Kisah dari hadith...
Saya ingin berkongsi sebuah kisah dari sebuah hadith. Ia tentang seorang lelaki dari kampung bernama Zahir dan ia diceritakan kembali oleh sahabat Nabi yang terkenal iaitu Anas Bin Malik...bacalah dengan penghayatan, insya Allah anda akan faham kenapa saya ingin menceritakannya kepada anda...
Hidup Zahir amat sederhana. Sebagai seorang yang datangnya dari kampung, beliau amat merasa rendah diri. Apatah lagi apabila berhadapan dengan manusia terbaik, insan agung, Rasulullah s.a.w. Zahir dikenali kerana berjual dan berniaga dengan membawa barangan dari kampung lalu dijualnya di kota. Tidak disangka dirinya yang sebegitu kerdil mendapat perhatian Penghulu segala Nabi dan Rasul!
Bergenang air mata saya apabila membaca kata-kata Anas Bin Malik : 'Rasulullah menyayangi Zahir...'. Bertuahnya Zahir...seorang penduduk biasa dari hujung kampung tetapi dirinya disayangi oleh Rasulullah! Apalah nasib kita? Semoga Allah SWT mengurniakan kita anugerah disayangi oleh Rasulullah s.a.w. di akhirat nanti walaupun kita tidak sempat bertemunya. Amin..
Kembali kepada kisah ini...suatu ketika sewaktu Zahir sedang menjual barangannya di pasar. Tanpa disedarinya Rasulullah s.a.w. secara senyap-senyap datang melalui belakangnya. Lalu dipeluknya Zahir dari belakang tanpa membenarkan Zahir menoleh. Terpinga-pinga Zahir dan terkejut. 'Lepaskan aku..siapa kamu?'. Akhirnya Zahir berjaya melihat dan di situlah Rasulullah s.a.w. sedang memeluknya. Zahir lalu membiarkan sahaja dirinya dipeluk oleh Rasulullah s.a.w. Bukankah itu manusia paling disayanginya?
Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak berhenti sekadar di situ. Baginda terus melaungkan kepada orang ramai di pasar..'siapa ingin beli hamba ini?'. Sekali lagi Zahir terpinga-pinga tetapi kali ini dengan hati yang sayu. Zahir berkata: 'Kalau begitu, pasti aku ini hamba yang hina dan tidak diingini'
Apakah jawapan Rasulullah s.a.w?
'Tidak wahai hamba Allah...engkau di sisi Allah tinggi nilainya'...
hati siapa yang tidak tersentuh dengan kata-kata ini?
Siapalah Zahir di mata manusia- orang kampung yang berniaga...
Siapalah Zahir di matanya sendiri - seorang manusia yang kiranya dijual, murah sekali harganya.
Tetapi siapa zahir di mata Rasulullah s.a.w? - sahabat yang dikasihinya.
Yang lebih penting, siapa Zahir di sisi Allah SWT? - hamba yang amat mahal dan bernilai!
[Kisah dipetik dari hadith riwayat Ahmad di dalam al-Musnad. al-Tirmidzi dalam buku Syamaail dan lain-lain]
....ya Allah, jadikanlah kami seperti Zahir...biar kami dipandang sepi oleh manusia, tetapi di sisiMu kami mulia..amin ya Allah..
Allahummaghfirlana.....
Adlan Abd. Aziz
No comments:
Post a Comment