Pages

Monday, 25 April 2011

Erti Syukur Dan Sabar

Apabila melihat kepada kehidupan orang di sekeliling kita, selalunya apa yang akan diperhatikan? Sudah semestinya kemewahan dan kelebihan lahiriah orang lain yang tidak kita miliki. Lalu timbul perasaan mengeluh dengan keadaan diri kerana menganggap diri ini serba kurang. Kadang-kadang sikap membanding-banding kehidupan duniawi dari aspek lahiriah sememangnya menyeksakan hati. Namun pernahkah kita terfikir dan melihat dengan mata hati kepada apa yang ada disebalik kelebihan lahiriah orang lain yang didengki kita?

Contohnya:
Allah SWT mungkin telah memberikan sejumlah kekayaan harta kepada seorang ynag memungkinnya memiliki apa yang dihajati. Tetapi disebalik tabir kelebihan itu, dia juga mempunyai banyak masalah kesihatan, keluarga dan perniagaan yang memeningkan kepalanya dan menaikkan tekanan darahnya.
Seseorang yang lain pula mungkin diuji dengan kemiskinan harta yang menyempitkan perbelanjaan kehidupannya. Tetapi disebalik kekurangan itu, dia juga dianugerahi Allah SWT dengan tubuh yang sihat serta anak-anak yang soleh dan berjaya akademik mereka.

Merenung sedalamnya dalam diri sendiri dengan reality ini seharusnya membangkitkan rasa syukur dengan apa yang sudah dimiliki kerana telah banyak yang kita miliki dari nikmatNya. Jangan melihat kekurangan diri yang mungkin nisbahnya hanya satu berbanding jutaan pemberianNya kepada kita. Disinilah terletaknya rasa beriman kita dengan hikmah pembahagian nikmatNya. Diberinya kita sesuatu dan ditahannya juga dari kita sesuatu nikmat. Semua dapat merasa kelebihan dan kekurangan dalam hidup. Begitulah hikmahnya. firmanNya:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَةَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ


Adakah mereka (manusia) berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu? Kamilah yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (al-Zukhruf; 43:32)

Kelebihan yang dianugerahi perlu disyukuri dengan hati, lidah dan perbuatan. Begitu juga kekurangan yang dialami perlu disabari dengan hati, lidah dan perbuatan. Semua itu memberi kebaikan kepada seorang mukmin. Sabdanya:


عجبا لأمر المؤمن . إن أمره كله خير . وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن . إن أصابته سراء شكر . فكان خيرا له . وإن أصابته ضراء صبر . فكان خيرا له

Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." - (Hadis riwayat Muslim)

Hakikatnya kita amat liat bersyukur kerana tidak nampak kelebihan diri yang sudah dimiliki. Mata hati sudah gelap dengan dengki kepada kelebihan orang lain. Maka rasa keluh kesah yang kita selalu dengar keluar apabila apa yang dihajati tidak dimiliki adalah tanda penyakit dengki sedang menjangkiti kita. Maka banyakkan bersyukur berbanding mengeluh.

Kekurangan yang dihadapi juga jangan dikeluhi kerana disebaliknya banyak hikmah yang tidak kita ketahui. Hayatilah kisah Ummu Salamah yang kematian suaminya yang tersayang dimedan perang. Beliau sabar dengan ujian itu dengan dengan banyak istirja’ dan berdoa:

اللهم أجرني في مصيبتي, وأخلف لي خيراً منها, إلاّ فعل ذلك به

“Ya Allah, berilah aku pahala dari musibah ini, dan berilah kepadaku ganti yang lebih baik dari musibah ini, melainkan Allah SWT akan mengkabulkan doanya”

Rupanya, hikmah terbesar musibah kematian Abu Salamah adalah pinangan Rasulullah SAW untuk menjadikan Ummu Salamah (yang sudah pun tua usianya ketika itu) sebagai isteri baginda SAW. Bukankah Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik ganti buatnya?

Justeru..
Carilah kekuatan dalam kehidupan pada rasa syukur dan sabar.
Abufahim UIA

No comments: