Pages

Sunday 24 January 2010

Mutiara Wahyu #7 - Kebinatangan Manusia



Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al-A’raf: 179)

Tafsiran ringkas:
Ketentuan Allah SWT mengatasi segala perancangan manusia. Dalam ayat ini Al-imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut bahawa telah diciptakan bagi neraka jahannam Allah itu sejak azali (permulaan kejadian alam) ketentuan bahawa banyak dari kalangan manusia dan jin yang akan menjadi penghuninya. Sebabnya adalah jelas iaitu segala nikmat yang Dia anugerahkan kepada manusia tidak digunakan sepatutnya. Diberi hati tidak mahu memahami kebenaran islam, menolak ajaran islam. Diberi penglihatan tidak mahu melihat alam kejadian ciptaanNya. Diberi pendengaran tidak mahu mendengar ayat-ayat Al-Quran dan nasihat serta peringatan. Seolah-olah mereka ini buta dan tuli terhadap seruan islam. Lalu manusia sebegini disamatarafkan dengan binatang ternakan yang hanya hidup untuk makan, minum, bekerja untuk manusia dan mengawan sesama mereka. Yang diberikan penglihatan dan pendengaran hanya kehidupan dunia. Jadilah mereka lebih sesat dari binatang kerana manusia diberi aqal untuk berfikir dan wahyu untuk diikuti namun tidak kepada binatang. Mereka telah dilalaikan oleh kehidupan dunia.

Ulasan:
1) Neraka dan syurga diciptakan Allah SWT khusus untuk dihuni manusia di akhirat nanti. Tiada tempat lain yang akan dituju. Walaupun Allah telah tentukan sejak azali tentang dimanakah kita akan tinggal, janganlah manusia mudah membuat kesimpulan: “Untuk apa kita beramal kalau kita telah Allah tentukan ke neraka”. Persoalannya: “Adakah kita tahu dengan yakin yang kita akan ke neraka sehingga kita malas beramal?” Maka buatlah pilihan yang tepat.

2) Nikmat penglihatan, pendengaran dan akal fikiran merupakan sebahagian kecil dari selautan nikmat Allah kepada manusia. Merupakan amanah yang perlu ditunaikan dengan seadil yang mungkin. Namun, ramai manusia masa kini yang telah berlaku zalim dengan nikmat-nikmat ini. Nikmat akal fikiran digunakan untuk menjadi kreatif mencari alasan untuk menolak ajaran dan dakwah islam, enggan dan malas berfikir untuk gerak kerja dakwah islam dengan alasan: “alah, biar orang lain la buat, aku banyak komitmen keluarga dan kerja”. Nikmat penglihatan digunakan untuk melihat aurat wanita dengan penuh bernafsu, melihat kejayaan sahabatnya dengan penuh kedengkian, enggan melihat dan memahami kebesaran Allah SWT, melihat dengan benci dan takabbur sahabatnya yang menasihatinya. Nikmat pendengaran digunakan untuk mendengar umpatan, fitnah, pembohongan dan perkataan dan perbualan sia-sia, enggan mendengar nasihat, enggan mengikut ajakan dakwah islam. Allah SWT memberi nikmat-nikmat itu untuk digunakan demi agama Allah SWT dan bukan untuk keseronokan nafsu keduniaan semata. Jangan jadikan nikmat akal, mata dan telinga penyebab kita ke neraka. Apatah lagi peluang untuk berlakunya salahguna nikmat kini amat luas dengan ledakan teknologi maklumat dan media massa.

3) Imam Al-Tabari dalam tasirnya menyebut: Manusia yang akan menghuni neraka Allah SWT ialah mereka yang bersifat dengan sifat kebinatangan! Maksudnya, manusia yang akan menghuni syurga ialah manusia yang bersifat kemanusiaan. Islam ialah ajaran yang memanusiakan manusia. Menolak atau enggan mematuhi islam menjadikan manusia kebinatangan.

Contohnya: manusia jika enggan mengikut ajaran islam maka jadilah manusia binatang buas yang melakukan zina. Bahkan lebih teruk kerana kekadang terdapat segelintir manusia yang hidup dalam budaya homoseksual dan lesbian yang mana tiada binatang pun yang sebegitu gaya hidupnya! Itulah kebinatangan manusia. Manusia berbunuhan kerana tamakkan harta. Binatang berbunuhan untuk mematuhi peraturan ekologi makanan yang telah Allah tentukan bagi mereka. Jadi siapa yang sesat sebenarnya?

Membaca berita-berita mengenai realiti kehidupan manusia di media massa kebelakangan ini memperlihatkan kebenarannya. Manusia makin hilang kemanusiaan. Semakin kebinatangan. Bahkan lebih teruk dari kebinatangan!

Apabila kebinatangan manusia makin terserlah dimerata tempat, maka dunia akan menjadi neraka sebelum neraka di akhirat nanti.Maka dakwah islam telah menjadi wajib ke atas setiap muslim mengikut kemampuan masing-masing selagi manusia belum dimanusiakan kembali!

Mari kita renung kata-kata Pak Hamka bila beliau menafsir ayat ini:
Mereka lalai memerhatikan keselamatan diri mereka di dunia dan akhirat. Mereka lalai sebab itulah tidak diingatnya arti dirinya sebagai manusia. Mereka lalai sehingga hanya ingat soal perutnya berisi. Mereka lalai sehingga berfikir hanya sekitar diri tidak peduli masyarakat, tidak peduli tanahair dan bangsa. Mereka datang ke dunia tidak membawa faedah sesama manusia dan kembali masuk kubur pun tidak membawa kerugian bagi orang lain!

PUSAT ASASI UIAM P.J


Wednesday 20 January 2010

CSI #7 - 2 Nikmat Jarang Dihargai


2 alasan yang kerap digunakan untuk menangguhkan sesuatu tanggungjawab :

sibuk ... dan .... sakit

Alasan ini - tidak kira ia benar atau tidak - adalah alasan yang kerap kita dengari daripada sesiapa sahaja, malah dari diri kita sendiri. Bukanlah saya bermaksud alasan sebegini tidak boleh diterima. Sudah pasti memang ada ketikanya kita benar-benar 'sibuk' dan pasti pada waktu tertentu kita betul-betul 'sakit'.

Namun inilah dua keadaan di mana kita sering terganggu dalam menyelesaikan sesuatu pekerjaan. Jelas sekali inilah yang telah pun diberikan peringatan oleh Rasulullah SAW satu ketika dahulu:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ ، الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksud: Dua nikmat yang mana kebanyakan manusia kerugian padanya ialah : kesihatan dan masa lapang.
[Hadith riwayat al-Bukhari, no.6412]

Ketika sihat - kita mungkin tidak begitu bersungguh menyelesaikan sesuatu, atau tidak memanfaatkan kekuatan badan untuk melakukan perkara-perkara berfaedah sama ada untuk dunia atau akhirat. Tetapi...apabila sakit - keluhan demi keluhan keluar dari mulut kita..dan begitu banyak 'kalau' yang akan kita selitkan dalam setiap ayat.

Ketika lapang - kita mungkin berehat, bersenang-senang, bergembira dan menangguhkan banyak perkara sama ada berkaitan kerja atau berkaitan agama. Tetapi...apabila sibuk - sekali lagi kita akan mendengar rintihan dan keluhan. Berkali-kali kita akan menyebut 'apa nak buat, aku sibuk', 'nanti aku lapang dan 'free', aku buat, aku tolong'. Itulah antara yang berlaku dalam kehidupan.

Sebab itulah Rasulullah SAW menyatakan bahawa ramai manusia terleka dan terpedaya dengan dua nikmat ini.

Ingatlah, kita sekarang - penulis dan pembaca tulisan ini - dalam keadaan SIHAT dan LAPANG...adakah kita benar-benar memanfaatkannya?

Saturday 16 January 2010

Seputar Aktiviti Forum Pemuda Iman

Forum Pemuda Iman Bersama Ustaz Anuar Ridhuan di Kolej Tun Dr Ismail (KTDI), Universiti Kebangsaan Malaysia

Tarikh: 14 Januari 2009
Masa : 9.00 - 11.30 malam
Tempat: Auditorium Fakulti Perubatan, UKM
Tajuk Forum: Dekat di Hati
Anjuran: Jawatankuasa Kebajikan Siswa, Kolej Tun Dr Ismail, UKM Sempena Kempen Semarak Surau Al Razi, KTDI, UKM

Seputar Foto-Foto Forum Dekat di Hati...



Barisan ahli panel forum bersama pengerusi, mahasiswa perubatan Tahun 3



Al Fadhil Ustaz Syauqi sedang meneliti mutiara ilmu yang bakal dilontarkannya...



Al Fadhil Ustaz Adlan Alitantawi serius mengamati butiran forum...



Al Fadhil Ustaz Anuar Ridhuan begitu bersemangat berforum...


Pantun Pemuda Iman kepada Penganjur Forum Dekat di Hati 14 Januari 2010:

Terima kasih daun keladi
Hospitaliti terbaik yang tuan puan beri

Pemuda Iman
Taman Melawati

Thursday 14 January 2010

Menara Minda #5: Tembok Malu Mesir!


Umum mengetahui bahawa rakyat Palestin sudah lama menjadi mangsa kepada polisi-polisi pemerintahan negara Arab yang tidak berhaluan, pengecut dan hipokrit. Begitu juga kita tahu yang negara Israel tidak perlu berbuat apa-apa untuk melaksanakan wawasan, langkah dan objektif mereka. Bersandarkan sokongan Amerika Syarikat, kebisuan di pihak Eropah dan kemandoman rejim-rejim Arab, kita sudah boleh mengagak. Dasar luar kebanyakan negara Arab, di atas sebab-sebab yang mantap, sering digambarkan sebagai “pro-Zionis”. Sifat pengecut dan pengkhianatan mereka tidaklah mengejutkan.

Susulan daripada serangan berdarah ke atas Gaza tahun lalu (penterjemah: 2008) oleh tentera Israel, kita berasa seperti telah menyaksikan kejadian paling buruk pernah disaksikan. Penilaian kita sebenarnya gagal mengambil kira “kedahsyatan” senario yang lebih teruk yang baru sahaja dilahirkan oleh rejim Mesir dan “pihak berkuasa agama” di Universtiti Al-Azhar.

Di atas nama “keselamatan negara”, “kempen menentang keganasan”, dan yang lebih teruk lagi, penentangan terhadap “korupsi”, “penyeludupan” dan “penyeludupan dadah”, kerajaan Mesir sedang membina tembok sedalam dua puluh meter di bawah tanah untuk menyekat penduduk Gaza daripada menjalankan “aktiviti haram” mereka dan daripada mengorek “lubang-lubang tikus”. Takkanlah kerajaan Mesir berniat untuk mengepung penduduk Gaza di dalam lubang neraka mereka (penterjemah: wilayah Gaza), sudah pasti langkah ini bertitik tolak daripada kebimbangan mereka terhadap keselamatan negara!

Begitu lembut hujah ini sehinggakan jawatankuasa pakar agama di al-Azhar segera mengiktiraf langkah kerajaan ini dengan mengumumkannya “sah di sisi Islam” untuk Mesir berbuat demikian demi melindungi sempadannya. (Demikianlah jawapan balas ulama-ulama al-Azhar terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama-Ulama Antarabangsa yang telah memutuskan fatwa yang bertentangan, bahawa langkah Mesir “tidak boleh diterima secara syara’”).

Memalukan! Jadi beginilah rupanya keadilan diperolok-olokkan, bagaimana kuasa dan agama disalahguna. Rakyat Palestin dan kebanyakan penduduk Gaza dinafikan maruah dan hak-hak mereka; direntap bekalan makanan, air dan penjagaan kesihatan asas. Sekarang, kerajaan Mesir menjadi sekutu paling teruk kepada polisi Israel: memencil, menjerut, mengkebulur dan menekap kehidupan masyarakat awam Palestin selepas menghapuskan beratus-ratus yang lainnya.

Tujuannya jelas: untuk mencengkam semua tantangan dan juga memusnahkan kepimpinan Palestin (penterjemah: Hamas). Kerajaan Mesir telah menyekat rombongan-rombongan yang cuba menyampaikan bantuan yang sangat didambakan oleh penduduk Palestin, semata-mata untuk meningkatkan lagi kepungan terhadap Gaza. Gerombolan yang menghimpunkan ratusan lelaki dan wanita dari seluruh dunia di Rafah dihalang bertalu-talu oleh pihak berkuasa Kaherah, disertai strategi Mesir untuk memalukan gerombolan tersebut.


Memalukan! Tidak hairanlah kerajaan Israel bernyanyi dalam diam. Lagipun, satu lagi “proses damai” yang “penuh harapan” telah pun diumumkan! Nanti akan ada sesuatu untuk semua pihak: AS, Arab Saudi dan Mesir hanya berlenggang dalam mendraf satu program baru yang “menyeluruh”.

Memang hebatlah “proses damai” ini; masyarakat awam Gaza telah berbulan-bulan menanggung derita akibat sekatan sebelum pemimpin mereka dijemput mengambil tempat di meja rundingan yang “bebas” dan “saling menghormati”. Israel boleh terus menyanyi: mereka boleh bermain lebih masa tanpa perlu menyumbang walau sedikit pun. Program pendudukan haram rakyat Israel hanya dibekukan sementara – kecuali projek-projek pembinaan yang sudah pun berlangsung, boleh berjalan terus. Susah benar mendapat perundingan yang lebih bagus!

Memang tidak puas walau diulang berkali—kali: bahawa “tembok keselamatan negara” Mesir hanyalah sebuah tembok “yang memalukan”. Pihak berkuasa agama yang memperakukannya juga tidak lebih daripada ulama “jahat” atau majlis agama Islam yang terang-terangan menuruti kuasa, samada kuasa diktator negara itu atau kuasa penjajahan, mahu pun suatu Republik “gaya sendiri” yang pakar memanipulasikan agama. Apa lagi yang mungkin tinggal daripada cebisan kredibiliti mereka sesudah melahirkan “fatwa politik” yang memberi pinjam pengiktirafan Islam kepada ulama-ulama yang menikus terhadap kekuasaan diktator? Berdiam diri adalah jauh lebih baik.

Kita mesti mengutuk perbuatan yang sama sekali tidak boleh diterima ini, dan juga menyokong mereka yang berjuang dengan penuh maruah. Kalaulah kerajaan susulan Israel tahu mengenai satu perkara – yang mana kita mesti bersetuju akannya – iaitu: rakyat Palestin tidak akan pernah menyerah kalah. Bagi mereka yang masih dilamun keraguan, kita mesti menambah kepastian yang satu lagi kepada mereka, iaitulah faktor masa. Sejarah menyebelahi pihak Palestin; merekalah yang melambangkan pengharapan terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang paling mulus: hari ini dan hari-hari seterusnya.

Untuk berjuang menentang penindasan, untuk mempertahan hak-hak mereka dan negara mereka yang diiktiraf, untuk tidak akan tunduk kepada kesombongan dan pembohongan kepada yang berkuasa. Manakala untuk pihak berkuasa Israel, Mesir dan yang lain-lain, untuk fatwa oleh ulama lantikan kerajaan Mesir. Perkara-perkara ini pasti akan berlalu; mereka akan ditinggalkan dan dilupakan. Dilupakan dengan gembira sekali kerana “tugas” memori ingatan bertukar menjadi “pelupa” apabila dihadapkan senarai nama dan tingkah laku para diktator, pengkhianat dan pengecut.

Komentar Terbaru Prof Tariq Ramadan Mengenai Konflik Sempadan di antara Gaza - Mesir (sumber asal: EGYPT/PALESTINE: THE WALL OF SHAME

Terjemahan bebas oleh:
Ahmad Faiz Abdul Latip
Serdang

Tuesday 12 January 2010

Aktiviti Pemuda Iman - Forum 'Dekat Di Hati'

Forum Pengimarahan Surau - Dekat Di Hati


* Khamis - 14 Januari 2010 - 8 malam.

* Auditorium PPUKM, Cheras.

* Panel:

1- Ust. Anuar Ridhuan - UM

2- Ust. Mohd. Shauqi Mohd. Zahir - UIA, penggerak pemudaiman.blogspot.com

3- Ust. Adlan Abd. Aziz - panel www.al-ahkam.net

Semoga segalanya menjadi amalan salih dan ilmu berguna...

Wednesday 6 January 2010

CSI #6 - Khusyuk Solat : Susah, Tapi Tak Mustahil


Memahami maksud khusyuk adalah penting sebelum kita melakukan penilaian adakah solat kita khusyuk atau tidak.

Ada orang kata khusyuk dalam solat ialah solat dalam keadaan 'syok'. Macam tu pulak.

Ada juga yang kata khusyuk bermakna anda 'tidak sedarkan diri' ketika solat.

Ada pula yang kata 'sampai bila pun tak mampu khusyuk'. Awat jadi lagu tu?

Saya juga mungkin tidak dapat memuaskan hati anda untuk menerima takrifan 'khusyuk solat' dengan saya memberikan pandangan peribadi. Berdasarkan huraian para ulama, saya mendapati (ni pandangan manusia yang lemah, boleh difikirkan dulu sebelum terima) bahawa kata kunci pada khusyuk solat ialah 'fokus' atau 'tumpuan'.

Orang yang khusyuk ialah orang yang memberikan tumpuan dalam apa yang dilakukan. Dalam hal ini, solat seseorang yang khusyuk pasti memerlukan dirinya untuk:

sedar apa yang dilakukan...
faham apa yang diucapkan...
menghayati bahawa solat adalah proses beribadah dan berdoa kepada Allah...

Namun para ulama juga (sebagaimana huraian Ibnu Hajar dalam Fathul Bari) telah menyatakan bahawa memang kita akan selalu hilang 'fokus' ketika solat. Menurut ulama, janganlah sampai kita tidak sedar dan terlalu hilang fokus. Kadang-kadang tu takpa, kerana kita manusia biasa.

Cuma saya ingin akhiri tulisan saya yang ringkas ini dengan mengajak diri saya dan pembaca sekelian agar merenungi sebuah hadith yang mempunyai kaitan langsung dengan apa yang kita sedang fikirkan bersama iaitu 'khusyuk solat':

Sabda Rasulullah SAW :

مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِى هَذَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ، لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya:
Sesiapa yang berwudhuk seperti wudhuk aku ini, kemudian dia solat dua rakaat - dia tidak bercakap dengan dirinya dalam kedua rakaat itu - akan diampunkan untuknya dosanya.

[Hadith riwayat al-Bukhari, no.159 dan Muslim, no.560]

Mari kita renungkan dan fikirkan potongan hadith : 'dia tidak bercakap dengan dirinya dalam kedua rakaat itu'. Maksudnya (seperti yang dihuraikan oleh Imam al-Nawawi) dia cuba untuk menahan dirinya daripada berfikir tentang selain solat. Kecuali perkara yang berbentuk lintasan hati yang tidak dapat dielakkan, itu dimaafkan (Fathul Bari, huraian dalam Bab Wudhu')

Mungkin inilah sebahagian maksud khusyuk, fokus dan tumpuan dalam solat. Sesiapa yang mampu mengawalnya dengan kadar yang banyak, maka beruntunglah dia. Sesiapa yang tidak mampu melainkan beberapa ketika, bersyukurlah!

Susah, tapi tak mustahil!

Monday 4 January 2010

ISU PENGGUNAAN NAMA ‘ALLAH’



Isu penggunaan nama ‘Allah’ dalam akhbar Herald: the Catholic Weekly telah menjadi buah mulut masyarakat islam di Malaysia keseluruhannya. Banyak pihak antaranya pihak kerajaan, parti politik, NGO-NGO, para alim ulama telah memberi pandangan masing-masing berkenaan isu tersebut. Buat masa ini pihak kerajaan sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang dengan membuat rayuan ke atas keputusan mahkamah tinggi Kuala lumpur yang membenarkan akhbar berkenaan menggunakan perkataan ‘Allah’ atas asas hak berpelembagaan.

Pemudaiman tepanggil memberikan ulasan ringkas terhadap isu tersebut. Ulasan ini adalah atas dasar rasa bertanggungjawab terhadap usaha mempertahankan kesucian Islam yang merupakan sebahagian dari usaha dakwah Islamiyyah yang kami usahakan selama ini:

1) Dari aspek agama memang bukan menjadi kesalahan bagi golongan kafir menggunakan perkataan ‘Allah’ bagi merujuk ‘tuhan yang mencipta’ sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf ayat 87: Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (kafir): "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan?

2) Namun bagi masyarakat beragama Kristian (merujuk kepada akhbar mingguan Kristian, Herald), mereka dalam hal ini turut beriman dengan konsep Trinity sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 73: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

3) Oleh yang demikian, walaupun dalam Al-Quran, mereka merujuk tuhan yang mencipta sebagai Allah, namun kepercayaan mereka itu tidak sama dan bertentangan dengan konsep Tawhid dalam Islam yang meletakkan asas ke-Esa-an Allah dalam Rububiyyah, Asma wa Sifat dan Uluhiyyah.

4) Mengapa sekarang mereka menggunakan nama ‘Allah’ dalam merujuk kepada ‘God’yang mereka percaya.

5) Adalah dikhuatiri penggunaan nama Allah akan dimanipulasi untuk gerakan missionary bagi memurtadkan umat Islam di Malaysia yang kini terdedah dengan gerakan religious liberalism dan pluralism yang meletakkan agama Islam sebagai sama dengan agama-agama lain di dunia.

6) Justeru, atas prinsip mencegah sesuatu yang buruk dari berlaku (saddus zara’i) dan prinsip mencegah kemudharatan dari menimpa masyarakat Islam di Malaysia, maka pemudaiman menyokong penuh sebarang usaha dan gerakan dari mana-mana pihak bagi mempertahankan penggunaan nama Allah adalah khusus bagi umat Islam.

Pemuda Iman
4 January 2010

Friday 1 January 2010

Mutiara Wahyu #6 - Pemakan Bangkai



Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi

Firman Allah Ta’ala:
Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari buruk sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat, 49:12)

Al-Imam Ibn al-Qayyim menyebut: “Ayat ini adalah satu bentuk perumpamaan yang terbaik, yang menyamakan perbuatan mengoyakkan maruah saudara seislam dengan perbuatan mengoyakkan daging saudara seislam itu sendiri! Dan daging itu dimakan selepas ruh saudaranya itu telah tiada (mati). Saudara yang diumpat itu pula tidak mampu mempetahankan dirinya ketika diumpat seumpama sekujur tubuh yang tidak mampu mempertahankan dagingnya dikoyak dan dimamah oleh saudaranya sendiri!

Betapa jijik dan kejinya perbuatan mengumpat yang digambarkan Allah SWT dalam ayat di atas. Betapa indah dan cantiknya perumpamaan yang Allah SWT bentangkan dihadapan kita, yang menyentuh 2 bentuk fitrah manusia. Fitrah mengumpat (al-Ghibah) dan fitrah makan.

Sudah menjadi fitrah manusia suka memperkatakan keburukan orang lain, lebih dari suka muhasabah keburukan diri sendiri. Umpama kata pepatah melayu: Kuman seberang sungai nampak tapi gajah depan mata tak nampak!

Dalam ayat di atas, Allah SWT menghina sang pengumpat dengan penghinaan yang amat jijik. Digambarkan dia seolah-olah suka memakan bangkai saudara yang diumpatnya. Allah SWT menggunakan perumpamaan dalam bentuk persoalan (qiyas tamsili). Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Perkataan “suka” (al-hubb) ini menggambarkan yang manusia memang suka mengumpat. Sebab itu ada hadith dalam Riyadhussalihin karangan Imam Nawawi yang menyebut bahawa ada situasi dimana mengumpat dibenarkan, menunjukkan secara fitrahnya itulah manusia! Suka menyebut keburukan orang lain, bertujuan menghina bukan membina. Dilakukan di belakang, bukan di hadapan yang diumpat itu.

Allah SWT menjawab selepas persoalan itu dengan penafian (al-inkar): Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Perkataan jijik (al-kurhu) ini menggambarkan yang manusia secara fitrahnya jijik memakan bangkai (kotor). Itulah fitrah manusia. Perlukan makanan, tetapi makanan yang bersih, suci lagi murni (halalan toyyiba), bukan makanan yang kotor, yang belum dimasak, yang telah reput dan berulat.

Mengapa Allah SWT menyamakan perbuatan mengumpat dengan makan? Seolah-olah mengumpat itu amat mudah dan disukai manusia seperti mana mudahnya dan sukanya manusia makan sesuatu makanan. Seolah-olah mengumpat itu perlu ada dalam hidup sepertimana makanan itu perlu untuk manusia terus hidup. Sehingga ada kata-kata: “life has no color without backbiting”.

Justeru, ayat ini membawa 2 maksud:
1) Kalau kita tidak merasa jijik memakan bangkai saudara yang diumpat, maka silalah untuk terus mengumpat. Kalau kita jenis yang sukakan benda kotor (hanya ada seekor sahaja makhluq Allah yang suka makan benda kotor..), maka teruslah dengan aktiviti membuka keaiban saudara seislam dibelakangnya.

2) Kalau kita merasa jijik memakan bangkai saudara seislam kita, maka haramkan diri dari terus mengumpat sepertimana kita mengharamkan diri kita secara fitrah dari memakan bangkai saudara seislam kita. Bencilah perbuatan mengoyak maruah saudara kita dibelakangnya sepertimana kita benci mengoyak dagingnya!

Ubahlah keinginan mengumpat itu dengan berkata baik tentang saudara kita walaupun kita membencinya, walaupun dia musuh kita. Kalau ada sahabat kita yang mula mengumpat, ubahlah tajuk dengan menceritakan kebaikan saudara kita itu. Hakikatnya, kepuasan mengumpat orang tidak sama dengan kepuasan memuji orang tersebut.
Selamat mencuba!

Kota Damansara
8.00 pm