Pages

Tuesday, 2 August 2011

Mencari Kisah Al-Quran Di Bulan Ramadhan #1

KISAH NABI ADAM A.S. DI DALAM AL-QURAN

Seperti yang pernah disebutkan dalam beberapa kuliah dan akaun facebook, Pemuda Iman akan cuba membantu memudahkan anda semua mencari kisah-kisah umat terdahulu - Para Nabi a.s. dan juga yang bukan Nabi) di dalam Al-Quran.

Seringkali ramai yang tercari-cari dalam ayat manakah dan surah manakah kisah-kisah tertentu dalam Al-Quran. Sebagai contoh, apabila saya ingin mengetahui tentang kisah Nabi Musa, apakah agaknya surah dan ayat yang perlu saya baca?

Ini untuk memudahkan penuntut ilmu, pendakwah malah sesiapa sahaja untuk mencari maklumat yang diperlukan tentang sesuatu kisah dari Al-Quran.

Untuk kali ini, pada hari kedua kita berpuasa, Pemuda Iman akan memberikan maklumat tentang kedudukan ayat-ayat dan surah berkaitan Nabi Adam a.s. Maklumat ini diambil daripada beberapa sumber dan yang paling utama ialah buku 'al-Qasas al-Quraaniy' karya Dr.Solah Abd.Fattah al-Khalidi (4 jilid), cetakan Darul Qalam, Syria.

KISAH NABI ADAM A.S. DI DALAM AL-QURAN:

1-Surah al-Baqarah (surah no.1) bermula ayat 30 hingga 39

2-Surah al-A'raaf (surah no.7) bermula ayat 11 hingga 25

3-Surah al-Hijr (surah no.15) bermula ayat 26 hingga 44

4-Surah al-Isra' (surah no.17) bermula ayat 60 hingga 65

5-Surah al-Kahfi (surah no.18) bermula dalam ayat 50

6-Surah Toohaa (surah no.20) bermula ayat 115 hingga 127

7-Surah Sood (surah no.38) bermula ayat 67 hingga 85

Bertemu dalam tulisan akan datang...insya Allah!
Al-AHKAM.NET

&

ISLAMIC INFORMATION & SERVICES FOUNDATION

&

PEMUDA IMAN



menganjurkan



MINI SEMINAR: 'Pengajaran Surah Maryam' Suatu Analisis

Ahli Panel

Ustaz Adlan Abd Aziz (Al-Ahkam.net)

Ustaz Mohd Syauqi Mohd Zahir (UIAM)

dan

Panel Jemputan (TBA)


Tarikh & Masa: Ahad, 7 August 2011, 9:00 A.M to 3:00 P.M


Tempat: IIS Hall, No 1-5-2, Prima Peninsula, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur



Program ini percuma.

Tempat adalah TERHAD!

Daftar di http://iis-ahkam-ramadan.eventbrite.com



Penyertaan adalah melalui pendaftaran SAHAJA!



Sila hubungi Sis Tuty @ email: Tuty.Abu.Bakar@gmail.com atau 017 888 9097 (Isnin - Jumaat: selepas 6 P.M, Sabtu/Ahad: bebas) untuk keterangan lanjut

Selamat Meningkatkan Ilmu Dan Amal!

Sunday, 31 July 2011

Ramadhan Membawa Perubahan

Alhamdulillah, bulan Ramadhan al-Mubarak menjelma lagi buat kita hambaNya yang lemah dan berhajatkan nikmat dan redhaNya. Di kesempatan ini, pemudaiman mengajak kita semua untuk bersama-sama mensyukuri nikmat kehadiran Ramadhan al-Mubarak ini dengan melakukan PERUBAHAN (TRANSFORMASI) terhadap diri sendiri. Melihat kepada hadith-hadith yang menunjukkan situasi Rasulullah SAW di bulan penuh barakah ini, dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah SAW melakukan PERUBAHAN kepada rutin harian baginda di bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW amat banyak sedekahnya, banyak bacaan Al-Qurannya, panjang solat malamnya, banyak Itikafnya, kurang menggauli isteri-isterinya, giat gerak dakwahnya dibulan Ramadahan berbanding bulan-bulan yang lain. Lantas memberi suatu kefahaman kepada kita semua iaitu: Ramadhan membawa PERUBAHAN kepada diri seorang individu yang benar-benar faham tentang falsafah pensyariatan puasa.
Maka, atas dasar nasihat menasihati, pemudaiman mengajak semua: Ayuh! Lakukan PERUBAHAN kebaikan dalam rutin harian kita.


  • kalau sebelum ini makan apa sahaja yang terhidang, ayuh kurung nafsu makan seketat-ketatnya.

  • kalau sebelum ini tidak pernah solat fardhu, ayuh tunaikan kewajipan yang menjadi pemisah antara muslim dan kafir.

  • kalau sebelum ini berpakaian seperti bertelanjang, ayuh menutup aurat sebaiknya.

  • kalau sebelum ini mudahnya marah dilampias kepada orang, ayuh jadilah orang yang paling kuat dimata Rasulullah SAW.

  • kalau sebelum ini mulut selalu terbabas mengata orang, ayuh banyakkan berdiam dari berkata-kata (perhatian buat yang rajin berFB).

  • kalau tidak pernah solat malam, ayuh bangun bertahajud walau dua rakaat sahaja.

  • kalau tidak pernah sentuh al-Quran, ayuh duduk tadabbur KalamNya walau sepotong ayat sahaja.

  • kalau tidak pernah menghulur bantuan, ayuh ringankan tangan untuk memberi walau sebiji tamar buat berbuka.

  • kalau tidak pernah ke masjid, ayuh beriktikaf walau sekadar dua rakaat tahiyyatul masjid.

  • kalau tidak pernah ke majlis ilmu, ayuh mendengar kuliah-kuliah, membelek buku-buku walau kekadang diri lemah sehingga tertidur ketika di majlis itu.

Berazamlah, agar Ramadahan kali ini benar-benar membawa PERUBAHAN. Berdoalah agar PERUBAHAN yang diazamkan itu berkekalan selamanya dan tidak sekadar bermusim.
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dari kami Pemudaiman.

Wednesday, 27 July 2011

Dapatkan Buku-Buku Berikut

SEMUANYA DENGAN HARGA : RM5.00
PENGHANTARAN PERCUMA, HANYA BERIKAN ALAMAT LENGKAP KE : alitantawi@yahoo.com atau alitantawi@gmail.com atau sms pada - 0197105167


1- Ramadhan & Rasulullah s.a.w.




2- Amalan & Zikir Sebelum Tidur



3- 10 Tonggak Remaja Hebat

Sunday, 24 July 2011

2 Syarat Menyatakan Kebenaran


Hasil berbincang dengan sebahagian sahabat-sahabat dalam kelas Bahasa Arab berkaitan 'dakwah', kami mengambil kesimpulan berikut:

Terdapat beberapa syarat dan keperluan untuk menyatakan kebenaran dan menyebarkannya. Namun apa yang menarik perhatian ialah 2 syarat yang dirasakan amat penting:

Pertama - Kesediaan mendengar pandangan pihak lain.

Kedua - Ilmu dan maklumat yang mencukupi untuk menyatakan kebenaran.

Mungkin ini bukanlah segala-galanya dalam dakwah, namun elok kita renungi bersama.

KESEDIAAN MENDENGAR PANDANGAN
Sebahagian yang menceburi alam dakwah menghadapi kesukaran untuk membuka ruang mendengar pandangan dari pihak lain. Terkadang kita dapati pendakwah yang tidak mampu mendengar kritikan. Terkadang kita dapati pendakwah yang tidak mampu menelan teguran. Begitu juga dengan pendakwah yang tidak sanggup mendengar soalan yang mengandungi pelbagai unsur negatif (pada pandangan beliau) sehingga menutup ruang untuk memberi atau bertanya pandangan.
Begitu juga saya sendiri pernah bertemu dengan situasi di mana sebahagian yang mewakili 'dakwah' terus menutup pintu pandangan dengan label - sesat, liberal, sekular, muktazilah dll lagi. Sebaik sahaja mendengar 'intro' terhadap sesuatu pandangan, terus ditutupnya dengan 'label'.
Ini pasti menghalang dakwah yang kita sendiri ingin sampaikan malah mengganggu dakwah orang lain yang mungkin sahaja berbeza dengan kita tetapi dikelompokkan satu kumpulan dengan kita.
Mengapa kita tidak mahu membuka ruang untuk manusia memberikan pandangan, walaupun pandangan itu tidak secocok dengan pegangan kita? Siapa tahu pegangan kita juga tidak 100% mewakili 'kebenaran'?
Perbincangan dan dakwah sukar berlaku dalam situasi tertutup dan menutup sebegini. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berinteraksi dengan keadaan ini dalam cara yang amat baik. Setiap yang memberi pandangan diberikan peluang, dan pandangan itu akan dianalisis sebelum ia diberikan jawapan yang memuaskan dan bersandarkan dalil serta hujah. Pernahkah anda melihat debat atau perbahasan yang menutup ruang untuk satu pihak dan membuka luas ruang untuk pihak lain?

KEBENARAN PERLUKAN ILMU UNTUK BERGANTUNG
Sesekali kita akan bertemu (malah mungkin berkali-kali) mereka yang membawa lencana 'dakwah' yang penuh dengan semangat dan kemahiran teknikal, tetapi satu aspek agak tercicir - ilmu. Mana mungkin dakwah dan perbincangan ilmiah tidak berasaskan ilmu? Ilmiah tanpa ilmu? Maka pendakwah seharusnya memenuhi ruang-ruang kosong dalam dirinya yang belum diisi dengan ilmu dan maklumat berkaitan 'kebenaran' yang dibawanya.
Bagaimana seorang doktor ingin mengubati pesakit tanpa ubat? Bagaimana pendakwah akan mampu menjawab persoalan, menarik pengikut dan juga menyebarkan kebenaran sekiranya dirinya merupakan orang yang hanya tahu teknik tanpa tahu isi kandungan? Luarannya dihias tapi dalamannya kosong?

Semoga 2 syarat ini (berserta syarat-syarat lain) akan diberikan perhatian oleh setiap muslim dan muslimah yang mewakili dakwah atau meletakkan dirinya sebagai agen penyebaran 'kebenaran'. Keberanian itu penting, namun mengisi keberanian itu dengan sikap positif dan ilmu yang kukuh lebih penting.

wallahu a'lam

Thursday, 21 July 2011

Mengenang Sayyid Qutb - Bah. 2


*INI ADALAH SEBAHAGIAN NOTA PEMBENTANGAN 'SEMINAR PEMIKIRAN POLITIK SAYYID QUTB' YG TELAH DIADAKAN PADA 16 JULAI 2011 DI ISTAC, ANJURAN IRF

Mengenang Sayyid Qutb – sorotan kehidupan
Oleh: Adlan Abd. Aziz – pemudaiman.blogspot.com

(Sambungan dari Bah.1)...

Ketika mula sampai di Amerika, Sayyid Qutb menghabiskan masa beberapa bulan untuk mempelajari Bahasa Inggeris bagi memudahkan urusannya iaitu mengkaji sistem pendidikan di sana untuk dimanfaatkan di Mesir. Beliau telah melawat bandar-bandar utama Amerika seperti New York, Colorado, California dan San Fransisco. Sewaktu di sana beliau tetap menulis artikel-artikel yang dicetak dan disebarkan di Mesir. Malah beliau turut menulis dalam sebuah majalah yang diterbitkan di Colorado iaitu majalah 'Fulcrun'. Ketika berada di California, Sayyid mendapat berita kematian Mursyid Am al-Ikhwan al-Muslimun, Imam Hasan al-Banna.
Sayyid Qutb kembali ke Mesir dengan jiwa yang penuh kerinduan terhadap kampung halamannya. Beliau pulang ke Mesir pada tahun 1950. Beliau juga kembali ke Mesir dengan jiwa dan keazaman yang lebih mantap lantas menyebabkan musuh-musuhnya kecewa kerana lawatan ke Amerika nampaknya tidak melunturkan semangat dan keimanan Sayyid Qutb!
Berada di dalam Kementerian yang mengendalikan hal ehwal pendidikan dan pelajaran menyebabkan Sayyid sentiasa berusaha untuk membuat perubahan dan mengusulkan cadangan untuk tujuan penambahbaikan. Namun pelbagai cadangan itu tidak begitu disenangi dan diterima dengan baik. Sayyid menjelaskan bahawa itu adalah di antara sebab beliau meletakkan jawatan sebagaiman ditulis dalam majalah al-Risalah edisi Julai, 1952. Perbezaan pandangan di antara Sayyid Qutb dan pegawai atasan di Kementerian Pelajaran tidak dapat dibendung lagi. Beliau telah menulis surat perletakan jawatan beliau pada tarikh 18 Oktober 1952. Walaupun beliau dipujuk oleh Menteri Pelajaran agar menarik balik perletakan jawatan itu, Sayyid tetap tegas dan tidak berganjak.
Sayyid aktif dalam memberikan ceramah dan juga penulisan berkaitan kesusasteraan Arab dan isu-isu berkaitan bahasa. Kehebatan beliau terserlah sejak beliau masih bergelar penuntut ilmu lagi. Beliau aktif menulis dalam akhbar dan majalah seperti: al-Balagh, al-Jihad, al-Hayat al-Jadidah, al-Ahram, Kaukab as-Syarq, al-Amam, al-Risalah, as-Saqafah, Dar al-Ulum, al-Adib, al-Ikhwan al-Muslimun dan lain-lain lagi. Artikel pertama beliau diterbitkan oleh akhbar al-Balagh, pada tahun 1922 ketika umurnya baru 16 tahun. Penulisan beliau merangkumi artikel berkaitan pelbagai tajuk terutama isu-isu bahasa malah termasuk juga mengarang sajak dan syair. Ia bukan hanya sekadar membentangkan idea tetapi mencabar idea penulis dan pengkritik sastera yang lain. Ini menghasilkan 'peperangan' antara beliau dan penulis dan pengkritik sastera terkenal yang lain seperti: Mustafa Sadiq ar-Rafie, Ahmad Syauqi, Mahmud Syakir, Toha Hussain, Ali at-Tantawi dan lain-lain lagi. Perlu juga dicatatkan bahawa tidak semua majalah dan akhbar itu membayar Sayyid royalti penulisan, malah ada yang dilakukannya tanpa menerima sebarang bayaran.
Sayyid pernah terkesan dengan salah seorang sasterawan terkemuka Mesir – Abbas al-Aqqad – sehingga menyebabkan beliau terlibat dengan Parti al-Wafd tetapi setelah beberapa ketika, Sayyid mula menjauhkan diri dari idea-idea al-Aqqad. Penglibatan Sayyid dalam politik sememangnya bermula dengan Parti al-Wafd yang merupakan di antara parti yang disokong majoriti rakyat Mesir pada waktu itu. Selepas Parti al-Wafd, beliau memasuki Parti as-Sa'diyyin yang merupakan serpihan al-Wafd. Seterusnya Sayyid tidak lagi terlibat dengan mana-mana parti politik walaupun beliau masih lagi berjuang untuk perubahan.
Sebahagian peminat Sayyid Qutb menyangka bahawa penulisan dan pemikiran beliau yang mempunyai ciri Islam bermula sejak beliau menyertai gerakan al-Ikhwan al-Muslimun (IM) sedangkan itu tidak benar sama sekali. Buktinya ialah penulisan beliau yang dihasilkan beliau sebelum menyertai IM (Sayyid menyertai IM pada 1953) telah pun membawa pemikiran Islami seperti :
- artikel 'at-Taswir al-Fanni Fi Al-Quran al-Karim' dalam majalah 'al-Muqtatof' pada tahun 1939.
- Buku 'at-Taswir al-Fanni Fi Al-Quran al-Karim' pada tahun 1945.
- Buku 'Masyahid al-Qiyamah Fi Al-Quran' pada tahun 1947.
- Buku 'al-Adalah al-Ijtima'iyyah Fi al-Islam' pada tahun 1949.
- Buku 'Ma'rakat al-Islam wa ar-Ra'sumaliyyah' pada tahun 1951.
- Buku 'As-Salam al-Alami wa al-Islam' pada tahun 1951.
- Buku 'Dirasaat Islamiyyah' pada tahun 1953.
- Tafsir 'Fi Zilal al-Quran' yang mula ditulis pada 1952 hingga tahun 1954.

Sayyid Qutb mengakui bahawa pemikiran beliau melalui tempoh perkembangan dan terdapat beberapa ketika dalam hidupnya beliau berpegang dengan pemikiran yang tidak beliau redhai selepas itu. Ini juga diakui oleh mereka yang hamper dengannya dan mereka yang sentiasa mengikuti penulisannya. Dr. Solah Abd. Fattah al-Khalidi telah menyebut bahawa tempoh beliau berada dalam proses mencari-cari pemikiran yang sebenar adalah sekitar tahun 1925 hingga 1940. Oleh itu amat perlu bagi mereka yang ingin menilai pemikiran Sayyid Qutb agar melihat kepada tarikh sesuatu penulisan beliau agar tidak pula disalah fahami lalu dikritik tanpa kebenaran. Dr. Solah al-Khalidi juga menyatakan bahawa pemikiran yang sedikit tersasar pada waktu itu tidak langsung menjejaskan akhlak dan amalan Sayyid yang sentiasa menunaikan solat dan mengerjakan perintah Allah SWT. Perubahan Sayyid ke arah idea dan pemikiran Islami yang lebih menyerlah bermula sedikit demi sedikit dan berperingkat.
Setelah menyertai IM, beliau merupakan di antara tokoh penting yang menguruskan pelbagai program ilmu di dalam IM seperti menyelenggarakan cetakan majalah dan memberikan penerangan kepada anggota IM.
Seperkara lagi yang saya rasakan perlu disebut juga ialah tentang tubuh badan dan kesihatan beliau. Sayyid Qutb mengidap pelbagai penyakit dan beliau sentiasa berada dalam keadaan yang lemah dan tidak sihat. Namun yang mengkagumkan ramai ahli ilmu ketika itu ialah bagaimana kesakitan dan kelemahan itu tidak kelihatan dalam karya-karya beliau. Salah seorang tokoh sastera dan dakwah terkemuka zaman ini, Ali at-Tantawi merupakan salah seorang yang begitu kagum dengan kekuatan penulisan Sayyid Qutb dan seolah ia tidak sepadan dengan keadaan badan beliau yang lemah. Ini dinyatakan sendiri oleh Ali at-Tantawi dalam salah satu artikelnya dalam majalah al-Risalah. Rasa takjub juga dirasai oleh seorang lagi tokoh dakwah dan sastera terkemuka dunia Islam, Abu al-Hasan an-Nadwi seperti yang dinyatakan beliau dalam buku 'Mudzakkirat Saa'ih Fi as-Syarq al-Arabiy'. Maka jangan disangka kelemahan dan kesakitan boleh melemahkan semangat mereka yang beriman dan tabah jiwanya.
Beliau memasuki penjara apabila ditangkap kali pertama pada tahun 1954 selama tiga bulan. Kemudian setelah beliau dibebaskan, beliau ditangkap kembali dengan tuduhan baru pada tahun yang sama. Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. Namun begitu, di atas campur tangan Presiden Iraq ketika itu iaitu Abd. Salam Arif, Sayyid dibebaskan pada tahun 1964. Namun setahun berikutnya iaitu pada 1965 beliau ditahan sekali lagi di atas tuduhan merancang pembunuhan Presiden Mesir ketika itu iaitu Jamal Abd. Nasir. Kali ini beliau telah dijatuhkan hukuman bunuh. Sayyid dan beberapa orang rakannya telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Mesir. Hukuman tersebut telah dijalankan pada 29 Ogos 1966.