'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Sunday, 24 January 2010
Mutiara Wahyu #7 - Kebinatangan Manusia
Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al-A’raf: 179)
Tafsiran ringkas:
Ketentuan Allah SWT mengatasi segala perancangan manusia. Dalam ayat ini Al-imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut bahawa telah diciptakan bagi neraka jahannam Allah itu sejak azali (permulaan kejadian alam) ketentuan bahawa banyak dari kalangan manusia dan jin yang akan menjadi penghuninya. Sebabnya adalah jelas iaitu segala nikmat yang Dia anugerahkan kepada manusia tidak digunakan sepatutnya. Diberi hati tidak mahu memahami kebenaran islam, menolak ajaran islam. Diberi penglihatan tidak mahu melihat alam kejadian ciptaanNya. Diberi pendengaran tidak mahu mendengar ayat-ayat Al-Quran dan nasihat serta peringatan. Seolah-olah mereka ini buta dan tuli terhadap seruan islam. Lalu manusia sebegini disamatarafkan dengan binatang ternakan yang hanya hidup untuk makan, minum, bekerja untuk manusia dan mengawan sesama mereka. Yang diberikan penglihatan dan pendengaran hanya kehidupan dunia. Jadilah mereka lebih sesat dari binatang kerana manusia diberi aqal untuk berfikir dan wahyu untuk diikuti namun tidak kepada binatang. Mereka telah dilalaikan oleh kehidupan dunia.
Ulasan:
1) Neraka dan syurga diciptakan Allah SWT khusus untuk dihuni manusia di akhirat nanti. Tiada tempat lain yang akan dituju. Walaupun Allah telah tentukan sejak azali tentang dimanakah kita akan tinggal, janganlah manusia mudah membuat kesimpulan: “Untuk apa kita beramal kalau kita telah Allah tentukan ke neraka”. Persoalannya: “Adakah kita tahu dengan yakin yang kita akan ke neraka sehingga kita malas beramal?” Maka buatlah pilihan yang tepat.
2) Nikmat penglihatan, pendengaran dan akal fikiran merupakan sebahagian kecil dari selautan nikmat Allah kepada manusia. Merupakan amanah yang perlu ditunaikan dengan seadil yang mungkin. Namun, ramai manusia masa kini yang telah berlaku zalim dengan nikmat-nikmat ini. Nikmat akal fikiran digunakan untuk menjadi kreatif mencari alasan untuk menolak ajaran dan dakwah islam, enggan dan malas berfikir untuk gerak kerja dakwah islam dengan alasan: “alah, biar orang lain la buat, aku banyak komitmen keluarga dan kerja”. Nikmat penglihatan digunakan untuk melihat aurat wanita dengan penuh bernafsu, melihat kejayaan sahabatnya dengan penuh kedengkian, enggan melihat dan memahami kebesaran Allah SWT, melihat dengan benci dan takabbur sahabatnya yang menasihatinya. Nikmat pendengaran digunakan untuk mendengar umpatan, fitnah, pembohongan dan perkataan dan perbualan sia-sia, enggan mendengar nasihat, enggan mengikut ajakan dakwah islam. Allah SWT memberi nikmat-nikmat itu untuk digunakan demi agama Allah SWT dan bukan untuk keseronokan nafsu keduniaan semata. Jangan jadikan nikmat akal, mata dan telinga penyebab kita ke neraka. Apatah lagi peluang untuk berlakunya salahguna nikmat kini amat luas dengan ledakan teknologi maklumat dan media massa.
3) Imam Al-Tabari dalam tasirnya menyebut: Manusia yang akan menghuni neraka Allah SWT ialah mereka yang bersifat dengan sifat kebinatangan! Maksudnya, manusia yang akan menghuni syurga ialah manusia yang bersifat kemanusiaan. Islam ialah ajaran yang memanusiakan manusia. Menolak atau enggan mematuhi islam menjadikan manusia kebinatangan.
Contohnya: manusia jika enggan mengikut ajaran islam maka jadilah manusia binatang buas yang melakukan zina. Bahkan lebih teruk kerana kekadang terdapat segelintir manusia yang hidup dalam budaya homoseksual dan lesbian yang mana tiada binatang pun yang sebegitu gaya hidupnya! Itulah kebinatangan manusia. Manusia berbunuhan kerana tamakkan harta. Binatang berbunuhan untuk mematuhi peraturan ekologi makanan yang telah Allah tentukan bagi mereka. Jadi siapa yang sesat sebenarnya?
Membaca berita-berita mengenai realiti kehidupan manusia di media massa kebelakangan ini memperlihatkan kebenarannya. Manusia makin hilang kemanusiaan. Semakin kebinatangan. Bahkan lebih teruk dari kebinatangan!
Apabila kebinatangan manusia makin terserlah dimerata tempat, maka dunia akan menjadi neraka sebelum neraka di akhirat nanti.Maka dakwah islam telah menjadi wajib ke atas setiap muslim mengikut kemampuan masing-masing selagi manusia belum dimanusiakan kembali!
Mari kita renung kata-kata Pak Hamka bila beliau menafsir ayat ini:
Mereka lalai memerhatikan keselamatan diri mereka di dunia dan akhirat. Mereka lalai sebab itulah tidak diingatnya arti dirinya sebagai manusia. Mereka lalai sehingga hanya ingat soal perutnya berisi. Mereka lalai sehingga berfikir hanya sekitar diri tidak peduli masyarakat, tidak peduli tanahair dan bangsa. Mereka datang ke dunia tidak membawa faedah sesama manusia dan kembali masuk kubur pun tidak membawa kerugian bagi orang lain!
PUSAT ASASI UIAM P.J
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment