Firman Allah SWT:
Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar).[8](Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata."[9](Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".[10]Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".[11]Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?[12]Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".[13]Bapa mereka menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya ".[14]Mereka berkata: "Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi". (Surah Yusuf; 12:7-14)
Muqaddimah
Hati terpanggil menulis tentang ibrah Surah Yusuf kerana banyak sebab (antaranya atas permintaan sahabat pemudaiman). Namun cukuplah dengan kata-kata al-Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni dalam Safwat al-Tafasir: Dan beginilah didatangkan kisah Nabi Yusuf a.s sebagai pengubat jiwa dan penghibur kepada Rasulullah SAW di atas apa yang dihadapi baginda (kewafatan 2 orang kesayangan baginda: isteri tercinta saydatina Khadijah dan pakcik yang dikasihi Abu Talib serta kekejaman kafir Quraisy yang makin melampau dan menjadi-jadi ke atas ummat islam). Surah ini datang membawa berita gembira, kerehatan dan ketenangan kepada sesiapa yang melalui jalan perjuangan para Nabi. Sudah semestinya akan datang kelapangan selepas kesempitan, kesenangan selepas kesusahan. Surah ini di dalamnya banyak pengajaran dan pengiktibaran, nasihat yang tinggi nilainya, sarat dengan khabar yang indah dan menakjubkan kepada sesiapa yang baginya ada Qalb yang mahu memahami, telinga yang mahu mendengar dan mata yang mahu melihat.
Tafsiran ringkas:
Ayat di atas merupakan permulaan kisah fitnah (ujian) dihadapi oleh Nabi Yusuf a.s. Fitnah saudara yang hasad. Sememangnya surah Yusuf sarat dengan kisah fitnah yang baginda hadapi. Dalam fitnah yang pertama ini berlaku suatu perasaan kurang senang oleh saudara-saudara (abang) baginda apabila ayah mereka (Nabi Ya’kub a.s) memberikan perhatian dan kasih sayang yang lebih terhadap Nabi Yusuf a.s berbanding mereka yang lain. Mereka merasakan yang ayah mereka silap dalam memberi kasih sayang kepada Nabi Yusuf sedangkan merekalah yang dirasakan lebih berhak untuk menerima lebih perhatian dari ayah mereka disebabkan mereka lebih tua dan kuat berbanding adik mereka itu. Ketidakpuasan hati mereka itu dimanifestasikan melalui komplot jahat untuk membunuh adik mereka sendiri sebelum akhirnya membatalkan perancangan membunuh dan ditukar dengan membuang Nabi Yusuf jauh dari pandangan ayah mereka dengan harapan perhatian dan kasih sayang si ayah kembali kepada mereka. Lalu terjadilah pembohongan yang nyata ciptaan mereka sehingga terlampau sedihnya si ayah kerana kehilangan Nabi Yusuf yang masih kecil dari jagaannya. Apa yang mampu dilakukannya ialah bersabar dengan kehilangan anaknya itu.
Ulasan:
1) Hubungan kekeluargaan: Institusi kekeluargaan merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera. Sebab itu islam menekankan pembinaan keluarga atas asas mawaddah dan rahmah. Dalam surah Yusuf kita dapati bagaimana kasihnya seorang ayah terhadap anak-anaknya. Nabi Ya’kub menasihati anaknya Nabi Yusuf agar tidak menceritakan mimpinya kepada abang-abangnya kerana risau yang abang-abangnya akan dihasut syaitan untuk merosokkan hubungan mereka sekeluarga. Mungkin kita cuma nampak kasih sayang Nabi ya’kub kepada Nabi Yusuf. Hakikatnya apabila timbul perasaan risau si ayah terhadap hasutan syaitan ke atas abang-abang Nabi Yusuf, ianya turut melambangkan kasih sayang si ayah terhadap mereka dan bukan setakat Nabi Yusuf sahaja. Sayangnya ayah sehingga disuruh menyembunyikan sebarang nikmat pemberian Allah kepada si anak supaya anak-anak yang lain terpelihara dari hasutan syaitan. Subhanallah! Namun sudah menjadi sifat manusia pasti lemah dalam mengawal perasaan kasih sayang tersebut. Perhatian yang lebih diberikan kepada Nabi Yusuf membuktikan kepada kita suatu hakikat dalam hidup berkeluarga. Kalau pasangan ibubapa mempunyai 5 orang anak, walaupun dari segi tanggungjawab material dan fizikal dapat ditunaikan seadilnya. Namun dalam hal kasih sayang, amat susah untuk ditunaikan seadilnya. Diantara 5 orang anak mereka pasti akan ada seorang yang dilebihkan kasih sayangnya. Jika ditanya mengapa? Memang susah nak diterangkan kerana ini soal hati. Bila mana soal hati seorang tidak boleh dipaksa. Ini hak Allah yang menentukan. Cuma kita Cuma mampu berusaha sekadar kemampuan kita seorang manusia yang lemah untuk menunaikan tanggungjawab kita sebagai ibubapa seadilnya. Di pihak si anak, janganlah mengharapkan sesuatu yang diluar kemampuan pemberian ibubapa kita. Sudah cukup dengan apa yang mereka berikan sekiranya segala kasih sayang diberikan seadilnya. Adil bukan bermaksud kesamarataan tetapi memberi kepada yang berhak menerima sekadar yang termampu.
2. Punca konflik: Konflik yang berlaku dalam kisah fitnah 1 ini adalah berpunca dari satu sifat terkeji kepunyaan iblis sejak penciptaan Nabi Adam lagi iaitu hasad dengki. Hasad dengki ditakrifkan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya sebagai perasaan yang sakit hati melihat nikmat yang dianugerahkan Allah SWT kepada hambaNya beserta niat untuk membuang nikmat tersebut dari orang yang didengkinya walaupun dia tidak mendapat apa-apa habuan dari niatnya itu melainkan rasa senang hati melihat nikmat itu terhalang. Dalam kisah ini, nikmat yang dihasad oleh saudara Yusuf terhadapnya ialah nikmat kasih sayang yang lebih dari seorang ayah kepadanya. Syed qutb ketika mambahaskan kisah hasad saudara Yusuf ini berkata: Elemen cemburu dan hasad antara saudara Yusuf itu disebabkan mereka melihat perbezaan kasih sayang yang wujud dikalangan mereka oleh ayah mereka. Perbezaan ini membawa perasaan hasad yang seterusnya membawa kepada perbuatan jenayah. Oleh kerana timbulnya perasaan sakit hati yang meluap bersama sifat takabbur di hati mereka, maka mereka merancang untuk memindahkan kasih sayang si ayah kepada mereka. Maka pelbagai cara dibincang secara bersama dan penuh kreatif. Suatu yang ajaib! Kalau melakukan sesuatu kejahatan, kita akan lihat betapa kreatifnya penjenayah merancang kegiatan mereka. Sayangnya sifat kreatif mereka disalahguna untuk perkara yang zalim.
3. Implikasi hasad dengki: Imam Ibn Kathir mengungkapkan suatu tafsiran yang indah bagi menggambarkan kesan perlakuan saudara-saudara Yusuf yang hasad terhadapnya. Katanya: Mereka telah berseuju untuk melakukan jenayah yang kejam yang mengakibatkan putusnya hubungan kekeluargaan, penderhakaan terhadap ayah, bersikap kejam terhadap adik yang kecil dan tidak bersalah, kejam terhadap orang tua yang selayaknya dihormati, kejam terhadap Nabi yang dimuliakan oleh Allah Ta’ala, menidakkan hak seorang ayah ke atas anaknya, memisahkan ayah dan anak yang dikasihinya ketika si ayah sudah tua dan lemah, menidakkan hak seorang anak kecil ke atas kasih sayang dan keselamatan dari ayahnya. Semoga Allah mengampuni perbuatan mereka. Dan sesungguhnya kasih sayang Nya bersama mereka yang sentiasa berkasih sayang.
Kesimpulannya kesan dari sifat dengki mereka terhadap Yusuf maka berlakulah perkara-perkara tersebut:
a) Hasad boleh membawa kepada komplot pembunuhan. Dalam kisah Habil dan Qabil menjadi bukti bagaimana Qabil sanggup membunuh saudaranya sendiri iaitu Habil kerana perasaan hasad yang tidak dapat dibendung lagi. Sebab itu berhati-hatilah dari mempunyai sifat hasad.
b) Penderhakaan kepada kedua ibubapa boleh terjadi disebabkan hasad antara saudara dalam sebuah keluarga. Disebabkan isu harta pusaka contohnya anak tidak bertegur sapa melawat ibubapa di kampung. Hubungan kekeluargaan menjadi tegang, retak dan terus terbelah (bukan retak menanti belah)
c) Hati orang yang hasad menjadi keras dan tidak menerima hidayah Allah SWT kerana terlindung dengan niatnya yang jahat. Dia sanggup melakukan apa sahaja tanpa pertimbangan halal atau haram. Baginya yang terpenting adalah memuaskan hatinya yang sakit melihat kejayaan orang lain.
4. Kepentingan sabar: Dalam menghadapi kerenah anak-anaknya yang hasad, nabi Ya’kub menunjukkan satu sikap yang mulia. Sabar dalam menghadapi kerenah hasad anak-anaknya dan kehilangan anaknya yang tersayang nabi Yusuf. Dia tidak hilang akal dengan situasi itu. Abuya Hamka berkata: Dengan sikap yang terpuji beliau tutup perkataannya. Bahawa segala yang kamu ceritakan itu, entah ia entah tidak, kepada Allahlah aku memohon pertolongan. Tuhan Allah lebih mengetahui. Al-Razi dalam tafsirnya tentang Fasabrun jamilun (Sabar Lebih Indah!) berkata: Rintihan jiwa kerana beratnya cubaan akan menyebabkan terkeluarnya rintihan kerana tidak tahan. Tetapi rohani yang lebih dalam mengajak dan mengingatkan supaya sabar dan rela menerima. Hal itu menyebabkan berlaku pertentangan antara nafsu dan roh dalam batin. Kalau rintihan itu diatasi sehingga roh itu menang maka selamatlah diri. Jika tidak maka hancurlah diri. Kesabaran bukan bererti mengalah dan membenarkan orang pijak kepala kita. Tetapi sabar ertinya kita tidak bertindak menzalimi diri dan orang lain. Itulah yang ditunjuk nabi Ya’kub. Begitu juga nabi Yusuf. Kesabarannya terserlah ketika dia bertahan dalam menerima kejahatan abang-abangnya dan keseorangan di dalam telaga terpisah dari ayahnya yang tersayang. Bertindaklah secara bijak dalam menghadapi kejahatan orang yang hasad. Jangan pula kita hasad kepada orang yang hasad terhadap kita. Itulah Fasabrun Jamilun!
Bersambung…