Pages

Saturday 31 October 2009

CSI #2 - Makanan Pun Tak Boleh Dihina


oleh : Adlan Bin Abd. Aziz

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - قَالَ مَا عَابَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - طَعَامًا قَطُّ ، إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ ، وَإِلاَّ تَرَكَهُ

Maksudnya:
Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah SAW tidak menghina apa-apa makanan pun. Jika Baginda inginkan makanan itu, dia akan memakannya. Jika Baginda tidak menginginkannya, dia akan meninggalkannya.
[Hadith Riwayat al-Bukhari - no.3563, dan Muslim – no.5504]

Hadith ini walaupun berkaitan soal makanan, tetapi maksudnya amat mendalam dan boleh dijadikan pengajaran dalam pelbagai sudut. Di antaranya ialah bagaimana Rasulullah SAW memberikan contoh kepada kita agar bersama menjaga lidah dan percakapan.

Saya terfikir dan saya ingin anda juga berfikir – kalaulah makanan pun tidak patut kita hina dan caci atau kutuk, apatah lagi manusia! Makanan yang tidak berakal dan tidak langsung terjejas dengan cacian dan kejian pun TIDAK patut dihina, inikan pula manusia seperti saya dan anda!

Marilah kita bersama membaca hadith ini dan hadith-hadith yang lain untuk kita jadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik. Memang kita tak akan dapat menyamai Baginda kerana Baginda adalah yang terbaik. Tetapi apa alasan kita untuk sentiasa berkata ‘nak buat lagu mana, saya ni setakat ni saja la’? Seolah kita sudah berputus asa untuk mencontohi kehidupan yang dibawa oleh Baginda?

Jawapannya ialah sememangnya Baginda diutuskan untuk kita. Maka berusahalah untuk mempelajari kehidupannya dan dari situlah kita akan dapat mengenal pasti apakah sudut-sudut yang perlu kita amalkan berpandukan ajaran Baginda SAW.

Sebahagian dari kita tidak dapat menahan diri daripada menghina sesuatu atau seseorang. Ini satu sikap yang tidak sepatutnya menjadi ‘tabiat’. Biarlah ia menjadi satu ‘kesilapan’ yang dilakukan sesekali dan dengan secepat mungkin kita mengakuinya dan meninggalkannya. Biasalah kalau kita terkadang tersasul mengutuk makanan yang tidak sedap, kurang garam, kurang enak, tidak cukup itu dan ini. Sepatutnya kita tidak begitu tetapi itulah kita! Maka bandingkanlah diri kita dengan akhlak Rasulullah SAW di dalam hadith di atas.

Begitu juga sebahagian daripada kita amat suka dan ‘syok’ apabila berbicara tentang keburukan, keaiban dan kekurangan orang lain. Seolah kita ini terlalu sempurna, seolah kita amat hebat sehingga tidak ada masa untuk memperbaiki diri, tetapi sempat pula menghina orang lain!

Kalau kita boleh mengubah hidup kita dalam pelbagai segi, apalah sangat kita ubah diri kita agar tidak lagi menghina sesuatu atau seseorang hanya kerana kita menganggap ia tidak sesuai dengan diri kita.

Berfikirlah untuk menghargai sesuatu sebelum mencari keaiban atau kekurangan seseorang. Ini nasihat untuk saya dan kita bersama.

Wednesday 28 October 2009

Bayt Muslim #2 - Rumahtangga Dan Seninya


Oleh: Mohd. Fikri Bin Abd. Rahman @ matpikiaq77

Kugerakkan kalam ini menitipkan sinambungan bicara yang lalu.

Kumelihat pergolakan rumahtangga dasawarsa ini bukan sahaja terpalit pada mereka diusia senja bahkan mereka ditahun jagung turut jua terpalit dengan krisis ini.

Keterlibatanku sebagai pengamal undang-undang sivil dan syarie, terpanggil mengendalikan kes-kes kerencatan rumahtangga yang boleh kuandaikan bak dihujung tanduk, menanti rebah tersungkur ke bumi dek kerna hambatan ribut taufan kencang yang melanda.

Pokoknya, mengapakah krisis ini sering berlaku, hilangkah sudah kasih sayang yang terbina di alam percintaan suatu waktu dahulu, mungkinkah wujudnya “pengacau” yang hadir meng’hawarkan’ dan meng’harubirukan’ kerukunan rumahtangga itu, mungkinkah jua kecetekan ilmu adanya camputangan ibubapa dan mertua yang gagal membimbing anak menantu dalam menghadapi saat kecemasan ini.

Pena ini merasakan bukan ahli yang selayaknya dalam menafsilkan apa yang berlaku, sebagai manusia yang terbatasnya ilmu dan persis dikurniakan akal dan wahyu sebagai panduan dalam melayari bahtera rumantangga, masakan kita bisa melupakan detik-detik nan indah sebelum dan dalam tempoh perkahwinan itu.

Kalam ini pernah mengendalikan pelbagai kes permohonan cerai dari sang istri kepada sang arjunanya alasannya tiada lagi persefahaman dalam rumahtangga, kuhadir sebagai pengacara (peguam syarie) dipihak sang suami dan ada masanya dipihak sang istri, aku melihat, merasai dan menghadapi saat-saat getir sang suami dinafikan hak untuk mendambakan kasih anak-anak tercinta, kulihat sang istri ditinggallkan tergantung tak bertali oleh sang suami yang durjana, dan ku melihat nasib masa depan anak-anak yang kian suram, apakah JADAHnya ini semua? bukankah semua ini tercerna dari kelompongan rumahtangga itu mempamirkan tiadanya seni berumahtangga yang mewarnai dan mengulit rapat kerukunan rumahtangga itu.

Teropong ajaib ini aku putarkan 360darjah menelusuri sirah Nabawiah, lupakah atau sengaja dilupakan bahawa Kekasih tercinta Muhammad Al-Amin seorang pencinta yang agung, suami yang terbaik lagi penyayang, bahkan sirah Baginda SAW jika kita terobosi, hadami dengan sebaik-baiknya nescaya kita kan menjadi pengikut Baginda yang setia.

7Baginda sebaik-baik teladan dalam berumahtangga, Baginda ketua keluarga yang setia mendidik, mentarbiah dan membimbing ahlinya, namun kita yang jahil murakab ini terlalu sombong dan bongkak untuk mengambil petunjuk teladan Baginda, kita agungkan insan lain melebihi sunnah Baginda, lantas jadilah kita sebagaimana kita, hanyut di teratai yang layu tanpa panduan wahyu….

Apa yang ada dalam kotak pemikiran kita bila mendengar Baginda pernah mandi bersama isteri-isteri, tegakah kita berbuat sedemikian menzahirkan kasih dan cinta kita buat pasangan kita, pernahkan mendengar Muhammad berlumbaan dengan isterinya, terkadang sengaja dibiarkan isterinya menjuarai, pernahkan terdengar Muhammad memanggil isterinya dengan panggilan yang sangat manja persis Humaira’ (sipipi yang merah) membuat si Aishah R.A yang manja itu tak keruan jadinya dan tersipu-sipu malu dek kerna panggilan itu, kalau nak dititipkan ‘qasais’ kasih sayang Baginda memang terlalu sukar pena ini untuk luahkan bahkan segala yang hebat yang pasti ada pada Baginda.

Lantas untuk apa semua ini pada kita, bagi mereka yang benar-benar memahami kehendak dan ‘ibrah’ yang diterapkan oleh Baginda, itulah seni dalam keluarga yang dipancarkan Baginda melalui perbuatan dan perkataan Baginda.

Kucuba lontarkan pada pembaca yang budiman perbincangan kesenian dalam berumahtangga yang mungkin tanpa kita sedari atau alpa dan tidak pernah cuba untuk mengamalkannya dalam kehidupan kita.

Penaku yang kerdil ini cuba untuk mengupas beberapa pedoman dan bimbingan sebagai peringatan kita bersama, teladan Baginda yang agung dilestarikan dengan pedoman orang-orang tua yang meng’garam’ terlebih dahulu sebelum kita.

Kumulakan langkah seniku dengan yang pertama “Persefahaman” dalam berumahtangga, mungkin bagi setiap pasangan punyai pengertiaan yang berbeda tentang hakikat dan makna persefahaman, tapi yakinilah ini adalah faktor utama perceraian di mahkamah syariah kita. Sang istri tampil ke hadapan Qadhi (Hakim Syarie) mewar-warkan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Kulanjutkan bicaraku untuk menghuraikan apakah persefahaman sebenarnya menurut hakikat bahasa itu sendiri. Ada yang mengatakan bahawa tiada persefahaman bila sang arjuna sudah hilang sayangnya atau enggak memperdulikan sang istri, pudarnya talian komunikasi, tidur tak sebantal, makan tak bersuap, mandi tidak sekain, sang arjuna gagal sempurnakan tanggungjawab batinnya, semua ini lontaran dari sebab-sebab tiadanya persefahaman dalam keluarga.

Kunyalakan lantenku untuk menerobos puncanya terjadinya dan hilangnya seni kekeluargaan ini, aku terdetik bagaimana Muhammad punya lebih dari empat orang istri bisa mengimbangi, membimbing dan mentarbiah semuanya dengan cemerlang, ku jua melihat Pak Akob di kampung ku kira sudah menjangkau usia senja 70 tahun masih bisa hidup tersenyum kerenyeh menjamah kopi “o” pekat dan cucuq kodok Mak Temah yang giginya sudah tidak bisa mahu menetap tinggal digusinya.

Kenapa dan mengapa Pak Akob dan Mak Temah punyai seramai 10 orang anak-anak yang telah berjaya menjadi doktor, peguam, jurutera, guru dan lain-lain masih bisa terus hidup dalam kerukunan rumahtangga yang harmoni walaupun Mak Temah bukannya bidadari umpama “Cleopatra” tapi kasih dan cinta Pak Akob tulus mulus dan kudus buat istrinya tercinta.

Aku termanggu dan terkedu untuk menitipkan kisah Pak Akob dan Mak Temah nun jauh di desa yang terperok jauh dari hiruk pikuk kota, tidak pernahkan Pak Akob bermasam muka dengan Mak Temah? Tidak pernahkan Mak Temah merajuk kepada Pak Akob? Tidak pernahkan Pak Akob lancar mengucapkan lafaz kata talak berbisa buat istrinya? Jawapannya Tidak, Tidak dan Tidak.

Tapi aku bingung resepi dan ramuan apakah yang dipakai Pak Mat dan Mak Temah dan seni rumahtangga mereka terlalu utuh hatta tidak rebah dek dilanda taufan yang kencang, tidak rebah dek gempa bumi pada kadar 6.8 skala rechta, apa semua ini, aku bingung, kaget persis orang asli jakun melihat ketinggian KLCC nun menjulang tinggi tak tercapai dek gapaian tangan keawan tapi jawapannya ya itu pasti apa yang kucari KESENIAN dalam BERUMAHTANGGA.

Pak Akob tidak mengalungkan Mak Temah segala kemewahan dunia, emas dan permata dari hujung rambut hingga ke hujung kaki persis Mami Jarum, Pak Akob tidak mewarnai Mak Temah dengan kilauan intan berlian, tanah berelong-relong luasnya, pakaian yang bergemilapan warnyanya, bahkan persalinan Mak Temah cukup ala kadar setiap kali menjelang Hari Raya Pak Akob hadiahkan sepersalinan yang dibeli dari kedai Ah Kow di pekan di kaki bukit itu.

Mak Temah tidak pernah mendambakan selain dari kasih yang tulus, mulus dan kudus dari suami tercinta, bahkan Mak Temah sang setia yang sedia menemani suami tercinta dalam susah dalam duka walaupun Mak Temah bukannya pemegang B.A, M.A atau Phd seperti kita.

Kisah hidup Pak Akob dan Mak Temah juga sangat indah, Pak Akob bukan orang yang berada, bahkan tanah sekangkang kera itulah dia membesarkan sepuluh insan yang kini berjaya menjadi manusia yang sempurna. Mak Temah pula membantu Pak Akob menjaja kueh-mueh sekitar kampung menampung belanja suami di dapur, tapi aku kaget bagaimana keduanya mampu meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan dalam penuh ketenangan.

Kucari-cari satu persatu kuselak helaian demi helaian kisah hidup Pak Akob, kuterjumpa apa yang kuungkap sebagai SENI RUMAHTANGGA, Pak Akob hanya sorang tua yang serba kekurangan tapi pergantungannya dengan Tuhan segala isi dunia ini sangat kudus, kulihat anak-anak dididik didikan agama yang sempurna sedari 7 tahun, dihiasi diri mereka nur Al-Quran, dibasahi lidah mereka zikir Lailahaillah, diruntuni jiwa mereka dengan inti anak soleh, dibajai hati mereka rezeki yang halal, dan dipasakkan hati nurani mereka kasih sayang cinta kepada Allah dan Rasul mengatasi segala-galanya.

Sekarang baru kufahami apakah erti seni kekeluargaan itu, bahkan aku sangat mendambakan seumpanya hidup subur mewangi di dalam ahliku moga-moga kisah Pak Akob menjadi nadi yang berdenyut kencang dalam urat sarafku dan memberi kekuatan padaku membentuk sebuah keluarga yang sakinah di dunia dan akhirat.

Akan kuteruskan pengembaraan ini untuk menjelaskan seni kekeluargaan yang selanjutnya dalam edisi pertemuan kita yang mendatang, moga-moga dipanjangkan usia untuk kita ketemuan….

Monday 26 October 2009

CSI #1 - Hilangkan 'Mata Kebencian'


Cahaya Suluh Iman....

Oleh: Adlan Bin Abd. Aziz

لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Maksudnya:
Jangan sesekali engkau memandang remeh sesuatu perkara yang baik, walaupun sekadar engkau bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang manis.
[Hadith riwayat Imam Muslim – no.6857]

Seringkali saya dan anda bertemu dengan orang-orang yang suka memperlekehkan orang lain. Apabila bertemu dengan orang yang suka menderma, ‘la, kalau setakat tu baik tak payah derma’. Berjumpa dengan orang yang berpakaian lusuh, ‘pakai la bagi elok sikit, belemoih!’. Terserempak pula dengan orang berpakaian kemas dan mewah, ‘sombong, belagak!’. Bertemu pula dengan orang yang menulis, ‘buku macam tu pun nak tulis, sapa-sapa pun boleh tulis’. Bertembung dengan orang yang berceramah, ‘ceramah la elok-elok sikit, aku pun boleh kalau macam tu’. Masalahnya, kalau hang boleh buat, awat hang tak buat? At least he did something good. What about you? What about now? (Daughtry)

Kita kena bezakan antara orang yang ‘nak buat’, dengan orang yang ‘telah buat’. Dan sudah pasti orang yang ‘telah buat’ lebih maju! Ibarat dia berlari-lari anak, sedikit demi sedikit pasti dia lebih ke hadapan dari kita yang masih lagi berdiri tegak menegur orang itu dan orang ini. Awat hang jadi lagu tu?

Kita juga perlu sangat-sangat memahami peringkat demi peringkat yang dilalui dalam hidup. Takkanlah sebuah institut tahfiz akan melahirkan pakar dalam Al-Quran pada tahun pertama ia ditubuhkan? Kalau hari ini seorang ibu melahirkan anak, berpuluh tahun masanya barulah anak itu akan menjadi ‘somebody’ atau ‘nobody’. Jangan pandang remeh perkara yang baik!

Seperkara lagi, kita memandang dari sudut diri kita sahaja. Sedangkan penilaian mesti dilihat daripada semua sudut. Kita sama-sama tahu kisah orang-orang yang menutup mata lalu memegang satu bahagian badan gajah. Maka amat perlu kita mendengar dan mengambil kira pandangan banyak pihak sebelum memberikan penilaian. Inilah keadilan namanya!

Rasulullah SAW mendidik kita –melalui hadith ini dan hadith-hadith lain- agar kita menjadi seseorang yang pandai menghargai perkara kebaikan. Apalah gunanya akal dan ilmu kalau kita tidak pandai menilai dan menghargai? Appreciation merupakan satu asas yang utama dalam psychology khususnya bidang ‘changing human behavior’. Kalau asyik memandang negatif, sudah pasti ‘semua’ perkara dalam dunia ini ‘tidak patut, tidak lengkap, tidak bagus…’.

Menurut sebuah syair arab yang dikatakan bersumber daripada Imam Muhammad Bin Idris al-Syafie (wafat 204H):

وعين الرضا عن كل عيب كليلة
ولكن عين السخط تبدي المساويا

Intinya: Mata keredhaan lesu mencari keaiban, tetapi mata kebencian akan mencari-cari pula keburukan.

Dalam hadith di atas tadi disebutkan istilah ‘al-ma’ruf’ iaitu semua perkara yang baik di sisi syariat dan akal. Kita perlu belajar menghargai perkara baik kerana walau pun ia kecil, ia tetap sesuatu yang ‘baik’. Begitu juga di dalam hadith yang amat mendalam maknanya ini Rasulullah SAW memberikan contoh – bertemu saudara seagama dengan wajah yang ceria. Itu saja? Ya, memang itu sahaja dan itu amat besar serta bernilai – pada orang yang pandai menghargai kebaikan!

Kajang, 5.52 petang, 24 Okt.

Friday 23 October 2009

Menara Minda #1 - Bukan Sekadar Pertemuan Klasik...


Oleh: Ahmad Faiz bin Abdul Latip@faizalm

Temuilah mana-mana orang muda yang sihat dan cergas; persamaan mereka ini suka berkawan, bergelak riuh rendah dan lepak-lepak di kedai mamak sambil menonton perlawanan bola sepak English Premier League sehingga dinihari. Itu biasa, style klasik. Pasti mereka puas dan girang tatkala pecah derai tawa dihantar jauh bersipongang ke merata ceruk pekan. Walaupun banyak mata memerhati mereka dengan rasa hati yang tidak puas, mereka tidak entang. Getus hati: Aku punya kawan-kawan yang hebat di sisi! Alan pakar sejarah, Anif software engineer, Zahiri lecturer di International University! Lantaklah, siapa berani tegur kami! Tauke restoran tidak ralat pun, I don’t give a damn!

Namun, timbul persoalan, berbaloikah feel good time yang orang muda hirup selama berjam-jam itu? Sama sekali tidak! Betapa untung jika setiap rupa pertemuan itu diisi dengan wajah-wajah iman, ilmu dan amal? Bukankah cantik jika orang muda mahu menyelit satu dua buah problem masyarakat untuk dibentang di meja kopi itu. Mahu ketawa berdekah-dekah? Silakan, jika itu style orang muda asalkan ianya terkawal tapi cubalah usahakan sedikit perubahan demi kebaikan diri orang muda sendiri.

Siapa mampu menjangka hasil pertemuan enam orang pemuda, yang cuma bekerja sebagai pekerja am, dengan Hassan Al-Banna, seorang guru muda, akan merakam sejarah gemilang ummat? Pemuda-pemuda ini, yang begitu tertarik dengan aura Al-Banna setelah mendengar ucapan-ucapan beliau di masjid dan kedai-kedai kopi, telah pergi menemui beliau; mengadakan perbincangan dan akhirnya mengikat sumpah setia sama-sama bekerja untuk Islam. Tujuan awal mereka sekadar ziarah bertanya khabar telah bertukar menjadi sesuatu yang hebat!

Macam mana agaknya pertemuan yang berlaku di antara enam pemuda ini: Hafiz Abdul-Hamid, Ahmad Al-Hussary, Fuad Ibrahim, Abdur-Rahman Hasab-Allah, Ismail Izz and Zaki Al-Maghriby dengan Hassan Al-Banna? Mereka mungkin tidak pernah kenal satu sama lain kerana mereka hanyalah pekerja buruh di syarikat pembinaan Terusan Suez manakala Al-Banna pula guru sekolah. Tiada gelak tawa dan mungkin tiada makan minum pun tetapi impak pertemuan ini telah melahirkan satu gerakan hebat yang digeruni oleh musuh-musuh Islam dan dicintai oleh saudara-saudara seagama mereka ini!

Inilah titik tolak penubuhan Ikhwan Al-Muslimun (IM) di Mesir (1928) yang jasanya harum mewangi sepanjang zaman. IM bukan sekadar menjadi fenomena di dunia Islam, tetapi turut menjadi igauan buruk Yahudi Zionis sehingga IM, khususnya Al-Banna tidak harus dibiarkan hidup lebih lama lalu dibunuh pada tahun 1949. Bilakah kali terakhir musuh Islam dihinggap rasa gerun terhadap ummat ini sebelum munculnya IM dan Al-Banna? Jawapannya sudah terlalu lama, lebih kurang lapan abad terdahulu ketika Salahuddin Al-Ayyubi gagah berdiri memimpin ketumbukan tenteranya menentang tentera-tentera Salib di Palestin!

Sudah pasti pertemuan ini istimewa tetapi apakah yang menyebabkan ia begitu? Faktor terpenting ialah insan atau orang muda itu sendiri. Pemuka-pemuka IM ini adalah golongan orang muda yang insaf akan tujuan mereka dihantar ke dunia ini. Bagi mereka, tiada kerja lain yang lebih utama melainkan mission untuk mengembalikan masyarakat Islam kepada ajarannya yang sebenar. Ketahuilah, kerja-kerja pejabat mereka diturun pangkat menjadi kerja sampingan bahkan sebaliknya kerja mengajak masyarakat ini menjadi full time job! Jiwa dan minda mereka begitu jelas manakala fizikal mereka dinamik sekali sehingga tidak rela membiarkan saat-saat pertemuan itu berlalu sia-sia tanpa sebarang hasil.

Bagi orang muda yang akan bertemu lagi menjelang tengah malam hujung minggu ini, jom mulakan sedikit perubahan agar pertemuan itu tidak hilang begitu sahaja dipuput bayu malam. Rancanglah atau rangkalah suatu kelainan pada agenda malam yang panjang itu; boleh sahaja bicara soal buku-buku bestseller, atau merangka plan perniagaan kecil-kecilan atau setidak-tidaknya ambil tahu kesusahan masyarakat luar bandar yang belum bertemu jalan keluar. Jangan ketinggalan untuk menyelitkan sama kisah menyayat hati di Gaza.

Formulanya mudah; cuma luangkan 20% sahaja daripada keseluruhan masa anda berborak dan bergelak ketawa itu. Semoga perubahan yang titik bengik ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik pada pertemuan-pertemuan yang menyusul. Mudah-mudahan orang muda akan mengecap manisnya pertemuan selepas ini, didorong oleh rasa kecintaan kepada rakan-rakan semata-mata kerana Allah; bertemu dan berpisah semata-mata keranaNya, maka orang muda akan termasuk ke dalam tujuh golongan yang dijanjikan naungan Allah pada hari yang tiada naungan (hari qiamat) kecuali naungan Allah semata-mata. Golongan itu, seperti hadis riwayat Al-Imam Bukhari dan Al-Imam Muslim: "dua orang pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah".


Kajang 22 Oktober 2009

Thursday 22 October 2009

Bayt Muslim #1 - Untuk Apa Kita Bicara?


Oleh : Mohd. Fikri Bin Abd. Rahman @ matpikiaq77

Tinta ini kumulakan dengan lafaz salam yang mulia,

Sebelum pena ini tuntas untuk melakarkan kata bicara, aku termanggu seketika memikirkan apakah yang hendak dikongsikan dengan rakan-rakanku pabila ditaklifkan oleh Pak Lan untuk menyajikan rakan semua dengan resipi minda dan jiwa berkisar dengan bicara kekeluargaan (baitul muslim), kesenian dan perundangan untuk dihadamkan bersama pembaca blog ini.

Setelah berhempas pulas memerah minda maka tergeraklah pena ini menukilkan sesuatu yang aku kira bisa untuk dikongsikan dengan salam bicara salam permulaan satu topik yang agak santai tapi perlu direnungi bersama oleh kita.

Aku kira semua di antara kita telah pun mempunyai pasangan hidup dan cahayamata yang amat kita sayangi, lantas kukira apakah peranan dan tanggungjawab kita bagi melestarikan kehidupan berumahtangga ini agak tepat dan sejajar kehendak syarak.

Mungkin kita mempunyai latarsejarah yang berbeda, namun kita hadir dari tanah dan jasad yang sama kelestarian hidup manusia sejak zaman Tok Adam A.S dan isteri tercinta Hawa A.S, lantas kenapa perlu kita hidup berkeluarga dalam nilai-nilai serta norma-norma agama yang hanif dan perlu diulitkan dengan sewajarnya membentuk suatu keluarga yang solehah “Baiti Jannati”.

Mungkin ada di antara kita bisa menafsirkan nukilan ini cuba mencari kesalahan dan kelemahan orang lain, namun yakinlah dengan ikhlas hati demi Agama yang suci ini, penulis tidak tercuit apa-apa perasaan dan sifat mazmumah yang seumpama untuk berbuat sedemikian bahkan nukilan dari pena yang kerdil ini hanya untuk mauidzah kita bersama dalam melayari bahtera rumahtangga yang sama-sama terbina atas dasar kasih, cinta dan amanah kita kepada Qadhi Rabbul Jalil.

Ala kulli hal apakah tujuan kita berumahtangga? Pelbagai tafsiran dan jawapan mungkin dapat menghuraikan persoalan ini, mungkin ada yang berkata untuk mendapatkan zuriat, mengawal dan melampiaskan nafsu syahwat, kerana cinta dan sayang, cuba renung sejenak adakah di antara kita berumahtangga dengan satu tujuan “mendapatkan redha Allah dan menunaikan tanggungjawab Agama”, benar kata Junjungan Besar SAW “Nikah itu sunnahKu, barangsiapa yang melaksanakannya dia adalah dikalanganKu”.

Pena ini cuba menerobos lagi kedalam titik perbincangan di atas, adakah cinta, kasih dan sayang itu tiket utama mendapatkan kebahagian dalam berumahtangga?

Mungkin ada yang berkata YA, dan bagi mereka yang agak mendalam penafsilannya mungkin berkata jawapannya TIDAK. Rasionalnya kebahagian itu milik Tuhan segala isi dunia dan bumi ini, bahkan tidak terkecuali sesuatu di dalamnya dalam ilmu pengetahuan-Nya.

Jadi untuk pertemuan pembuka bicara, cukup kadar ini kuutarakan dan akan dikupas dengan lebih mendalam sambungannya pada sambungan pertemuan kita yang mendatang dengan keizinan-Nya dengan bicara “Kesenian dalam Berumahtangga”.

Akhukum fil Islam,

Tuesday 20 October 2009

Al-Quran & Kehidupan #1 - Bermulanya di sini...


Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi

Termenung seketika diri ni apabila ditanya oleh sahabat sup ekoq (pak lan, mat paih dgn mat anip) pada malam kami berbincang panjang tentang blog pemuda iman berkenaan tajuk kolum yang nak ditulih. Depa cadangkan agar ditulih tentang ekonomi Islam. Payah sangat tajuk tu dan diri ini bukan la ahli dalam bidang tu. Akhiaqnya dipilih tajuk Al-Quran yang memang merupakan bidang pengajian ana. Pada mulanya nama kolum ialah Tawfiq Ilahi. Tapi lepaih pak lan buat blog pemuda iman, nama ditukaq jadi Al-Quran Dan Kehidupan. Nah, cantik tajuk tu.

Persoalannya sekarang, apa pengisian kolum ni. Tajuk perbincangan amat luas. Sebab Al-Quran ialah kitab panduan kehidupan manusia. Dan ruang lingkup kehidupan manusia amat luaih. Tiba-tiba, tengah-tengah dok drive viva elite zaujah on the way beli bihun tomyam kat ghulam restoran kota damansara, ana mendapat ilham tentang apa nak ditulih dalam kolum. Di-sms pak lan yang tak putuih-putuih sms ana updating progress blog pemuda iman.

“Aku akan tulih dalam bersiri 3 topik besaq:1) Al-Amthal Fil Quran, (2) Al-Qasas Fil Quran, (3) Al-Akhlaq Fil Quran. mula dengan Al-Amthal Fil Quran, Each week 1 amthal Al-Quran. abih, aku tulih qasas plak. Amik 1 qasas 1 mgu.” Aku send kat pak lan. Immediately dia balaih balik: “cukup cun!”

Subhanallah, setiap pekerjaan yang disulami dengan niat yang baik dan ikhlas akan diberi hidayah oleh Allah SWT. Tandanya ialah apabila setiap perancangan akan dipermudahkannya. Betapa luasnya rahmat Allah SWT apabila perancangan, gerak kerja dan matlamat yang baik semuanya merupakan hidayahNya dan akan diganjari olehNya. Berpegang kepada sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang member petunjuk (ajaran,pedoman) untuk mengamalkan satu kebaikan kepada orang lain, baginya ganjaran ke atas petunjuk yang diberi dan amalan orang yang diberi petunjuk”
(pak lan tolong takhrij kan hadith ni)

Ana mempunyai sebab tersendiri tentang pemilihan 3 topik besaq tersebut.

1) Ketiga-tiga topic tersebut berkait rapat dengan bidang pengajian ana semasa di university (B.A dan M.A) iaitu Tafsir Mawdu’i Fil Quran. Justeru, mudahlah ana (dengan izin Allah SWT jugak) untuk mengupas tajuk yang telah dipilih berdasarkan manhaj (metodologi) yang telah dipelajari. Menulih sesuatu yang kita tau dan minat akan memudahkan kerja kita.

2) Topik-topik tersebut amat panjang dari segi perbincangannya. Contohnya, topik Al-Amthal Fil Quran sendiri mempunyai 42 perumpamaan yang boleh dikupaih (ada pendapat kata banyak lagi). Melihat kepada matlamat jangka panjang blog pemuda iman ini, maka mudah bagi ana yang lemah ni untuk menulih dalam blog ni dalam tempoh yang lebih panjang. Mungkin 1 minggu akan dibincangkan 1 perumpamaan. Itu baru topic 1. Tak masuk lagi Al-Qasas Fil Quran. Subhanallah!! banyak boleh tulih ni. Semoga Allah Azza Wa Jalla memudahkan urusan ana dalam berdakwah. (mungkin lepaih ni boleh buat kompilasi artikel dan publish dalam buku..amacam pak lan?)

3) Sebenaqnya, ketiga-tiga topic yang dipilih amat dekat hubungannya dengan kehidupan manusia. Al-Qasas Fil Quran misalnya. Walaupun Al-Quran merekod kisah-kisah ummat terdahulu yang mungkin orang la ni dah tak heran sangat, namun perlu kita fahami yang hukum Allah berkaitan dengan kehidupan manusia tidak berubah. Sifir mudah: Jika kaum terdahulu dimusnahkan Allah SWT dek kerana syirik depa kepadaNya, maka hukum yang sama akan berulang jika ianya berlaku la ni, tetapi mungkin dalam bentuk yang berbeza hukumannya. It is as simple as that (dengan izin).

Rasanya cukuplah setakat ini muqaddimah untuk artikel yang pertama dari ana. Setiap perbincangan perlu ada muqaddimah (intro). Kita tak boleh dok cerodong masuk perbincangan tanpa diterangkan terlebih dahulu beberapa maklumat penting, iaitu:
a) Tajuk perbincangan kolum
b) Sebab pemilihan topik kolum

Mudah-mudahan, Allah SWT permudahkan urusan ana dan sahabat-sahabat pemuda iman dalam mejalankan amanah Allah dalam berdakwah walaupun sedikit usaha yang disumbangkan. Ingatlah, Allah SWT tidak melihat kepada kejayaan yang tercapai dalam jihad kita, tetapi yang dilihat adalah proses jihad yang kita laksanakan..

wassalam

bersambung minggu depan..
UIA,
20/10/09,
2.30 ptg

Sunday 18 October 2009

Pemuda Iman akan datang dengan....

Kolum 'Sikap kita...' - mengupas sikap muslim yang sedia ada dan yang sepatutnya ada. Berpandukan panduan kehidupan Rasulullah S.A.W., kita seharusnya dapat mengubah sikap untuk mengubah diri dan dunia. Berani untuk berubah adalah prinsip yang dibawa oleh Baginda S.A.W. dan para sahabat. Ayuh contohi mereka!

Kolum 'Al-Quran dan hidup' - membicarakan tentang Al-Quran dan sejauh mana ia mampu memberi kesan terhadap diri dan kehidupan. Keindahan Al-Quran terkadang terlalu 'ekslusif' sehingga tidak dapat dikongsi bersama semua masyarakat. Sedangkan ia milik semua.

Kolum 'Sains untuk Islam' - berdasarkan konsep 'Hikmah itu barangan milik orang beriman yang hilang dari tangannya', Sains sering disangka sebagai hak milik orang bukan Islam. Kolum ini berusaha untuk mengikis fahaman ini dan menggantikannya dengan fakta sebenar sepanjang sejarah peradaban dunia dan dunia Islam.

Kolum 'Bait Muslim' - memberikan info terkini tentang kekeluargaan Islam sama ada dari sudut kerohanian atau perundangan. Seringkali umat ingin membina tamadun tanpa membina keluarga yang ideal. Bukan ideal pada pandangan manusia, tapi ideal mengikut neraca agama.

Kolum 'Menjana Dunia' - satu perbincangan serius tentang konsep harta, pengurusan dan pencariannya. Berpaksikan ayat Al-Quran 'jangan lupakan bahagian kamu di dunia', aspek ini akan digarap oleh mereka yang berilmu dan berpengalaman bagi memantapkan syaksiah muslim untuk mencari harta yang halal dengan pengurusan cekap dan beragama.

Semoga Allah SWT memudahkan niat yang suci ini untuk manfaat semua yang bergelar 'muslim' !

Kajang, 18 Okt 09, 11.36 a.m.

Saturday 17 October 2009

Konsep 'Voltron' dan yang sewaktu dengannya

Teringat kartun 'voltron'. Lima ekoq singa bergabung jadi robot menyelamatkan dunia. Inilah pentingnya berpakat dan bergabung. Semua orang ada kemahiran dan kelebihan. Kalau kita biaq pi dia dok sorang, mungkin dia buat sesuatu yang bermanfaat tapi tak buleh pi jauh. Kalau kita tambah kemahiran daripada orang lain - dengan syarat dia ni pun nak buat sesuatu yang baguih - pasti dia akan mengepak lebih jauh. Itu konsep yang semua orang setuju dan tak guna nak bangkang.

Macam tu lah dalam menyebarkan perkara kebaikan sama ada dakwah atau lain-lain. Pasai apa kita tak gabungkan kekuatan dan kemahiran dan buat satu benda yang buleh pi ke depan, ke tepi, ke belakang dan pi merata.

Semoga idea 'voltron' ini dapat difikirkan bersama dan dipraktikkan. Pemuda Iman akan terus membawa idea ini demi kepentingan penyebaran kebaikan. Insya Allah!


Kajang, 17 Okt 09, 4.03 p.m

*Blog ini baru dilahirkan dan dalam proses penambahbaikan..sabaq sat saja lagi.

Langkah Pertama Pemuda Iman...

Langkah pemuda iman ialah menuju 'perubahan' ke arah meningkatkan keimanan. Biarlah 'perubahan' itu kecil atau terlalu sedikit, ia tetap satu perubahan.

Langkah kita seiring dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Zalzalah:

'Maka sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan sebesar zarah sekali pun, dia akan melihatnya, dan sesiapa yang melakukan sesuatu kejahatan sebesar zarah sekali pun, dia akan melihatnya'.

Langkah kita berilhamkan hadith Rasulullah SAW :

'Janganlah engku memandang remeh sesuatu perkara yang baik, walaupun sekadar engkau bertemu saudaramu dengan muka yang ceria'
[Riwayat Muslim, no.6857]

Ayuh mulakan perubahan yang sedikit itu, semoga kita akan menjadi lebih baik dari semalam.

Kajang, 17 okt 09, 8.38 a.m.