Pages

Monday 25 April 2011

Erti Syukur Dan Sabar

Apabila melihat kepada kehidupan orang di sekeliling kita, selalunya apa yang akan diperhatikan? Sudah semestinya kemewahan dan kelebihan lahiriah orang lain yang tidak kita miliki. Lalu timbul perasaan mengeluh dengan keadaan diri kerana menganggap diri ini serba kurang. Kadang-kadang sikap membanding-banding kehidupan duniawi dari aspek lahiriah sememangnya menyeksakan hati. Namun pernahkah kita terfikir dan melihat dengan mata hati kepada apa yang ada disebalik kelebihan lahiriah orang lain yang didengki kita?

Contohnya:
Allah SWT mungkin telah memberikan sejumlah kekayaan harta kepada seorang ynag memungkinnya memiliki apa yang dihajati. Tetapi disebalik tabir kelebihan itu, dia juga mempunyai banyak masalah kesihatan, keluarga dan perniagaan yang memeningkan kepalanya dan menaikkan tekanan darahnya.
Seseorang yang lain pula mungkin diuji dengan kemiskinan harta yang menyempitkan perbelanjaan kehidupannya. Tetapi disebalik kekurangan itu, dia juga dianugerahi Allah SWT dengan tubuh yang sihat serta anak-anak yang soleh dan berjaya akademik mereka.

Merenung sedalamnya dalam diri sendiri dengan reality ini seharusnya membangkitkan rasa syukur dengan apa yang sudah dimiliki kerana telah banyak yang kita miliki dari nikmatNya. Jangan melihat kekurangan diri yang mungkin nisbahnya hanya satu berbanding jutaan pemberianNya kepada kita. Disinilah terletaknya rasa beriman kita dengan hikmah pembahagian nikmatNya. Diberinya kita sesuatu dan ditahannya juga dari kita sesuatu nikmat. Semua dapat merasa kelebihan dan kekurangan dalam hidup. Begitulah hikmahnya. firmanNya:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَةَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ


Adakah mereka (manusia) berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu? Kamilah yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (al-Zukhruf; 43:32)

Kelebihan yang dianugerahi perlu disyukuri dengan hati, lidah dan perbuatan. Begitu juga kekurangan yang dialami perlu disabari dengan hati, lidah dan perbuatan. Semua itu memberi kebaikan kepada seorang mukmin. Sabdanya:


عجبا لأمر المؤمن . إن أمره كله خير . وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن . إن أصابته سراء شكر . فكان خيرا له . وإن أصابته ضراء صبر . فكان خيرا له

Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." - (Hadis riwayat Muslim)

Hakikatnya kita amat liat bersyukur kerana tidak nampak kelebihan diri yang sudah dimiliki. Mata hati sudah gelap dengan dengki kepada kelebihan orang lain. Maka rasa keluh kesah yang kita selalu dengar keluar apabila apa yang dihajati tidak dimiliki adalah tanda penyakit dengki sedang menjangkiti kita. Maka banyakkan bersyukur berbanding mengeluh.

Kekurangan yang dihadapi juga jangan dikeluhi kerana disebaliknya banyak hikmah yang tidak kita ketahui. Hayatilah kisah Ummu Salamah yang kematian suaminya yang tersayang dimedan perang. Beliau sabar dengan ujian itu dengan dengan banyak istirja’ dan berdoa:

اللهم أجرني في مصيبتي, وأخلف لي خيراً منها, إلاّ فعل ذلك به

“Ya Allah, berilah aku pahala dari musibah ini, dan berilah kepadaku ganti yang lebih baik dari musibah ini, melainkan Allah SWT akan mengkabulkan doanya”

Rupanya, hikmah terbesar musibah kematian Abu Salamah adalah pinangan Rasulullah SAW untuk menjadikan Ummu Salamah (yang sudah pun tua usianya ketika itu) sebagai isteri baginda SAW. Bukankah Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik ganti buatnya?

Justeru..
Carilah kekuatan dalam kehidupan pada rasa syukur dan sabar.
Abufahim UIA

Thursday 21 April 2011

Kisah Mahmud bin Rabi’a al-Ansari

Apa istimewanya orang yang empunya nama? Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai kenangan yang amat istimewa bersama baginda semasa beliau masih di usia kebudak-budakan.

Sedang Nabi SAW berwuduk, tiba-tiba datang Mahmud bin Rabi’a yang pada ketika itu diriwayatkan berusia lima tahun. Berkata Mahmud bin Rabi’a: “Ketika aku berumur lima tahun, aku masih ingat, Nabi SAW mengambil air dari bekas dengan mulutnya dan disembur ke muka ku.”(al-Bukhari)

Apa sebab Nabi SAW berbuat demikian? Nabi marahkah?

Sebenarnya Baginda bergurau dengan Mahmud bin Rabi’a. Walaupun gurauan tersebut berlaku ketika beliau masih kecil, namun memori indah tersebut sukar dipadamnya. Masih terasa di muka Mahmud bin Rabi’a al-Ansari air wuduk yang disembur baginda.

Kisah ini mencetuskan rasa ‘ingin tahu’ kita kepada kisah-kisah Rasulullah SAW bersama kanak-kanak di zaman baginda.

Pernah suatu ketika, baginda menyusun dalam satu barisan tiga orang anak al-Abbas iaitu Abdullah, Ubaidullah dan Kuthaiyyir dan berkata: “Barangsiapa yang sampai kepada aku terlebih dahulu akan aku hadiahkan ini dan ini.” Maka mereka bertiga pun berlumba menuju baginda dan melompat ke belakang dan ke dada serta mencium baginda. (Ahmad)

Anas R.A pula meriwayatkan bahawa apabila Nabi SAW melalui sekumpulan kanak-kanak, baginda akan senyum dan memberi salam kepada mereka. (al-Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah R.A turut meriwayatkan bagaimana pada suatu hari, Rasulullah SAW mencium Al-Hasan dan Al-Husain bin Ali, dan bersama baginda ketika itu ialah Al-Aqra’ bin Habis al-Tamimi. Berkata Al-Aqra’: Aku mempunyai 10 anak, tidak pernah aku mencium mereka pun. Maka Rasulullah SAW memandangnya kemudian berkata: Barangsiapa yang tidak menunjukan belas kasihan maka dia tidak akan dikasihi. (Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Al-Tirmizi)

Baru kita tersedar betapa mesranya baginda dengan kanak-kanak. Kehadiran baginda amat disenangi kanak-kanak kecil. Tidak pernah kita temui keadaan Baginda menengking memukul mereka. Baginda suka bergurau untuk menceriakan hidup mereka. Baginda juga suka bermain dengan mereka. Diberinya mereka hadiah agar baginda dapat melihat keseronokan yang terpancar di muka mereka. Dipeluk ciumnya mereka tanda kasih sayang yang memberi ketenangan dan kekuatan kepada kanak-kanak. Dihormatinya kanak-kanak dengan memberi salam dan senyum kepada mereka. Luluhnya hati baginda ketika solat sekiranya terdengar tangisan budak kecil lantas dipendekkan solat untuk kemudahan ibu budak tersebut.

Bandingkan pula situasi kita. Adakah kita disenangi dan dihormati mereka? Atau kehadiran kita mendatang rasa takut dan benci dalam diri mereka?

abufahim uia

Monday 18 April 2011

Hanya Isteri Perlu Cari Redha Suami?


Bagaimana pula dengan suami? Adakah suami terlepas dari tanggungjawab mencari redha isteri? Sebahagian mereka yang bercakap atas nama agama terkadang mengeluarkan pandangan-pandangan yang berlainan dengan apa yang ada dalam Al-Quran dan Hadith, dua sumber utama agama yang suci ini. Contoh yang ingin saya kongsi bersama dalam tulisan ringkas ini ialah - adakah hanya isteri perlu berusaha mencari redha suami? Adakah suami-suami diberikan kekebalan dalam Islam untuk berehat dan meletakkan semua tanggungjawab ke atas bahu isteri dalam mencari kebahagiaan rumahtangga? Sudah pasti jawapannya tidak.

Dengan ringkasnya, kita dapati secara jelas bahawa Al-Quran menyuruh kedua-duanya (suami dan isteri) agar berusaha mencari kebahagiaan dan keredhaan Allah SWT. Tanggungjawab dibahagikan antara keduanya tanpa menzalimi sesiapa.

Begitu juga dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. sentiasa memberikan contoh ikutan dan pesanan nasihat agar suami menjaga isteri dan isteri menjaga suami. Bahkan suami lebih diberatkan lagi kerana tanggungjawabnya menjaga isteri adalah sebahagian tuntutan agama. Rasulullah s.a.w. sendiri hidup dengan harmoni bersama isteri-isterinya - bercakap dengan baik, membantu kerja rumah, melindungi, bertanggungjawab, mengajar soal agama, mengajak beribadah bersama, tidak mengabaikan mereka dalam setiap situasi dan sebagainya. Adakah ini yang kita ingin ketengahkan apabila sebahagian kita asyik-asyik menekankan 'isteri kena layan suami' , 'isteri kena jaga hati suami'..tapi sebaliknya bagaimana? Inikah namanya beramal dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi?

Kita asyik bercakap bahawa terdapat hadith menyatakan bahawa di antara ciri isteri yang baik ialah 'apabila kamu melihatnya, dia akan menggembirakan kamu'. Mengapa kita tidak pernah terfikir tentang suami-suami yang apabila dilihat para isteri, mereka juga gembira? Mengapa perlu isteri sahaja yg menggembirakan suami?? Adakah Rasulullah s.a.w. dan para isterinya begitu? Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w. menggembirakan para isterinya dalam pelbagai keadaan. Itulah suami sejati, bukan suami yang hanya melihat 'taatnya' isteri dengan isteri itu diam dan ikut apa kemahuan suami tanpa menjaga hati dan perasaannya.

Sudah-sudahlah kita bercakap dengan suasana berat sebelah sebegini. Islam adil dan meletakkan setiap perkara pada tempatnya. Islam membela nasib wanita dan lelaki dengan secantiknya. Mengapa kita pula yang berdakwah ke arah perbezaan yang menguntungkan lelaki dan merugikan wanita, atas nama agama?

Tuesday 12 April 2011

Adakah kita ini Hamba?

Ketika membelek kembali kisah permusuhan Iblis terhadap Nabi Adam A.S, tersentuh hati ini dengan dua situasi.
1. Janji Iblis untuk menyesatkan cucu cicit anak Nabi Adam (manusia keseluruhannya)
2. Janji Allah SWT untuk memelihara hambaNya yang Ikhlas. FirmanNya:

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿٣٦﴾ قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ ﴿٣٧﴾ إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ ﴿٣٨﴾ قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٣٩﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ ﴿٤٠﴾ قَالَ هَـٰذَا صِرَاطٌ عَلَيَّ مُسْتَقِيمٌ ﴿٤١﴾ إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلَّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ


Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaKu hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)".37. Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang diberi tempoh.38. "Hingga ke hari - masa Yang termaklum".39. Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan memperelokkan Segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan Aku akan menyesatkan mereka semuanya,40. "Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu Yang dibersihkan dari sebarang syirik".41. Allah berfirman: "Inilah satu jalan Yang lurus, Yang tetap Aku memeliharanya.42. "Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri). (al-Hijr: 36-42)

Sememangnya iblis sentiasa berusaha se’kreatif’ mungkin menyesatkan manusia sejak dulu hingga sekarang. Lihat sahaja kepada apa yang terjadi kepada kaum Ad dan Thamud, Firaun dan Qarun sekadar menyebut contoh yang direkod al-Quran sebagai ibrah kepada kita tentang hebatnya godaan iblis. FirmanNya:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ﴿٦﴾ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ ﴿٧﴾ الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ ﴿٨﴾ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ ﴿٩﴾ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ ﴿١١﴾ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ ﴿١٢﴾ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ


Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka) Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya) Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; (al-Fajr: 6-13)

Tugas iblis adalah amat mudah: mewujudkan persepsi bahawa kita telah melakukan kebaikan sedangkan kita telah melakukan kesesatan. Kecelaruan antara kebaikan dan kejahatan. FirmanNya:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا ﴿١٠٣﴾ الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا ﴿١٠٤﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا


Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.(al-Kahfi:103-105)

Namun, usah risau kerana Allah menjanjikan perlindunganNya dengan syarat: Jadilah hambaKu yang ikhlas nescaya kamu tidak akan disesatkan iblis.

Siapakah hambaNya? Renungilah ayat-ayat ini…

وَعِبَادُ الرَّحْمَـٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا ﴿٦٣﴾ وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا ﴿٦٤﴾ وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا ﴿٦٥﴾ إِنَّهَا سَاءَتْ مُسْتَقَرًّا وَمُقَامًا ﴿٦٦﴾ وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا ﴿٦٧﴾وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّـهِ إِلَـٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا ﴿٦٨) يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا ﴿٦٩﴾ إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَـٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّـهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٧٠﴾ وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّـهِ مَتَابًا ﴿٧١﴾ وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا ﴿٧٢﴾ وَالَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا عَلَيْهَا صُمًّا وَعُمْيَانًا ﴿٧٣﴾ وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ﴿٧٤﴾ أُولَـٰئِكَ يُجْزَوْنَ الْغُرْفَةَ بِمَا صَبَرُوا وَيُلَقَّوْنَ فِيهَا تَحِيَّةً وَسَلَامًا


Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan . Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk"; Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, - Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat; Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya. (al-Furqan: 63-75)

Jadi, isunya sekarang: Adakah kita ini benar-benar layak digelar HAMBA-NYA?

Abufahim UIA

Monday 11 April 2011

SURAH AL-FALAQ: LINDUNGILAH KAMI YA ALLAH

Apabila subuh menjelma bermakna bermulalah hari seorang insan itu mencari kehidupannya di dunia ini. Para pekerja yang makan gaji bergerak berkenderaan ke tempat kerja. Para pelajar pula mula berjalan kaki, berbasikal atau menaiki bas ke sekolah mencari ilmu untuk masa depannya. Para petani dan pekebun akan keluar ke sawah dan kebun membanting tulang mencari sesuap nasi. Semuanya sibuk dengan rutin kehidupan masing-masing.

Namun, sewaktu mula bergerak memulakan tugas masing-masing, terdetik di hati ini; risau, takut, dan hati-hati dengan apa yang bakal dihadapi sepanjang hari sebelum masing-masing beradu berehat dimalam hari. Bahkan di malam hari pula timbul perasaan lain; takut, seram dan sunyi dengan apa yang bakal terjadi ketika mereka tidur mati sehingga subuh berikutnya.

Ketika bermulanya hari dengan waktu subuh, soal diri anda: Yakinkah dengan keselamatan anda sepanjang perjalanan ke tempat kerja? Kalau sudah sampai pula, yakinkah bahawa anda akan selamat semasa melaksanakan kerja tanpa sebarang kecelakaan? Selesai kerja, yakinkah anda akan selamat sampai ke rumah tanpa sebarang kemalangan? Duduk berehat dirumah, yakinkah anda bahawa tiada perompak yang akan masuk merampok segala harta kesayangan anda? Bagaimana pula keselamatan ahli keluarga anda? Sedangkan di depan mata pun kecelakaan boleh menimpa mereka, inikan pula jika mereka jauh dari anda?

Apa sebenarnya yang saya hendak bangkitkan? Isunya ialah mencari perlindungan. Hidup manusia berdepan dengan sejuta satu macam kecelakaan, kemalangan, kejahatan, kerosakan dan semua yang merisaukan manusia. Hilang ketenangan, timbul kegelisahan.


Namun, sebagai seorang yang beriman sepenuhnya dengan Allah, seharusnya perasaan takut, risau, sedih boleh dikawal. Seorang yang beriman sentiasa tenang (Sakinah) dengan hidup ini selagimana dia mengikut panduan dariNya. FirmanNya:

فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدً۬ى فَمَن تَبِعَ هُدَاىَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحزَنُونَ


Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.(al-Baqarah:38)

Apakah HidayahNya kepada kita dalam memulakan hidup ini, berhadapan dengan segala macam kejahatan yang mengancam? HidayahNya: Carilah perlindungan kepadaKu wahai hambaKu!

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلفَلَقِ (١) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ (٢) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (٣) وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلعُقَدِ (٤) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (٥)

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dari bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). (4) Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya. (5) (al-Falaq:1-5)

Indahnya ungkapan al-syahid Syed Qutb dalam muqaddimah tafsirnya untuk surah al-Falaq ini:
Surah Al-Falaq dan al-Nas ini merupakan satu arahan dari Allah mula-mula kepada NabiNya SAW dan kemudian kepada para mu’minin supaya memohon perlindungan dan naungan pada Allah dari segala kejadian yang menakutkan samada yang sulit atau yang terang, samada yang tidak diketahui atau yang diketahui secara umum atau secara terperinci seolah-olah Allah membuka perlindungan dan naunganNYa kepada mereka sambil berseru dengan kasih saying: “Marilah ke sini masuk ke dalam perlindungan dan naungan Ku, marilah ke tempat yang aman yang member ketenangan kepada kamu. Marilah, Aku tahu kamu lemah dan mempunyai banyak musuh dan di sekeliling kamu berbagai kejadian yang menakutkan.

Menelurusi sunnah Baginda SAW, tergambar betapa yakinnya Junjungan kita Nabi Muhammad (SAW) dengan surah ini. Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dari 'Aisyah r.a. katanya adalah Rasulullah SAW apabila beliau berada di tempat tidurnya setiap malam beliau menemukan dua tapak tangannya kemudian mengembuskan pada kedua-duanya dan membaca (Qul a'uzubirabbinnas) dan (Qul a'uzubirabbil falaq) kemudian beliau sapukan dengan kedua-dua tapak tangannya semua bahagian tubuhnya yang dapat disapukan olehnya, beliau mulakan di atas kepala dan mukanya dan bahagian hadapan badannya. Beliau berbuat demikian sebanyak tiga kali.

Rasulullah SAW juga telah memperlihatkan kegembiraannya yang mendalam terhadap turunnya surah ini. Dari 'Aqabah - Ibn 'Amir - r.a., Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidakkah engkau mengetahui ayat-ayat yang telah diturunkan pada malam ini, iaitu ayat-ayat yang tidak didapati seumpamanya iaitu: Qul a'uzubirabbil falaq dan Qul a'uzubirabbin nas.

Sedangkan kekasihNya yang maksum pun masih mendambakan perlindungan dariNya, bagaimana pula dengan kita? Hebat sangatkah kita sehinggakan yakin keselamatan dan kehebatan diri dari kejahatan yang mendatang?

Abufahim UIA