Di antara perkara yang amat penting bagi para ibu bapa ialah mendekatkan anak-anak mereka dengan Al-Quran. Tradisi warisan menghantar anak-anak mengaji Al-Quran dengan guru tertentu adalah amat wajar diteruskan kerana sememangnya kebanyakan ibu dan bapa tidak mempunyai masa untuk mengajar anak-anak membaca Al-Quran. Manakala sebahagian ibu bapa yang lain pula tidak mahir untuk mengajar anak mereka Al-Quran. Ini amat menuntut diri kita agar mencari jalan lain bagi mengelakkan anak-anak kita buta atau hampir buta Al-Quran.
Kita perlu yakin dan percaya ini adalah di antara cara dan teknik - kalau pun bukan satu-satunya cara tetapi ia antara yang utama - untuk membina kekuatan iman dan akhlak dalam diri anak-anak. Mereka yang sejak kecil 'berdamping' dengan Al-Quran pasti akan menjadi manusia yang sentiasa memilki 'antibodi' atau perasaan yang kukuh dalam hati kecil mereka ke arah melakukan kebaikan.
Rumah yang sunyi dari Al-Quran sudah pasti mempunyai kekurangan dan memberi kesan kepada penghuninya berbanding dengan rumah yang berkumandang di dalamnya ayat-ayat suci firman Allah SWT.
Rancanglah pengajian Al-Quran dalam keluarga dan di dalam rumah secara berterusan. Sesuatu yang berterusan adalah amat baik walaupun ia dilakukan dengan kadar yang sedikit. Mungkin anak-anak dan ibu bapa cuma membaca Al-Quran selepas solat magrib - contohnya - tetapi ia dilakukan setiap hari sehingga ia menjadi sebati sebagai satu rutin harian keluarga.
Seterusnya apabila anak-anak sudah pandai membaca dan belajar serta meningkat umurnya, berilah ruang dan peluang untuk mereka mendekati pula 'makna' dan 'maksud' ayat-ayat yang dibaca oleh mereka. Buku-buku yang berguna tentang kandungan Al-Quran, walaupun sekadar cerita-cerita ringkas yang ada dalam Al-Quran amat penting untuk sentias mencari 'hubungan' antara anak dan Al-Quran.
Lebih baik kalau sekiranya dibuat satu jadual hafazan di kalangan anak-anak - mungkin dihantar ke sekolah tahfiz atau ke kelas luar, malah mungkin juga dibuat oleh ibu bapa sendiri - agar Al-Quran sentiasa ada di dalam dada mereka.
Bersyukurlah dengan berusaha dan berdoa kepada Allah SWT dalam proses kita untuk mendekatkan dan mencari hubungan antara anak-anak dan Al-Quran. Bukankah itu tanggungjawab ibu bapa muslim dan muslimah?
No comments:
Post a Comment