Pages

Thursday 21 April 2011

Kisah Mahmud bin Rabi’a al-Ansari

Apa istimewanya orang yang empunya nama? Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai kenangan yang amat istimewa bersama baginda semasa beliau masih di usia kebudak-budakan.

Sedang Nabi SAW berwuduk, tiba-tiba datang Mahmud bin Rabi’a yang pada ketika itu diriwayatkan berusia lima tahun. Berkata Mahmud bin Rabi’a: “Ketika aku berumur lima tahun, aku masih ingat, Nabi SAW mengambil air dari bekas dengan mulutnya dan disembur ke muka ku.”(al-Bukhari)

Apa sebab Nabi SAW berbuat demikian? Nabi marahkah?

Sebenarnya Baginda bergurau dengan Mahmud bin Rabi’a. Walaupun gurauan tersebut berlaku ketika beliau masih kecil, namun memori indah tersebut sukar dipadamnya. Masih terasa di muka Mahmud bin Rabi’a al-Ansari air wuduk yang disembur baginda.

Kisah ini mencetuskan rasa ‘ingin tahu’ kita kepada kisah-kisah Rasulullah SAW bersama kanak-kanak di zaman baginda.

Pernah suatu ketika, baginda menyusun dalam satu barisan tiga orang anak al-Abbas iaitu Abdullah, Ubaidullah dan Kuthaiyyir dan berkata: “Barangsiapa yang sampai kepada aku terlebih dahulu akan aku hadiahkan ini dan ini.” Maka mereka bertiga pun berlumba menuju baginda dan melompat ke belakang dan ke dada serta mencium baginda. (Ahmad)

Anas R.A pula meriwayatkan bahawa apabila Nabi SAW melalui sekumpulan kanak-kanak, baginda akan senyum dan memberi salam kepada mereka. (al-Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah R.A turut meriwayatkan bagaimana pada suatu hari, Rasulullah SAW mencium Al-Hasan dan Al-Husain bin Ali, dan bersama baginda ketika itu ialah Al-Aqra’ bin Habis al-Tamimi. Berkata Al-Aqra’: Aku mempunyai 10 anak, tidak pernah aku mencium mereka pun. Maka Rasulullah SAW memandangnya kemudian berkata: Barangsiapa yang tidak menunjukan belas kasihan maka dia tidak akan dikasihi. (Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Al-Tirmizi)

Baru kita tersedar betapa mesranya baginda dengan kanak-kanak. Kehadiran baginda amat disenangi kanak-kanak kecil. Tidak pernah kita temui keadaan Baginda menengking memukul mereka. Baginda suka bergurau untuk menceriakan hidup mereka. Baginda juga suka bermain dengan mereka. Diberinya mereka hadiah agar baginda dapat melihat keseronokan yang terpancar di muka mereka. Dipeluk ciumnya mereka tanda kasih sayang yang memberi ketenangan dan kekuatan kepada kanak-kanak. Dihormatinya kanak-kanak dengan memberi salam dan senyum kepada mereka. Luluhnya hati baginda ketika solat sekiranya terdengar tangisan budak kecil lantas dipendekkan solat untuk kemudahan ibu budak tersebut.

Bandingkan pula situasi kita. Adakah kita disenangi dan dihormati mereka? Atau kehadiran kita mendatang rasa takut dan benci dalam diri mereka?

abufahim uia

1 comment:

Encik Ijak said...

mohon share Ustaz :-)