Pages

Wednesday, 16 February 2011

WATAK 2: ISTERI FIRAUN: CONTOH ISTERI YANG MULIA


Sabda Nabi Muhammad SAW: Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan tetapi masih belum daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempunaan kecuali Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun (Riwayat Imam Bukhari)

Hebatnya Asiah yang mendapat pengiktirafan dan kemuliaan bukan kerana beliau seorang isteri ketua negara bertamadun, tetapi kerana kemampuan beliau beriman kepada Allah SWT di waktu suaminya melakukan kezaliman dan kekufuran. Beliau merupakan contoh isteri yang solehah sebab ditamsilkan kepada para isteri nabi dalam surah al-Tahrim: Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang-orang mukmin, iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"; al-Tahrim: 11.

Kisah Asiah yang direkodkan dalam al-Quran perlu diteladani semua isteri yang ingin dimuliakan Allah SWT. Watak Asiah digambarkan oleh Allah SWT sebagai seorang isteri yang:

1. Tidak terpengaruh dengan kemewahan dan kedudukan beliau sebagai permaisuri Firaun. Kesedaran beliau bahawa semua kemewahan keduniaan hanyalah sementara digambarkan dalam surah al-tahrim tersebut, bahawa beliau mendambakan sebuah rumah di syurga yang bagi beliau lebih indah berbanding istana mewah di dunia yang dibina firaun untuk beliau. Sifat zuhud ini perlu dicontohi kerana ramai isteri kini yang terfana dengan kemewahan dunia sehingga menyusahkan si suami memenuhinya.

2. Tidak membantu firaun dalam melakukan kezaliman terhadap rakyat. Ini dapat dilihat ketika firaun memerintahkan tenteranya membunuh semua bayi lelaki di Mesir, Asiah masih mampu mempengaruhi firaun untuk meng’anak angkat’kan Nabi Musa A.S. Firman Allah SWT: Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).(Al-Qasas:9).

3. Bijak dan berani memilih antara kebenaran dan kebatilan. Seorang isteri yang solehah perlu memiliki dua sifat ini. Isteri solehah bukan hanya sekadar mampu membahagiakan suami dari segi masakan dan susun atur rumahtangga, tetapi perlu mempunyai keimanan dan keilmuan yang membuahkan kebijaksanaan dan keberanian dalam membuat keputusan yang tepat demi kebaikan keluarga di dunia dan akhirat. Saydatina Khadijah R.A, isteri kesayangan baginda turut memiliki kedua sifat ini di waktu baginda baru memulakan dakwah di Tanah Arab yang mencabar.

4. Meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT ketika berhadapan situasi yang diluar kemampuan beliau sebagai seorang isteri. Sememangnya, sukar dibayangkan betapa susahnya menjadi seorang pendamping penzalim terkenal. Menerima realiti bahawa hubungan suami isteri tidak selalunya indah sepanjang masa, ada pasang surutnya, maka kepada siapa lagi pengharapan perlu diletakkan? Berdoalah kepadaNya sesungguhnya Dia amat dekat dengan kita.

Di akhiri perbincangan ringkas ini dengan kata-kata indah sasterawan-agamawan, Pak Hamka dalam Al-Azhar nya: Seorang isteri yang tidak dipengaruhi status, kebanggaan, kekayaan dan kemuliaan seorang ratu. Doa seorang isteri yang muak, bosan dan jijik yang tidak dapat menerima segala kemewahan palsu yang ditegakkan atas aniaya itu. Kisah Asiah adalah lambang keteguhan pendirian seorang isteri menghadapi suami yang telah kehilangan pegangan hidup. Meneruskan pendidikan anak-anak di samping isteri yang lupa daratan. Dia menghadapkan kesibukan mencari hubungan dengan Allah SWT kerana hubungan kasih saying sejati telah lama putus dengan suami.

No comments: