Pages

Monday 11 April 2011

SURAH AL-FALAQ: LINDUNGILAH KAMI YA ALLAH

Apabila subuh menjelma bermakna bermulalah hari seorang insan itu mencari kehidupannya di dunia ini. Para pekerja yang makan gaji bergerak berkenderaan ke tempat kerja. Para pelajar pula mula berjalan kaki, berbasikal atau menaiki bas ke sekolah mencari ilmu untuk masa depannya. Para petani dan pekebun akan keluar ke sawah dan kebun membanting tulang mencari sesuap nasi. Semuanya sibuk dengan rutin kehidupan masing-masing.

Namun, sewaktu mula bergerak memulakan tugas masing-masing, terdetik di hati ini; risau, takut, dan hati-hati dengan apa yang bakal dihadapi sepanjang hari sebelum masing-masing beradu berehat dimalam hari. Bahkan di malam hari pula timbul perasaan lain; takut, seram dan sunyi dengan apa yang bakal terjadi ketika mereka tidur mati sehingga subuh berikutnya.

Ketika bermulanya hari dengan waktu subuh, soal diri anda: Yakinkah dengan keselamatan anda sepanjang perjalanan ke tempat kerja? Kalau sudah sampai pula, yakinkah bahawa anda akan selamat semasa melaksanakan kerja tanpa sebarang kecelakaan? Selesai kerja, yakinkah anda akan selamat sampai ke rumah tanpa sebarang kemalangan? Duduk berehat dirumah, yakinkah anda bahawa tiada perompak yang akan masuk merampok segala harta kesayangan anda? Bagaimana pula keselamatan ahli keluarga anda? Sedangkan di depan mata pun kecelakaan boleh menimpa mereka, inikan pula jika mereka jauh dari anda?

Apa sebenarnya yang saya hendak bangkitkan? Isunya ialah mencari perlindungan. Hidup manusia berdepan dengan sejuta satu macam kecelakaan, kemalangan, kejahatan, kerosakan dan semua yang merisaukan manusia. Hilang ketenangan, timbul kegelisahan.


Namun, sebagai seorang yang beriman sepenuhnya dengan Allah, seharusnya perasaan takut, risau, sedih boleh dikawal. Seorang yang beriman sentiasa tenang (Sakinah) dengan hidup ini selagimana dia mengikut panduan dariNya. FirmanNya:

فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدً۬ى فَمَن تَبِعَ هُدَاىَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحزَنُونَ


Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.(al-Baqarah:38)

Apakah HidayahNya kepada kita dalam memulakan hidup ini, berhadapan dengan segala macam kejahatan yang mengancam? HidayahNya: Carilah perlindungan kepadaKu wahai hambaKu!

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلفَلَقِ (١) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ (٢) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (٣) وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلعُقَدِ (٤) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (٥)

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dari bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). (4) Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya. (5) (al-Falaq:1-5)

Indahnya ungkapan al-syahid Syed Qutb dalam muqaddimah tafsirnya untuk surah al-Falaq ini:
Surah Al-Falaq dan al-Nas ini merupakan satu arahan dari Allah mula-mula kepada NabiNya SAW dan kemudian kepada para mu’minin supaya memohon perlindungan dan naungan pada Allah dari segala kejadian yang menakutkan samada yang sulit atau yang terang, samada yang tidak diketahui atau yang diketahui secara umum atau secara terperinci seolah-olah Allah membuka perlindungan dan naunganNYa kepada mereka sambil berseru dengan kasih saying: “Marilah ke sini masuk ke dalam perlindungan dan naungan Ku, marilah ke tempat yang aman yang member ketenangan kepada kamu. Marilah, Aku tahu kamu lemah dan mempunyai banyak musuh dan di sekeliling kamu berbagai kejadian yang menakutkan.

Menelurusi sunnah Baginda SAW, tergambar betapa yakinnya Junjungan kita Nabi Muhammad (SAW) dengan surah ini. Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dari 'Aisyah r.a. katanya adalah Rasulullah SAW apabila beliau berada di tempat tidurnya setiap malam beliau menemukan dua tapak tangannya kemudian mengembuskan pada kedua-duanya dan membaca (Qul a'uzubirabbinnas) dan (Qul a'uzubirabbil falaq) kemudian beliau sapukan dengan kedua-dua tapak tangannya semua bahagian tubuhnya yang dapat disapukan olehnya, beliau mulakan di atas kepala dan mukanya dan bahagian hadapan badannya. Beliau berbuat demikian sebanyak tiga kali.

Rasulullah SAW juga telah memperlihatkan kegembiraannya yang mendalam terhadap turunnya surah ini. Dari 'Aqabah - Ibn 'Amir - r.a., Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidakkah engkau mengetahui ayat-ayat yang telah diturunkan pada malam ini, iaitu ayat-ayat yang tidak didapati seumpamanya iaitu: Qul a'uzubirabbil falaq dan Qul a'uzubirabbin nas.

Sedangkan kekasihNya yang maksum pun masih mendambakan perlindungan dariNya, bagaimana pula dengan kita? Hebat sangatkah kita sehinggakan yakin keselamatan dan kehebatan diri dari kejahatan yang mendatang?

Abufahim UIA

1 comment:

Unknown said...

salam..saya ingin bertanya..almuawwizat itu terdiri daripada 3 qul atau alfalaq dan annas shj?...ada shbt sy memberikan hanya alfalaq dan annas shj

http://www.al-fikrah.net/Forums/viewtopic/p=213186.html#213186