'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Monday, 22 February 2010
MUTIARA WAHYU #10: HIDAYAH HAK ALLAH SWT
Firman Allah SWT:
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.
(Al-An’aam: 125)
Tafsiran Ringkas:
Ayat ini memberi pemahaman tentang tanda seseorang itu diberi petunjuk, hidayah dan kebaikan oleh Allah SWT. Tandanya ialah sepertimana kata Imam Ibn Kathir: Dipermudahkan bagi seseorang itu untuk melaksanakan segala ajaran Islam.
“Dipermudahkan” di sini bermaksud seseorang itu akan diberi suatu nikmat perasaan keseronokan, kegembiraan, teruja dan redha untuk melaksanakan suatu perintah Allah SWT tanpa bertangguh.
Rasulullah SAW apabila ditanya oleh para sahabat berkenaan maksud firman Allah pada kata “ yashrah sadrahu lil islam” baginda menjawab: “Tandanya ialah dia bertaubat untuk tempat yang kekal abadi (akhirat) dan menjauhi dunia yang memperdayakan serta bersedia untuk kematian sebelum datangnya kematian”.
Tanda seseorang itu berada dalam kesesatan pula adalah apabila dia mempunyai perasaan malas, terbeban, susah dan benci untuk patuh kepada perintah Allah SWT ke atasnya. Digambarkan oleh Allah SWT bahawa perasaan mereka ini seumpama terasa bebannya dan susahnya dia untuk naik ke langit. Inilah perasaan golongan munafiq dan kafir yang akan di azab Allah SWT.
Ulasan:
1) Hidayah adalah hak mutlak Allah SWT. DiberikanNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Begitu mahal nilainya hidayah ini bagi manusia sehingga kita dituntut memohon daripadaNya 17 kali setiap hari sekurang-kurangnya dalam solat fardhu. Bahagia atau sengsaranya hidup seseorang itu bergantung kepada hidayahNya.
Bayangkan bapa saudara nabi Abu Talib yang menjaga dan menyayangi Rasulullah SAW lebih dari anak-anaknya sendiri tidak terpilih untuk menerima hidayah Allah SWT yang mahal nilainya mati dalam kekufuran sehingga Allah berfirman kepada Rasulullah SAW dalam surah al-Qasas: 56 :
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).
Bayangkan pula Sayyidina Umar Al-Khattab yang sebelum keislamannya amat terkenal bengis terhadap Rasulullah SAW tiba-tiba terpilih menerima hidayah Allah SWT dan menjadi antara sahabat yang dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW. Hebat bukan? Bagi yang telah terpilih mendapat hidayah Allah SWT ini maka hargailah ia sebelum ia hilang sedikit demi sedikit. Namun hakikat dan realitinya, masih ramai orang yang tidak tahu menilai hidayah Allah ini.
2) Hidayah adalah kebaikan pemberian Allah SWT kepada hambaNya yang terpilih. Dan bukan sifat hambaNya yang terpilih sekiranya masih ada sifat pemalas dan culas dalam melaksanakan perintahNya. Seronok melakukan amal soleh dan bergegas melakukannya adalah sifat hambaNya yang terpilih.
Renungilah kisah para sahabat generasi al-quran yang cemerlang: Setiap kali al-Quran diturunkan maka mereka bersegera melaksanakannya tanpa bertangguh dan ragu-ragu. Mereka tidak membaca Al-Quran untuk tujuan kebudayaan dan pengetahuan tetapi untuk diamalkan sesaat setelah mendengarnya (Al-Qardawi: Kaifa Nata’amalu Ma’al Qur’an).
Mereka amat seronok dan teruja (eagerness) untuk beramal. Saydatina Aisyah (r.a) meriwayatkan: Semoga Allah merahmati para wanita Muhajirin yang pertama, ketika turun ayat: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; (al-Nuur:31). Seketika itu juga mereka mencarik kain yang dimiliki lalu digunakannya sebagai tudung (al-Bukhari). Mereka tidak menangguh walau sehari dua untuk beramal. Generasi kita adalah generasi bertangguh dan beralasan. Di zaman nabi, sikap bertangguh dan beralasan adalah sikap golongan munafik.
3) Menarik untuk diperkatakan mengenai ayat ini ialah berkenaan fakta saintifik tentang langit. Di zaman sains dan teknologi yang masih primitif dan masyarakat yang mempercayai khurafat dan tenung nasib, Allah SWT menyebut tentang fakta sains: “Semakin tinggi manusia naik ke langit semakin susah manusia untuk bernafas”. Menggambarkan bahawa al-Quran merupakan kalam Allah dan bukan ciptaan Muhammad.
Menggalakkan manusia mencari ilmu berkenaan alam ciptaanNya sebanyak-banyaknya. Melakukan kajian demi kajian tentang alam ini untuk mendekatiNya dan bukan menjauhiNya. Menunjukkan yang semakin tinggi manusia menjadi munafik dan kufur kepadaNya, semakin susah dan sakitnya dia untuk beramal dengan Islam, dan semakin dia kreatif mencari alasan untuk menjauhi Islam dek sakitnya hati dengan pelaksanaan ajaran Islam.
Mohd Syauqi Mohd Zahir
UIAM, PJ
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment