Pages

Tuesday, 11 October 2011

AL-MUKMINUN DALAM AL-QURAN

SIFAT UMUM AL-MUKMINUN:
Al-Quran berulang kali membicarakan tentang golongan al-Mukminun. Semua ayat tersebut menceritakan sifat-sifat seorang mukmin yang perlu dicontohi setiap individu yang mengaku beriman dengan Allah SWT dan RasulNya SAW. Antara sifat-sifat mukminun yang disebut al-Quran ialah:
1. Mempunyai hati yang amat sensitif dengan ayat-ayat Allah SWT (samada ayat al-manzurah atau ayat al-maqru’ah). Setiap kali dibacakan ayatNya maka akan bertambah imanNya. Hasilnya, hubungan mereka dengan Allah SWT dan hubungan kemasyarakatannya akan bertambah erat. FirmanNya dalam surah al-Anfal

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّـهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ﴿٢﴾ الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ ﴿٣﴾ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُمْ دَرَجَاتٌ عِندَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.[3]Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.[4]Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).

2. Kuat rasa tawakkal mereka terhadap Allah SWT. FirmanNya dalam surah al-Tawbah (51):

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".

3. Selain dari menjaga solat dan zakat yang diwajibkan, mukminun akan berganding bahu tolong menolong, bersama mukminat dalam kerja-kerja dakwah. FirmanNya dalam surah al-Tawbah(71):

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّـهُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

4. Berusaha mendalami ilmu pengetahuan demi menyumbang kebaikan kepada masyarakat. FirmanNya dalam surah al-Tawbah (122):

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

5. Mengutamakan persaudaraan (ukhuwwah) sesama muslim berbanding sebarang perbezaan atau kekhilafan pada pendapat dan perbuatan. FirmanNya dalam surah al-Hujurat(10):

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

SIFAT KHUSUS AL-MUKMINUN:

Menarik untuk diteliti apabila terdapat surah khusus yang dinamakan al-Mukminun. Dipermulaan surah ini, Allah SWT menjanjikan kejayaan (al-Falah) buat al-Mukminun. Kejayaan hidup dunia dan akhirat itu adalah suatu kepastian kerana mustahil bagi Allah SWT untuk mengingkari janjiNya. FirmanNya:

(قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ(1

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
Kunci kejayaan al-Mukminun itu terletak pada enam sifat utama. Menurut Syed Qutb, kesemua sifat itu melambangkan sifat muslim yang berada diperingkat tertinggi. Iaitu peringkat nabi Muhammad SAW, insan paling sempurna di muka bumi yang perlu dicontohi setiap muslim. Kerana, Saidatina ‘Aisyah R.A apabila ditanya tentang akhlaq baginda SAW, dijawabnya: “Akhlak baginda adalah al-Quran”, kemudian beliau membacakan ayat 1 hingga 9 dari surah ini. Dan beliau berkata: “ Begitulah Rasulullah SAW. ( Riwayat al-Nasa’ei)

Enam sifat tersebut adalah:

1. الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;

Solat yang khusyuk adalah syarat yang terpenting kejayaan mukmin. Solat khusyuk ditakrifkan sebagai solat dengan hati yang takut hanya kepadaNya dan dengan sikap badan yang tunduk taat. Kesannya, mereka bebas dari ketakutan kepada makhluk selainNya. Jiwa menjadi berani dan bebas kerana nilai hidupnya terletak pada redhaNya sahaja


2. وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;

Menjauhi sebarang perbuatan, percakapan dan fikiran yang tiada faedah dan tiada nilainya kerana mukmin itu sedar bahawa hidup dunia ini terlalu singkat untuk dibazirkan dengan perkara sebegitu. Senda gurau yang berlebihan dielakkan. Peribadinya mulia hingga disenangi orang sekeliling. Berjaya mukmin itu kerana mengawal nafsunya. Allah mengulangi lagi kepentingan sifat ini dalam surah al-Furqan ketika membicarakan tentang sifat Ibad al-Rahman (72):


وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

3. وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ
Dan mereka yang melaksanakan zakat

Zakat dalam ayat ini tidak terhad kepada pemberian zakat dalam rukun Islam, tetapi meliputi sebarang tindakan yang berbentuk pembersihan jiwa dan nafsu dari sebarang sifat mazmumah. Hati yang bersih menghasilkan perangai yang bersih. Perangai yang bersih akan disukai Allah SWT dan orang disekelilingnya. Maka, berjayalah mukmin itu. Seperti yang disebut Allah dalam surah al-A'la (14):

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ

4. وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
Dan mereka yang menjaga kehormatannya,[6]Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela:[7]Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;

Berjaya seorang mukmin itu kerana memelihara kehormatan diri dari terjebak dalam perbuatan keji seperti zina dan seumpamanya. Perbuatan keji menjatuhkan maruah manusia, merendahkan martabatnya sehina haiwan. Terpeliharanya manusia dari zina buka sekadar kejayaan individu, malah kejayaan buat masyarakat sebab jauh dari sebarang masalah social dan kerosakan nilai kekeluargaan dan kejiranan. Justeru suruhanNya juga jelas dalam surah al-Nur(30):
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

5. وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;

Bukan sekadar Allah SWT yang menekankan nilai amanah bagi seorang mukmin. Malah RasulNya juga tidak terkecuali bersabda:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ
Tiada iman bagi yang tidak amanah”
Amanah membawa maksud segala kewajipan, ketaatan dan kefardhuan yang difardhukanNya ke atas hamba-hambaNya, iaitu semua ajaran agama yang diwajibkan dan ditegah. Termasuk juga amanah itu segala tanggungjawab seorang individu terhadap diri dan semua ahli masyarakat. Contohnya, amanah harta, amanah ilmu, amanah suami isteri, amanah anak, amanah kerja, amanah pemerintahan negara dan sebagainya.

6. وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
Solat diulang kali kedua membayangkan betapa pentingnya solat penentu kejayaan. Hamka menyebut: Dari sembahyang kita mulai langkah dengan khusyuk, kita jalan terus ke muka menghadapi masyarakat, menegakkan rumahtangga dan menegakkan negara. Dan setelah negara berdiri, kita bertekun lagi memelihara hubungan dengan Ilahi dengan sembahyang, moga-moga kita selalu diberi kekuatan menghadapi soal-soal dihadapan kita. Benarlah firmanNya dalam al-Baqarah(153):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

7. أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi [11]Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
Kejayaan dan kemenangan yang dicapai diakhirat adalah syurga. Benarlah juga firmanNya dalam surah Ali-Imran:

فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ

SYARAT SYARIAT
Sebagai orang yang beriman dengan Allah SWT dan RasulNya SAW, sudah pasti perkara yang wajib dilaksanakan sebagai manifestasi keimanannya itu adalah syariatNya. Oleh kerana itu, kesemua ayat-ayat hukum dalam al-Quran dimulai dengan syarat IMAN. Iman menjadikan seseorang itu mudah patuh dan taat kepada yang diimani tanpa persoalan dan keengkaran. Maka, hidup mukmin itu adalah hidup bersyariat, berhukum dan bersistematik sesuai dengan status ahli syurga yang dipegangnya.
Antara contoh ayat-ayat hukum tersebut adalah dalam surah al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ﴿١٧٢﴾ إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.[173]Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 172-173)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa (183).
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٢٧٨﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.[279]Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
Hakikat Mukmin adalah melalui pembuktian amalan. Sebab itu juga ayat-ayat yang tentang iman akan digandingkan dengan amal soleh, contohnya dalam surah al-Baqarah (25 dan 82):
وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِن ثَمَرَةٍ رِّزْقًا ۙ قَالُوا هَـٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِن قَبْلُ ۖ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا ۖ وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ ۖ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Dalam Surah al-Nisa pula (57 dan 122):

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ لَّهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ ۖ وَنُدْخِلُهُمْ ظِلًّا ظَلِيلًا

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ وَعْدَ اللَّـهِ حَقًّا ۚ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّـهِ قِيلًا


Wallahu’alam
JADILAH GOLONGAN MESRA AL-QURAN

No comments: