Semua tahu betapa ramainya jemaah yang membanjiri masjid dan surau menunaikan solat Jumaat. Ramainya sehingga menyebabkan masjid penuh dan kawasan luar perlu digunakan untuk solat. Ada yang membawa sejadah dan ada juga aayang sujud tanpa alas begitu sahaja.
Kita juga tahu betapa sejuknya sebahagian masjid di bahagian dalam. Terutama pada bahagian tempat imam dan saf-saf hadapan.
Alangkah baiknya jika para imam yang tahu situasi ini dan menyedarinya...meringkaskan khutbah dan solat terutamanya bagi meringankan beban mereka yang duduk berpanas dan berjemur di luar.
Kalau hari hujan pula sudah pasti makmum yang berlimpahan ini akan dilimpahi pula oleh air hujan sedangkan bahagian dalam masjid begitu selesa.
Mungkin ada yang akan berkata..'sapa suruh hang datang lambat?'. Pada hakikatnya semua kita sudah pasti akan merasai ketikanya kita terlambat atas sebab tertentu dan kita terpaksa solat di kawasan luar. Setiap orang ada masalah dan urusan masing-masing. Kenapa tidak di hati kita merasa kasihan dan ingin meringankan kesusahan dan beban saudara seagama?
Ini bukan sahaja melibatkan solat Jumaat, tetapi juga melibatkan solat berjemaah yang lain di mana imam seharusnya tahu keadaan makmumnya dan memanjangkan atau meringkaskan solat berdasarkan keperluan.
Saya akhiri dengan sebuah hadith Rasulullah S.A.W. yang mana pada satu ketika, Rasulullah S.A.W. solat lalu Baginda terdengar tangisan bayi. Ini menandakan terdapat ibu yang terpaksa membawa anak kecilnya dan ketika solat bayi itu menangis. Maka selepas solat Rasulullah S.A.W. telah membuat ucapan ringkas yang bermaksud:
'Sesungguhnya aku solat dan aku ingin memanjangkan solatku, tetapi aku terdengar tangisan anak kecil lalu aku meringkaskan solatku kerana aku tidak mahu merungsingkan ibu anak itu'
[hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
sebuah lagi hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda:
'Sesiapa yang mengimamkan solat, maka ringkaskanlah. Sesungguhnya dalam kalangan yang mengikutnya ada orang yang sakit, tua dan mempunyai hajat'.
[hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Inilah yang kita harapkan daripada sebahagian imam yang prihatin dan peka tentang keadaan makmumnya...semoga kita mendapat keberkatan dan manusia melihat Islam adalah agama yang menjadi rahmat untuk semua.
No comments:
Post a Comment