Pages

Saturday, 20 November 2010

Ulasan Artikel Bicara Agama (Bah.3)

Ulasan kali ini adalah berkenaan hujah kedua yang dikemukakan penulis iaitu

- penulis telah berusaha membuktikan dengan bukti dan hujah dari buku-buku ulama hadith bahawa Hisyam Bin Urwah ialah seorang periwayat yang bermasalah terutamanya ketika berhijrah ke Iraq dan mencapai umur 71 tahun -

hujah ini adalah rententan hujah pertama yang menyatakan bahawa 'semua' hadith tentang umur Aisyah ketika berkahwin berasal 'hanya' melalui jalan Hisyam. Maka penulis ingin membuktikan bahawa riwayat Hisyam bermasalah lalu ternyatalah kedhaifan dan tidak benarnya hadith umur Aisyah ketika berkahwin..itu hajat penulis. Apakah benar begitu? Dalam tulisan kali ini, kami akan mengulas satu bahagian kecil daripada hujah itu iaitu:

Penulis menyatakan:

"Asal periwayatan ini adalah daripada orang Iraq, di mana Hisham tinggal di sana dan pindah dari Madinah ke Iraq pada usia tua iaitu 71 tahun".


Apa sebenarnya kesimpulan penulis?
Penulis bertujuan menyatakan bahawa:

1- Hadith-hadith umur Aisyah ketika berkahwin diriwayatkan oleh Hisyam selepas dia berhijrah ke Iraq

2- Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Hisyam selepas berpindah di Iraq dikritik oleh ulama hadith.

3- Di antara sebab lain ialah ketika itu Hisyam sudah tua dan dia sudah bercelaru dan ingatannya tidak kuat lagi.

Maka hasil / tujuan penulis ialah :

- Hadith umur Aisyah enam tahun ketika berkahwin adalah tidak benar kerana ia diriwayatkan 'hanya' oleh Hisyam ketika berada di Iraq, ketika sudah tua dan kurang ingatannya.

Maka penulis menguatkan lagi hujahnya dengan kata-kata Imam Ya'qub Bin Syaibah iaitu:

"Menurut Ya’qub bin Syaibah: “Hisham seorang perawi yang dipercayai, riwayatnya dapat diterima, kecuali apa-apa yang dia ceritakan setelah dia berpindah ke Iraq."

Kedudukan Hisyam - dipercayai atau tidak?
Pada hakikatnya, Hisyam Bin Urwah telah dinilai sebagai thiqah atau dipercayai oleh ramai
ulama hadis. Mereka menilainya bukan semata-mata melihat satu atau dua sudut malah dengan melihat seluruh aspek kehidupannya dan seluruh hadith-hadith yang diriwayatkannya. Ulama hadith terkemuka seperti Abu Hatim al-Razi (wafat 277H) , Ya'qub Bin Syaibah (wafat262H) , Ibnu Hibban (wafat 354H) dan ramai lagi telah menilai beliau sebagai thiqah iaitu dipercayai.

Saya yakin penulis juga menerima kenyataan ini cuma beliau memberikan fokus pada 'Iraq' dan pada 'lemah ingatan atau bercelaru'. Lalu saya ingin bertanya:

Benarkah hadith Umur Aisyah hanya diriwayatkan oleh Hisyam di Iraq?
Untuk menjawab persoalan ini, sekali lagi saya perlu ingatkan pembaca bahawa hadith umur Aisyah ini bukan hanya berlegar pada Hisyam. Dengan membuktikan bahawa hadith umur Aisyah ini diriwayatkan oleh 'selain' Hisyam sudah cukup untuk menjawab keraguan yang ditimbulkan oleh penulis. Katakanlah...saya ulang sekali lagi..'katakanlah' kita menerima bahawa hadith-hadith Hisyam di Iraq adalah 'tidak sahih', maka adakah ini bermakna hadith umur Aisyah sudah tidak ada sandaran dari orang lain selain beliau? Ini telah saya nyatakan dalam tulisan bahagian pertama cuma kali ini saya ingin memberikan bukti yang lebih jelas:

Di dalam Sahih Muslim (no.3546) telah dinyatakan dengan jelas bahawa hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Zuhri daripada Urwah, dan Urwah meriwayatkannya dari Aisyah. - Bukan melalui Hisyam.

Begitu juga dalam Sahih Muslim (no.3547) dinyatakan hadith ini diriwayatkan oleh Ibrahim al-Nakhai daripada al-Aswad Bin Yazid yang mengambilnya dari Aisyah. Ini juga ada dalam Sunan al-Nasaai (no.3271). - Bukan melalui Hisyam.

Dalam Sunan Abu Daud (no.4939) di mana ia diriwayatkan melalui Yahya Bin Abd. Rahman mengambilnya dari Aisyah. - Bukan melalui Hisyam.

Dalam Sunan Nasaai (no.3392) diriwayatkan oleh Abu Salamah yang mengambilnya dari Aisyah. - Bukan melalui Hisyam.

Dalam Sunan Ibnu Majah (no.1951) melalui Abdullah Bin Mas'ud yang mengambilnya dari Aisyah. -Bukan melalui Hisyam.

Contoh-contoh di atas dirasakan cukup untuk menghilangkan keraguan yang ditimbulkan di sini iaitu - Hadith ini hanya dari Hisyam dan hadith ini hanya disebut Hisyam di Iraq. Semoga para pembaca melihat dan merenungkan.

Namun begitu mari kita lihat, adakah benar Hisyam bermasalah ketika berada di Iraq?

Penting: Apa maksud sebenar Ya'qub Bin Syaibah?
Kata-kata yang diterjemahkan oleh penulis di atas tadi dengan menggunakan nama Ya'qub Bin Syaibah telah pun direkodkan dalam buku-buku ulama hadith. Mari kita lihat bersama apakah terjemahan itu tepat dengan teks asalnya? Teks asal kata-kata Ya'qub Bin Syaibah seperti yang ada dalam Tahdzib al-Tahdzib karya Ibnu Hajar al-Asqalani ialah:

ثقة ثبت لم ينكر عليه شيء إلا بعدما صار إلى العراق فإنه انبسط في الرواية عن أبيه فأنكر ذلك عليه أهل بلده , و الذي نرى أن هشاما تسهل لأهل لعراق أنه كان لا يحدث عن أبيه إلا بما سمعه منه فكان تسهله أنه أرسل عن أبيه مما كان يسمعه من غير أبيه عن أبيه

Bagi mereka yang menguasai Bahasa Arab dan memahami istilah ahli hadith, tidak ada pun di dalam kata-kata Ya'qub Bin Syaibah ini yang menunjukkan bahawa SEMUA hadith yang diriwayatkan oleh Hisyam Bin Urwah di Iraq 'ditolak'. Apa yang ada dalam teks ini ialah Ya'qub Bin Syaibah menyatakan bahawa hadith-hadith Hisyam 'tidak pernah ditolak' oleh ulama hadith kecuali selepas beliau berhijrah ke Iraq, terdapat beberapa hadith yang ditolak oleh ulama hadith. Malah Ya'qub menghuraikan pula sebab perkara itu berlaku dan ia tidak ada kena mengena dengan nyanyuk atau bercelaru atau lemah ingatan. Ia berkaitan cara Hisyam menyampaikan hadith. Namun yang lebih penting untuk kita kaitkan di sini....

Adakah ditemui bukti ulama hadith menolak hadith Umur Aisyah?
Persoalannya sekarang - adakah ulama hadith (mana-mana ulama hadith terkemuka) pernah menyatakan bahawa hadith Umur Aisyah adalah termasuk dalam senarai beberapa hadith yang ditolak itu? Jawapannya mudah - tidak pernah ada dan tidak pernah disebutkan. Adakah pengkaji hadith sejak dahulu hingga kini pernah menemui rekod bahawa Ya'qub Bin Syaibah menolak hadith umur Aisyah? Juga jawapannya tidak. Ya'qub Bin Syaibah yang dikatakan 'menolak' hadith-hadith Hisyam di Iraq (sebagaimana kata penulis) pun tidak ditemui mengkritik hadith ini! Agak menghairankan!

Malah apa yang kita temui ialah - Ulama hadith begitu ramai yang 'menerima' dan 'menilai sahih' hadith-hadith Hisyam Bin Urwah TERMASUK hadith umur Aisyah ini yang dinilai sahih oleh Imam-imam hadith seperti al-Bukhari, Muslim, al-Nasaai dan lain-lain lagi. Malah pembaca yang berkemampuan boleh merujuk pandangan ulama-ulama hadith moden yang juga menerima hadith ini secara sepakat.

Maka, ulama hadith menyalahi/melanggar kaedah 'Iraq' ?

Merujuk kepada kenyataan yang baru sahaja saya ungkapkan di atas tadi, maka adakah boleh kita katakan - Imam-imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi telah 'menyalahi' kaedah yang dinyatakan oleh Ya'qub Bin Syaibah (sebagaimana diterjemahkan oleh penulis) lalu tetap 'mengambil' hadith Hisyam di Iraq?

Kaedah yang diambil oleh kita daripada ulama hadith...tidak diamalkan pula oleh mereka? Atau sebenarnya kita yang tidak memahami kaedah yang sebenar?

*permintaan tambahan saya - namakan walau hanya seorang ulama hadith terkemuka sejak dahulu hingga kini yang menolak hadith ini.

Setakat ini dahulu dan akan bersambung dalam bahagian seterusnya akan datang, insya Allah.



No comments: