Pages

Thursday, 15 December 2011

Mesej Surah Al-Kahfi

• Islam menganjurkan kita umatnya agar sentiasa menjaga dan mendidik hati nurani dan akal budi semoga sentiasa terpandu mengikut ajaran Islam dan tidak mengikut cara hidup yang sesat dan dimurkai Allah.

• Zaman ini banyak cabaran yang mengganggu-gugat akidah dan jati diri umat Islam. Salah satu petualang utama ialah media massa yang cuba memperkotak-katikkan pemikiran umat Islam terutamanya melalui:

• Khabar-khabar politik yang memualkan
• Cerita-cerita murahan artis dan selebriti
• Berita-berita jenayah dan peperangan
• Kisah-kisah keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat
• Krisis system pendidikan dan cabar-mencabar di kalangan ilmuwan

• Paparan-paparan sebegini menjadi tajuk utama media massa walaupun ia tiada nilai dan tidak membantu membentuk pemikiran dan cara hidup umat Islam.

• Propaganda demi propaganda dilihat semakin mendapat tempat berdasarkan corak pemikiran dan tindakan sebahagian besar umat Islam kini. Contohnya:

• Kita lebih senang menelan bulat-bulat apa sahaja maklumat yang dihidangkan dalam bab-bab politik kepartian terutama khabar mengenai pemimpin dan parti kesayangan kita

• Kita “tak apa” dan bersangka baik kepada artis yang mendedahkan aurat dan yang menyebarkan budaya hedonism dan pornografi

• Kita seolah tiada perasaan dan tidak cuba membantu terhadap mangsa-mangsa jenayah biarpun mereka jiran sekampung/setaman kita

• Kita seolah-olah mangli dengan kisah-kisah perzinaan di kalangan budak-budak sekolah dan kes pembuangan bayi

• Kita taksub terhadap ilmuwan sanjungan kita dan bentak mengenepikan pendapat ilmuwan lain yang lebih dekat kepada kebenaran

• Zaman ini zaman pertentangan di antara akidah Islam dengan faham materialisme. Umat Islam digoncang dengan dahsyat sekali sehingga sirna jati diri umat Islam apabila nilai-nilai Islam dianggap kolot manakala imej-imej hedonism, pornografi dan jenayah diangkat sebagai cara hidup yang dibanggakan.

• Nilai-nilai yang keji dilihat lebih tinggi dan mengatasi kedudukan nilai-nilai yang baik. Orang kaya dimuliakan dan artis diraikan versus orang beragama dilecehkan.

PERHATIAN: Allah SWT telah menyediakan manual buat kita menghadapi kemelut zaman ini melalui surah al-Kahfi. Rasulullah SAW bersabda sesiapa yang membaca Surah ini pada malam Jumaat akan terhindar daripada kejahatan al-Dajjal (beberapa hadis riwayat Imam Muslim, Nasa'ei dan Tirmizi).

• Memetik tulisan pemikir besar Islam, almarhum al-Sayyid Abul Hassan Ali al- Nadawi mengenai kehebatan surah ini:

• .”When I turned to have a closer look at the Surah (al-Kahfi) again, I found that it presented the actual panorama of a new world, fully displayed with a range of significance yet unknown to me, all of which related to but one topic which may be expressed by the following two phrases: ‘The Struggle between Faith and Materialism’ or ‘The Invisible Power and the World of Causation’. The parables and illustrations, allusions and explanations couched in the Surah, all teach either covertly or overtly, the same lesson on the mystery of life.”

• Semoga kita menjadikan bacaan surah al-Kahfi sebagai rutin malam Jumaat dan mengkaji isi kandungannya. Salah satu buku cadangan ialah “Faith versus Materialism: The Message of Surah al-Kahf” oleh Maulana Sayyid Abul Hassan Ali al-Nadawi”.

• Insyallah artikel ini bakal bersambung.

Saturday, 10 December 2011

Rahmatilah Kami Berdua Sahaja!

Seorang sahabat Nabi s.a.w. pernah berdoa di dalam solatnya 'ya Allah, rahmatilah aku dan Muhammad, dan janganlah Engkau rahmati orang lain bersama kami'. Begitu sekali kasihnya pada Rasulullah s.a.w. Tetapi doa ini didengari oleh Rasulullah s.a.w. dan Baginda nampaknya tidak begitu bersetuju.

Ketika Rasulullah s.a.w. bertemu dengan lelaki ini, Baginda ingin membuat teguran berkaitan doa tadi. Namun begitu yang mengkagumkan saya ialah Rasulullah s.a.w. memulakan dengan senyuman. Nabi senyum lalu berkata : 'mengapa engkau sempitkan sesuatu yang luas?'. Maksudnya 'mengapa disempitkan rahmat Allah SWT hanya pada kita berdua? Bukankah rahmat Allah itu luas meliputi semua makhluk?'.

Hadith ini memberi banyak pengajaran, antaranya ialah cara Rasulullah s.a.w. bercakap dan menasihati sahabat Baginda. Begitu juga pengajaran yg penting ialah - rahmat Allah itu luas, maka janganlah disempitkan. Janganlah kita ingin menyempitkan rahmat Allah hanya pada orang-orang yang mentaati Allah, kerana mungkin sahaja orang yang melakukan maksiat itu akan bertaubat dan mereka juga akan masuk dalam rahmat Allah. Jangan pula kita menyempitkan rahmat Allah hanya pada kita dan orang yang 'sealiran' dengan kita, lalu dinafikan pula rahmat Allah dari mereka yang tidak sama 'aliran' dengan kita. Kita semuanya makhluk Allah dan kita semua berada dalam rahmat Allah swt.

Berdoalah agar rahmat Allah itu menemani kita hingga kita bertemu di syurga, insya Allah!

Tuesday, 6 December 2011

Respon Kepada Isu 'Kritikan Terhadap al-Albani'

Dipendekkan cerita :

Apabila saya dan beberapa org sahabat (terutama al-ahkam.net, Pemuda Iman & Xifu Naser) menganjurkan beberapa program ilmiah membincangkan dan mengkritik pandangan Syeikh al-Albani dalam kajian hadith (sejak 2007 lagi), maka terdapat salah faham, buruk sangka dan juga tuduhan tidak berasas dilemparkan kpd kami.Berikut adalah jawapan ringkas saya dan juga jemputan untuk program ilmiah akan datang.

*Terima kasih kepada akhi 'hanif1165' kerana rakaman, jazakumullahu khairan!

KLIK DI SINI

Sunday, 4 December 2011

Dengan Ilmu, Tiada Istilah 'Buang Masa'


"Jangan tolak ilmu dan perbincangan ilmiah dengan pelbagai alasan"

Sedar atau tidak, kita pernah terpengaruh dengan pandangan sebahagian (dengan niat yg pelbagai) yang nampaknya macam betul, tapi bila difikirkan, ia tidaklah benar 100%. Ini biasa kerana kita manusia yang lemah. Tapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk terus terpengaruh, bukan?

Antara pandangan yang mempengaruhi kita ialah - kita tidak boleh berlebihan dalam berbicara tentang ilmu atau ilmuan, tentang kajian dan intelektual, tentang maklumat, fakta dan pro atau kontra sesuatu idea. Ini katanya 'membuang masa'. Tapi adakah benar kita membuang masa, atau sebenarnya kita 'mengisi masa' dengan perkara yang positif?

ADAKAH MASA KITA CUKUP UNTUK ILMU ATAU?
Saya pernah bergurau dengan seorang sahabat : 'tak apa kalau tak datang kuliah saya pun, tapi dengan syarat pergilah program ilmu yg lain, jangan pula tak datang kuliah (saya atau sesiapa) tapi tidur di rumah'. (mungkin beliau pun sedang membaca tulisan ini).

Dan saya pernah juga menulis di FB bahawa kalau kita - sebagai muslim masa kini yang mempunyai banyak cara dan teknik menuntut ilmu - tidak dapat menghadiri atau mengikuti perkembangan ilmu atas dasar 'sibuk' tidak mengapa. Tapi agak pelik kalau kita boleh berjam-jam bersukan, membeli-belah, tidur, makan, melepak di kedai makan tanpa makan, main game dan segala hobi lain, tapi kita sibuk dan tak sempat untuk menghadiri atau mengikuti program ilmu...hmm?

MAJLIS ILMU - BUANG MASA?
Bahkan ada sesetengah pihak yang lebih 'canggih' dan 'maju' ketika mana cuba menghalang orang lain berdiskusi ilmiah, atau mengikuti perbincangan berfakta, atau sekurang-kurangnya mengisi masa dengan berbicara tentang ilmu dan pengetahuan dengan alasan - membuang masa. Membuang masa? Apakah kita sebenarnya faham maksud 'membuang masa'?

Ia lebih luas dan besar jangkauannya dari yang kita sangka. Di mana-mana tempat sama ada dalam atau luar negara, kita dapati ramai ilmuan dalam pelbagai bidang menghabiskan masa bertahun malah puluhan tahun mengkaji sesuatu yang kita sendiri tidak faham! Adakah sanggup kita berkata kepada mereka 'anda semua membuang masa sahaja' hanya kerana kita tidak faham matlamat mereka? Sudah pasti tindakan kita adalah lambang kita sebenarnya tidak pandai menghargai ilmu dan hasil ilmu orang lain!

DENGAN ILMU, MASA DIKORBANKAN TAPI IA TIDAK TERBUANG!
Saya pernah menonton di kaca tv bagaimana seorang pemegang 'phd' dalam bidang kajian fosil dinosaur (pengkhususan t-rex!) yang telah beruban rambutnya, kusut masai pula kerana berada di tapak kajian mencari bukti fosil untuk kajian, adakah saya akan mentertawakannya dengan berkata 'buang masa'?

Saya juga bertemu secara berhadapan dengan pengkaji-pengkaji hadith yang bekerja tanpa populariti di sebuah pangsapuri, ada yang muda, ada yang tua dan terketar tangannya mencatat dengan 'pensel', kemudian menunggu giliran untuk dicetak kajian mereka yang mana telah bertahun dimulakan tapi belum dihabiskan. Adakah tergamak saya mengatakan kepadanya 'mengapa buang masa'?

Juga saya pernah duduk bersebelahan seorang pendakwah yang begitu sederhana, tapi telah menghabiskan masa hidupnya sebelum dan selepas pencen untuk pergi berdakwah mengislamkan sebahagian masyarakat di pedalaman. Adakah itu 'buang masa'?

Anda sendiri pernah melihat orang lain melakukan sesuatu untuk ilmu dan kajian, adakah anda akan menyatakan 'mengapa buang masa'?

Kalau kita semak kembali apakah aktiviti kita seharian atau bulanan, berapa peratuskah masa yang benar-benar diisi? Kalau ia diisi dengan sesuatu, adakah ia aktiviti paling menguntungkan bagi kita? Ya, kita perlu bahagikan masa untuk semua keperluan hidup, tapi apakah ilmu bukan keperluan?

Bagi para ilmuan yang cintakan ilmu, masa dirasakan 'tidak cukup' untuk menghilangkan dahaga ilmu. Setiap ilmu diraikan, setiap ilmuan dihormati dan dinasihati, setiap majlis ilmu dipromosikan dan cuba diikuti dan paling penting:

'ilmu mendidik kita untuk menyedari bahawa kita kurang berilmu dan perlu ditambah'

Bagi saya dan saya yakin bagi anda juga - ilmu dan perbincangan ilmiah adalah di antara keperluan harian yang penting (kalaupun tidak paling penting) yang perlu ada dalam hidup dan yakinlah jika anda berada dalam program ilmu (bukan hanya ilmu khusus agama, tapi ilmu apa sahaja yang positif) anda sebenarnya ....

TIDAK MEMBUANG MASA, MALAH MENGISI MASA DENGAN BIJAK, LEBIH BIJAK DARI YANG MENUDUH ANDA MEMBUANG MASA!