'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Thursday, 14 January 2010
Menara Minda #5: Tembok Malu Mesir!
Umum mengetahui bahawa rakyat Palestin sudah lama menjadi mangsa kepada polisi-polisi pemerintahan negara Arab yang tidak berhaluan, pengecut dan hipokrit. Begitu juga kita tahu yang negara Israel tidak perlu berbuat apa-apa untuk melaksanakan wawasan, langkah dan objektif mereka. Bersandarkan sokongan Amerika Syarikat, kebisuan di pihak Eropah dan kemandoman rejim-rejim Arab, kita sudah boleh mengagak. Dasar luar kebanyakan negara Arab, di atas sebab-sebab yang mantap, sering digambarkan sebagai “pro-Zionis”. Sifat pengecut dan pengkhianatan mereka tidaklah mengejutkan.
Susulan daripada serangan berdarah ke atas Gaza tahun lalu (penterjemah: 2008) oleh tentera Israel, kita berasa seperti telah menyaksikan kejadian paling buruk pernah disaksikan. Penilaian kita sebenarnya gagal mengambil kira “kedahsyatan” senario yang lebih teruk yang baru sahaja dilahirkan oleh rejim Mesir dan “pihak berkuasa agama” di Universtiti Al-Azhar.
Di atas nama “keselamatan negara”, “kempen menentang keganasan”, dan yang lebih teruk lagi, penentangan terhadap “korupsi”, “penyeludupan” dan “penyeludupan dadah”, kerajaan Mesir sedang membina tembok sedalam dua puluh meter di bawah tanah untuk menyekat penduduk Gaza daripada menjalankan “aktiviti haram” mereka dan daripada mengorek “lubang-lubang tikus”. Takkanlah kerajaan Mesir berniat untuk mengepung penduduk Gaza di dalam lubang neraka mereka (penterjemah: wilayah Gaza), sudah pasti langkah ini bertitik tolak daripada kebimbangan mereka terhadap keselamatan negara!
Begitu lembut hujah ini sehinggakan jawatankuasa pakar agama di al-Azhar segera mengiktiraf langkah kerajaan ini dengan mengumumkannya “sah di sisi Islam” untuk Mesir berbuat demikian demi melindungi sempadannya. (Demikianlah jawapan balas ulama-ulama al-Azhar terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama-Ulama Antarabangsa yang telah memutuskan fatwa yang bertentangan, bahawa langkah Mesir “tidak boleh diterima secara syara’”).
Memalukan! Jadi beginilah rupanya keadilan diperolok-olokkan, bagaimana kuasa dan agama disalahguna. Rakyat Palestin dan kebanyakan penduduk Gaza dinafikan maruah dan hak-hak mereka; direntap bekalan makanan, air dan penjagaan kesihatan asas. Sekarang, kerajaan Mesir menjadi sekutu paling teruk kepada polisi Israel: memencil, menjerut, mengkebulur dan menekap kehidupan masyarakat awam Palestin selepas menghapuskan beratus-ratus yang lainnya.
Tujuannya jelas: untuk mencengkam semua tantangan dan juga memusnahkan kepimpinan Palestin (penterjemah: Hamas). Kerajaan Mesir telah menyekat rombongan-rombongan yang cuba menyampaikan bantuan yang sangat didambakan oleh penduduk Palestin, semata-mata untuk meningkatkan lagi kepungan terhadap Gaza. Gerombolan yang menghimpunkan ratusan lelaki dan wanita dari seluruh dunia di Rafah dihalang bertalu-talu oleh pihak berkuasa Kaherah, disertai strategi Mesir untuk memalukan gerombolan tersebut.
Memalukan! Tidak hairanlah kerajaan Israel bernyanyi dalam diam. Lagipun, satu lagi “proses damai” yang “penuh harapan” telah pun diumumkan! Nanti akan ada sesuatu untuk semua pihak: AS, Arab Saudi dan Mesir hanya berlenggang dalam mendraf satu program baru yang “menyeluruh”.
Memang hebatlah “proses damai” ini; masyarakat awam Gaza telah berbulan-bulan menanggung derita akibat sekatan sebelum pemimpin mereka dijemput mengambil tempat di meja rundingan yang “bebas” dan “saling menghormati”. Israel boleh terus menyanyi: mereka boleh bermain lebih masa tanpa perlu menyumbang walau sedikit pun. Program pendudukan haram rakyat Israel hanya dibekukan sementara – kecuali projek-projek pembinaan yang sudah pun berlangsung, boleh berjalan terus. Susah benar mendapat perundingan yang lebih bagus!
Memang tidak puas walau diulang berkali—kali: bahawa “tembok keselamatan negara” Mesir hanyalah sebuah tembok “yang memalukan”. Pihak berkuasa agama yang memperakukannya juga tidak lebih daripada ulama “jahat” atau majlis agama Islam yang terang-terangan menuruti kuasa, samada kuasa diktator negara itu atau kuasa penjajahan, mahu pun suatu Republik “gaya sendiri” yang pakar memanipulasikan agama. Apa lagi yang mungkin tinggal daripada cebisan kredibiliti mereka sesudah melahirkan “fatwa politik” yang memberi pinjam pengiktirafan Islam kepada ulama-ulama yang menikus terhadap kekuasaan diktator? Berdiam diri adalah jauh lebih baik.
Kita mesti mengutuk perbuatan yang sama sekali tidak boleh diterima ini, dan juga menyokong mereka yang berjuang dengan penuh maruah. Kalaulah kerajaan susulan Israel tahu mengenai satu perkara – yang mana kita mesti bersetuju akannya – iaitu: rakyat Palestin tidak akan pernah menyerah kalah. Bagi mereka yang masih dilamun keraguan, kita mesti menambah kepastian yang satu lagi kepada mereka, iaitulah faktor masa. Sejarah menyebelahi pihak Palestin; merekalah yang melambangkan pengharapan terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang paling mulus: hari ini dan hari-hari seterusnya.
Untuk berjuang menentang penindasan, untuk mempertahan hak-hak mereka dan negara mereka yang diiktiraf, untuk tidak akan tunduk kepada kesombongan dan pembohongan kepada yang berkuasa. Manakala untuk pihak berkuasa Israel, Mesir dan yang lain-lain, untuk fatwa oleh ulama lantikan kerajaan Mesir. Perkara-perkara ini pasti akan berlalu; mereka akan ditinggalkan dan dilupakan. Dilupakan dengan gembira sekali kerana “tugas” memori ingatan bertukar menjadi “pelupa” apabila dihadapkan senarai nama dan tingkah laku para diktator, pengkhianat dan pengecut.
Komentar Terbaru Prof Tariq Ramadan Mengenai Konflik Sempadan di antara Gaza - Mesir (sumber asal: EGYPT/PALESTINE: THE WALL OF SHAME
Terjemahan bebas oleh:
Ahmad Faiz Abdul Latip
Serdang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment