Pages

Tuesday 19 February 2013

Hadith Dhaif dalam Kitab Imam Hadith?

oleh Adlan Bin Abd. Aziz -
facebook.com/adlanabdaziz
twitter.com/AdlanAbdAziz

Bismillah...
Pagi...19 Feb 2013
Sudah lama tidak menulis artikel dalam blog atau laman web. Insya Allah artikel-artikel ringkas akan saya coretkan dari masa ke semasa. Doakan istiqamah!

Tajuk hampir seperti di atas pernah saya tulis satu ketika dulu dan ini adalah sambungan. Bukanlah benar-benar sambungan tetapi lontaran idea dan perkongsian yang berkaitan tajuk. Ia mungkin juga pengulangan dalam bentuk yang berbeza. Semoga menjadi ilmu untuk semua yang membaca.

Ringkas cerita - sebahagian penuntut ilmu Hadith ketika mempelajari topik 'hadith dhaif' atau 'metodologi kitab Hadith' sering bertemu dengan fakta bahawa dalam beberapa kitab Hadith (terkenal atau kurang terkenal) wujud dan ada hadith-hadith dhaif. Sebahagian mereka berfikir lebih lanjut dan menyelidik lalu ditemui bahawa kitab-kitab itu adalah hasil karya ulama besar dan imam-imam terkemuka dalam Hadith. Maka kehairananlah mereka (termasuk saya juga satu masa dulu).

Beri sahaja kitab selain Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Pasti kita akan temui info yang mengatakan kitab-kitab itu ada hadith dhaif. Sunan Abu Daud, Sunan/Jami' Tirmidzi, Sunan Nasaai, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad, Mu'jam (3 Mu'jam) Tabarani (bukan Tabrani), Musnad dan Sunan Imam Syafie, Sunan Daraqutni (bukan Daruqutni tapi Daraqutni), Mustadrak al-Hakim, Sunan al-Baihaqi dan namakan lagi kitab-kitab lain - semuanya mengandungi hadith-hadith dhaif cuma berbeza antara banyak atau sikit sahaja.

Sedangkan nama penulis dan penyusun di atas adalah nama-nama besar dalam ilmu Hadith. Pasti tertanya dalam minda orang yang berfikir, kenapa jadi sebegitu? Ada beberapa jawapan yang pernah saya baca dan dengar:

1- Ulama-ulama Hadith itu tak tahu dan tak sedar ia dhaif. Mereka juga manusia biasa yang tersalah dan tersilap.
2- Mereka benar-benar menyangka ia sahih menurut kajian mereka. Rupanya kajian orang lain selepas mereka termasuk di zaman moden ini membuktikan sebaliknya. (macam hampir sama dengan di atas tapi berbeza pada saya)
3- Mereka tahu ia dhaif tapi mereka lupa untuk memberitahu.
4- Mereka tahu ia dhaif tapi mereka tetap kumpulkan atas sebab tertentu.
5- Mereka tahu ia dhaif dan mereka beritahu tapi dengan pelbagai cara yang tersirat dan tersurat.

Saya sebagai salah seorang pelajar dalam ilmu yang luas ini merasakan bahawa adalah tidak patut kita terus meluru kepada sebab pertama dan kedua (atau ia boleh dijadikan satu sebab). Ini kerana saya amati biodata dan keilmuan ulama-ulama di atas dan setiap seorang dari mereka ialah pakar dan alim dalam ilmu ini. Adakah dengan sewenangnya tanpa kajian menyeluruh kita boleh mengatakan mereka 'tidak tahu'? Sedangkan kedhaifan hadith-hadith itu dapat dikenalpasti oleh penuntut ilmu di zaman moden? Adakah dengan mudahnya saya dapat menerima Imam seperti Abu Daud tidak tahu kedhaifan hadith-hadith dalam bukunya 'Sunan' tapi penuntut ilmu zaman ini yang baru bertatih dalam ilmu Hadith pula dapat tahu? Sukar untuk saya menerima malah saya katakan tak akan saya terima pada saat ini.

Kesimpulan ke 3 pun sukar saya terima tapi ia masih lagi mengandungi sangkaan baik kepada keilmuan mereka, sekurang-kurangnya.

Kesimpulan ke 4 dan ke 5 adalah yang lebih layak bagi mereka melihatkan keilmuan dan ketokohan, juga melihat kepada bukti-bukti yang dibawa oleh pengkaji Hadith sepanjang zaman terutama ulama selepas zaman mereka.

Persoalan saya sekarang - mengapa sukar bersangka baik terhadap mereka? Mengapa mudah terima kenyataan yang menampakkan ulama-ulama terkenal itu searas dengan penuntut tahun satu atau semester satu pengajian Islam? Cuba selidik dan cuba ikuti huraian ulama selepas mereka. Penuh dengan pujian dan sangka baik!

Lihat sahaja pujian ulama Hadith selepas zaman mereka terhadap mereka. Lihat pujian Imam Ibnu as-Solah dalam al-Muqaddimah (Ma'rifat Anwa' Ilm al-Hadith), Imam Zahabi dalam kitabnya al-Muqizoh, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Nuzhat an-Nazhor dan Nukat, Imam Ibn Kathir dalam Ikhtisor Ulumil Hadith, Imam as-Sakhawi dalam Fathul Mugith
 dan lain-lain lagi sekadar menamakan contoh.

Mungkin ada lagi jawapan lain, mungkin ada lagi pandangan lain. Namun berhati-hatilah apabila ingin menyatakan 'Imam-imam Hadith terkenal seperti mereka 'tidak tahu' kedhaifan hadith'. Ia sama ada kenyataan yang besar, dibuat oleh orang yang mengkaji dan mengenali mereka, atau kenyataan yang salah, dibuat oleh orang yang jauh dari kajian dan tidak kenal ulama Hadith.

wallahu a'lam

Wednesday 13 February 2013

Program Hadith 16 dan 17 Feb. Jemput Hadir

Program Terdekat Adlan Abd.Aziz:


1-Sabtu, 16 Feb, 9 pagi - Mengenali 'Musnad' dan 'Sunan' karya Imam as-Syafie - Masjid Wilayah, Jalan Duta.
 

2-Ahad, 17 Feb, 9 pagi - Mengenali Kitab 'Tamyiz' Imam Muslim di Masjid Kolej Islam Malaya, Jalan Universiti 46350 Petaling Jaya.
Jemput hadir.