'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Friday, 1 January 2010
Mutiara Wahyu #6 - Pemakan Bangkai
Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi
Firman Allah Ta’ala:
Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari buruk sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat, 49:12)
Al-Imam Ibn al-Qayyim menyebut: “Ayat ini adalah satu bentuk perumpamaan yang terbaik, yang menyamakan perbuatan mengoyakkan maruah saudara seislam dengan perbuatan mengoyakkan daging saudara seislam itu sendiri! Dan daging itu dimakan selepas ruh saudaranya itu telah tiada (mati). Saudara yang diumpat itu pula tidak mampu mempetahankan dirinya ketika diumpat seumpama sekujur tubuh yang tidak mampu mempertahankan dagingnya dikoyak dan dimamah oleh saudaranya sendiri!”
Betapa jijik dan kejinya perbuatan mengumpat yang digambarkan Allah SWT dalam ayat di atas. Betapa indah dan cantiknya perumpamaan yang Allah SWT bentangkan dihadapan kita, yang menyentuh 2 bentuk fitrah manusia. Fitrah mengumpat (al-Ghibah) dan fitrah makan.
Sudah menjadi fitrah manusia suka memperkatakan keburukan orang lain, lebih dari suka muhasabah keburukan diri sendiri. Umpama kata pepatah melayu: Kuman seberang sungai nampak tapi gajah depan mata tak nampak!
Dalam ayat di atas, Allah SWT menghina sang pengumpat dengan penghinaan yang amat jijik. Digambarkan dia seolah-olah suka memakan bangkai saudara yang diumpatnya. Allah SWT menggunakan perumpamaan dalam bentuk persoalan (qiyas tamsili). Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Perkataan “suka” (al-hubb) ini menggambarkan yang manusia memang suka mengumpat. Sebab itu ada hadith dalam Riyadhussalihin karangan Imam Nawawi yang menyebut bahawa ada situasi dimana mengumpat dibenarkan, menunjukkan secara fitrahnya itulah manusia! Suka menyebut keburukan orang lain, bertujuan menghina bukan membina. Dilakukan di belakang, bukan di hadapan yang diumpat itu.
Allah SWT menjawab selepas persoalan itu dengan penafian (al-inkar): Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Perkataan jijik (al-kurhu) ini menggambarkan yang manusia secara fitrahnya jijik memakan bangkai (kotor). Itulah fitrah manusia. Perlukan makanan, tetapi makanan yang bersih, suci lagi murni (halalan toyyiba), bukan makanan yang kotor, yang belum dimasak, yang telah reput dan berulat.
Mengapa Allah SWT menyamakan perbuatan mengumpat dengan makan? Seolah-olah mengumpat itu amat mudah dan disukai manusia seperti mana mudahnya dan sukanya manusia makan sesuatu makanan. Seolah-olah mengumpat itu perlu ada dalam hidup sepertimana makanan itu perlu untuk manusia terus hidup. Sehingga ada kata-kata: “life has no color without backbiting”.
Justeru, ayat ini membawa 2 maksud:
1) Kalau kita tidak merasa jijik memakan bangkai saudara yang diumpat, maka silalah untuk terus mengumpat. Kalau kita jenis yang sukakan benda kotor (hanya ada seekor sahaja makhluq Allah yang suka makan benda kotor..), maka teruslah dengan aktiviti membuka keaiban saudara seislam dibelakangnya.
2) Kalau kita merasa jijik memakan bangkai saudara seislam kita, maka haramkan diri dari terus mengumpat sepertimana kita mengharamkan diri kita secara fitrah dari memakan bangkai saudara seislam kita. Bencilah perbuatan mengoyak maruah saudara kita dibelakangnya sepertimana kita benci mengoyak dagingnya!
Ubahlah keinginan mengumpat itu dengan berkata baik tentang saudara kita walaupun kita membencinya, walaupun dia musuh kita. Kalau ada sahabat kita yang mula mengumpat, ubahlah tajuk dengan menceritakan kebaikan saudara kita itu. Hakikatnya, kepuasan mengumpat orang tidak sama dengan kepuasan memuji orang tersebut.
Selamat mencuba!
Kota Damansara
8.00 pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment