Alhamdulillah, bulan Ramadhan al-Mubarak menjelma lagi buat kita hambaNya yang lemah dan berhajatkan nikmat dan redhaNya. Di kesempatan ini, pemudaiman mengajak kita semua untuk bersama-sama mensyukuri nikmat kehadiran Ramadhan al-Mubarak ini dengan melakukan PERUBAHAN (TRANSFORMASI) terhadap diri sendiri. Melihat kepada hadith-hadith yang menunjukkan situasi Rasulullah SAW di bulan penuh barakah ini, dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah SAW melakukan PERUBAHAN kepada rutin harian baginda di bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW amat banyak sedekahnya, banyak bacaan Al-Qurannya, panjang solat malamnya, banyak Itikafnya, kurang menggauli isteri-isterinya, giat gerak dakwahnya dibulan Ramadahan berbanding bulan-bulan yang lain. Lantas memberi suatu kefahaman kepada kita semua iaitu: Ramadhan membawa PERUBAHAN kepada diri seorang individu yang benar-benar faham tentang falsafah pensyariatan puasa.
Maka, atas dasar nasihat menasihati, pemudaiman mengajak semua: Ayuh! Lakukan PERUBAHAN kebaikan dalam rutin harian kita.
- kalau sebelum ini makan apa sahaja yang terhidang, ayuh kurung nafsu makan seketat-ketatnya.
- kalau sebelum ini tidak pernah solat fardhu, ayuh tunaikan kewajipan yang menjadi pemisah antara muslim dan kafir.
- kalau sebelum ini berpakaian seperti bertelanjang, ayuh menutup aurat sebaiknya.
- kalau sebelum ini mudahnya marah dilampias kepada orang, ayuh jadilah orang yang paling kuat dimata Rasulullah SAW.
- kalau sebelum ini mulut selalu terbabas mengata orang, ayuh banyakkan berdiam dari berkata-kata (perhatian buat yang rajin berFB).
- kalau tidak pernah solat malam, ayuh bangun bertahajud walau dua rakaat sahaja.
- kalau tidak pernah sentuh al-Quran, ayuh duduk tadabbur KalamNya walau sepotong ayat sahaja.
- kalau tidak pernah menghulur bantuan, ayuh ringankan tangan untuk memberi walau sebiji tamar buat berbuka.
- kalau tidak pernah ke masjid, ayuh beriktikaf walau sekadar dua rakaat tahiyyatul masjid.
- kalau tidak pernah ke majlis ilmu, ayuh mendengar kuliah-kuliah, membelek buku-buku walau kekadang diri lemah sehingga tertidur ketika di majlis itu.
Berazamlah, agar Ramadahan kali ini benar-benar membawa PERUBAHAN. Berdoalah agar PERUBAHAN yang diazamkan itu berkekalan selamanya dan tidak sekadar bermusim.
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dari kami Pemudaiman.
No comments:
Post a Comment