Pages

Monday 10 October 2011

AL-MUKHBITUN DALAM AL-QURAN

Al-Mukhbitun adalah golongan manusia yang disebut di dalam Al-Quran sebagai mereka sangat taat dan patuh kepada perintah Allah SWT. Asal kalimahnya adalah al-Khabatu yang bermaksud tempat yang tenang serta selesa di bumi. Dalam Tajul ‘Arus mendefinisikan sifat al-Ikhbat dengan maksud khushu’ dan tawadhu’. Sekiranya seorang lelaki itu disebut sebagai bersifat ikhbat kepada Tuhannya bermaksud lelaki itu mencari ketenangan padaNya melalui khushu’ dan tawadhu’nya dalam ibadah.

Golongan ini sebenarnya mempunyai ketenangan dalam berhadapan tuntutan nafsu syahwatnya yang sentiasa mengajaknya melakukan perkara yang dilarang Allah SWT. Hatinya tidak risau atau takut (al-Khauf) untuk kehilangan nikmat keduniaan ketika hendak melakukan ketaatan (al-Khudhu’) kepadaNya. Dan tidak pula dia sedih atau menyesal (al-Huzn) setelah kehilangan nikmat keduniaan lantaran melaksanakan ketaatan tersebut.

Baginya keinginan hidupnya adalah redha Allah SWT sehingga tidak perlu dia kepada pujian atau kejian manusia. Dia merasai tiada beza baginya antara pujian dan cacian. Dia tidak merasai keseronokan apabila dipuji dan tidak pula dia kesedihan apabila dikeji. Inilah jiwa yang disebut Allah SWT dalam surah sebagai Nafs al-Mutmainnah.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ(27)ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً(28) فَادْخُلِي فِي عِبَادِي(29) وَادْخُلِي جَنَّتِي

(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -[28]"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -[29] "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - [30]"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "

Al-Quran menyebut kalimah yang berkaitan dengan golongan Al-Mukhbitun ini hanya dalam 3 ayat sahaja:

AL-MUKHBITUN DALAM SURAH HUD

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ وَأَخْبَتُواْ إِلَى رَبِّهِمْ أُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ الجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
23. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

Berkata para mufassir tentang ayat yang digaris membawa maksud: tawadu’ dan khushu’ kepada TuhanNya, mencari ketenangan padaNya dan tidak putus-putus beribadah kepadaNya. Ibn Jarir al-Tabari pula mentafsirkanya dengan al-Inabah (Taubat), al-Khauf (Gerun), al-Itmi’nan, al- Khushu’ dan al- Khudhu’. Kemudian beliau merangkumkan semua maksud ini dengan katanya: “Kesemua makna ini adalah saling melengkapi walaupun berbeza istilahnya kerana al-Inabah tercapai kerana al-Khauf kepada Allah, al- Khushu’dan al- Khudhu’ tercapai dengan ketaatan manakala ketenangan pula tercapai dengan al- Khushu’ padaNya. Konteks ayat ini pula merujuk kepada sifat para sahabat Nabi SAW yang mukmin. Justeru dapat difahami bahawa para sahabat nabi SAW adalah mereka yang amat hebat dari segi kualiti dan kuantiti ketaatan kepada Allah SWT. Hati mereka penuh ketenangan dalam berhadapan ujian Allah SWT.

Jika diteliti lagi dalam ayat tersebut, Allah SWT menjelaskan kedudukan sifat Al-Ikhbat dalam hidup mukmin. Permulaan ayat tersebut Allah SWT menyebut beriman, kemudian beramal soleh dan diakhiri dengan sifat ikhbat kepada Allah SWT. Ini menunjukkan bahawa sifat Al-Ikhbat merupakan hasil dari keimanan dan amal soleh seseorang individu.

Selain itu di akhir ayat tersebut, Allah SWT turut menjelaskan bahawa Al-Mukhbitun merupakan penghuni syurgaNya. Al-Mukhbitun menerima pengiktirafan dan kedudukan yang tertinggi di sisi Allah SWT.

AL-MUKHBITUN DALAM SURAH AL-HAJJ

Terdapat 2 ayat dalam surah al-Hajj yang menerangkan sifat al-Mukhbitun:

1. Ayat 34-35:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ (34) الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَالصَّابِرِينَ عَلَى مَا أَصَابَهُمْ وَالْمُقِيمِي الصَّلَاةِ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
34 Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat – 35 Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.

Dalam ayat ke-34 Allah SWT menjelaskan bahawa Allah SWT telah menetap syariat untuk setiap ummat yang terdahulu maka Allah SWT menyuruh manusia agar patuh pada syariat tersebut dan menyerah diri dalam mentaati semua hukumNya. Oleh itu, barang siapa yang taat maka mereka adalah orang yang mempunyai sifat Al-Ikhbat (Mukhbitin) dan diberikan berita gembira (Busyra) buat mereka. Berita gembira yang dimaksudkan adalah janji syurga Allah buat mereka seperti yang dibincangkan dalam ayat ke-23 surah Hud sebelum ini.

Pada ayat berikutnya iaitu ayat ke-35, Allah SWT menerangkan sifat-sifat Mukhbitin iaitu:

1. Hati-hati mereka takut dan gerun apabila disebut ayat-ayat Allah SWT
2. Mereka amat sabar di atas segala ketentuan Allah samada berbentuk bala dan ujianNya
3. Mereka memelihara solat mereka dengan sempurna dan khusyu’
4. Mereka menafkahkan rezeki kurnianNya yang terbaik kepada keluarga dan saudara mereka, faqir miskin serta berlaku baik (Ihsan) terhadap mereka.

Terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud apabila berjumpa dengan seorang Tabi’in bernama al-Rabi’ ibn Khaithum beliau akan membacakan padanya:

وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ
Imam al-Ghazali menyebut bahawa sebab Ibnu Mas’ud membaca ayat tersebut terhadap al-Rabi’ kerana beliau amat khusyu’ (rajin ibadah) kepada Allah SWT dan memelihara pandangannya ketika di jalanan hinggakan orang menyangka yang beliau ini buta. Dan sekiranya beliau menziarahi Ibnu Mas’ud dan hamba perempuannya yang membuka pintu, maka al-Rabi’ akan menutup pandangannya hinggakan hamba tersebut memberitahu Ibnu Mas’ud: “Sahabat kamu yang buta telah datang!” Kemudian al-Rabi’ akan disambut Ibnu Mas’ud dengan menyebut hujung ayat tersebut sambil berkata: “Sekiranya Nabi Muhammad SAW melihat kamu pasti baginda akan gembira dan menyukai kamu”.

2. Ayat 54:

وَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَيُؤْمِنُوا بِهِ فَتُخْبِتَ لَهُ قُلُوبُهُمْ وَإِنَّ اللَّهَ لَهَادِ الَّذِينَ آمَنُوا إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
54. Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.

Jika diteliti ayat ini, kedudukan sifat Al-Ikhbat adalah selepas al-‘Ilm dan al-Iman. Dan selepas Al- Ikhbat disebut pula tentang Istiqamah atas jalan hidayah dan kejayaan (al-Falah). Ini menunjukan bahawa sifat Al- Ikhbat adalah hasil dari ilmu dan iman seseorang. Sifat Al- Ikhbat juga adalah kunci untuk menjadi istiqamah dan punca mendapat hidayah Allah SWT. Maka al-Mukhbitin adalah mereka yang terangkum padanya kedudukan al-‘Alimin al-Mukminin al-Muhtadin yang tidak akan terperdaya dengan godaan syaitan.

Wallahu’alam
JADILAH GOLONGAN MESRA AL-QURAN

1 comment:

Anonymous said...

JazakaAllah khayran katheera atas penjelasan.