Pages

Monday, 24 January 2011

Siri Watak Wanita Baik Dalam Al-Quran

WATAK 1: MARYAM BINTU IMRAN: PEMUDI MITHALI (HEBAT IBADAHNYA, MULIA KEHORMATANNYA, TINGGI SABARNYA)


Firman Allah SWT: Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.(al-Tahrim:12)

Kisah Maryam bintu Imran telah menjadi perbincangan utama antara orang Islam dan Kristian semenjak zaman Rasulullah SAW. Ini dibuktikan apabila Raja Najasyi pemerintah Habsyah yang beragama Kristian bertanyakan Jaafar bin Abu Talib ketua rombongan hijrah pertama orang Islam mengenai pandangan agama Islam tentang Maryam. Jaafar bin Abu Talib dengan yakinnya membacakan kepada si raja surah Maryam sehinggakan si raja memerintahkan agar rombongan muslimin yang berlindung di Habsyah diraikan sebagai tetamu negara.

Maryam merupakan simbol pemudi mithali yang perlu diteladani oleh setiap wanita muda yang beriman kepada Allah SWT. Seorang wanita yang Allah SWT pilih melahirkan salah seorang rasulnya Nabi Isa A.S tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki. Namanya direkodkan dalam surah ali Imran dan surah Maryam dan al-Tahrim. Firman Allah SWT: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). (Ali Imran:42). Nabi SAW turut mengiktiraf kehebatan beliau dalam sebuah hadith sahih riwayat Imam Bukhari: Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan tetapi masih belum daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempunaan kecuali Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun

Kehebatan Maryam sebagai pemudi mithali adalah kerana dua faktor utama:

1. Maryam dilahirkan dari keturunan orang-orang yang soleh iaitu keluarga Imran. Firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui. (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)". (Ali Imran: 33-36)

2. Maryam seterusnya dididik pula oleh nabi Zakariya yang juga soleh. Firman Allah SWT: Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.(Ali Imran: 37). Hamka menyebut bahawa pendidik menjadi asas yang penting yang membentuk watak kanak-kanak yang membesar dengan katanya: Sehingga walaupun si anak lepas dari tangan kedua orang tuanya, sebab guru yang menyambutnya pun orang baik, maka pertumbuhan jiwa anak itu pun dalam keadaan baik pula.

Antara watak-watak maryam yang disebut dalam Al-Quran sebagai pedoman pemudi islam masa kini adalah;

1. Maryam disebut sebagai seorang wanita yang rajin beribadat. Firman Allah SWT: Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk (ali Imran: 43). Sudah menjadi suatu hakikat bahawa mereka yang kuat ibadahnya kerana Allah SWT akan dipeliharaNya dari perbuatan yang keji dan mungkar. Justeru tidak hairan bagi pengkaji watak maryam mendapati beliau merupakan seorang wanita muda yang kuat imannya dalam memelihara kehormatan diri.

2. Maryam sangat memelihara maruah kehormatan diri dan keluarga. Ini dibuktikan dengan sebuah ayat yang seharusnya menjadi azimat setiap pemudi yang ingin memelihara kehormatan diri dari gangguan lelaki yang berniat jahat: Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa (Maryam: 18). Syed Qutb menyebut: Maryam terkejut dan gementar (dengan kehadiran pemuda yang tidak dikenali di mihrab masjid), yang merupakan reaksi yang normal bagi wanita yang mulia kehormatannya. Reaksi segeranya adalah memohon perlindungan Allah SWT.

3. Ketinggian kesabaran maryam dalam menghadapi ujian kehamilan dan kelahiran nabi Isa patut menjadi contoh bagi mereka yang terlanjur disesatkan nafsu dan syaitan. Maryam mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap ketentuan tuhan. Firman Allah SWT: Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. "Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini". (Maryam: 24-26). Syed Qutb: Dia kini bersendirian, seorang wanita suci yang kesakitan hendak bersalin, tidak mengetahui cara berhadapan dengan situasi tersebut dan tiada sesiapa pun yang memberikan sokongan moral. Sehinggakan dia menangis: alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang , tetapi apabila dia sedar hakikat apa yang sedang berlaku, dia menjadi amat yakin yang Allah SWT tidak akan mengabaikannya dengan segala bukti yang telah nyata.

No comments: