Pages

Thursday, 16 December 2010

Sahabat Nabi Mengajar Kita Erti Syukur

Pada suatu hari bertemu salah seorang tabiin (murid para sahabat) dengan salah seorang sahabat terkemuka bernama Abdullah Bin 'Amr (anak kepada seorang lagi sahabat iaitu 'Amr Bin al-Ash)...maka di antara dialog mereka adalah seperti berikut:

Tabi'i : Bukankah kita ini orang-orang miskin dari kalangan Muhajirin?

Abdullah Bin 'Amr : Adakah engkau memiliki isteri tempat engkau pulang ke pangkuannya? Adakah engkau mempunyai rumah tempat engkau tinggal?

Tabi'i: Ya.

Abdullah Bin 'Amr : Maka engkau adalah dalam kalangan orang yang kaya!

Tabi'i : Aku juga ada khadam.

Abdullah Bin 'Amr : Maka engkau dari kalangan raja-raja!

[Riwayat Muslim - hadith no.7653]



Hargailah apa yang kita miliki, walaupun ia terkadang sukar, tapi itulah kekayaan sebenar!

Saturday, 11 December 2010

Pesanan Untuk Si Kaya - Pelajari Kisah Nabi Sulaiman a.s.!


Merenung, mengkaji dan mempelajari kisah para Nabi dan Rasul di dalam Al-Quran pasti akan membawa kepada pelbagai kesan positif. Kali ini mari kita bersama melihat dan merenung kisah Nabi Sulaiman a.s. sebagaimana dinyatakan di dalam Al-Quran. Kisah yang cukup menarik tentang seorang yang bukan sahaja dilantik sebagai Nabi malah juga seorang Raja yang memiliki kekayaan dan kerajaan.

SEJAUH MANA KEKAYAAN NABI SULAIMAN?

Bagaimana kekayaan dan kekuasaannya? Mari kita lihat apa kata Nabi Sulaiman a.s. sendiri:

قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya:
Katanya: " Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ".
[Surah Sad, ayat 34 dan 35]

Kekayaan yang tidak ada bandingnya..tiada tandingan daripada sesiapa pun! Itulah kekayaan Nabi Sulaiman a.s.

KEKAYAAN...DAN ILMU!

Bukan hanya kekayaan yang diperolehi oleh Nabi Sulaiman a.s. Malah beliau juga dikurniakan ilmu pengetahuan. Apalah kekayaan tanpa ilmu yang mampu memeliharanya. Lihatlah firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:
Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".
[Surah al-Naml, ayat 15]

APAKAH SIKAP NABI SULAIMAN?

Sebahagian manusia akan sombong apabila memiliki kekayaan dan ilmu pengetahuan. Begitulah sikap yang menjadi lumrah dalam alam ini. Namun sebahagian lagi sedar bahawa kekayaan milik Allah...ilmu juga kurniaan Allah...maka mengapa perlu aku angkuh dan sombong?

Sikap Nabi Sulaiman a.s. amat jelas dan terang - Bersyukur dan beramal soleh. Masih ingat lagi bagaimana kisah Nabi Sulaiman a.s. melalui satu lembah semut? Mari kita baca bersama dan fokus pada sikap SYUKUR dan BERAMAL dalam diri Baginda:

وَحُشِرَ لِسُلَيْمَانَ جُنُودُهُ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ وَالطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ

حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِي النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya:
Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml" (lembah semut), berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

[Surah al-Naml, ayat 17 hingga 19]

MAKA NASIHAT DAN PESANAN UNTUK SI KAYA:

1-Ingat segala kekayaan adalah kurniaan Allah SWT. - Surah Saad, ayat 34 dan 35.

2-Mohonlah keampunan di atas kesilapan yang telah dilakukan. - Surah Saad, ayat 34 dan 35.

3 -Bersyukurlah kerana itu sahajalah sikap yang mampu menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat nanti. - Surah al-Naml, ayat 19.

3-Pastikan ilmu juga bertambah sebagaimana harta kita bertambah. - Surah al-Naml, ayat 19.

4- Amalan soleh perlu dijaga kerana itulah bekalan kita di akhirat sana. Seorang yang kaya adalah lebih mudah untuk mengerjakan amalan soleh dengan pelbagai cara dan kemudahan. - Surah al-Naml, ayat 19.

Semua nasihat ini disimpulkan daripada kisah seorang Nabi dan Raja yang agung - Sulaiman alaihissalaam!


Wednesday, 8 December 2010

Penulisan Dalam Agama - Kenali Penulisnya Dahulu

Kepada mereka yang gemar membeli dan membaca buku-buku agama, ia merupakan satu sikap yang amat baik dan patut diteruskan. Namun untuk memantapkan lagi pembacaan, pembaca perlu berhati-hati dalam memilih bahan bacaan yang ingin dimiliki. Di antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah - mengenali penulisnya terlebih dahulu.

Ini kerana terdapat sebahagian buku bacaan dalam bidang yang berkaitan ilmu-ilmu Islam ditulis oleh penulis yang tidak diketahui latar belakangnya malah sejauh mana penguasaannya dalam aspek yang ditulisnya itu.

Terdapat sebahagian buku yang langsung tidak diketahui identiti sebenar penulisnya. Ini amat menyedihkan kerana pembaca bukan sekadar tidak tahu latar belakangnya malah nama penuhnya juga tidak dinyatakan.

Sebahagian buku pula menyatakan penulisnya dengan nama penuh tetapi tidak dapat dikenal pasti pula apakah latar belakang pengajian penulis dengan lebih lanjut. Ini juga sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan apakah penulisan itu penulisan yang diyakini datang dari penulis yang mengetahui atau tidak.

Manakala buku-buku agama yang lain pula kita dapati ditulis oleh mereka yang diketahui latar belakangnya. Buku-buku sebegini pula boleh kita bahagikan kepada 2 bahagian:

1-Penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang melayakkan dirinya menulis tentang agama.

2- Penulis yang mempunyai latar belakang yang tidak berkaitan dengan ilmu-ilmu Islam.

Saya tidaklah ingin menasihatkan pembaca supaya 'jangan membaca' buku daripada penulis bahagian kedua iaitu yang tidak ada latar belakang ilmu Islam, tetapi nasihat saya ialah - berhati-hati dan buatlah perbandingan dengan buku lain. Mengapa saya nasihatkan demikian? Kerana beberapa sebab:

Pertama, penulis yang tidak ada latar belakang khusus berkaitan agama sebenarnya terdedah kepada pelbagai kesilapan kerana tidak ada gambaran umum tentang apa yang ditulisnya. Malah terkadang kita dapati penulis sebegini akan banyak membuat salinan dan memindahkan maklumat daripada buku-buku lain. Maka dalam hal ini, penulis ibarat penyusun semata-mata.

Kedua, terbukti dalam sebahagian daripada buku yang saya temui ditulis oleh mereka yang tidak ada latar belakang pengajian agama secara khusus - mereka melakukan kesilapan dalam mengetengahkan fakta. Kesilapan yang dilakukan berpunca - antaranya ialah - kerana menggunakan buku terjemahan disebabkan mereka tidak mampu merujuk buku rujukan asal yang dicetak dalam Bahasa Arab, membuat rujukan yang terhad kepada satu atau dua buku semata-mata dan lain-lain sebab.

Saya akhiri dengan satu pernyataan mudah untuk difahami oleh sesiapa sahaja -

"kalaulah seorang yang mempunyai pengkhususan dalam bidang agama pun BERKEMUNGKINAN melakukan kesilapan dalam penulisan, apatah lagi mereka yang TIDAK ada kelulusan khusus....bayangkan pula mereka yang langsung TIDAK DIKENALI".

Maka berhati-hatilah dalam memilih bahan bacaan berkaitan ilmu-ilmu Islam.

Selamat membaca.

Tuesday, 7 December 2010

Buku Terbaru - 10 Tonggak Remaja Hebat



Buku: 10 Tonggak Remaja Hebat

Penulis: Adlan Bin Abd. Aziz & Sulaiman Bin Hassim

Harga : RM8.00

* Boleh didapati melalui pesanan terus kepada penulis di - pemudaiman@yahoo.com atau hantar pesanan melalui Facebook - Adlan Abd Aziz

Selamat membaca!

Sunday, 5 December 2010

3 Kelebihan Membaca Kisah Di dalam Al-Quran


Marilah kita membaca Al-Quran dan mendalami isi kandungannya sekadar mampu dalam ruang waktu yang kita miliki.

Antara perkara menarik yang kita perolehi bila mendalami Al-Quran ialah -
Di dalam Al-Quran disebutkan banyak kisah dan cerita umat terdahulu, malah terlalu banyak!
Apakah kita sedar dan mengambil faedah dan pengajaran? Berikut adalah sedikit maklumat yang diringkaskan tentang ciri kisah-kisah yang disebutkan dalam Al-Quran:

1- Ia kisah terbaik. Kisah lain mungkin hanyalah kisah yang diceritakan oleh manusia, tetapi Al-Quran adalah kisah yang difirmankan oleh Allah SWT, Tuhan yang Maha Benar, Lagi Maha Mengetahui.

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ
Maksudnya: Kami (Allah) menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah-kisah terbaik.
[Surah Yusuf, ayat 3]


2- Ia membawa pengajaran yang amat besar dalam hidup umat Islam sepanjang zaman.


لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya pada kisah mereka (umat terdahulu) terdapat pengajaran bagi mereka yang berakal. Ia (kisah dalam Al-Quran) bukan satu cerita yang direka secara tipu, tetapi sebagai sesuatu yang menyokong dan membenarkan apa yang ada di hadapan kamu (kitab-kitab sebelumnya), dan menjelaskan segala sesuatu, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
[Surah Yusuf, ayat 111]

3- Ia mampu menguatkan jiwa bagi yang membacanya. Sebagaimana ia diturunkan sebagai penenang hati dan penguat jiwa Rasulullah s.a.w.:

وَكُلاًّ نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنبَاء الرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ

Maksudnya: Dan semua kisah para Rasul ini Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) yang dengannya Kami teguhkan hatimu.
[Surah Hud, ayat 120]

Lihatlah pada 3 kelebihan bagi sesiapa yang membaca kisah-kisah Al-Quran:

Pertama - maklumat yang benar, malah terbaik

Kedua - mempunyai pengajaran untuk segenap aspek kehidupan

Ketiga - membawa kepada ketenangan dan keteguhan hati mengharungi cabaran hidup


ANDA MAHU TUNGGU DAN TIDAK TERLINTAS UNTUK MEMBACA KISAH-KISAH DI DALAM AL-QURAN??

Ayuh kita mulakan....

Sekitar Forum Surah Yusuf di Pusat Asasi UIAM





Thursday, 2 December 2010

'Pengajaran Hijrah'

Dijemput bersama panel Pemuda Iman, Ust. Adlan Abd. Aziz dalam program Topik Jumaat:


'Pengajaran Hijrah'

Radio IKIM.fm - Jumaat, 3 Dis 2010, 9.00 pagi