Pages

Wednesday 12 October 2011

AL-MUHSINUN DALAM AL-QURAN

DEFINISI IHSAN:
Al-Muhsinun merupakan golongan muslim yang bersifat Ihsan. Kalimah Ihsan berasal dari kalimah al-Husn yang bermaksud sifat menjadi baik atau cantik. Lawan bagi kalimah al-Husn ialah al-Qubh (keburukan) dan al-Su’(kejahatan).

Al-Qurán menggunakan kalimah Ihsan dan Muhsinun lebih daripada tujuh puluh kali. Anatara contoh ayat al-Quran tersebut ialah


وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لله وَهُوَ مُحْسِنٌ واتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلاً

Dan tidak ada yang lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya. 4:125


وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوَاْ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. 2:195


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. 29:69

Dari konteks al-Quran, kalimah Ihsan merujuk kepada melakukan sesuatu dengan cara yang oaling sempurna dan terbaik. Imam al-zamakhsyari dalam menafsirkan ayat 16: 90,


إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, 16:90
Beliau menyebutkan: Keadilan bermaksud kefardhuan (al-Fard) kerana keadilan Allah dibuktikan apabila Allah memfardhukan hambaNya dengan sesuatu yang didalam kemampuannya. Maka mereka tiada alasan untuk meninggalkannya. Manakala Ihsan bermaksud amalan sunat (al-Nadb/ al-Nafilah).

Dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan Ihsan dalam al-Quran ialah seorang muslim bukan sekadar melaksanakan kewajipan yang difardhukan ke atasnya oleh Allah SWT (seperti solat lima waktu, puasa sebulan dibulan ramadhan atau zakat ). Tetapi dia juag memberi tambah nilai kepada amalan tersebut dengan melaksanakan amalan sunat seperti solat suant dhuha dan tahajjud, puasa sunat syawal dan sedekah jariah. Justeru, Muhsinun dari konteks ini boleh ditakrifkan sebagai muslimun yang cemerlang amalannya. Pelaksanaan ihsan dalam amalan seorang muslim adalah disebabkan dia mempunyai perasaan dekat dan gerun dengan Allah SWT, sesuai dengan takrifan Nabi Muhammad SAW tentang Ihsan:

(أن تعبد الله كأنك تراه، فإن لم تكن تراه فإنه يراك)

Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, tetapi jika kamu tidak melihatNya, maka sesungguhNya Dia melihat kamu.”

SIFAT AL-MUHSINUN
Al-Quran menyeru muslim agar mempertingkatkan diri kepada Muhsin. Sebagai insentifnya, Allah SWT menjanjikan pahala yang tidak terbayang dan kecintaan yang tertinggi buat mereka yang menjadi Muhsin. FirmanNya:


وَأَحْسِنُوَاْ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. 2:195


إِنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. 9:120


فَآتَاهُمُ اللّهُ ثَوَابَ الدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ الآخِرَةِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan. 3:148

Oleh yang demikian, Al-Quran telah menggariskan sifat-sifat penting yang perlu dimiliki oleh muslim untku mencapai martabat Muhsin. Sifat-sifat tersebut adalah:


1. Taqwa: Taqwa merupakan sifat terpenting bagi mencapai Muhsin kerana banyak ayat Al-Quran yang mengaitkan Taqwa dan Muhsin. Contohnya:


لَيْسَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ جُنَاحٌ فِيمَا طَعِمُواْ إِذَا مَا اتَّقَواْ وَّآمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ ثُمَّ اتَّقَواْ وَّآمَنُواْ ثُمَّ اتَّقَواْ وَّأَحْسَنُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. 5:93
Taqwa bermaksud merasai takut kepada Allah sehingga membangkitkan keinginan melakukan amalan sebanyak mungkin dan menjauhi laranganNya. Sayyidina Ali bin Abi Talib pernah mentakrifkan taqwa sebagai: Takut kepada Allah al-Jalil, beramal dengan Al-Quran (al-Tanzil), merasai cukup dengan sedikit yang ada padanya, dan bersedia untuk hari kematian.


(الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والقناعة بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل)


2. Pemurah dalam berinfaq: Muhsinun Muttaqun melaksanakan infaq samada ketika senang mahupun ketika kesempitan. Pemurah ketika berharta adalah suatu kebiasaan buat muslim. Tetapi pemurah ketika kesempitan harta merupakan amalan paling terpuji keran buka semua muslim mampu melaksanakannya lantaran memikirkan tentang kehendak hidup dirinya sendiri. FirmanNya:


وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (133) الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (134) وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُواْ أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ اللّهُ وَلَمْ يُصِرُّواْ عَلَى مَا فَعَلُواْ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).3:133-135
Ayat lain yang turut menjelaskan kemurahan hati golongan muhsin ini boleh dirujuk pada firmanNya:

آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُحْسِنِينَ 16 كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ 17 وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ 18 وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ 19

(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). 51:16-19

3. Menahan marah dan bersifat pemaaf sesama manusia: Dalam ayat yang sama sebelum ini (3:134), Allah SWT turut menyebut bahawa, Muhsinun adalah mereka yang kuat menahan nafsu marahnya ketika mereka berkuasa melepaskannya. Bukan sekadar itu sahaja, mereka juga mampau memberi kemaafan kepada mereka yang menjadi punca kemarahan tersebut. Kesabaran mereka amat luar biasa. FirmanNya:


وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.11:115


4. Mengingati Allah SWT (al-Zikr) dan sentiasa memohon keampunan daripadaNya (al-Tawbah): Dalam ayat yang sama juga (3:134-135), Allah SWT menjelaskan yang Muhsin tidak pernah lupa kepada Kewujudan, Keadilan,Kemurahan dan Kecintaan Allah SWT. Setiap kali mereka melakukan kesilapa, akan segera mereka kembali kepadaNya tanpa bertangguh. Dan selalunya, bermunajat kepada Allah ketika diawal fajar sepertimana firmanNya:


آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُحْسِنِينَ 16 كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ 17 وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ 18

(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).51:16-18


5. Mendirikan Solat Dan Menunaikan Zakat : Firman Allah SWT:


تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ 2 هُدًى وَرَحْمَةً لِّلْمُحْسِنِينَ 3 الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُم بِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ 4 أُوْلَئِكَ عَلَى هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. 31:2-5
Dalam ayat yang lain, Allah SWT menyebut bahawa mereka turut menunaikan solat sunat dimalam hari.


آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُحْسِنِينَ 16 كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ 17

(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. 51:16-18
Para Mufassir menyebut bahawa kurangnya tidur dikalangan muhsinun adalah disebabkan banyaknya solat diwaktu malam.

CONTOH AL-MUHSINUN
Dalam al-Qurán, Allah SWT telah mensifatkan para NabiNya dengan Ihsan. Antara Nabi tersebut ialah:


1. Nabi Yusuf A.S: Allah SWT memanggil baginda dengan gelaran Al-Muhsin sebanyak lima kali dalam surah yusuf iaitu:
a. Ketika baginda membesar dalam istana pembesar mesir yang membeli baginda:


وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

12:22 Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
b. Ketika dipenjara dipandang mulia oleh banduan lain:


وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجْنَ فَتَيَانَ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّي أَرَانِي أَعْصِرُ خَمْرًا وَقَالَ الآخَرُ إِنِّي أَرَانِي أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِي خُبْزًا تَأْكُلُ الطَّيْرُ مِنْهُ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ


12:36 Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)".
c. Dilantik menjadi penjaga perbendaharaan negara:


وَكَذَلِكَ مَكَّنِّا لِيُوسُفَ فِي الأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاء نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَن نَّشَاء وَلاَ نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. 12:56
d. Abang-abang baginda memandangnya sebagai muhsin.


قَالُواْ يَا أَيُّهَا الْعَزِيزُ إِنَّ لَهُ أَبًا شَيْخًا كَبِيرًا فَخُذْ أَحَدَنَا مَكَانَهُ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

12:78 Merekapun merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi ".
e. Ketika mereka semua dipertemukan kembali oleh Allah SWT.


قَالُواْ أَإِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ قَالَ أَنَاْ يُوسُفُ وَهَـذَا أَخِي قَدْ مَنَّ اللّهُ عَلَيْنَا إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيِصْبِرْ فَإِنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan. 12:90


2. Nabi Nuh A.S: Baginda amat sabar dalam dakwah walaupun mengambil masa yang lama (berdakwah selama 950 tahun) dan hanya sedikit yang mengikutnya. Justeru Allah SWT memuji kesabaran yang ditunjukkan baginda. Baginda adalah contoh pendakwah yang perlu diikuti semua pendakwah.


سَلَامٌ عَلَى نُوحٍ فِي الْعَالَمِينَ 79 إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ 80 إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ 81

Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! " Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik. Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.(37:79-81)


3. Nabi Ibrahim A.S: Baginda dipuji Allah SWT kerana ketenangan dan kesabaran ketikaka menerima arahanNya agar meninggalkan isteri dan anak kecilnya. Kemudian setelah membesar anaknya itu, diuji pula untuk menyembelih anak tersebut.


سَلَامٌ عَلَى إِبْرَاهِيمَ 109 كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ 110 إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ 111

Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. 37:109-111

4. Nabi Musa A.S dan Harun A.S: Allah SWT memuji kedua mereka kerana keberanian dan kesabaran dalam menyampaikan tawhid kepada sejahat-jahat manusia iaitu Firaun.


سَلَامٌ عَلَى مُوسَى وَهَارُونَ 120 إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ 121 إِنَّهُمَا مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ 122

Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!" Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman. 37:120-122
Kesimpulan yang boleh diambil adalah, gelaran al-Muhsinun diberikan Allah SWT kepada mereka diatas kesabaran tinggi, ketenangan, fokus, istiqamah, tawakal yang ditunjukkan dalam tugas mereka iaitu berdakwah.

Wallahu’alam
JADILAH GOLONGAN MESRA AL-QURAN

No comments: