang dikategori lemah, sangat lemah, munkar, syaz dan maudu’ dalam Sunan beliau.
Menurut Syeikh Prof Dr. Hatim Al-Syarif, 2 perkara yang perlu difahami mengenai manhaj Ibnu Majah dalam Sunan beliau ialah:


a) Ibnu Majah lebih fokus usahanya kepada mengeluarkan dalil-dalil yang jelas kepada hukum-hukum fiqh yang detail (furu’iyyah) dan mendalam berbanding kitab sunan lain yang lebih fokus kepada masalah fiqh yang asas (usul). Sebab itu perlu dipuji usahanya. Dalam usaha tersebut beliau perlu meluaskan pengumpulan hadith tanpa melihat kepada kedudukan hadith tersebut tetapi lebih kepada memenuhi kehendak fuqaha ketika itu berhajat kepada dalil permasalahan fiqh tersebut. Namun perlu dijelaskan juga, imam Ibnu Majah turut menyebut sanad hadith tersebut dengan lengkap. Maka mudah bagi fuqaha selepasnya untuk menilai sendiri hadith tersebut samada boleh dijadikan hujjah atau tidak. Secara tidak langsung mereka juga boleh mempelajari ilmu sanad berdasarkan usaha Ibnu Majah mengumpul semua hadith tersebut beserta sanad. Seolah-olah imam Ibnu Majah berkata kita: Saya telah mengumpulkan hadith yang selalu digunakan para fuqaha dalam perbincangan mereka maka buatlah penilaian!


b) Ibnu Majah berusaha untuk menambah apa-apa yang kurang dalam Al-Kutub Al-Khamsah sebelumnya supaya masayarakat mendapat manafaat. Walaupun beliau tidak menjelaskan dalam sunannya, ada hadith lemah tetapi isu itu ditampung dengan usaha ulama berikutnya seperti Al-Busiri dalam Misbah Al-Zujajah yang menyebut semua zawaid dalam Sunan Ibn Majah bersama status hadith zawaid tersebut samada sahih,hasan atau dhaif.

Penutup:
Hakikatnya, walaupun terdapat kekurangan dari segi status hadith yang dikumpul dalam sunan ini, namun perkara ini bukan dibuat tanpa matlamat dan tujuan yang jelas. Matlamat dan tujuan imam Ibnu Majah dalam sunan ini perlu difahami. Lihat juga bilangan hadith zawaid yang dikumpul beliau serta manafaat yang terhasil dari usaha beliau dalam memantapkan kefahaman masayarakat tentang ilmu fiqh dan sanad hadith yang. Kekurangan Sunan beliau dari segi status hadith bukan melambangkan kekurangan ilmu imam Ibnu Majah tetapi melambangkan kehebatan ilmu, manhaj dan usahanya dalam memartabatkan ilmu hadith.

Wallahualam.

Saturday, 10 July 2010

MUTIARA WAHYU 15: ‘IBRAH DARI SURAH YUSUF (FITNAH 2)

Firman Allah SWT:
Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: "Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)". (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.[20]Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.[21]Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.[22]Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Yusuf; 12:19-22)

Tafsiran ringkas:
Fitnah yang kedua ialah fitnah menjadi mangsa perhambaan. Setelah diuji dengan dihasad oleh saudaranya sendiri, terpisah pula dari ayah kesayangannya (diriwayatkan umurnya ketika itu baru 12 tahun), duduk di dalam telaga keseorangan, kedinginan terendam dalam air, dengan hati yang tenang dan sabar menunggu ketentuan yang seterusnya. Fitnah yang kedua tiba apabila dia dijumpai oleh seseorang dari satu rombongan perniagaan (kafilah) yang ingin mengambil air di perigi itu lalu dikurungnya seumpama barang perniagaan yang hendak diniagakan bagi mencari untung. Nabi Yusuf dijualnya dengan harga yang amat murah seumpama barang yang tidak berharga kepada kafilah tersebut. Dibawa pula oleh kafilah yang membelinya dari orang yang menjumpainya ke mesir untuk dijual dengan harga yang lebih mahal bagi keuntangan yang berganda. Lalu nabi yusuf dibeli pula oleh pembesar mesir. Tetapi perancangan Allah mengatasi perancangan manusia yang jahat sebelum ini (saudaranya dan mereka yang memperdagangkannya untuk keuntungan sendiri). Nabi Yusuf ditaqdirkan membesar di rumah pembesar itu bukan sebagai hamba tetapi sebagai sebahagian ahli keluarganya. Dianugerah pula oleh Allah kepadanya kebolehan mentafsir mimpi, Hikmah dan ilmu tentang baik dan buruk. Di akhir ayat ditegaskan bahawa begitulah Allah memberi ganjaran kepada orang yang sentiasa selalu buat kebajikan dan mempertingkatkan usahanya dalam segala pekerjaan (muhsinin).

Ulasan:
1) Kemuliaan manusia: Manusia merupakan makhluq mulia diciptakan Allah SWT untuk menjadi khalifahNya di muka bumi. Kemuliaan manusia dibuktikan dengan arahan Allah SWT kepada para malaikatNya yang taat untuk sujud menghormati kejadian nabi Adam ciptaanNya dan mengiktiraf ilmu yang diajarNya kepada Adam. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah;2:34:
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
Al-Razi menyebut bahawa apabila para malaikat sujud kepada Nabi Adam maka seluruh makhluk Allah SWT juga akan patuh perintah Allah SWT untuk sujud kepada manusia agar manusia dapat manafaat dari mereka untuk manusia menghambakan diri kepada Allah Ta’ala. Justeru islam mangharamkan sebarang bentuk pemerdagangan manusia, eksploitasi dan perhambaan yang menzalimi manusia serta menjatuhkan status dan maruah manusia sebagai khalifahNya. Manusia bukan barang milikan yang boleh diniagakan. Hakikatnya konsep eksploitasi dan perhambaan manusia di zaman ini masih wujud. Contohnya dalam isu sosial apabila ada ibubapa yang sanggup menjual anak hanya untuk mendapat kesenangan hidup untuk diri sendiri dan melarikan diri dari tanggungjawab keibubapaan. Dalam politik, pemimpin memperhambakan dan menipu rakyat demi untuk berkuasa. Dalam ekonomi, kapitalis mengeksploitasi tenaga kerja manusia semaksimumnya dengan kadar upah yang tidak setimpal. Manusia sanggup buat apa sahaja hatta meruntuhkann agama dan maruah diri kerana menjadi hamba wang!

2) Sunnatullah: Menarik untuk diperhatikan bagaimana Allah SWT menunjukkan 2 situasi berbeza yang dihadapi nabi Yusuf dalam kisah ini. Pertama baginda dihina seumpama barangan niaga tidak berharga. Kemudian dengan tak semena-mena baginda dimuliakan oleh Allah SWT melalui cara penerimaan pembesar mesir yang membelinya. Baginda dimuliakan sebagai tetamu kehormat. Dari kedinginan dan kegelapan perigi kepada kehangatan dan kegemerlapan istana. Allah SWT ingin menunjuk kepada kita beberapa isu dalam hal ini:
a) Allah SWT berkuasa mengubah nasib seseorang yang sentiasa sabar dalam menghadapi ujian hidup tanpa mengeluh serta yakin dengan pertolonganNya dengan sekelip mata. Firman Allah ta’ala:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Ali-‘Imran;3:26)

b) Sudah menjadi Sunnatullah, setiap ujian hidup yang menyebabkan keresahan, kesusahan dan kesempitan akan datang selepasnya kelapangan, kesenangan dan kemuliaan jika seseorang itu bersabar serta berusaha sedaya mungkin untuk menghilangkan kesusahan yang dihadapi. Jadi jangan mengeluh berputus asa dengan ujian hidup yang mendatang kerana memang dunia tempat manusia diuji. Dr. ‘Aidh al-Qarni berkata: haram hukumnya berputus asa, apa lagi yang dapat menyebabkan seseorang itu lemah. Tersebut dalam satu hadith qudsi: “wahai anak adam, sesungguhnya kamu tidak berdoa kepadaKu dan tidak berharap padaKu kecuali Aku mengampunkanmu di atas dosa yang kamu lakukan dan Aku tidak pernah menghampakan permintaan kamu.”

c) Orang yang sudah teruji akan menyerlahkan bakat, potensi dan keupayaan seseorang dalam hidupnya. Lihatlah keadaan Yusuf selepas baginda dibeli oleh pembesar mesir, dikurniakan kepadanya berbagai kelebihan. Abuya Hamka berkata: Oleh sebab itu maka kemajuan yusuf itu di samping tuntunan Ilahi ialah usahanya sendiri dan ikhtiarnya agar dia beroleh kemajuan, sehingga di usia muda dia telah mengerti tentang hukum dan keadilan dan telah bertambah ilmu pengetahuannya.

3) Muhsinin: Suatu sifat istimewa yang ada pada nabi Yusuf ialah ihsan. Ihsan merupakan konsep kecemerlangan dalam hidup orang islam. Peringkat tertinggi dalam ajaran islam ialah mempraktikkan ihsan dalam segala kerja dan usaha. Baginda dipanggil dengan gelaran al-Muhsin. Abuya Hamka berkata: Orang muhsinin ialah orang yang selalu berbuat kebajikan dan selalu membaiki, mempertinggi mutu usahanya meningkat naik…Ihsan dari kecil sampai tua inilah intipati kemajuan hidup nabi Yusuf a.s kepada orang yang membencinya, dia pun berbuat ihsan. Dalam hal kisah nabi yusuf ini, Allah SWT memuji baginda dengan gelaran al-Muhsin sebanyak 4 kali. Pada ayat 22, 36, 56 dan 78. Menunjukkan kepada kita betapa pentingnya sifat ihsan dalam menghadapi segala ujian hidup di samping sifat sabar. Sabar dalam menghadapi ujian kehidupan dan ihsan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Sabar dalam menghadapi kerenah manusia dan ihsan dalam memaafkan mereka.
Sabar dan ihsan merupakan sifat seorang Pesuruh Allah dalam berdakwah di jalanNya. Mereka dimuliakan dengan kedua sifat tersebut. Para pendakwah yang bergerak di jalan yang sama perlu mempunyai sifat yang sama. Kekadang dipermulaan jalan banyak penghalang dan kesusahan. Tetapi yakinlah dengan Sunnatullah!
Bersambung…

Tuesday, 6 July 2010

SEMINAR KEPENTINGAN 4 BUKU SUNAN HADITH

Islamic Information & Services Foundation (IIS) dan AAN (al-ahkam.net) akan menganjurkan :


Seminar Kepentingan 4 Kitab Sunan Hadith

Pembentang:

Ust. Mohd. Anwaruddin - Bernama, Penasihat Jabatan Hadith AAN
Ust. Mohd. Syauqi - IIUM, Pemuda Iman
Ust. Adlan Abd. Aziz - Panel Hadith AAN


Tarikh: Ahad - 11 Julai 2010
Masa: 8.30 pagi - 3.30 petang
Tempat: IIS Hall, No. 1-5-2, Prima Peninsula, Jalan Setiawangsa 11, Kuala Lumpur (Atas Saba Islamic Media)

Tempat terhad...Pendaftaran PERCUMA...Jamuan disediakan


Untuk Pendaftaran:

Bro Rahmat @ 0172339193 - mohdrahmat@yahoo.com

Sis Tuty @ 0178889097 - Tuty.Abu.Bakar@gmail.com

Friday, 2 July 2010

CSI #11 - Wahai Imam, Kasihanilah Makmum Di Belakangmu!

Semua tahu betapa ramainya jemaah yang membanjiri masjid dan surau menunaikan solat Jumaat. Ramainya sehingga menyebabkan masjid penuh dan kawasan luar perlu digunakan untuk solat. Ada yang membawa sejadah dan ada juga aayang sujud tanpa alas begitu sahaja.

Kita juga tahu betapa sejuknya sebahagian masjid di bahagian dalam. Terutama pada bahagian tempat imam dan saf-saf hadapan.

Alangkah baiknya jika para imam yang tahu situasi ini dan menyedarinya...meringkaskan khutbah dan solat terutamanya bagi meringankan beban mereka yang duduk berpanas dan berjemur di luar.

Kalau hari hujan pula sudah pasti makmum yang berlimpahan ini akan dilimpahi pula oleh air hujan sedangkan bahagian dalam masjid begitu selesa.

Mungkin ada yang akan berkata..'sapa suruh hang datang lambat?'. Pada hakikatnya semua kita sudah pasti akan merasai ketikanya kita terlambat atas sebab tertentu dan kita terpaksa solat di kawasan luar. Setiap orang ada masalah dan urusan masing-masing. Kenapa tidak di hati kita merasa kasihan dan ingin meringankan kesusahan dan beban saudara seagama?

Ini bukan sahaja melibatkan solat Jumaat, tetapi juga melibatkan solat berjemaah yang lain di mana imam seharusnya tahu keadaan makmumnya dan memanjangkan atau meringkaskan solat berdasarkan keperluan.

Saya akhiri dengan sebuah hadith Rasulullah S.A.W. yang mana pada satu ketika, Rasulullah S.A.W. solat lalu Baginda terdengar tangisan bayi. Ini menandakan terdapat ibu yang terpaksa membawa anak kecilnya dan ketika solat bayi itu menangis. Maka selepas solat Rasulullah S.A.W. telah membuat ucapan ringkas yang bermaksud:

'Sesungguhnya aku solat dan aku ingin memanjangkan solatku, tetapi aku terdengar tangisan anak kecil lalu aku meringkaskan solatku kerana aku tidak mahu merungsingkan ibu anak itu'
[hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

sebuah lagi hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda:

'Sesiapa yang mengimamkan solat, maka ringkaskanlah. Sesungguhnya dalam kalangan yang mengikutnya ada orang yang sakit, tua dan mempunyai hajat'.
[hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Inilah yang kita harapkan daripada sebahagian imam yang prihatin dan peka tentang keadaan makmumnya...semoga kita mendapat keberkatan dan manusia melihat Islam adalah agama yang menjadi rahmat untuk semua.