Pages

Friday 26 November 2010

Ulasan Artikel Bicara Agama (Bah.5)

Ulasan kali ini merujuk kepada satu kesimpulan yang dibuat oleh penulis berbunyi:

"Melalui pernyataan Ibn Hajar, Tabari, Ibn Hisham, dan Ibn Hanbal menunjukkan riwayat mengatakan bahawa Aisyah berkahwin dengan Rasulullah ketika berusia enam tahun adalah tidak benar."

Ulasan:

Saya minta pembaca memberikan fokus kepada perkataan 'menunjukkan' dalam pernyataan di atas dan berfikir bersama saya seperti di bawah:

Ayat ini sekiranya dibaca oleh sesiapa yang tidak mempunyai maklumat lanjut, pasti akan difahami bahawa ulama hadith dan sejarah terkemuka iaitu 'Ibn Hajar, Tabari, Ibn Hisham dan Ibn Hanbal telah memberikan pernyataan 'menyokong' dan 'menunjukkan' kepada kesimpulan penulis bahawa riwayat Aisyah r.a. berkahwin ketika umur enam tahun adalah tidak benar.

Namun saya ingin mengajukan persoalan untuk difikirkan bersama:

1- Adakah ini kesimpulan yang difahami penulis atau ada sumber lain yang menyebut sedemikian?

2- Adakah benar empat tokoh itu membawa pernyataan menyokong kesimpulan penulis? Sepatutnya bukan dibawa pernyataan yang 'menunjukkan' tetapi dicari pernyataan yang jelas 'menolak' hadith 'enam tahun'. Itu adalah syarat untuk menggunakan nama-nama tokoh.

IBNU HAJAR MENERIMA DENGAN JELAS KESAHIHAN HADITH 'ENAM TAHUN'
3- Hakikatnya, Ibnu Hajar (wafat 852H) menyokong bahawa hadith perkahwinan Aisyah ketika usia enam tahun adalah sahih dan tidak pernah ditemui oleh ulama bahawa Ibnu Hajar 'menolak' hadith ini dengan jelas. Contohnya kalau kita lihat dalam buku-buku beliau seperti:

a- huraian beliau terhadap Sahih al-Bukhari (iaitu buku bertajuk Fathul Bari) beliau didapati tidak langsung mengkritik apa-apa sudut hadith tersebut. Contohnya, sila rujuk huraian Ibnu Hajar pada hadith Sahih al-Bukhari dalam Kitab al-Manaqib, hadith no.3072.

b- huraian beliau dalam buku yang digunakan oleh penulis sendiri iaitu (Al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah) kita dapati dengan jelas beliau menyatakan sokongan dan membawa sanad atau periwayatan tambahan untuk menyokong maklumat 'enam tahun'. Rujuk al-Isobah dengan melihat kepada biodata Aisyah, juzuk ke 14, bermula muka surat 27 hingga 34, cetakan Dar Hajar, cetakan pertama, Kaherah, tahun 2008.

- tujuan saya ialah membincangkan kembali adakah benar Ibnu Hajar membawa pernyataan yang menyokong kesimpulan penulis...atau sebenarnya Ibnu Hajar membawa beberapa pandangan tetapi penulis hanya mengambil pandangan yang 'seolah' menyokong? Apa pula ceritanya dengan pandangan Ibnu Hajar yang 'jelas' menilai sahih hadith 'enam tahun'? Kenapa tidak dinyatakan?

4- Menyebut pula tokoh kedua, saya ingin bertanya, adakah benar Tabari (wafat 310H) hanya membawa 'satu' pernyataan yang 'menyokong' kesimpulan penulis? Hakikatnya, sesiapa sahaja yang mengetahui dan membaca buku Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau Tarikh al-Tabari akan tahu dengan jelas dan terang bahawa al-Tabari membawa pelbagai pernyataan berkaitan isu ini dan juga isu-isu sejarah lain.

AL-TABARI DENGAN JELAS MENYEBUT AISYAH BERKAHWIN KETIKA 'ENAM TAHUN'
Bagaimana pula dengan pernyataan al-Tabari yang menyebut dengan jelas bahawa Aisyah dikahwini pada usia 'enam tahun'? Mengapa pernyataan itu tidak dinyatakan di sini?
Rujuk Tarikh al-Tabari, jilid 3, muka surat 163 dan 164, cetakan Dar al-Ma'arif, Mesir, cetakan kedua.

- Sekali lagi kita melihat (wallahu a'lam) bahawa penulis mengambil 'satu' pernyataan tokoh iaitu al-Tabari tetapi 'tidak menyebut' sokongan al-Tabari terhadap hadith 'enam tahun'. Mengapa begitu?

5- Berkenaan tokoh ketiga iaitu - Ibnu Hisyam (wafat 213H) - ia juga seperti yang di atas. Pembaca seharusnya diberitahu bahawa Ibnu Hisyam menyebut dengan jelas tentang perkahwinan Aisyah di usia enam tahun dalam bukunya 'Sirah Ibn Hisyam'. Mengapa pula pernyataan itu tidak disebut di sini tetapi menyebut pula bahawa Ibnu Hisyam membawa pernyataan yang 'menunjukkan' hadith 'enam tahun' tidak benar?

IBNU HISYAM JELAS MENYEBUT FAKTA 'ENAM TAHUN'
Ibnu Hisyam untuk makluman semua telah menyatakan dengan jelas di dalam bukunya 'Sirah' ketika menyebut nama isteri-isteri Nabi s.a.w. bahawa Aisyah dikahwini pada usia enam tahun. Rujuk 'Sirah Nabawiyyah' karya Ibn Hisyam (Jilid 4, muka surat 292, cetakan Dar al-Kitab al-Arabiy, cetakan 1990). Maka adakah benar Ibn Hisyam membawa maklumat yang 'menunjukkan' hadith 'enam tahun' tidak benar? Atau sebenarnya apa pandangan Ibn Hisyam? Pembaca perlu diberitahu maklumat yang jelas.

6- Tokoh keempat yang disebutkan ialah Ibn Hanbal dan saya merasakan ia merujuk kepada Imam Ahmad Bin Hanbal, tokoh hadith dan fiqh terkemuka (wafat 241H).

IBN HANBAL MERIWAYATKAN DENGAN JELAS HADITH 'ENAM TAHUN'
Sekiranya benar Ibn Hanbal di sini dimaksudkan Imam Ahmad, saya ingin bertanya kenapa pula tidak disebut bahawa Imam Ahmad meriwayatkan hadith 'enam tahun' dalam bukunya al-Musnad (rujuk Musnad Ahmad, bahagian Musnad Aisyah, hadith no.25609)? Mengapa pula tidak dibangkitkan maklumat bahawa Imam Ahmad (dan juga imam hadith lain) tidak pernah menolak hadith 'enam tahun'?

Kesimpulan yang ingin saya sampaikan ialah:

1- Keempat-empat tokoh ini tidak pernah dibuktikan dengan 'jelas' bahawa mereka menolak haidth Aisyah berkahwin pada usia enam tahun.

2- Malah keempat-empat tokoh ini ditemui dan dibuktikan memberikan pernyataan yang 'jelas' menerima hadith 'enam tahun'. Bertentangan bukan?

3- Pernyataan yang disebutkan penulis ternyata 'tidak menunjukkan' mereka menolak hadith itu malah ia bertentangan dengan apa yang mereka jelaskan dalam pernyataan lain yang 'tidak' disebutkan oleh penulis. Kesimpulan penggunaan perkataan 'menunjukkan' adalah sangkaan penulis semata-mata dan ia mudah diterima bagi mereka yang tidak membuat rujukan susulan.

Nasihat untuk diri dan sahabat:
Jangan kita SEBUTKAN satu pernyataan tetapi LENYAPKAN pernyataan lain yang dinyatakan oleh seseorang tokoh. Pasti sebahagian besar pembaca akan memahami dengan SATU sangkaan bahawa : 4 tokoh ini membawa pernyataan yang menyokong atau 'menunjukkan' penolakan hadith 'enam tahun' sedangkan HAKIKATNYA 4 tokoh ini membawa pernyataan lain yang jelas MENYOKONG KESAHIHAN hadith 'enam tahun'.

MAKA JIKA IBNU HAJAR, AL-TABARI, IBNU HISYAM DAN IBN HANBAL TIDAK 'MENOLAK' HADITH 'ENAM TAHUN' INI, - SIAPAKAH TOKOH ILMUAN ISLAM YANG PERNAH MENOLAK HADITH INI?

wallahu a'lam

No comments: