Pages

Monday, 22 November 2010

Ulasan Artikel Bicara Agama (Bah.4)

Ulasan kali ini merujuk kepada satu 'fakta' yang diberikan oleh penulis iaitu katanya:

"Menurut Ibn Hajar: “Fatimah dilahirkan ketika Kaabah dibangunkan semula, ketika Nabi SAW berusia 35 tahun. Usia Fatimah lima tahun lebih tua daripada Aisyah”. (Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar al-Asqalani, jil.4,hlm. 377, Maktabat al-Riyadh al-Haditha: 1978)"

Ulasan:

Sekali lagi penulis cuba membuktikan bahawa perkahwinan Aisyah pada umur enam tahun adalah tidak benar. Beliau menggunakan kata-kata seorang tokoh hadith, sejarah dan fiqh terkemuka iaitu Ibnu Hajar al-Asqalani (wafat 852H) dalam bukunya yang terkemuka iaitu al-Isobah Fi Tamyiz al-Sahabah. Mari kita lihat bersama teks asal dalam Bahasa Arab dari buku yang disebut oleh penulis:

Rujukan saya ialah (jilid 14, muka surat 88, cetakan Dar Hajar, tahqiq : Dr. Abdullah al-Turki, cetakan pertama 2008, Kaherah)

Kata Ibnu Hajar:

واختلف في سنة مولدها فروى الواقدي من طريق إبي جعفر الباقر قال قال العباس ولدت فاطمة والكعبة تبنى والنبي صلى الله عليه وسلم ابن خمس وثلاثين سنة وبهذا جزم المدائني. ونقل أبو عمر عن عبيدالله بن محمد بن سليمان بن جعفر الهاشمي أنها ولدت سنة إحدى وأربعين من مولد النبي صلى الله عليه وسلم. كان مولدها قبل البعثة بقليل نحو سنة إو أكثر, وهي أسن من عائشة بنحو خمس سنين, وتزوجها علي أوائل المحرم سنة اثنين بعد عائشة بأربعة أشهر وقيل غير ذلك

Di sini sesiapa yang menguasai Bahasa Arab akan dapat melihat bagaimana Ibnu Hajar menyebut beberapa perkara iaitu:

1-Terdapat perbezaan pandangan tentang tahun kelahiran Fatimah.

2- Pendapat pertama yang disebutkan ialah berasal daripada al-Waqidi yang meriwayatkan dari jalan Abu Ja'far al-Baqir daripada al-Abbas iaitu - Fatimah dilahirkan pada tahun dibina Kaabah dan ketika itu umur Rasulullah s.a.w. ialah 35 tahun. (sebagaimana disebut oleh penulis)

3- Pendapat kedua pula melalui Abu Umar atau lebih dikenali dengan nama Ibnu Abd. Barr (dalam kitab al-Isti'aab) yang mengambil dari Ubaidillah al-Hasyimi iaitu - Fatimah dilahirkan pada ketika Rasulullah s.a.w. berumur 41 tahun. (tidak disebut penulis)

4- Fatimah lebih tua dari Aisyah sebanyak lebih kurang 5 tahun. (disebut oleh penulis)

Saya tidak menjawab panjang, tapi saya ingin pembaca melihat bagaimana terjemahan yang saya berikan dan terjemahan yang diberikan penulis.

Untuk membantu, saya timbulkan persoalan berikut:

- Mengapa tidak dinyatakan keseluruhan tulisan Ibnu Hajar al-Asqalani??

- Mengapa dinyatakan seolah Ibnu Hajar menyebut SATU pandangan sahaja, sedangkan beliau menyebut perbezaan pandangan dari DUA pihak?

- Mengapa DILENYAPKAN bahagian yang menyatakan bahawa Fatimah juga dikatakan lahir pada usia Nabi s.a.w. 41 tahun?

wallahu a'lam



No comments: