Pages

Tuesday, 29 November 2011

Akhlak Rasulullah s.a.w. - Renungan Untuk Semua

Hari ini saya menyampaikan kuliah 'Akhlak Rasulullah s.a.w.'. Di antara yang saya kongsi bersama para hadirin ialah:

1- Kita perlu mempelajari bentuk rupa paras Rasulullah s.a.w. di samping kita mempelajari akhlak Baginda. Malah mempelajari akhlak dan budi pekerti Rasulullah s.a.w. sebenarnya tidak dapat dipisahkan dari mempelajari rupa paras fizikal insan agung ini. Oleh itu kita dapati para ulama hadith sepanjang zaman mengumpulkan begitu banyak hadith-hadith 'rupa paras' Nabi s.a.w.

2- Jangan kita anggap mempelajari akhlak Rasulullah s.a.w. ini ibarat mempelajari sesuatu yang mustahil untuk kita ikuti atau contohi. Sebahagian kita berkata : 'Nabi s.a.w. tak apalah, kita ni manusia biasa, kita tak boleh contohi Baginda'. Ini tanggapan yang salah dan seolah 'berputus asa' sebelum mencuba. Sedangkan Nabi s.a.w. diutuskan sebagai contoh ikutan terbaik dan Baginda mengajarkan kita pelbagai akhlak mulia untuk kita ikuti sedaya mampu. Kalau tak dapat ikut semua, jangan sesekali tinggalkan semua!

3- Bila diperhalusi, kita akan dapat melihat bahawa akhlak Nabi s.a.w. ialah akhlak yang 'terbaik, sesuai dengan keadaan dan kepelbagaian sifat manusia'. Inilah yang ingin kita ambil sebagai contoh. Nabi s.a.w. senyum dan redha pada keadaan tertentu, marah dan menegur pada keadaan yang lain. Nabi s.a.w. bertolak ansur dan bertegas mengikut kesesuaian. Baginda s.a.w. memberikan respon sesuai dengan keperluan para sahabatnya dalam keadaan yang berbeza. Inilah kepakaran Baginda s.a.w.!

4- Juga bila dilihat dengan mendalam, kita dapati bahawa Baginda begitu merendah diri dan bersikap amat sederhana sehingga disenangi oleh setiap lapisan masyarakat. Baginda boleh berjalan bersama sahabatnya, boleh menunggang unta bersama dengan mereka malah ada yang menunggang di belakang Baginda di atas unta yang sama. Baginda boleh makan semua makanan yang dimakan oleh sahabat-sahabatnya, juga Baginda berpakaian seperti mereka.

5- Marilah kita bersama mempelajari akhlak Baginda s.a.w. dengan mempelajari kehidupan Baginda dan hadith-hadith Baginda. Itulah caranya untuk kita memperbaiki kehidupan kita agar lebih 'berakhlak' dan pasti kita akan dapat melihat kesannya di depan mata kita, insya Allah!

No comments: