Pages

Friday, 27 August 2010

JEJAK KASIH


Kelmarin, satu pertemuan yang tidak dirancang telah terjadi di Masjid Wilayah Jalan Duta Kuala Lumpur apabila rancangan pemudaiman untuk bertemu di masjid tersebut bagi memenuhi suatu undangan iftar di segambut telah menemukan kami dengan sahabat baik kami yang telah terpisah hampir 15tahun. Yang Arif Hafiz Hamid(berbaju batik)-bekas ketua kelas 5 mawar SMKAK- merupakan sahabat yang dimaksudkan. Beliau sebelum ini bertugas sebagai hakim mahkamah syari'e di Perlis, Pulau Pinang dan kemudiannya di Negeri Sembilan. Sekarang beliau bertugas ibupejabat Jabatan Kehakiman Syari'e Malaysia Putrajaya. Pemudaiman amat bersyukur dengan pertemuan bersejarah ini. May Allah SWT strengthen our ukhuwwah insyaAllah.

Pemudaiman bersama tokoh pemikir Melayu Islam, Dr Sidek Fadzil (berbaju putih) selepas beliau menyampaikan tazkirah yang amat mengesankan di majlis iftar yang dihadiri pemudaiman.

Thursday, 26 August 2010

MAJLIS IFTAR

Salam, cadangan Majlis Iftar Cikgu Yusof Hassan bersama ex smkak: 29hb Ogos 10 (ahad) kediaman rasmi beliau @ putrajaya. Pohon panjangkan jemputan; confirmkan kehadiran kepada saya. Nizar. Tq
0195527552
(ini merupakan text sms yg diterima ahli pemudaiman. kami ingin memanjangkan jemputan ini kepada semua ex smkak yg sempat dengan cikgu yusof (cikgu cop) untuk sama-sama menghadiri iftar ini. terima kasih)

Wednesday, 25 August 2010

MANHAJ BERINTERAKSI DENGAN RIWAYAT ISRAILIYAT DALAM TAFSIR

Oleh: Mohd Syauqi bin Md Zahir Al-Kulimi
IIUM
(pemudaiman.blogspot.com)

Pengenalan
Kemasukan para pemuka Yahudi dan Nasrani ke dalam Islam di zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan tabi’in telah memberi impak yang baik kepada dakwah Islam yang diusahakan mereka. Ramai orang Yahudi dan Nasrani menuruti jejak langkah mereka untuk masuk Islam. Namun kemasukan mereka bukan sahaja untuk menuruti ajaran Islam. Tetapi mereka turut membawa bersama pengetahuan mengenai kitab-kitab suci mereka iaitu Taurat dan Injil. Oleh itu impak kemasukan mereka turut dirasai melalui khabar dan riwayat dari kitab mereka yang digunakan untuk memahami kisah-kisah yang didiamkan Al-Quran. Israiliyat ini secara umumnya dipandang sebagai suatu pendustaan yang perlu ditolak secara total. Namun seorang muslim perlu memahami adab berinteraksi dengan riwayat Israiliyat sebegini kerana dikhuatiri kita menyanggah Sunnah Nabi SAW dalam isu Israiliyat khususnya dalam mentafsir ayat Al-Quran.

Pembahagian Riwayat Israiliyat
Para ulama tafsir telah bersetuju bahawa terdapat 3 jenis riwayat Israiliyat dalam tafsir Al-Quran:

1. Riwayat Israiliyat yang sahih: Riwayat sebegini bertepatan dengan Al-Quran dan hadith Nabi SAW. Contohnya riwayat mengenai nama Nabi Khidir dan perkhabaran mengenai kedatangan Nabi Muhammad SAW. Riwayat sebegini dibenarkan untuk disebut dan dijadikan sebahagian dari tafsiran Al-Quran kerana tidak mendustakan perkhabaran dalam Al-Quran dan hadith.

2. Riwayat Israiliyat yang dusta dan palsu: Riwayat sebegini bercanggah dengan Al-Quran dan hadith Nabi SAW. Contohnya kisah-kisah yang merosakkan kemaksuman para Nabi. Maka riwayat sebegini dilarang dari disebut melainkan dengan disertakan ulasan mengenai kepalsuan dan pendustaan riwayat tersebut.

3. Riwayat yang tidak diketahui kebenaran atau kepalsuan. Majoriti ulama membenarkannya untuk diriwayatkan dengan syarat tidak membenarkan atau mendustakan riwayat tersebut. Selain itu kebenaran meriwayatnya juga tertakluk kepada isu yang diriwayatkan. Sekiranya berkaitan hukum syariah dan aqidah maka tidak dibenarkan untuk diriwayatkan. Sekiranya sekadar kisah hikayat semata atau sebagai maklumat tambahan maka dibolehkan unuk menyebutnya bersama penerangan sebenar mengenai riwayat tersebut.

Panduan Mengenal Riwayat Israiliyat
Terdapat beberapa manhaj yang boleh digunakan untuk mengenal pasti riwayat Israiliyat yang terkandung dalam kitab-kitab tafsir:

1. Mengenal Periwayat Israiliyat
Riwayat Israiliyat boleh dikenali secara umum dengan mengenal pasti sumber riwayat tersebut. Sumber Israiliyat adalah dari kalangan sahabat dan tabi’in yang memeluk islam dari agama Yahudi dan Nasrani. Terdapat beberapa sumber periwayat Israiliyat yang terkenal dalam kitab-kitab tafsir iaitu:

a. Abdullah Bin Salam (43H): Merupakan salah seorang sahabat baginda yang memeluk Islam ketika ketibaan Nabi di Madinah. Seorang yang diiktiraf keilmuannya dalam kitab Taurat dan Al-Quran serta seorang yang thiqah dikalangan para sahabat Nabi SAW.

b. Ka’ab Al-Ahbar (32H): Memeluk Islam ketika di zaman Khalifah Umar. Seorang yang diiktiraf keilmuaannya sehingga digelar Al-Ahbar (yang berilmu). Mahir dalam tafsir dan juga kitab Taurat. Banyak sahabat baginda SAW banyak meriwayatkan dari beliau. Selain itu Imam Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasai turut meriwayatkan hadith dari beliau menunjukan pengiktirafan mereka terhadap ketokohan dan thiqah beliau dalam ilmu tafsir dan hadith.

c. Wahab Bin Munabbih (110H): Diiktiraf sebagai seorang ulama tabi’in. Ayahnya memeluk Islam di zaman Nabi SAW. Banyak meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah, Abu Sa’id Al-Khudri, Ibnu Abbas, Ibnu Umar. Imam Bukhari, Muslim, Al-Nasai, Al-Tirmizi dan Abu Daud turut meriwayatkan hadith dari beliau. Seorang yang alim dengan kitab Taurat dan turut mengarang kitab. Terhimpun padanya ilmu Abdullah dan Ka’ab. Majoriti ulama mengiktiraf ketokohan dan thiqah beliau.

d. Abdul Malik Abdul Aziz Bin Juraij (150H): Tabi’in yang diiktiraf keilmuannya tapi kekuatan akhlaknya (‘adalah) dipersoalkan oleh majoriti ulama muktabar. Muhammad Husin Al-Zahabi berpendapat agar berhati-hati dengan riwayatnya disebabkan kekuatan akhlaknya beliau yang dipertikai.

e. Muhammad Bin Saib Al-Kalbi, Muqatil Bin Sulaiman, Muhammad Bin Marwan Al-Sudi: Kesemua mereka ini disepakati oleh ulama sebagai pembawa perkhabaran palsu dan dusta yang perlu ditolak segala riwayat mereka. kemasukan mereka dalam Islam berbeza dengan Abdullah bin Salam, Ka’ab al-Ahbar dan Wahab bin Munabbih yang jujur dengan Islam yang dianuti kerana mereka membawa fahaman yang berbeza dan asing dengan Islam.

Perlu difahami bahawa Abdullah bin Salam, Ka’ab al-Ahbar dan Wahab bin Munabbih hanya meriwayatkan apa yang mereka ketahui dari kitab mereka. Dan perlu juga difahami bahawa kitab mereka telah diseleweng oleh para rahib dan paderi mereka. Maka, adalah tidak adil sekiranya ada dikalangan pengkaji ilmu tafsir secara mudah dan dangkal meletakkan kesalahan ke atas mereka tanpa melihat keikhlasan mereka menganut agama Islam dan ketokohan mereka yang diiktiraf para sahabat dan imam hadith. Mungkin kelemahan mereka dalam menyaring riwayat tersebut menyebabkan terpalit pada nama mereka sebagai pendusta Al-Quran. Tetapi peranan yang dimainkan mereka dalam memberi maklumat mengenai kerosakan kitab mereka itu membantu ulama terkemudian mengetahui penyelewengan yang terdapat dalam kitab mereka itu.

2. Kisah-Kisah Dalam Al-Quran
Jika dirujuk kepada kitab-kitab tafsir, kebanyakan riwayat Israiliyat hanya terdapat pada kisah-kisah para Nabi, kisah-kisah kaum terdahulu dan peristiwa-peristiwa penting dalam al-Quran. Oleh kerana sesetengah kisah adalah berbentuk ringkas dan nama para individu yang terlibat kebanyakannya didiamkan Al-Quran, maka wujud keinginan di kalangan sesetengah tabi’in untuk mengetahui lanjut perincian kisah tersebut. Oleh itu, mereka merujuk kepada para alim Yahudi dan Nasrani yang telah memeluk Islam yang mahir tentang kitab Taurat dan Injil. Antara kisah-kisah yang terkenal dengan riwayat Israiliyat ialah: Ashabul Kahfi, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ayyub, Nabi Yusuf, Nabi Idris, Nabi Nuh, Nabi Lut, Zulqarnain , dan sebagainya dari kisah-kisah yang diringkaskan penceritaannya dalam Al-Quran.

3. Ayat Al-Kawniyyah
Isu-isu mengenai rahsia alam turut menjadi persoalan di kalangan sahabat dan tabi’in kerana terdapat banyak ayat Al-Quran yang membicarakan tentang ayat al-kawniyyah. Ayat al-kawniyah bersifat ringkas dan padat namun banyak rahsia yang tidak diketahui dan ingin diketahui oleh manusia. Isu-isu seperti umur dunia, penciptaan matahari dan bulan, langit dan bumi, perubahan musim sejuk dan panas, dan sebagainya menerima pelbagai tafsiran riwayat Israiliyat yang kebanyakkannya bercanggah dengan logik akal.

4. Rahsia Hari Akhirat
Hari akhirat merupakan sebahagian dari kepercayaan seorang muslim kepada perkara-perkara ghaib. Isu-isu seperti bila hari kiamat akan berlaku, keadaan syurga dan neraka, kedatangan yakjuj dan makjuj, dan sebagainya menjadi perhatian para pentafsir untuk melihat riwayat yang terdapat dalam kitab Taurat dan Injil. Ini disebabkan terdapat keinginan untuk mengetahui dengan lebih terperinci mengenai isu ini. Pengaruh Israiliyat dalam isu ini hakikatnya perlu disaring dengan ayat Al-Quran dan panduan hadith yang bersih dari kepalsuan.

Tinjauan Riwayat Israiliyat Dalam Kitab Tafsir
Manhaj interaksi kitab-kitab tafsir ke atas riwayat Israiliyat boleh dibahagikan kepada tiga bentuk:

1. Tidak meriwayatkan langsung Israiliyat: Contohnya Tafsir Al-Manar oleh Syeikh Sayyid Rasyid Ridha. Beliau langsung tidak menyebut sebarang riwayat Israiliyat dalam tafsirnya. Selain itu Tafsir Ahkam Al-Quran oleh Ibnu Al-Arabi Al-Maliki juga tidak menyebut riwayat Israiliyat secara jelas. Cuma beliau mengatakan dalam tafsirnya bahawa ada ulama yang meriwayatkan sesuatu dari bani israil dan kemudian beliau akan ulas dengan tegas agar dijauhi riwayat Israiliyat.

2. Meriwayatkan Israiliyat bersama ulasan: Ruhul Ma’ani oleh Al-Alusi amat tegas dalam memberi ulasan mengenai tafsiran ayat yang mengandungi riwayat Israiliyat. Begitu juga Tafsir Al-Quran Al-Azim oleh Ibn Kathir dan Tafsir Al-Jawahir Al-Hisan Fi Tafsir Al-Quran oleh Al-Sa’labi. Mereka memberi ulasan berbentuk penerangan mengenai kemungkaran dalam setiap riwayat Israiliyat serta menolak sekiranya amat jelas kepalsuannya. Tafsir Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil oleh Al-Baidhawi dan Tafsir Abi Sa’ud pula berbeza dangan yang lain kerana kurang riwayat Israiliyat. Setiap riwayat akan dimulai dengan kalimah ‘rawa’ atau ‘qila’ sebagai isyarat menunjukkan kedhaifan riwayat tersebut. Tafsir Madarik Al-Tanzil Wa Haqaiq Al-Ta’wil oleh Al-Nasafi pula tegas dalam isu riwayat Israiliyat berkenaan keNabian para rasul. Tetapi sekiranya riwayat tersebut tidak menjejaskan aqidah seseorang, maka akan didiamkan sahaja tanpa ulasan. Paling menarik ialah Tafsir Al-Azhar oleh Hamka apabila beliau menyebut banyak kisah Israiliyat namun bersama penilaian yang jelas.

3. Meriwayatkan Israiliyat tanpa ulasan: Tafsir Jamiul Bayan Fi Tafsir Al-Quran oleh Al-Tabari merupakan tafsir bil ma’thur yang besar lengkap dengan sanad pada setiap riwayat hadith termasuk riwayat Israiliyat. Banyak riwayat Israiliyat di dalam tafsir ini. Namun faktor tersebut tidak menjatuhkan nilai tafsir ini kerana para ulama selepasnya mendapat informasi berguna berkenaan riwayat Israiliyat dan boleh mengkajinya. Begitu juga tafsir Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran oleh Al-Qurtubi. Beliau banyak menyebut tafsiran mengenai kisah sehingga kadang-kadang dia turut meriwayatkan Israiliyat tanpa penjelasan. Tafsir Lubab Al-Ta’wil Fi Ma’ani Al-Tanzil oleh Al-Khazin, Al-Siraj Al-Munir oleh Al-Khatib Al-Syarbini juga meriwayatkan banyak Israiliyat tanpa ulasan yang memtashihkan atau mendhaifkan riwayat tersebut. Kecuali Al-Syirbini yang ada mengulas kebatilan riwayat Israiliyat berkenaan keNabian. Tasir Majma’ Bayan Li Ulum Al-Quran oleh Al-Tabarsi merupakan kitab tafsir Syiah yang turut tidak memberi ulasan melainkan isu aqidah yang akan diingatkan tentang pendustaan riwayat tersebut.

Pendirian Pembaca Kitab Tafsir
Analisa terhadap perbincangan berkenaan pembahagian riwayat Israiliyat, periwayat Israiliyat dan manhaj riwayat Israiliyat dalam kitab tafsir memberi panduan yang berguna kepada orang awam yang mahu memahami kebenaran Al-Quran:

1. Riwayat Israiliyat dibenarkan untuk disebut sekiranya tidak mendustakan Al-Quran dan al-Sunnah yang suci serta tidak merosakkan pegangan aqidah seorang muslim. Riwayat sebegini umumnya berbentuk perincian nama-nama individu yang didiamkan Al-Quran. Tetapi, sikap untuk tidak membenarkan atau mendustakan riwayat tersebut perlu juga disebut agar tidak berlaku kecelaruan antara tafsiran yang benar dan riwayat Israiliyat yang bersifat ihtimal.

2. Keutamaan untuk tidak meriwayatkan Israiliyat dalam tafsir Al-Quran adalah yang terbaik bagi kerana tafsiran yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW yang murni, bersama usaha keras para mufassir menggunakan aqal yang dipandu syarat yang tetap, sudah cukup bagi orang Islam memahami mesej yang hendak disampaikan Allah SWT dan RasulNya. Pertambahan maklumat melalui riwayat Israiliyat sebenarnya tidak memberi nilai tambah kepada pentafsiran Al-Quran kerana riwayat Israiliyat yang sahih bilangannya amat sedikit berbanding riwayat yang palsu dan maskut.

3. Sebarang riwayat Israiliyat yang melampau kepalsuannya perlu didustakan dan ditolak dari diriwayatkan oleh mana-mana individu muslim yang beriman dengan kebenaran Al-Quran dan Sunnah. Dikhuatiri sekiranya riwayat sebegini disebut secara meluas akan mengakibatkan kesucian Al-Quran dicemari oleh riwayat yang tidak boleh dipertanggungjawabkan.

4. Sifat suka dan mudah mengecam para sahabat, tabi’in dan ulama terdahulu (mutaqaddimun) yang meriwayatkan Israiliyat dalam tafsir mereka perlu dielakkan. Ketokohan ilmu dan akhlaq mereka yang diiktiraf perlu dipertimbangkan sebelum menuduh secara melulu terhadap hasil kerja mereka. Manhaj yang digunakan mereka sebenarnya membantu kita memahami riwayat Israiliyat yang salah dan palsu yang terdapat dalam kitab taurat dan injil.

Penutup
Dapat difahami di sini bahawa konotasi riwayat Israiliyat telah digambarkan sebagai suatu riwayat yang keseluruhannya batil dan palsu serta diharamkan secara mutlak segala bentuk riwayat dalam tafsir. Sedangkan, analisis terhadap pembahagian riwayat Israiliyat, kedudukan periwayat Israiliyat serta manhaj penggunaan riwayat Israiliyat dalam kitab-kitab tafsir menunjukkan sebaliknya. Apa yang penting ialah keupayaan pengetahuan untuk menyaring setiap riwayat Israiliyat yang didapati dalam kitab-kitab tafsir. Perlu juga perasaan tahzir (berhati-hati) dalam membaca riwayat Israiliyat keranan kebanyakan riwayat adalah terbukti palsu dan dusta.

Rujukan
1. Al-Zahabi, Muhammad Hussin, (2002), Al-Tafsir Wal Mufassirun, Beirut, Dar Al-Yusuf.
2. ________________________, (1990), Al-Israiliyat Fi Al-Tafsir Wa Al-Hadith, Qahirah :Maktabat Wahbah
3. Abu Syahbah, Muhammad Bin Muhammad(1407H), Al-Israiliyat Wal Maudhu’at Fi Kutub Al-Tafsir, Kaherah, Maktabah Al-Sunnah.
4. Al-Uthaimin, Muhammad Bin Salih, (2007), Syarah Usul Fi Al-Tafsir , Al-Mansura, Dar Al-Gahd Al-Jadid.
5. Adam, Rozali, (1985), Al-Quran Antara Tafsir Dan Israiliyat, Kuala Lumpur, Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Monday, 23 August 2010

Rakaman Audio Seminar 'Al-Quran & Israiliyyat'

Pembentangan 1 - Al-Quran & Israiliyyat - klik di sini

Pembentangan 2 - Manhaj Berinteraksi Dengan Riwayat Israiliyyat - klik di sini

Soal Jawab - klik di sini


Selamat mendengar...!

Terima kasih kepada akhi Saiful Iskandar di atas rakaman beliau ini.

Ustaz Adlan - blog , fb

Ustaz Syauqi - blog, fb

Saturday, 14 August 2010

Seminar Al-Quran dan Israiliyyat

ISLAMIC INFORMATION & SERVICES FOUNDATION (IIS)

&

AL-AHKAM.NET

&

PEMUDA IMAN



MENGANJURKAN PROGRAM ILMU SEMPENA RAMADHAN



Tajuk : 'Al-Quran & Israiliyyat'



Oleh :

Ustaz Adlan Abd Aziz

Ustaz Mohd Syauqi Md. Zahir




Antara perkara yang akan dibincangkan oleh ahli-ahli panel adalah seperti di bawah:

Israiliyaat

Sejarah kemunculannya

Cara berinteraksi dengannya



Berminat??? Tempat adalah terhad!!!

Penyertaan adalah melalui pendaftaran sahaja. Sila mendaftar di

http://iis.eventbrite.com

Program ini adalah percuma. Kertas Kerja disediakan.

Sunday, 8 August 2010

Gambar sekitar seminar tafsir Al-Quran

Ust Adlan pembentang pertama mengenai tafsir al-Tabari.



sebahagian peserta seminar ketika tea break


Dr. Ahmad Farouk Musa sedang membentangkan tafsir Muhammad Asad


Ust. Mohd Syauqi pembentang terakhir mengenai tafsir al-Azhar


sesi soal jawab

pic courtesy of bro. fakhrul anwar husin .tq

Saturday, 7 August 2010

PENGHARGAAN

Pada hari ini, bertempat di ISTAC Damansara, pemudaiman.blogspot telah berkesempatan menyertai seminar tafsir Al-Quran anjuran IIUM Institute of Islamic Finance, IRF dan Al-Ahkam.net. Penyertaan kami adalah sebagai penal pembentang kertas kerja iaitu Ustaz Adlan Abdul Aziz (Tafsir al-Tabari) dan Ustaz Mohd Syauqi Md Zahir (Tafsir Al-Azhar), di samping panel utama iaitu Dr. Ahmad Farouk Musa (The Message of al-Quran by Muhammad Asad). Kami ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya Dr. Ahmad Farouk Musa (IRF), Haji Khairul Amin (al-ahkam.net), serta semua ahli jawatankuasa terlibat yang telah bertungkus lumus memastikan kelancaran dan kejayaan seminar yang penting sebegini. Semoga segala usaha kita akan diganjari Allah SWT dan diterima sebagai amal dakwah yang soleh di sisiNya. InsyaAllah.

Kami turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta seminar yang hadir pada seminar tersebut. Harapan kami semoga para peserta mendapat panduan yang jelas tentang pengenalan, kepentingan dan penggunaan tafsir Al-Quran.

Adalah diharapkan program-program wacana ilmiah sebegini dipergiatkan lagi dimasa hadapan. Pihak pemudaiman.blogspot dengan segala kepakaran yang ada akan terus menyokong segala usaha dakwah yang berbentuk ilmiah untuk kebaikan bersama. Kami juga akan terus mengeratkan hubungan dengan organisasi-organisasi yang mempunyai matlamat yang sama demi untuk mempelbagaikan dakwah kepada masyarakat.

jazakallahu khaira jaza.

pemudaiman.blogspot.com.