Pages

Friday, 18 November 2011

Mendidik Anak Mencintai Nabi s.a.w. - Perlu Serius!

Mendidik kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. dalam diri anak-anak dan cucu kita adalah satu tuntutan yang amat penting. Kita sebagai ayah, ibu atau datuk dan nenek perlu berfikir adakah kita beenar-benar serius dalam mendidik anak-anak dan cucu ke arah mengenali dan menyayangi Rasulullah s.a.w.?

Pertama, lihat dalam sukatan persekolahan anak dan cucu kita - adakah ada di dalamnya subjek atau sukatan yang menyentuh tentang Rasulullah s.a.w.? Jika ada, adakah ia banyak dan mencukupi atau hanya sekadar ada semata-mata?

Kedua, lihat pada bahan bacaan anak dan cucu kita - adakah dalam bahan bacaan itu ada maklumat tentang Nabi s.a.w. atau mereka hanya membaca bahan-bahan hiburan kosong dan kartun yang tidak ada unsur agama?

Ketiga, lihat pula pada perbualan kita dan mereka, adakah kita bercerita atau bercakap dgn mereka sesuatu yang berkaitan dengan diri Rasulullah s.a.w.? Atau kita hanya - marah, perintah, larang, bergurau, cerita yang tak berfaedah? Atau sekadar membawa mereka ke taman permainan atau pusat hiburan dan itu sahaja?

Keempat, lihat pada pendedahan mereka terhadap media dan alat teknologi masa kini - kalau televisyen, apa rancangan yang mereka lihat? Kalau internet, apa laman web yang mereka layari? Adakah kita pernah terfikir - segala yang mereka lihat itu membawa kepada cinta Nabi s.a.w. atau sekadar buang masa?

Jangan salah faham bahawa saya kononnya nak menghalang para pembaca untuk berhibur bersama anak-anak dan cucu, tetapi perlu juga difikirkan 'isi kandungan' kehidupan seharian dan hiburan itu sendiri - adakah membawa ilmu dan manfaat atau sekadar haabis begitu sahaja?

* Kalau perkara-perkara di atas tidak dipandang serius oleh ibu bapa dan datuk nenek, bagaimana kita boleh berangan-angan bahawa anak dan cucu kita akan cintai Nabi s.a.w. kalau tidak ada masa langsung untuk 'Nabi s.a.w.'?

No comments: