Dari masa ke semasa masih ada dalam kalangan penuntut ilmu atau ilmuan yang membangkitkan cara solat mengikut 'salaf soleh' atau ikut 'Hadith Sahih'. Seruan yang amat baik pada luarannya tapi belum tentu jika dilihat pada isi kandungannya. Kenapa saya katakan begitu? Kerana ada di antara mereka yang melaungkan slogan tersebut tetapi bila dilihat kandungannya maka didapati ia hanya bersandarkan satu atau dua buku semata. Ada yang melaungkan demikian tapi dilihat memenangkan satu pandangan dan menolak pandangan lain yang juga ilmiah. Ada yang menggunakan slogan itu tapi dilihat begitu literal atau zahiri tanpa meraikan atau mempertimbangkan huraian yang begitu banyak dalam buku-buku ulama zaman berzaman.
Para pembaca tulisan saya pasti ada yang telah pun mengikuti perbincangan tentang 'meletakkan tangan atas dada ketika berdiri dalam solat'. Kita bincangkan secara bertulis dan kita juga bincangkan dalam wacana ilmiah berjam-jam yang dimuatkan rakaman audio dan video (tanpa diedit). Akhirnya kita buktikan bahawa 'meletakkan tangan di atas dada (sedekap) ketika berdiri dalam solat' bukan amalan salaf bahkan ia digembar-gemburkan sebagai amalan salaf. Hadith-hadithnya juga tidak sahih dan tidak ada salafusoleh yang mengamalkan demikian termasuklah selepas zaman itu khasnya dalam kalangan imam-imam mazhab. Maka kita bertanya - adakah ia amalan salaf atau amalan sebahagian salafi moden? Anda boleh jawab sendiri.
Kali ini saya ingin mengajak para pembaca yang mengikuti isu-isu berkaitan agar merenungkan satu lagi topik yang mungkin kecil atau diperkecilkan oleh sebahagian, tapi ia cukup penting sebagai satu lagi kajian kes untuk kita mengetahui - adakah ia benar-benar fiqh Sunnah, Salaf, atau hanya dibawa oleh Salafi moden?
Isunya ialah: Menyamakan cara solat antara lelaki dan wanita.
Secara ringkasnya dalam tulisan ini saya ingin menyatakan bahawa - Sebahagian pengikut Salafi Moden begitu lantang melaungkan bahawa sekiranya kita ingin mengamalkan solat mengikut Sunnah, kita perlu nyatakan bahawa cara pergerakan dalam solat keseluruhannya mestilah sama tak kira anda lelaki atau wanita. Cara berdirinya, cara rukuknya, cara sujudnya dan seluruhnya mesti sama antara lelaki dan wanita. Contohnya jika lelaki disuruh menjarakkan perut dari peha ketika sujud, maka wanita pun begitu. Jika lelaki disuruh membuka dan merenggangkan kedua tangan ketika sujud, wanita pun begitu. Maka ini mereka namakan sebagai - Fiqh Sunnah, Fiqh Salaf. Sehinggakan ada sebahagian mereka menyatakan bahawa - sesiapa yang menyatakan 'ada beza antara cara solat lelaki dan wanita', maka dia telah menyalahi Sunnah malah dikatakan berbohong atas nama Rasulullah s.a.w. dan pelbagai lagi tuduhan.
Artikel ini adalah permulaan untuk membincangkan dakwaan ini. Mohon pembaca ingat bahawa kita ingin lihat adakah benar isu ini ada dalam Fiqh Sunnah, atau Fiqh Salaf, atau Fiqh Salafi Moden?
Maka sebagai permulaan, saya ingin mengingatkan para pembaca bahawa jika kita membaca beberapa tulisan yang menghadkan fiqh solat kepada 'hadith-hadith sahih' atau fiqh 'salaf', kita akan berpuas hati bahawa pandangan di atas itu ialah SATU-SATUnya pandangan dalam agama tentang cara solat lelaki dan wanita. TETAPI jika kita melihat bagaimana fiqh solat dihuraikan oleh ulama-ulama zaman berzaman dan dalam kitab-kitab fiqh solat, maka kita akan dapati bahawa hampir kesemua atau majoiriti ulama zaman berzaman menerima bahawa ADA beza antara cara solat lelaki dan wanita dalam beberapa aspek. Maka apa yang kita boleh faham di sini?
Adakah benar fiqh 'menyamakan' itu adalah benar-benar dipegang oleh SEMUA ulama fiqh dan hadith, atau ianya adalah dakwaan oleh sebahagian salafi moden yang cuba meng'sunnah'kan semua pandangannya, dan cuba meng'salafussoleh'kan semua pandangannya?
Adakah anda benar-benar pasti seruan mereka itu sama sahaja - Fiqh Sunnah = Fiqh Salafussoleh = Fiqh Salafi Moden?
Artikel ini akan bersambung insya Allah...renungkan dan buatlah pencarian dan kajian bagi yang mampu.
Adlan Abd Aziz
No comments:
Post a Comment