'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Saturday, 5 February 2011
Kebangkitan Rakyat Mesir
Hampir keseluruhan hati, jiwa dan pemikiran umat Islam yang peka tertumpu kepada kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir. Mungkin ada yang belum sedar kerana tidak begitu mengambil berat tentang urusan dunia luar, tetapi kita yakin setiap hari semakin ramai yang sedar dan tersentak dengan peristiwa di luar jangkaan ini.
Melihat kepada apa yang berlaku di Mesir, kita dapati perbezaan pandangan di antara sebahagian pihak tentang 'kewajaran' kebangkitan rakyat sebegitu. Melihat kepada apa yang dihuraikan oleh salah seorang tokoh ulama dunia Islam iaitu Dr. Yusuf al-Qaradawi, jelas sekali apa yang diinginkan dan dilakukan oleh rakyat Mesir adalah kehendak mulia dan suci. Ia kehendak yang datang daripada kesabaran berpanjangan rakyat Mesir yang akhirnya tidak dapat membendung perasaan mereka untuk melihat perubahan di sana.
Namun begitu terdapat pula tokoh ilmuan lain yang melabelkan kebangkitan itu sebagai 'tidak wajar, tidak patut dan tidak berpaksikan kebenaran'. Di antara mereka ialah Syeikhul Azhar, Dr. Ahmad al-Tayyib dan Mufti Mesir iaitu Dr.Ali Jum'ah. Apa yang mereka fokuskan ialah perlu diadakan dialog dan perubahan jika berlaku pun perlu berjalan dalam keadaan tenang dan bukan huru-hara. Tindakan dan kenyataan mereka di media memang nampaknya mengecewakan majoriti umat Islam di Mesir dan negara-negara lain kerana dilihat tidak membantu.
Semoga kedua pihak ini bersepakat bahawa perubahan di Mesir perlu dilakukan untuk rakyat keluar dari tekanan dan keresahan.
Sebagai muslim, kita perlu melihat peristiwa ini dengan penuh kebijaksanaan dan tidak lupa juga dengan penuh pengharapan dan doa agar saudara-saudara seagama kita di Mesir akan diberikan kemudahan dan kejayaan serta diberkati oleh Allah SWT.
Semoga Allah SWT merahmati roh mereka yang terkorban dalam peristiwa ini, merahmati dan membantu mereka yang inginkan perubahan ke arah yang lebih baik. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment