Pages

Sunday, 17 July 2016

TEMPOH IMAM BUKHARI MENYUSUN 'SAHIH BUKHARI'



Tempoh Imam Bukhari Menyusun Kitabnya 'Sahih Bukhari'
Oleh: Adlan Bin Abd. Aziz

1-Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu bahawa Imam-Imam Hadith terdahulu yg menyusun kitab-kitab Hadith terkemuka seperti (Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud dan lain-lain) mengambil masa yang lama untuk menyusun kitab masing-masing.

2-Para ulama Hadith menyatakan bahawa Imam-Imam Hadith kebiasaannya mengambil masa lebih dari 10 tahun dalam menyusun kitab mereka. Ada yang menyusunnya semasa dalam pengembaraan ilmu dan ada pula selepas pulang dari mengembara.

3-Imam Muhammad Bin Ismail al-Bukhari (w256H) merupakan penyusun kitab terkenal 'Sahih Bukhari' atau nama penuhnya:
الجامع المسند الصحيح المختصر من أمور رسول الله وسننه وأيامه
Dalam penyusunannya para ulama menemui khazanah ilmu yg disusun secara ilmiah dan teliti.

4-Di antara sebab kitab ini kelihatan amat teliti dan padat dengan ilmu ialah kerana tempoh masa ia disusun. Menurut para ulama yang menulis tentang biodata Imam Bukhari, beliau mengambil masa 16 tahun utk siap menyusun kitabnya Sahih Bukhari.

5-Dalam tempoh ini, Imam Bukhari (seperti imam Hadith lain sezaman dengannya) sentiasa menyemak kandungan dan susunannya agar menjadi hasil ilmu terbaik beliau.

6-Maka hasil karya yang sebegini teliti perlulah dihargai dan juga dinilai dengan adil. Jangan jadi seperti sebahagian penuntut ilmu zaman ini yang mudah mengkritik bahkan menolak hadith-hadith dalam kitab Sahih Bukhari.

No comments: