Pages

Thursday 21 July 2011

Mengenang Sayyid Qutb - Bah. 2


*INI ADALAH SEBAHAGIAN NOTA PEMBENTANGAN 'SEMINAR PEMIKIRAN POLITIK SAYYID QUTB' YG TELAH DIADAKAN PADA 16 JULAI 2011 DI ISTAC, ANJURAN IRF

Mengenang Sayyid Qutb – sorotan kehidupan
Oleh: Adlan Abd. Aziz – pemudaiman.blogspot.com

(Sambungan dari Bah.1)...

Ketika mula sampai di Amerika, Sayyid Qutb menghabiskan masa beberapa bulan untuk mempelajari Bahasa Inggeris bagi memudahkan urusannya iaitu mengkaji sistem pendidikan di sana untuk dimanfaatkan di Mesir. Beliau telah melawat bandar-bandar utama Amerika seperti New York, Colorado, California dan San Fransisco. Sewaktu di sana beliau tetap menulis artikel-artikel yang dicetak dan disebarkan di Mesir. Malah beliau turut menulis dalam sebuah majalah yang diterbitkan di Colorado iaitu majalah 'Fulcrun'. Ketika berada di California, Sayyid mendapat berita kematian Mursyid Am al-Ikhwan al-Muslimun, Imam Hasan al-Banna.
Sayyid Qutb kembali ke Mesir dengan jiwa yang penuh kerinduan terhadap kampung halamannya. Beliau pulang ke Mesir pada tahun 1950. Beliau juga kembali ke Mesir dengan jiwa dan keazaman yang lebih mantap lantas menyebabkan musuh-musuhnya kecewa kerana lawatan ke Amerika nampaknya tidak melunturkan semangat dan keimanan Sayyid Qutb!
Berada di dalam Kementerian yang mengendalikan hal ehwal pendidikan dan pelajaran menyebabkan Sayyid sentiasa berusaha untuk membuat perubahan dan mengusulkan cadangan untuk tujuan penambahbaikan. Namun pelbagai cadangan itu tidak begitu disenangi dan diterima dengan baik. Sayyid menjelaskan bahawa itu adalah di antara sebab beliau meletakkan jawatan sebagaiman ditulis dalam majalah al-Risalah edisi Julai, 1952. Perbezaan pandangan di antara Sayyid Qutb dan pegawai atasan di Kementerian Pelajaran tidak dapat dibendung lagi. Beliau telah menulis surat perletakan jawatan beliau pada tarikh 18 Oktober 1952. Walaupun beliau dipujuk oleh Menteri Pelajaran agar menarik balik perletakan jawatan itu, Sayyid tetap tegas dan tidak berganjak.
Sayyid aktif dalam memberikan ceramah dan juga penulisan berkaitan kesusasteraan Arab dan isu-isu berkaitan bahasa. Kehebatan beliau terserlah sejak beliau masih bergelar penuntut ilmu lagi. Beliau aktif menulis dalam akhbar dan majalah seperti: al-Balagh, al-Jihad, al-Hayat al-Jadidah, al-Ahram, Kaukab as-Syarq, al-Amam, al-Risalah, as-Saqafah, Dar al-Ulum, al-Adib, al-Ikhwan al-Muslimun dan lain-lain lagi. Artikel pertama beliau diterbitkan oleh akhbar al-Balagh, pada tahun 1922 ketika umurnya baru 16 tahun. Penulisan beliau merangkumi artikel berkaitan pelbagai tajuk terutama isu-isu bahasa malah termasuk juga mengarang sajak dan syair. Ia bukan hanya sekadar membentangkan idea tetapi mencabar idea penulis dan pengkritik sastera yang lain. Ini menghasilkan 'peperangan' antara beliau dan penulis dan pengkritik sastera terkenal yang lain seperti: Mustafa Sadiq ar-Rafie, Ahmad Syauqi, Mahmud Syakir, Toha Hussain, Ali at-Tantawi dan lain-lain lagi. Perlu juga dicatatkan bahawa tidak semua majalah dan akhbar itu membayar Sayyid royalti penulisan, malah ada yang dilakukannya tanpa menerima sebarang bayaran.
Sayyid pernah terkesan dengan salah seorang sasterawan terkemuka Mesir – Abbas al-Aqqad – sehingga menyebabkan beliau terlibat dengan Parti al-Wafd tetapi setelah beberapa ketika, Sayyid mula menjauhkan diri dari idea-idea al-Aqqad. Penglibatan Sayyid dalam politik sememangnya bermula dengan Parti al-Wafd yang merupakan di antara parti yang disokong majoriti rakyat Mesir pada waktu itu. Selepas Parti al-Wafd, beliau memasuki Parti as-Sa'diyyin yang merupakan serpihan al-Wafd. Seterusnya Sayyid tidak lagi terlibat dengan mana-mana parti politik walaupun beliau masih lagi berjuang untuk perubahan.
Sebahagian peminat Sayyid Qutb menyangka bahawa penulisan dan pemikiran beliau yang mempunyai ciri Islam bermula sejak beliau menyertai gerakan al-Ikhwan al-Muslimun (IM) sedangkan itu tidak benar sama sekali. Buktinya ialah penulisan beliau yang dihasilkan beliau sebelum menyertai IM (Sayyid menyertai IM pada 1953) telah pun membawa pemikiran Islami seperti :
- artikel 'at-Taswir al-Fanni Fi Al-Quran al-Karim' dalam majalah 'al-Muqtatof' pada tahun 1939.
- Buku 'at-Taswir al-Fanni Fi Al-Quran al-Karim' pada tahun 1945.
- Buku 'Masyahid al-Qiyamah Fi Al-Quran' pada tahun 1947.
- Buku 'al-Adalah al-Ijtima'iyyah Fi al-Islam' pada tahun 1949.
- Buku 'Ma'rakat al-Islam wa ar-Ra'sumaliyyah' pada tahun 1951.
- Buku 'As-Salam al-Alami wa al-Islam' pada tahun 1951.
- Buku 'Dirasaat Islamiyyah' pada tahun 1953.
- Tafsir 'Fi Zilal al-Quran' yang mula ditulis pada 1952 hingga tahun 1954.

Sayyid Qutb mengakui bahawa pemikiran beliau melalui tempoh perkembangan dan terdapat beberapa ketika dalam hidupnya beliau berpegang dengan pemikiran yang tidak beliau redhai selepas itu. Ini juga diakui oleh mereka yang hamper dengannya dan mereka yang sentiasa mengikuti penulisannya. Dr. Solah Abd. Fattah al-Khalidi telah menyebut bahawa tempoh beliau berada dalam proses mencari-cari pemikiran yang sebenar adalah sekitar tahun 1925 hingga 1940. Oleh itu amat perlu bagi mereka yang ingin menilai pemikiran Sayyid Qutb agar melihat kepada tarikh sesuatu penulisan beliau agar tidak pula disalah fahami lalu dikritik tanpa kebenaran. Dr. Solah al-Khalidi juga menyatakan bahawa pemikiran yang sedikit tersasar pada waktu itu tidak langsung menjejaskan akhlak dan amalan Sayyid yang sentiasa menunaikan solat dan mengerjakan perintah Allah SWT. Perubahan Sayyid ke arah idea dan pemikiran Islami yang lebih menyerlah bermula sedikit demi sedikit dan berperingkat.
Setelah menyertai IM, beliau merupakan di antara tokoh penting yang menguruskan pelbagai program ilmu di dalam IM seperti menyelenggarakan cetakan majalah dan memberikan penerangan kepada anggota IM.
Seperkara lagi yang saya rasakan perlu disebut juga ialah tentang tubuh badan dan kesihatan beliau. Sayyid Qutb mengidap pelbagai penyakit dan beliau sentiasa berada dalam keadaan yang lemah dan tidak sihat. Namun yang mengkagumkan ramai ahli ilmu ketika itu ialah bagaimana kesakitan dan kelemahan itu tidak kelihatan dalam karya-karya beliau. Salah seorang tokoh sastera dan dakwah terkemuka zaman ini, Ali at-Tantawi merupakan salah seorang yang begitu kagum dengan kekuatan penulisan Sayyid Qutb dan seolah ia tidak sepadan dengan keadaan badan beliau yang lemah. Ini dinyatakan sendiri oleh Ali at-Tantawi dalam salah satu artikelnya dalam majalah al-Risalah. Rasa takjub juga dirasai oleh seorang lagi tokoh dakwah dan sastera terkemuka dunia Islam, Abu al-Hasan an-Nadwi seperti yang dinyatakan beliau dalam buku 'Mudzakkirat Saa'ih Fi as-Syarq al-Arabiy'. Maka jangan disangka kelemahan dan kesakitan boleh melemahkan semangat mereka yang beriman dan tabah jiwanya.
Beliau memasuki penjara apabila ditangkap kali pertama pada tahun 1954 selama tiga bulan. Kemudian setelah beliau dibebaskan, beliau ditangkap kembali dengan tuduhan baru pada tahun yang sama. Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. Namun begitu, di atas campur tangan Presiden Iraq ketika itu iaitu Abd. Salam Arif, Sayyid dibebaskan pada tahun 1964. Namun setahun berikutnya iaitu pada 1965 beliau ditahan sekali lagi di atas tuduhan merancang pembunuhan Presiden Mesir ketika itu iaitu Jamal Abd. Nasir. Kali ini beliau telah dijatuhkan hukuman bunuh. Sayyid dan beberapa orang rakannya telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Mesir. Hukuman tersebut telah dijalankan pada 29 Ogos 1966.

No comments: