Pages

Tuesday, 19 July 2011

Mengenang Sayyid Qutb - Bah.1


*INI ADALAH SEBAHAGIAN NOTA PEMBENTANGAN 'SEMINAR PEMIKIRAN POLITIK SAYYID QUTB' YG TELAH DIADAKAN PADA 16 JULAI 2011 DI ISTAC, ANJURAN IRF

Mengenang Sayyid Qutb – sorotan kehidupan
Oleh: Adlan Abd. Aziz – pemudaiman.blogspot.com


Kita sering mendengar nama Sayyid Qutb (terkadang ditulis Syed Qutb) atau membaca tentang idea dan penulisan beliau. Tapi mungkin tidak ramai yang berkesempatan untuk melihat kehidupannya dengan lebih dekat dan terperinci. Semoga tulisan ini dapat membantu memberikan maklumat baru ke arah mengenali peribadi tokoh terkemuka ini. Sebahagian besar maklumat di sini saya ringkaskan daripada sebuah buku yang amat terperinci tentang peribadi dan pemikiran Sayyid Qutb iaitu buku yang ditulis oleh salah seorang guru saya semasa menuntut di Jordan, Dr.Solah Abd. Fattah al-Khalidi bertajuk: 'Sayyid Qutb; Min al-Milad Ila al-Istisyhad' (Sayyid Qutb, dari kelahiran hingga syahid) . Di antara rujukan lain juga adalah seperti: Biodata Sayyid Qutb melalui huraian adiknya sendiri iaitu Muhammad Qutb .
Sayyid Bin Qutb atau lebih popular dengan nama Sayyid Qutb merupakan anak kelahiran sebuah kampung kecil di Mesir bernama Musyah dalam daerah Asyut. Tarikh kelahirannya ialah 9 Oktober 1906. Dibesarkan dalam suasana penuh keagamaan, beliau telah pun menghafaz Al-Quran ketika berumur 10 tahun.
Selesai pengajian peringkat asas, beliau melanjutkan pelajaran ke beberapa tempat seperti 'Madrasat al-Mu'allimin' pada tahun 1922, Kulliyyah Dar al-Ulum pada 1929 dan lulus dengan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kesusasteraan Arab pada tahun 1933.
Sejak berada di dalam pengajian lagi beliau telah menyertai dan memimpin pergerakan pelajar contohnya di Dar al-Ulum sehingga berjaya menerbitkan majalah Dar al-Ulum.
Sayyid Qutb tidak pernah berkahwin. Beliau pernah jatuh cinta dan bertunang tetapi Allah SWT mentaqdirkan dan kita manusia hanya merancang. Kisah cinta beliau yang penuh dengan ujian telah diterjemahkan ke dalam beberapa penulisan dan sajak yang menyentuh jiwa. Akhirnya pertunangan itu putus di tengah jalan. Beliau cuba untuk berkahwin beberapa kali tetapi terhalang kerana dipenjara.
Alam pekerjaan beliau bermula sebagai guru di beberapa buah sekolah rendah di Mesir. Salah seorang pengkaji yang menulis tentang Sayyid Qutb – Abdul Baqi Muhammad Husain – telah melihat dengan sendiri fail Sayyid Qutb sepanjang perkhidmatannya dalam bidang perguruan dan mendapati bahawa Sayyid telah berkhidmat di 4 buah sekolah rendah dalam tempoh lebih kurang 6 tahun. Seterusnya selepas enam tahun, beliau kemudiannya berkhidmat di Kementerian Pelajaran Mesir dan di situ beliau telah diminta membuat kajian dan memberikan pandangan dalam isu-isu pendidikan Mesir. Beliau juga telah dihantar untuk membuat kajian di Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1948 – 1950. Pemergian Sayyid ke sana bukanlah semata-mata kerana kepentingan kajian tetapi juga bertujuan untuk menyekat Sayyid dari mengembangkan idea perubahan dalam negara Mesir. (akan bersambung dalam siri kedua)...

Sunday, 10 July 2011

Contohi Sayyid Qutb

Untuk seminar tentang pemikiran tokoh dakwah Sayyid Qutb pada 16 Julai akan datang saya berpeluang membaca pelbagai maklumat tentang beliau. Saya dapati setiap peritiwa dalam kehidupan beliau penuh dengan pengajaran dan amat relevan dalam dunia dakwah masa kini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dijemput hadir ke seminar tersebut di mana saya dan dua lagi pembentang (Ustaz Mohd Syauqi dan Dr Farouq)akan menyentuh pelbagai aspek tentang kehidupan Sayyid Qutb.

Namun begitu saya ingin berkongsi satu aspek positif yang dapat saya pelajari dari beliau iaitu, "gigih menyumbang untuk dakwah tidak kira apa jua keadaan" ini terbukti dengan banyaknya penulisan, program ilmu, aktiviti kemasyarakatan, dan jelajah serta ziarah yang beliau lakukan dalam keadaan kesibukan serta menanggung kesakitan dan tekanan. Kita mungkin boleh menyumbang dalam keadaan tertentu sahaja dengan kadar yang begitu minimun serta sukar untuk istiqamah. Itupun sekiranya badan kita sihat dan tanpa apa-apa tekanan. Namun sayyid Qutb seolah-olah ingin mengajar pendakwah sepanjang zaman agar terus menyumbang tanpa tergangu dengan pelbagai cabaran.

Sesiapa sahaja akan kagum dengan melihat sumbangan Sayyid Qutb yang pelbagai dan berterusan. Inilah ciri pendakwah sebenar, pewaris ulamak silam, penyambung dakwah para nabi dan rasul, bagaiman dengan kita?

jumpa 16 Julai nanti!! lihat di sebelah kanan Blog!!

Friday, 1 July 2011

PROMOSI PAHALA

Alangkah ruginya hidup manusia yang enggan dan lalai merebut tawaran promosi pahala dari Allah SWT. Sedikit amalan banyak pahala yang ditawarkan. Sesuai dengan umur kita ummat nabi Muhammad yang pendek maka Dia tawarkan sesuatu yang tidak didapati ummat terdahulu. Tawaran promosiNya pula tiada tarikh luput. Tawaran berterusan hingga terbitnya matahari dari sebelah barat. Namun kedekutnya kita hendak beramal. Sombongnya kita dengan janjiNya. Mari kita lihat apa tawaran promosi tersebut:

Tawaran Infaq:



قَالَ اللَّهِ تعالى: مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ




Firman Allah SWT: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 261)

Tawaran Amalan Niat:



قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً




Nabi SAW bersabda Barangsiapa yang berniat untuk melakukan sesuatu amal kebaikan namun ia tidak dapat melakukannya maka Allah akan memberikan kepada satu kebaikan yang penuh. Tetapi sesiapa yang berniat melakukan satu amalan kebaikan lalu dia melakukannya maka Allah akan menuliskan baginya 10 kali kebaikan sampai 700 kali kebaikan bahkan berlipat ganda yang banyak sekali disisinya. Dan barangsiapa yang berniat melakukan keburukan namun dia belum melakukannya maka Allah akan menuliskan satu kebaikan tetapi kalau dia berniat buruk lalu dia melakukannya maka allah mencatatnya satu keburukan disisinya (al-Bukhari)

Tawaran Membaca Al-Quran:



قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ




Nabi SAW bersabda Barangsiapa membaca satu huruf dari Al Qur'an maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan sama dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud 'Alif, Laam, Miim' satu huruf, melainkan Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf. (al-tirmizi)

Tawaran menuntut Ilmu:



قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا ، سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانُ فِي الْمَاءِ ، وَفَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ




Nabi SAW bersabda “Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju syurga dan sesungguhnya para Malaikat akan merendahkan sayap-sayap mereka bagi penuntut ilmu sebagai tanda ridha terhadap apa yang mereka lakukan. Sungguh seorang yang berilmu akan dimintakan ampun baginya oleh semua yang ada di langit dan bumi sampai pun ikan di lautan. Keutamaan seorang yang berilmu atas seorang ahli ibadah bagaikan keistimewaan bulan di hadapan bintang-bintang. Para ulama adalah pewaris para Nabi. Para Nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham, mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa yang dapat mengambilnya, sungguh ia telah meraih bahagian yang banyak (Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibn Majah)

Tawaran Berzikir:



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ




Nabi SAW bersabda Dua kalimah yang ringan disebut lidah tetapi berat timbangannya dan disukai oleh Al-Rahman ialah Subhanallahil ‘Azim, Subhanallahi wa Bihamdihi (al-Bukhari)

Tawaran Silaturrahim:



عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ، فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا




Nabi SAW bersabda, “Tidaklah dua Muslim bertemu, lalu bersalaman, kecuali dosa-dosa mereka berdua diampuni sebelum mereka berpisah.” (Abu Dawud


Pilihan sekarang ditangan kita. Tawaran masih terbuka. Badan masih bernyawa. Mengapa bertangguh masa. Ayuh rebut promosi pahalaNya!

Wednesday, 29 June 2011

Malam ini di Tv Al-Hijrah - Bicara Israk & Mikraj

Saksikan program BICARA, hari ini, Rabu, 29 Jun 2011, 9:30pm, TV al-Hijrah. Membincangkan mengenai persoalan Isra' & Mi'raj.

Moderator:
Sdr Nizal Mohammad.

Panelis:

Ustaz Azhar bin Tuarno (Masjid Negara),
Prof Datuk Prof Dr Yusuf Haji Othman (UKM) dan
Ustaz Adlan Abdul Aziz

Monday, 27 June 2011

Belajar Dari Pencuri?


Kisah ini diambil daripada salah satu kuliah pendakwah terkemuka masa kini - Dr.Salman al-Oadah' yang menceritakan bagaimana seorang ahli falsafah ditanya tentang guru-gurunya lalu dia berkata di antara yang benar-benar mengajar dirinya erti kehidupan ialah antaranya - seorang pencuri!

Ketika pulang ke rumah, beliau bertemu dengan seorang lelaki yang merupakan seorang pencuri. Pencuri itu membantunya untuk masuk ke rumah kerana beliau memiliki 'master keys' untuk semua pintu. Lalu ahli falsafah ini telah sudi menumpangkan lelaki ini beberapa hari dan setiap malam pencuri itu keluar mencari 'rezeki'nya. Namun setiap malam dia pulang tanpa hasil.

Setelah berhari-hari begitu, maka ahli falsafah ini bertanya tentang keadaan pencuri itu, adakah dia akan terus mencuri kerana tidak ada pun hasilnya. Maka pencuri itu menjawab, dia akan terus berusaha kerana dia yakin rezeki itu akan ada untuknya suatu hari nanti.

Di sinilah ahli falsafah itu menyedari betapa pencuri itu memiliki sifat-sifat yang amat hebat - daya usaha yang tinggi, tidak berputus asa, sabar, yakin dengan rezekinya dan sebagainya.

Walaupun dari seorang pencuri, kita sebenarnya boleh mencari dan mempelajari sesuatu yang positif. Apatah lagi daripada orang lain yang tidaklah sejahat pencuri ini, yang memiliki ilmu dan kepakaran, mengapa kita tidak belajar dari mereka?

Saturday, 25 June 2011

Forum Surah Yusuf di Kolej Universiti Islam Selangor

Alhamdulillah, syukur kepada Allah Maha Mengatur Urusan Hambanya, Pemuda Iman telah berkesempatan berforum di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bangi semalam (24 Jun 2011). Tajuk yang disampaikan :Kepimpinan dan Cabaran Hidup Remaja mengikut Perspektif Surah Yusuf.

Sekalung tahniah dan terima kasih kepada penganjur, Jabatan Peradaban dan Pemikiran Islam, Akademi Islam KUIS atas jemputan ini. Tidak ketinggalan kepada para pelajar KUIS yang memenuhi segenap ruangan dewan kuliah dan tetap fokus kepada perjalanan majlis sehingga tamat. Syabbas!

Ringkasnya, Pemuda Iman membincangkan empat tema utama Surah Yusuf: Kepentingan ilmu, Perjuangan melawan nafsu syahwat, Usaha dakwah Nabi Yusuf dan Kualiti Kepimpinan Nabi Yusuf. Semoga sama-sama beroleh faedah dan timbul minat untuk memahami Al Quran dengan lebih baik.

Gambar-gambar sekitar forum akan dimuatkan sedikit masa lagi, insyallah, untuk tatapan bersama.

Renung-renungkankan dan amalkan doa Nabi Yusuf pada ayat 101 "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah mengurniakanku sebahagian daripada kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarkanku sebahagian ilmu ta'bir mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkau penguasa dan pelindungku dunia dan akhirat, sempurnakan ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkan aku dengan orang-orang yang Soleh"

Amin ya Rabbal A'lamin

Saturday, 18 June 2011

PROGRAM AKAN DATANG

Tafsir Surah ad-Dhuhaa
18 Jun, 8 mlm
Surau al-Ikhwan, Bandar Pinggiran Putra, Kl.

Muzakarah Riyadhussolihin
19 Jun, 10 pagi
Masjid Alam Damai

Tafsir Surah 'Alam Nasyrah'
19 Jun, 8 mlm
Surau al-Ihsan, Taman Samudera, Bt.Caves

Sunan at-Tirmidzi
20 Jun, 8 mlm
Surau al-Amin, BTHO, Cheras

Sunan Ibn Majah
21 Jun, 8 mlm
Surau al-Kauthar, P18, R13, Putrajaya

Rakaman Bicara TV al-Hijrah 'Israk & Mikraj'
23 Jun, 9 mlm
Masjid Negara, Kl

Forum 'Penghayatan Surah Yusuf'
24 Jun, 8 mlm
KUIS, Selangor

Hadith 40
26 Jun, 8 mlm
Masjid Sg. Sekamat, Kajang

SEMINAR PEMIKIRAN SYED QUTB
16 Julai, 9 pagi
ISTAC, Jalan Duta, Kl.

SEMINAR MINI - Pengajaran Surah Maryam
7 Ogos, 9 pagi
IIS, Saba Islamic Media, Setiawangsa, Kl.