1 Ramadan - Sekali lagi saya perlu ulangi ucapan syukur kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmatNya kepada saya dan anda di bulan mulia ini. Kita mula berterawih pada malam tadi dan suasananya jelas dirasai semua. Pagi ini kita mula bersahur dan memulakan hari pertama kembara ibadah puasa sebulan. Ramai juga yang memulakan bacaan Al-Quran dengan harapan dapat khatam sebelum berakhirnya Ramadan.
Saya ingin sekali berpesan kepada diri saya dan kepada yang membaca agar kita kekalkan perasaan dan semangat ibadah di awal bulan ini agar berkekalan malah bertambah hingga akhir Ramadan. Pesan saya ditujukan kepada 2 sikap atau 2 golongan:
Pertama: Mereka yang menganggap Ramadan hanya utk makan - sahur, berbuka, moreh. Sedangkan amalannya tidak dihayati. Ibadah yang kurang kuantitinya, kurang pula kualiti dan penghayatannya. Yang difikirkan hanya makan - bila, apa dan di mana nak makan.
Kedua : Mereka yang asyik dengan persiapan hari raya. Sampaikan Ramadan tidak dilihat kelebihannya melainkan hanya tempat persinggahan atau alasan untuk berhari raya. Persiapan pakaian, hiasan rumah, kuih raya dan sebagainya mengatasi penghayatannya untuk beribadah dalam Ramadan.
Kita mungkin bukanlah orang yang terbaik dalam menjalani ibadah-ibadah Ramadan, cuma persoalannya - kenapa kita tidak berusaha dan berubah?
Adlan Bin Abd. Aziz
1 Ramadan 1436H / 18 Jun 2015
KL
No comments:
Post a Comment