Pages

Wednesday, 10 February 2010

Mutiara Wahyu #8- SOAL HATI


Firman Allah Ta’ala:

Dan (Dia lah) yang menjinakkan (menyatu-padukan) di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menjinakkan (menyatu-padukan) di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menjinakkan (menyatu-padukan) di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Anfal, 8:63)

Tafsiran Ringkas
Ayat ini menjadi bukti bagaimana Kekuasaan dan Kebijaksanaan Allah Taala mengatasi segala perancangan dan kekayaan manusia. Imam Ibnu Kathir menyebut bahawa golongan Ansar yang terdiri dari kaum Aus dan Khazraj telah disatukan oleh Rasulullah SAW dengan tautan mahabbah Iman dan Islam yang datang dari Allah Azza Wa Jalla, walaupun mereka telah berperang bertahun lamanya sebelum kedatangan Islam. Inilah nikmat yang terbesar dianugerahkan Allah SWT kepada mereka sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran: 103: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. Kesatuan antara mereka bukanlah atas dasar kebendaan dunia tetapi atas dasar persaudaraan Iman dan Islam yang mereka pilih secara rela dan bukan paksaan atau desakan materialistik.

Ulasan

1) Soal hati adalah hak milik mutlak Allah SWT yang Maha Mengetahui. Manusia boleh merancang dan mencuba pelbagai cara untuk memenangi hati seseorang. Selalunya dengan pujukan wang ringgit dan rayuan kebendaan dunia. Cara tersebut mungkin berjaya untuk memenangi fizikal seseorang namun bukan hatinya. Kerana hati cuma boleh dijinak dengan rahmat dan hidayah Allah SWT. Hati manusia tidak boleh dijinakkan dengan harta kekayaan keduniaan. Badan manusia boleh dikawal dengan kebendaan tetapi hati manusia milik Allah SWT kerana Dia Pengawalnya. Sebab itulah Rasulullah SAW berpesan agar kita sentiasa berdoa: Wahai Yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami atas agama Kamu dan ketaatan kepadaMu. Maka, berhati-hatilah dengan hatimu.

2) Mengubah manusia adalah dengan menyentuh hati dan perasaannya bukan dengan paksaan kebendaan semata. Itu lebih memberi kesan dari segi tempoh perubahan tersebut. Ia lebih kekal. Mengubah manusia dengan kebendaan tidak menjanjikan berkekalnya perubahan tersebut. Acapkali kita lihat apabila berkuasanya seseorang maka ramailah yang akan ikut suruhannya tetapi bila kuasa tersebut tiada maka hilanglah mereka yang menjadi suruhannya sebelum ini. Bak kata pepatah melayu: kawan ketika ketawa ramai tetapi kawan ketika menangis amat sedikit. Menyentuh hati adalah dengan menyemai rasa cintakan Allah sesama kita. Sebab itu kita digalakkan melakukan ibadah secara berjemaah. Bermanis muka dengan sahabat kita. Mendoakan sahabat kita. Memaafkan sahabat yang buat salah dengan kita. Menjauhi kebencian, dan kedengkian sesama kita. Bersama ketika senang mahupun susah. Itu semua ajaran Islam. Ajaran yang akan menyentuh hati supaya berlaku perubahan.

3) Bersahabat dengan seseorang adalah atas dasar Islam dan bukan atas dasar kepentingan peribadi. Sebab, sahabat yang sayangkan kita kerana Allah SWT akan sentiasa menegur kita jika kita tersilap langkah dalam agama dan bukan mengiakan segala yang kita buat walaupun menyalahi agama. Rasulullah SAW bersabda: Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ada 6:…, apabila dia meminta nasihat maka berilah nasihat,..(HR. Muslim).Sahabat yang berkepentingan peribadi akan sentiasa kata “Yes Man!” kepada kita. Berhati-hati dengan sahabat munafik ini. Dia merosakkan bukan memberi kebaikan. Kita perlukan sahabat yang menasihati bukan bermuka-muka. Sometimes to have someone who disagree with us is better. But agree to disagree is difficult!

4) Nilai sebuah persahabatan atas dasar Iman dan Islam tidak sama dengan dunia dan segala isinya. Kekadang berapa banyak wang pun yang kita ada tetapi jika tiada kawan sejati yang membahagiakan kita pun tidak berguna. Kekadang kita kesunyian walaupun harta melimpah ruah. Sebab itu pentingnya kita mempunyai sahabat yang sejati bukan untuk kebahgiaan di dunia semata tetapi untuk akhirat nanti seperti sabda Rasulullah SAW: 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya: …, dua orang yang saling mengasihi kerana Allah, yang bertemu dan berpisah keranaNya, …(HR Al-Bukhari).

Oleh Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi
PUSAT ASASI UIAM, PJ

No comments: