Pages

Wednesday 21 July 2010

MUTIARA WAHYU 16: ‘IBRAH DARI SURAH YUSUF (FITNAH 3: FITNAH WANITA)

Firman Allah SWT:

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".[24]Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. (Surah Yusuf; 12: 23-24)

Tafsiran ringkas:

Inilah fitnah yang terbesar dalam hidup nabi yusuf iaitu fitnah wanita. Kisah fitnah ketiga yang terjadi ke atas Nabi Yusuf bermula di rumah tempat baginda membesar menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dari pembesar yang membebaskannya dari fitnah kedua. Dengan nikmat ketampanan dan keilmuan yang dianugerahkan Allah SWT kepadanya telah menambat hati isteri pembesar tersebut (jumhur ulama menyebut namanya sebagai Zulaikha). Pada ketika itu menurut Syed Qutb, umur Yusuf sekitar 25-30 tahun manakala Zulaikha berusia antara 30-40 tahun. Zulaikha telah cuba menggoda Yusuf untuk melakukan zina (fahsha’). Al-Quran merekodkan dengan terperinci bagaimana Zulaikha yang terlampau tergoda dengan kesegakkan Yusuf sehingga dia mengajak Yusuf di rumahnya sendiri, ditutup semua-pintu di rumah itu agar dapat dikekang pergerakan Yusuf, dihiasi dirinya secantik yang mungkin untuk meruntuhkan keimanan Yusuf, diajak Yusuf untuk berzina dengan suara dan perkataan yang mengiurkan. Namun seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali: Tetapi Yusuf terpelihara dari fitnah, ketika dihadapannya seorang perempuan mula menggodanya maka naluri kebaikan dihatinya dikejutkan. Baginda mengingati kembali kemuliaan warisan ayahnya seorang Nabi, mengingati kembali kepercayaan(amanah) pembesar tersebut yang melindungi dan memuliakannya selama ini. Bagaimana boleh dia menkhianati mereka? Maka baginda menolak godaannya dengan memohon perlindungan Allah SWT (Ta’awwuz) walaupun naluri syahwat kemanusiaannya ingin memenuhi godaan Zulaikha. Berkata Syeikh Al-Ghazali lagi: Yusuf merupakan lelaki yang sempurna, matang nalurinya, jiwanya menginginkannya tetapi dia sedar dia tidak boleh membenarkan dirinya dikawal oleh naluri tersebut. Dorongan kemuliaan maruah diri, keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT telah mencegahnya dari menuruti nafsunya itu. Kalaulah baginda seorang lelaki yang tiada naluri kemanusiaan itu dan nafsu syahwat seorang manusia maka dari mana datangnya pengiktirafan dan kemuliaan dari Allah SWT? Allah SWT mengiktiraf baginda diatas keupayaannya menolak godaan Zulaikha sebagai ‘Ibad al-Mukhlisin’ (Hamba-hambaNya yang Ikhlas)

Ulasan:

1) Naluri Keinginan Manusia: Menarik untuk direnungi pada ayat 24 apabila Allah SWT menggambarkan bagaimana naluri kelakian yang ada pada seorang Nabi inginkan seorang wanita. Membuktikan aspek kemanusian yang ada pada Nabi pilihanNya tetap wujud, namun ianya tidaklah pula menjejaskan kemaksuman seseorang Nabi itu. Hakikat yang perlu difahami Allah SWT melantik Nabi-NabiNya dari kalangan manusia supaya manusia dapat mengikuti sunnah yang dibawa mereka. Jadi, amat tepatlah ketentuanNya. Para Nabi bersifat dengan naluri keinginan manusia seperti manusia yang lain. Mereka penat, ketawa, kecewa, sedih, menangis, lapar, dahaga, bekerja, tidur, beristeri dan wafat seperti manusia lain. Yang membezakan manusia biasa dan para Nabi ialah mereka diwahyu, dipimpin Allah SWT dan maksum dari sebarang dosa. Disamping itu, keinginan yang ada pada Yusuf terhadap godaan zulaika itu tidaklah dianggap sudah melakukan maksiat yang boleh menjejaskan kemaksumannya. Kerana sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Tuhan telah berfirman: apabila hambaku berkeinginan membuat kebaikan, maka akan ditulis baginya 1 pahala. Jika dia melaksanakan keinginannya itu maka ditulis baginya 10 pahala. Dan jika hambaku berkeinginan membuat kejahatan namun dia tidak melaksanakan keinginannya itu, maka akan ditulis baginya 1 pahala. Kerana dia meninggalkannya kerana takutkan Aku. Jika dia melaksanakan keinginannya itu maka ditulis baginya 1 dosa. (Al-Bukhari dan Muslim). Betapa Pemurahnya Allah SWT. Sekadar berkeinginan sahaja sudah boleh mendapat pahala. Bayangkan seorang pemuda terlihat wanita cantik, berkeinginan dalam hatinya untuk melakukan zina dengan wanit itu, tetapi ditahan keinginannnya itu atas apa jua alasan maka baginya Allah SWT menjanjikan pahala. Mudah kan? Jadi terpulanglah kepada kita. Apa keinginan kita. Kebaikan atau kejahatan?

2) Ihsan dan Zina: Pengharaman zina adalah suatu yang bersifat universal dan komprehensif. Universal apabila semua agama mengeji zina. Komprehensif apabila zina dianggap keji (fahsha’) dari dulu, kini dan selamanya. Dan pengharaman zina bermula dari pengharaman mendekati zina itu lagi. Sebab itu Islam meletakkan syariat yang jelas berhubung perhubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Antaranya diharamkan berkhulwah. jangan berlebihan dalam berhias, menutup awrah, menjaga pandangan mata, menjaga intonasi suara percakapan. Semuanya bertujuan menutup pintu ke arah zina. Malangnya muda mudi masakini mengabaikan syariat ini dengan alasan ‘ianya menyusahkan wanita!’ Mereka terpengaruh dengan gaya hidup bebas barat yang kononnya lebih bertamadun. Istilah boyfriend dan girlfriend adalah suatu kemestian (wajib) dalam alam remaja belasan tahun. Pakaian ketat menampakkan pusat dan separuh dada ditayang dikhalayak. Tetapi apabila timbul isu pembuangan bayi di dalam jamban, depan masjid, di tong sampah semua kelam kabut mencari solusi. Jari dituding ke merata arah mencari pesalah. Sedangkan Islam sudah membawa syariat yang lengkap sejak 14 kurun yang lalu. Kisah Nabi Yusuf dibentangkan untuk diambil pengiktibaran. Tetapi yang ramainya ialah mereka membaca surah Yusuf untuk mendapat anak yang tampan! Berapa ramai yang bersifat seperti zulaikha yang menggoda lelaki? Ramai jawabnya! Tetapi, berapa ramai lelaki bersifat Nabi Yusuf bila wanita cantik datang menggoda? Jawabnya: Payah nak dicari! Tidak hairanlah lelaki bersifat nabi yusuf dijamin naungan Allah SWT di hari kiamat nanti pada waktu matahari hanya sejengkal dari kepala di Mahsyar. Rasulullah SAW bersabda: “7 golongan manusia yang akan dinaungi Allah dihari tiada naungan melainkan naungannya:…lelaki yang diajak oleh wanita cantik dan berkuasa untuk membuat maksiat, tetapi dia enggan dan berkata: Aku takut kepada Allah…” Nabi Yusuf digelar al-muhsinin pada kisah yang sebelumnya. Inilah buktinya. Baginda enggan memenuhi nafsu zulaika kerana dia merasakan dirinya sentiasa diperhatiNya walaupun semua pintu rumah ditutup (Ihsan). Didiklah diri mencapai ihsan dalam hidup sebagai pendinding (divine protection) dari kemaksiatan. Didiklah juga anak-anak kita untuk bersifat ihsan dalam kehidupan. Takutkan Allah, bukan takutkan hantu. Bila anak diajar takutkan tuhan mudah untuk kita mendidik mereka. Tetapi kalau diajar takutkan hantu maka jadi ‘hantu’lah mereka. Nabi yusuf enggan memenuhi tuntutan nafsu zulaika kerana didikan ayahnya sebelum ini.Untuk mencapainya, mujahadah diperlukan kerana suatu yang bernilai bukan mudah untuk dicapai!

3) Kepentingan Isti’azah: Berdasarkan metod Nabi Yusuf dalam mengawal nafsu keinginannya, baginda menjadikan Allah sebagai pelindungnya. Ucapan “A’uzubillahiminasyaitanirrajim” adalah azimat yang terbaik dalam menghadapi peperangan sengit antara tuntutan nafsu jahat dan pertimbangan akal dan agama. Berkata Dr. ‘Aidh al-Qarni: Wahai para generasi muda! Kalimah apa yang lebih baik daripada kalimah yang dikatakan Yusuf itu! Aku berlindung kepada Allah daripada terjerumus ke dalam murka Allah, aku berlindung kepada Allah daripada memerangiNya, dan hanya kepada Allah aku berlindung. Generasi sekarang sangat memerlukan kalimah tersebut kerana fitnah telah ditawarkan di hadapannya melalui berita harian, rancangan televisyen, melalui majalah bebas yang sangat hina, padahal akhlak dan moral para pemuda sekarang telah hancur. Apa yang meyebabkan para pemuda pemudi malas untuk mengatakan : ‘Aku berlindung kepada Allah?” Jika kamu melihat sebuah gambar lucah yang dapat mendorong hal yang keji maka katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Allah”.tiada sesiapa yang dapat menyelamatkan diri kita dari maksiat kecuali Allah yang Esa. Pengajarannya mudah. Berdoalah dengan penuh keyakinan kepadaNya. Mohonlah bantuanNya dalam segala kerja. Berdoa mewujudkan hubungan yang rapat antara Allah SWT dan hambaNya yang berdoa. Namun orang Islam zaman kini kurang memberi perhatian kepada berdoa. Berdoa ketika bangun tidur, ketika masuk tandas, ketika melihat cermin, ketika berpakaian, ketika keluar rumah, makan dan sebagainya. Mulut menjadi berat memohon keberkatan dan perlindunganNya. Takabbur dan sombongnya kita denganNya. Seorang yang penjenayah yang sentiasa berdoa kepadaNya adalah lebih mulia dari seorang ‘alim yang culas berdoa kepadaNya.

4) Menyelidik Berita: sifat terpuji yang ditunjukan oleh suami zulaikha juga harus dicontohi. Isterinya menuduh nabi yusuf dengan tuduhan yang berat : cuba menggodanya untuk curang terhadapnya, tidak mengenang budi, khianat dengan amanah dan akhirnya meminta suaminya memenjarakan yusuf atas tuduhan yang disebut tadi. Inilah kezaliman seterusnya ke atas yusuf. Namun kesanggupan si suami untuk bertindak bijak dengan menyiasat dahulu pertuduhan yang sampai kepadanya walaupun dari isteri kesayangannya sendiri harus diteladani. Menarik untuk kita lihat gambaran tafsiran Abuya Hamka dalam hal ini: Seorang yang berjawatan tinggi dalam Negara, yang telah banyak mengetahui rahsia manusia, pergolakan jiwa wanita, atau gelora jiwa orang muda, tidaklah lekas terpengaruh oleh perkataan isterinya. Beliau belum mengambil keputusan menyalahkan yang mena. Beliau berjiwa besar dan tidak lekas cemburu dan tidak ribut-ribut. Dalam apa jua keadaan, sebarang perkhabaran, berita dan informasi tentang orang atau situasi tertentu perlu ditashihkan (dipastikan kebenaran) terlebih dahulu sebelum diterima. Jangan mudah diterima bulat-bulat apatah lagi kalau yang membawa berita itu seorang fasiq (jahat). Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, 49: 6:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Lebih-lebih lagi di zaman informasi teknologi sekarang, semua berita hanya di hujung jari kita. Hanya klik semua terpampang. Sikap tashih perlu ada untuk memastikan kita membuat penilaian yang adil terhadap seseorang.

Bersambung…

3 comments:

Anonymous said...

melazimi membaca dan menekuni kisah nabi yusuf a.s, dapat melegakan resah di jiwa para lelaki yang diasak bayangan perempuan yang pelbagai ragam yang ditemui dan diladeninya saban waktu di pejabat dan pusat membeli belah.

Mujahidah Muslehah... said...

Salam...minta izin nak copy post kali ni nak letak dlam blog....

abufahim said...

Ahlan, dipersila.
insyaAllah dlm masa terdekat ni, pemudaiman akan menerbitkan buku pertama yang merupakan kompilasi artikel mutiara wahyu yg telah di'post' n belum di post dlm blog ni.
keep update in this blog