Pages

Tuesday, 15 November 2011

Buku: Rasa Ingin Membeli atau Ingin Membaca?

Ramai di antara kita dikurniakan satu nikmat yang cukup besar iaitu : Rasa ingin membeli buku. Mengapa saya katakan ia nikmat yang cukup besar? Lihatlah kepada segolongan masyarakat yang sentiasa melintasi kedai-kedai buku atau rak-rak buku di pasaraya, tetapi tidak langsung rasa ingin singgah membeli buku-buku yang bermanfaat. Dalam masa yang sama kita dapat lihat dalam kalangan yang singgah pula berapa ramai yang membeli? Mungkin dibelinya alat tulis atau mungkin juga gula-gula dan coklat, tapi buku?

Maka di antara yang sedikit yang membeli buku dan bahan bacaan ialah diri kita. Alhamdulillah di atas rasa keinginan dan juga rasa mudah membelanjakan wang pada bahan bacaan. Ada yang begitu banyak wangnya habis dibelanjakan untuk membeli alat-alat perhiasan atau alat-alat komunikasi - yg tidak dinafikan juga penting - tetapi amat sukar untuk berbelanja membeli bahan bacaan. Kalau bertemu dengan buku yang berharga RM50 ke atas, maka terkeluarlah dari mulutnya : 'mahalnya!'.

Namun begitu satu lagi 'keinginan' atau 'rasa' yang boleh dianggap satu nikmat yang lebih besar ialah - rasa ingin membaca buku yang dibeli. Dalam kalangan yang membeli, berapa ramaikah yang sanggup membuka dan membaca helaian demi helaian hingga habis? Tidak ramai. Adakah kita ingin tergolong juga dalam golongan tersebut? Beratus-ratus ringgit kita habiskan malah juga ada yang menghabiskan ribuan ringgit membeli buku-buku tertentu, tapi malang nasib buku itu selepas dibeli, ia disimpan dan ditutup rapat tanpa dibuka. Kalau dibuka pun, hanya dibaca sekejap sahaja dan lepas itu mungkin mengantuk atau terus disimpan.

Semoga kita dikurniakan rasa 'ingin membeli' dan juga rasa 'ingin membaca' setiap buku yang telah kita beli lalu kita penuhkan rak buku atau ia berdebu dan kotor kerana tidak pernah dibuka!

nasihat untuk saya dan anda...

No comments: