Siri #1 Program Khatam Sahih Bukhari
Tarikh: 10 Mac 2013
Masa: 7.00 pagi hingga 8.30 pagi
Tempat: Surau al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, Kajang
Program 'Khatam Sahih Bukhari' ialah beberapa siri (Kesemuanya 10-12
siri insya Allah) bacaan pantas buku Hadith terkenal iaitu Sahih
al-Bukhari yang mengandungi sekitar 7500 Hadith. Saya (Adlan Abd.Aziz)
dan Ibnu Mahdi Research Team telah sepakat untuk mengadakan siri bacaan
ini bertujuan untuk membaca kesemua Hadith dan juga info ilmiah lain di
dalam Sahih al-Bukhari.
Bacaan dalam program ini adalah pantas dan tanpa sebarang ulasan,
bertujuan untuk menjadikan peserta yang mengikutinya 'khatam' dan
melalui semua helaian kitab ini sebagai pengalaman dan permulaan.
Langkah seterusnya ialah mempelajari kitab ini dengan huraian lanjut
dalam program dan kuliah-kuliah lain. Maka program ini diibaratkan
sebagai 'pengenalan' dan 'muqaddimah' yang amat baik untuk mengetahui
dan menemui segala maklumat yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari.
Bacaan pantas sebegini adalah salah satu cara mempelajari Hadith yang
telah dilakukan turun temurun sepanjang zaman oleh para ulama Hadith.
Antara tujuan bacaan pantas ialah untuk mengenali setiap maklumat
sebagai langkah awal, menguatkan hafazan, membiasakan diri dengan teknik
bacaan pantas dan sebagainya. Ia adalah 'salah satu' bentuk pengajian
Hadith dan ada banyak lagi bentuk pengajian dan kajian Hadith termasuk
yang biasa kita temui di negara kita iaitu huraian Hadith satu persatu
dan sedikit demi sedikit.
Insya Allah dengan program sebegini, penuntut ilmu dapat mengetahui isi
kandungan Sahih al-Bukhari dalam masa yang singkat dan seterusnya
meneruskan pengajian dan pembelajaran isi kandungannya dalam program dan
kuliah lain.
*Peserta yang ingin mengikutinya dinasihatkan membawa sendiri buku Sahih
Bukhari sama ada dalam Bahasa Arab atau terjemahan bagi yang tidak
menguasai Bahasa Arab. Terjemahan yang dicadangkan ialah terjemahan
lengkap cetakan syarikat Mahera.
insya Allah, jumpa pada siri #1 pada 10 Mac 2013.
No comments:
Post a Comment