Pages

Tuesday 19 July 2011

Mengenang Sayyid Qutb - Bah.1


*INI ADALAH SEBAHAGIAN NOTA PEMBENTANGAN 'SEMINAR PEMIKIRAN POLITIK SAYYID QUTB' YG TELAH DIADAKAN PADA 16 JULAI 2011 DI ISTAC, ANJURAN IRF

Mengenang Sayyid Qutb – sorotan kehidupan
Oleh: Adlan Abd. Aziz – pemudaiman.blogspot.com


Kita sering mendengar nama Sayyid Qutb (terkadang ditulis Syed Qutb) atau membaca tentang idea dan penulisan beliau. Tapi mungkin tidak ramai yang berkesempatan untuk melihat kehidupannya dengan lebih dekat dan terperinci. Semoga tulisan ini dapat membantu memberikan maklumat baru ke arah mengenali peribadi tokoh terkemuka ini. Sebahagian besar maklumat di sini saya ringkaskan daripada sebuah buku yang amat terperinci tentang peribadi dan pemikiran Sayyid Qutb iaitu buku yang ditulis oleh salah seorang guru saya semasa menuntut di Jordan, Dr.Solah Abd. Fattah al-Khalidi bertajuk: 'Sayyid Qutb; Min al-Milad Ila al-Istisyhad' (Sayyid Qutb, dari kelahiran hingga syahid) . Di antara rujukan lain juga adalah seperti: Biodata Sayyid Qutb melalui huraian adiknya sendiri iaitu Muhammad Qutb .
Sayyid Bin Qutb atau lebih popular dengan nama Sayyid Qutb merupakan anak kelahiran sebuah kampung kecil di Mesir bernama Musyah dalam daerah Asyut. Tarikh kelahirannya ialah 9 Oktober 1906. Dibesarkan dalam suasana penuh keagamaan, beliau telah pun menghafaz Al-Quran ketika berumur 10 tahun.
Selesai pengajian peringkat asas, beliau melanjutkan pelajaran ke beberapa tempat seperti 'Madrasat al-Mu'allimin' pada tahun 1922, Kulliyyah Dar al-Ulum pada 1929 dan lulus dengan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kesusasteraan Arab pada tahun 1933.
Sejak berada di dalam pengajian lagi beliau telah menyertai dan memimpin pergerakan pelajar contohnya di Dar al-Ulum sehingga berjaya menerbitkan majalah Dar al-Ulum.
Sayyid Qutb tidak pernah berkahwin. Beliau pernah jatuh cinta dan bertunang tetapi Allah SWT mentaqdirkan dan kita manusia hanya merancang. Kisah cinta beliau yang penuh dengan ujian telah diterjemahkan ke dalam beberapa penulisan dan sajak yang menyentuh jiwa. Akhirnya pertunangan itu putus di tengah jalan. Beliau cuba untuk berkahwin beberapa kali tetapi terhalang kerana dipenjara.
Alam pekerjaan beliau bermula sebagai guru di beberapa buah sekolah rendah di Mesir. Salah seorang pengkaji yang menulis tentang Sayyid Qutb – Abdul Baqi Muhammad Husain – telah melihat dengan sendiri fail Sayyid Qutb sepanjang perkhidmatannya dalam bidang perguruan dan mendapati bahawa Sayyid telah berkhidmat di 4 buah sekolah rendah dalam tempoh lebih kurang 6 tahun. Seterusnya selepas enam tahun, beliau kemudiannya berkhidmat di Kementerian Pelajaran Mesir dan di situ beliau telah diminta membuat kajian dan memberikan pandangan dalam isu-isu pendidikan Mesir. Beliau juga telah dihantar untuk membuat kajian di Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1948 – 1950. Pemergian Sayyid ke sana bukanlah semata-mata kerana kepentingan kajian tetapi juga bertujuan untuk menyekat Sayyid dari mengembangkan idea perubahan dalam negara Mesir. (akan bersambung dalam siri kedua)...

2 comments:

Mah.Fuzh said...

Pesan Terakhir

Sahabat,
Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan airmatamu
Maka di atas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakan ubur untuk umat ini
Dan...
Lanjutkan gerak merebut kemenangan.

Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindui
Taman-taman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana

Sahabat,
Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajar kan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah ruhku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

Sayyid Qutb, 1966

NadiahHalim dot com said...

Assalamualaikum. Terkenang perjuangan mujahid fil Islam ini. Moga Allah merahmatinya. Moga kita semua mengambil iktibar dari rentetan perjuangan beliau sbg satu kayu ukur juga pencetus orakan langkah juang kita agar lebih tersusun menuju Redho Ilahi..