Pages

Friday, 19 November 2010

Ulasan Artikel Bicara Agama Yang Terbaru (Bah. 2)

Setelah kami menyatakan dalam artikel (Bah.1) bahawa penulis artikel dalam Bicara Agama,Utusan Malaysia bertarikh 19 Nov 2010 di bawah tajuk 'Bilakah Nabi menikahi Aisyah?' menggunakan secara ringkasnya 4 hujah menyokong kesimpulannya iaitu - kisah Nabi s.a.w. menikahi Aisyah pada usia muda (6 tahun) adalah tidak benar - maka kali ini kami ingin menyentuh satu bahagian daripada hujah keempatnya pula iaitu:

- Penulis cuba membuktikan bahawa Aisyah dikatakan dilahirkan sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w. iaitu pada zaman Jahiliyyah. Penulis menggunakan bukti sejarah di antaranya dengan kata beliau:

"...Tetapi, di bahagian lain, Al-Tabari mengatakan: “Semua anak Abu Bakar (empat orang) dilahirkan pada zaman Jahiliah daripada dua isterinya”. (Tarikh al-Umam wa al-Mamluk, Al-Tabari jil. 4 hlm. 50, Dar al-fikr, Beirut, 1979)."

Ulasan:
Jelas dapat kita lihat bahawa terjemahan ini menyokong pandangan penulis dalam menolak hadith yang menyatakan Aisyah dikahwini pada usia 6 tahun. Ini kerana Aisyah dilahirkan sebelum kedatangan Islam iaitu pada zaman Jahiliyyah. Hujah ini boleh dibaca dalam tulisan asal. Apa yang penting ialah:

Kalau dilihat daripada penjelasan penulis yang memberikan nama buku 'Tarikh al-Umam wa al-Mamluk' dan juga memberi nama penulis buku iaitu 'al-Tabari', lalu dilengkapkan dengan nombor jilid '4' dan nombor halaman atau muka surat '50, dan disempurnakan dengan nama pencetak 'Dar al-fikr, Beirut' berserta tahun cetakan '1979' - sudah pasti ini adalah bukti nyata, jelas lagi ilmiah bagi sebahagian pembaca. Tetapi...

Persoalan yang ingin saya ingatkan kepada pembaca...

- Benarkah begitu yang ditulis oleh al-Tabari? Bukankah al-Tabari menulis dalam Bahasa Arab? Maka di sini bukankah amat baik untuk kita 'tangguhkan' kepercayaan kita melainkan setelah kita menyemak adakah terjemahan itu tepat atau tidak? Mungkin kita tidak mampu, tetapi tidak sedikit yang mampu membaca dan memahami Bahasa Arab yang boleh kita minta pertolongan.

- Terdapat beberapa nama yang dikatakan nama bagi buku ini di antaranya ialah 'Tarik al-Tobari', 'Tarikh al-Umam wa al-Muluk' dan 'Tarikh al-Rusul wa al-Muluk'.

- Di sini timbul persoalan, adakah benar penulis merujuk terus kepada buku asal ini dalam tulisan asalnya? Atau beliau sekadar merujuk kepada sumber kedua atau ketiga dan menggunakan terjemahannya sahaja?

- Ini ditambah pula apabila kita melihat kepada buku ini dan merujuk kepada teks asal berkenaan kisah Abu Bakr al-Siddiq, isteri dan anak-anaknya, didapati bahawa teks asalnya tidak sama seperti terjemahan yang dikemukakan oleh penulis.

Sebelum saya menterjemahkan maksud kata-kata al-Tabari di sini, saya menyeru kepada semua yang menguasai Bahasa Arab agar merenung teks asal ini dan membandingkannya dengan terjemahan yang diberikan penulis.

Al-Tabari dalam bahagian ini menyatakan bahawa ada di antara isteri-isteri Abu Bakr al-Siddiq yang dikahwininya sebelum kedatangan Islam iaitu pada zaman Jahiliyyah dan ada juga isterinya yang dikahwininya selepas kedatangan Islam. Maka al-Tabari menyebutkan bahawa terdapat dua isteri Abu Bakr al-Siddiq yang dikahwininya sebelum Islam. Lalu beliau menyebut nama-nama anak Abu Bakr al-Siddiq sejumlah 4 orang yang merupakan anak kepada dua orang isterinya yang dikahwini pada masa Jahiliyyah lalu dia menyebut:

"فكل هؤلاء الأربعة من أولاده ولدوا من زوجتيه اللتين سميناهما في الجاهلية"


Terjemahan kepada teks asal ini ialah:

"Maka kesemua empat anaknya itu dilahirkan daripada dua isterinya yang kami namakan mereka pada masa Jahiliyyah (mereka dikahwini Abu Bakr pada zaman Jahiliyyah)"

Bandingkan terjemahan ini dengan terjemahan penulis:

“Semua anak Abu Bakar (empat orang) dilahirkan pada zaman Jahiliah daripada dua isterinya”

Ayat asal al-Tabari dalam teks arabnya merupakan pengkisahannya tentang dua isteri yang dikahwini oleh Abu Bakr al-Siddiq 'pada zaman Jahiliyyah'. Maka lahirlah daripada kedua isterinya itu empat orang anak.

Tetapi terjemahan yang diberikan oleh penulis menyatakan bahawa keempat-empat anaknya itu dilahirkan pada zaman Jahiliyyah.

Ini bermakna ayat asal al-Tabari merujuk kepada waktu kedua isteri itu dikahwini sedangkan terjemahan penulis membawa maksud waktu kelahiran keempat-empat anaknya.

Tambahan pula, al-Tabari dengan jelas menyebut dalam jilid lain ketika membicarakan tentang isteri Rasulullah s.a.w. bahawa Aisyah dikahwini pada usia enam tahun.

Satu lagi persoalan yang tidak disebut oleh penulis ialah - adakah kisah ini benar-benar sahih dan adakah fakta yang dibawa oleh al-Tabari itu berdasarkan nukilan yang benar atau sekadar menyampaikan satu kisah?

Di sini sekali lagi saya ingin mempersoalkan - adakah penulis menterjemahkannya daripada teks asal atau menggunakan terjemahan pihak lain untuk teks asal al-Tabari? Adakah penulis terus merujuk kepada kata-kata itu tanpa melihat kontek ayat sebelum dan selepasnya?

Adakah sebegini mudah kita menggunakan hujah yang pada asalnya bukan hujah untuk menyokong sesuatu idea yang sudah sedia ada dalam minda kita?

Ulasan akan bersambung lagi insya Allah merujuk kepada satu lagi hujah sejarah yang dibawa penulis iaitu umur Asma dan Aisyah berbeza sebanyak 10 tahun.

wallahu a'lam

No comments: